__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Thursday, April 23, 2009

095 - Tiada Sesuatu Pun Sebelum-Nya

Tiada Sesuatu Pun Sebelum-Nya

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Imam al-Bukhari dan selainnya meriwayatkan dari hadis ‘Imran bin Hushain radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa penduduk Yaman pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Kami datang untuk mendalami persoalan agama dan kami juga ingin bertanya kepadamu permulaan urusan (terciptanya seluruh makhluk) ini.”

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

“Allah-lah yang pertama kali ada, dan tidak ada sesuatu pun yang ada sebelum-Nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7418)

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Tidak ada yang lain sebelum-Nya. Dan ‘Arsy-Nya ada di atas air. Dia menetapkan (ketentuan) segala sesuatu serta menciptakan langit dan bumi.”

Dalam riwayat lain turut disebutkan:

“Kemudian Dia menciptakan langit dan bumi.”

Manusia berselisih pendapat menjadi dua kelompok di dalam memahami hadis ini. Di antara mereka ada yang mengatakan:

“Yang dimaksudkan oleh hadis ini adalah bahawa Allah mengatakan bahawa Allah ketika itu bersendiri, kemudian Dia mula menciptakan segala sesuatu. Sehingga Allah mula melakukan sesuatu, yang mana sebelumnya Dia tidak pernah melakukan sesuatu dari mulanya waktu yang tidak ber-awal, sehingga ke saat Dia mula mencipta. Dan perbuatan itu pun sebelumnya mustahil bagi-Nya.”

Manakala pendapat yang kedua menyatakan:

“Yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah bahawa Allah mengkhabarkan tentang permulaan apa yang diciptakan-Nya dari alam dunia yang zahir (nyata) ini, di mana Dia menciptakannya dalam kurun waktu enam masa sedangkan Dia berada di atas ‘Arsy. Perkara itu adalah sebagaimana yang dijelaskan di dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an.”

Dalam Shahih Muslim, dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru radhiyallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam disebutkan bahawa beliau bersabda (maksudnya):

“Allah telah menetapkan takdir para makhluk-Nya lima puluh ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.” Beliau melanjutkan:

“Dan ketika itu, ‘Arsy-Nya berada di atas air.” (Hadis Riwayat Muslim, 2753)

Dari hadis ini Allah mengkhabarkan bahawa penetapan takdir alam dunia yang diciptakan-Nya dalam kurun waktu enam masa ini sudah ada lima puluh ribu tahun sebelum masa penciptaan-Nya. Manakala ‘Arsy-Nya ketika itu berada di atas air. Hujjah kebenaran pendapat pihak yang kedua ini dapat kita lihat melalui beberapa sisi:

Pertama:

Perkataan penduduk Yaman:

“Kami datang untuk bertanya kepada mu tentang permulaan urusan (terciptanya seluruh makhluk) ini.”

Ini adalah merupakan satu isyarat berkenaan dengan segala yang zahir (nyata) yang ada ini. Dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjawab dengan menceritakan awal penciptaan alam dunia yang nyata ini, dan tidak menjawab dengan menceritakan tentang jenis-jenis makhluk-Nya. Kerana mereka tidaklah menanyakan berkenaan perkara tersebut. Beliau juga menjelaskan berkenaan penciptaan langit dan bumi, manakala Allah sendiri berada di atas ‘Arsy. Dan beliau tidak menceritakan tentang penciptaan ‘Arsy, padahal ‘Arsy itu sendiri telah diciptakan sebelum kedua makhluk (langit dan bumi) itu diciptakan.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallah juga menjelaskan bahawa:

“Allah-lah yang pertama kali ada, dan tidak ada sesuatu pun, atau selain-Nya yang ada sebelum keberadaan-Nya.”

Dan beliau juga melanjutkan penjelasannya:

“Dan ‘Arsy-Nya berada di atas air. Dia menetapkan (ketentuan) segala sesuatu dan menciptakan bumi dan langit.”

Beliau merangkaikan (menggabungkan/mengaitkan) tiga perkara yang disebutkan di situ dengan kata “dan”. Manakala ucapan beliau:

“Dan Dia menciptakan langit dan bumi”, diriwayatkan dengan “dan”, juga dengan “kemudian”. Maka dengan ini, jelaslah bahawa yang dimaksudkan di situ bahawa Allah mengkhabarkan kepada mereka tentang penciptaan langit, bumi, dan segala apa yang ada di antara keduanya yang Dia ciptakan dalam waktu enam masa.

Maka, dengan ini ia bukanlah menceritakan tentang bermulanya penciptaan segala sesuatu yang lain sebelum itu.

Begitulah juga dengan perkataan beliau:

“Allah-lah yang pertama kali ada. Dan tidak ada sesuatu yang ada sebelum-Nya.”

Tidaklah benar bila dikatakan bahawa yang dimaksudkan bahawa Allah ‘Azza wa Jalla ketika itu ada sendirian dan tidak ada satu makhluk pun berama-Nya. Kerana ucapan beliau:

“Dan ketika itu ‘Arsy-Nya ada di atas air.”

Maka, ianya menunjukkan sebuah pertentangan. Sebenarnya bentuk penuturan ucapan beliau tadi, boleh jadi ‘Arsy-Nya itu dalam keadaan sudah ada ketika keduanya (langit dan bumi) diciptakan, mungkin juga yang dimaksudkan adalah bahawa kesemuanya diciptakan bersamaan. Mana pun yang benar, yang jelas di sini bahawa ia (‘Arsy) tersebut sudah ada pada ketika itu. Maka dari itu, dapatlah difahami bahawa yang dimaksudkan adalah:

“Tidak ada sebelum itu, segala yang ada di alam dunia yang zahir (nyata) ini.”

Rujukan:

Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, terbitan/terjemahan pustaka at-Tibyan.

Friday, March 13, 2009

094 - Hakikat Mencintai Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam

HAKIKAT CINTA KEPADA NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/

Di antara bukti bahawa orang yang beriman itu cinta kepada Nabi Shallallahu ‘alaii wa Sallam adalah seagaimana berikut:

1 - Mengimani bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah benar-benar utusan Allah untuk semua lapisan manusia dan jin.

Katakanlah: “Wahai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua”. (Surah al-A’raf, 7: 158)

Ibnu Utsaimin berkata: “Dan paling mulianya utusan Nabi Muhammad kerana Rasulullah bersabda: “Aku adalah penghulu keturunan Adam esok pada hari Kiamat” (Hadis Riwayat Bukhari: 4712) dan kerana para nabi solat di belakang Rasulullah pada waktu malam mi’roj (Syarah Lum’atul i’tiqod, 1/136)

2 - Membela sunnahnya.

Kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya... (Surah Ali Imran, 3: 81)

3 - Menjalankan seruannya, dengan mengamalkan yang Wajib dan sunnah, serta meninggalkan yang haram dan yang makruh.

Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu... (Surah al-Anfal: 24)

Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab berkata: ‘Adapun makna syahadat “wa ana Muhamaddan Rasulullah” ialah mentaati beliau dalam semua perintahnya, membenarkan semua beritanya dan menjauhi semua larangannya, serta tidak beribadah kecuali dengan syariatnya. (Ushul Tsalatsah, 24)

4 - Menjadikannya sebagai uswah (contoh/model) dalam segala urusan.

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu... (Surah al-Ahzab, 33 :21)

5 - Membenci orang yang dibenci oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana diterangkan di dalam surah al-Mujadalah, 58: 22.

6 - Lebih mencintai Nabi berbanding kecintaan kepada dirinya dan orang lain.

Nabi itu (hendaklah) lebih utama bagi orang-orang mukmin dan diri mereka sendini ... (Surah al-Ahzab, 33: 6)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Demi Dzat yang diriku di tangan-Nya, tidaklah sempurna iman salah satu di antara kamu sehingga aku lebih dicintai daripada ayah dan anaknya. (Hadis Riwayat al-Bukhari: 12)

7 - Mencintai orang yang dicintai Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam

Sebagai contohnya, mencintai isteri-isterinya, keluarganya, dan sahabat-sahabatnya serta orang-orang yang berpegang kepada sunnah-nya.

Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah beliau Wafat... (Surah al-Ahzab, 33: 53)

Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Janganlah kamu mencela sahabatku, seandainya salah satu di antara kamu berinfak sebesar gunung Uhud berupa emas, tidaklah mencapai walau pun satu mud salah satu di antara mereka dan tidak pula separuhnya. (Hadis Riwayat al-Bukhari: 3397)

8 - Beradab kepada Nabi dengan menyebut kedudukannya.

Orang yang hanya menyebut beliau dengan panggilan Muhammad, tidaklah memiliki adab, akan tetapi hendaklah memanggil dengan gelaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atau Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain)... (Surah an-Nur, 24: 63)

Imam al-Qurthubi rahimahullah berkata:

“Mereka itu berteriak memanggil Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari jauh wahai Abul Qosim, akan tetapi hendaklah mereka memuliakannya.” (Tafsir al-Qurthubi, 12/294)

9 - Berpegang kepada manhajnya (jalan/prinsip) dan manhaj sahabatnya.

Dari al-Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Kamu wajib mengikuti sunnahku dan sunnah khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk dan menunjukkah jalan yang benar, berpeganglah dengan sunnahnya dan gigitlah dengan gigi gerahammu. (Hadis Riwayat Abu Dawud: 3991, disahihkan oleh al-Albani, 2735)

Imam Ahmad rahimahullah berkata:

“Ushulus Sunnah (prinsip-prinsip Sunnah) menurut kita (ahlus sunnah wal jamaah) ialah berpegang teguh kepada sunnah sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan mengikuti jejak mereka dan meninggalkan bid’ah.” (Ushulus Sunnah, Imam Ahmad Riwayat Abdus bin Malik al-Athor, 1/25-26)

10 - Wajib menjauhi bid’ah dan membenci ahlinya.

Dari al-Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Dan jauhkan dirimu dari perkara yang baru (dalam perkara agama) kerana setiap yang baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat. (Hadis Riwayat Abu Dawud: 3991, disahihkan oleh al-Albani, 2735)

- KEUTAMAAN CINTA KEPADA RASULULLAH -

Jika kita cinta kepada Nabi dengan kecintaan yang sebenar-benarnya, maka banyak faedah yang dapat kita ambil, di antaranya:

1 - Dikumpulkan bersama orang-orang yang mulia

Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul(-Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. (Surah an-Nisa’, 41: 69)

2 - Dijamin memperoleh hidayah taufiq

Dan jika kamu taat kepada-Nya (Nabi Shallallahu ‘alahi wa Sallam), niscaya kamu mendapat petunjuk... (Surah an-Nur, 24: 54)

3 - Menjadi orang yang bertaqwa dan terhindar dari perbuatan syirik

Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya (orang Islam), mereka itulah orang-orang yang bertaqwa. (Surah az-Zumar, 39: 33)

Berkata Abdurrahman bin Zaid bin Aslam radhiyallahu ‘anhu: “Bahawa yang dimaksudkan dengan بالصدق adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan yang dimaksud وصدق به adalah orang Islam.”

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Bahawa yang dimaksud dengan المتقون mereka yang berhenti dari perbuatan syirik (Tafsir Ibnu Katsir 4/70)

4 - Dijamin masuk surga

Dari Abu Hurairoh radhiyallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Semua umatku masuk syurga kecuali orang yang enggan, mereka berkata: Wahai Rasulullah, siapa yang enggan? Beliau menjawab:

Barangsiapa taat kepadaku, dia masuk syurga dan barangsiapa yang bermaksiat kepadaku maka dia adalah orang yang enggan. (Hadis Riwayat al-Bukhari: 6737)

5 - Dijamin hidup bahagia

(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma'ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Qur’an), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah al-A’raf, 7: 157)

6 - Mencapai kesempurnaan iman

Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beniman sehingga mereka menjadikan kamu hakim (pemutus) dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (Surah an-Nisa’, 4: 65)

7 - Allah memberi kemenangan

Sahl bin Sa’ad radhiyallahu ‘anhu berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda pada waktu perang Khaibar:

Sungguh aku esok akan menyerahkan bendera kepada orang yang Allah akan memenangkannya yang dia cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, dan Allah serta Rasul-Nya mencintainya. (Hadis Riwayat al-Bukhari: 2787)

- KESALAHAN DALAM MENCINTAI RASULULLAH -

Berikut adalah beberapa contoh pula orang yang mengaku dirinya cinta kepada Rasulullah namun sebenarnya tidak, bahkan sebenarnya telah merendahkan kedudukannya, misalnya:

1 - Mengunjungi kuburannya secara khusus

Misalnya orang yang berangkat haji ketika sampai di Madinah bukan mendahulukan solat Tahiyatul Masjid, akan tetapi mereka berebut untuk menziarahi makam/kubur Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Perkara ini jelas bertentangan dengan sabda Beliau:

Tidaklah digerakkan kenderaan itu melainkan untuk tiga ‘masjid, masjidil haram, masjidil Aqsha dan masjidku ini (masjid nabawi). (Hadis Riwayat al-Bukhari: 1858 dari Abu Sa’id alKhudri)

Adapun hadis yang menyebutkan: “Barangsiapa yang berhaji lalu dia menziarahi kuburanku setelah aku meninggal dunia, maka dia seperti menziarahiku pada masa hidupku. dan ada riwayat lain: barangsiapa menziarahi kuburanku dia pasti dapat syafaatku.” Hadis ini adalah hadis yang mungkar/maudhu’/palsu. (Rujukan: Muhtashor irwaul ghalil, 1/218)

2 - Bertawassul kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam setelah meninggal dunia dengan memanggilnya atau dengan menyebut kemuliaannya bagi tujuan memohon doa.

Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah berkata: “Sesungguhnya bertawassul bijahi (dengan kemuliaan) Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sama ada ketika beliau masih hidup atau sesudah meninggal dunia, ini adalah tawassul yang bid’ah, dilarang, kerana kemuliaan Rasulullah tidaklah bermanfaat melainkan pada diri beliau sendiri. (Fatawa al-Muhimmah, 1/100)

Ada pun alasan mereka dengan hadis, “Jika kamu mohon kepada Allah, maka mintalah kepada Allah dengan menyebut bijahi (kemuliaanku) sesungguhnya kemuliaanku itu agung” ini adalah hadis yang dusta (mungkar). (Majmu’ al-Fatawa Ibnu Taimiyah, 10/319)

3 - Mengamalkan bid’ah dengan alasan cinta kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengapa memakai hadis palsu yang penting untuk membela Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam

Hakikatnya, alasan seperti itu langsung tidak menunjukkan cinta kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, akan tetapi hanya menunjukkan bahawa mereka adalah golongan yang mencintai hawa nafsu dan menjauhkan umat dari mengikuti sunnah.

Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. (Surah Shad, 38: 26) dan bertentangan dengan firman Allah dalam surat (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Al-Hafidh Abul Faroh Abdurrohman bin Rojjab al-Hambali berkata “Demikian juga amalan bid’ah, sesungguhnya bid’ah ini muncul kerana mendahulukan hawa nafsunya daripada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Tafsir Ibnu Rojjab al-Hambali 1/202)

4 - Mengadakan Majlis Memperingati maulud (Tarikh Kelahiran) Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam

Sungguh aneh orang yang mengaku dirinya cinta kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan tetapi mengamalkan amalan yang tidak pernah dikerjakan oleh beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dan para sahabatnya, seperti mengadakan peringatan Maulud Nabi, Isra’ Mi’raj dan seumpamnanya.

Adalah suatu yang tidak benar (lagi batil) bahawa majlis maulud Nabi yang mereka adakan bertujuan memuliakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, akan tetapi hakikatnya adalah sebaliknya, mereka menghinanya, kerana acara di dalamnya tidak lepas dari kemungkaran. Sebagai contohnya: bercampurnya muda-mudi, nyanyian, bahkan membaca nasyid-nasyid yang merosakkan kedudukan beliau, mereka berbohong atas nama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan hadis dusta yang selalu dipasarkan melalui majlis-majlis tersebut, untuk meraih harta dengan jalan menipu, misalnya: “Barangsiapa yang mengagungkan hari kelahiranku, aku akan memberi syafa’at kepada-nya pada hari Kiamat.” dan “Barangsiapa berinfak satu dirham untuk memperingati hari ulang tahunku maka seperti berinfak sebesar gunung Uhud berupa emas.” (Lihat Kitab Sabilul Munji) Malah selain itu, turut disertakan dengan nanyian lagu-lagu marhaban dan berzanji yang penuh kesyirikan dan kedustaan kandungannya.

Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah Alu Syaikh berkata: Perayaan maulud nabi ini muncul pada abad ke-4 hijriah yang diadakan oleh Bani Ubaid al-Qoddah, mereka menamakan diri mereka dengan fathimiyyin (puak Syi’ah). Kesesatan mereka akhirnya dibongkar oleh ulama sunnah. Mereka ini tergolong daripada tarikat ismailiyah bathiniyah, dan tidak layak dijadikan ikutan. (Hakikah Syahadah “anna muhammadan Rasulullah”: 110)

Memperingati maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah menyamai dengan orang Nasrani ketika merayakan hari natal (Krismas), isinya senda-gurau, dan acara maksiat lainnya. Tidak benar pelakunya mengaku cinta kepada Nabi, maka dengan itu janganlah tertipu dengan karya tulisan yang antaranya ditulis oleh Muhammad Alawy al-Maliki kerana ulama telah membantahnya, dan juga kitab “Membedah Hukum Peringatan Maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, ditulis oleh K.H.Hasanuddin Abbdul Latief dan masih banyak lagi yang mereka tulis dalam rangka mematikan sunnah. Golongan seperti mereka ini harus dilenyapkan.

5 - Belebih-lebihan memuji Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Adapun contoh berlebih-lebihan dalam memuji Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah:

“Wahai Rasul yang paling mulia, tiada bagiku orang yang aku berharap kebaikan kepada-Nya melainkan engkau (wahai Nabi) pada saat terjadinya musibah.”

Bukankah perkataan ini menyekutukan Allah dengan utusan-Nya? Bukankah beliau pernah luka pada waktu perang Uhud? Bukankah beliau pernah di sihir oleh orang Yahudi? Bukankah Allah memerintah kita agar berharap kebaikan kepada Allah sahaja? Silakan merujuk surat al-Falaq, an-Nas, dan al-A’raf: 188.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Janganlah kamu memujiku dengan berlebih-lebihan sebagaimana orang Nasrani berlebih-lebihan memuji (Isa) anak Maryam, sesungguhnya aku hamba-Nya, katakanlah: Hamba Allah dan merupakan Rasul-Nya. (Hadis Riwayat al-Bukhari: 3189 dari Sahabat Umar radhiyallahu ‘anhu)

“Janganlah kamu memujiku dengan cara yang bathil dan janganlah kamu melampaui batas memujiku sebagaimana orang Nasrani berlebih-lebihan memuji Isa sehingga mereka menggelarkannya sebagai tuhan.” (Syaikh DR. Soleh Fauzan al-Fauzan, Akidatut Tauhid Wabayanu Ma Yudhoduha Minas Syirkil Akbar Wal Ashghor: 151)

6 - Mengadakan/Mereka-cipta bentuk-bentuk selawat yang bid’ah

Membaca selawat Nabi adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepada-Nya. (Surah al-Ahzab, 33: 56)

Nabi telah mengajarkan umatnya selawat yang benar (mengikut tatacaranya yang syar’i), namun pada masa ini telah kita jumpai sebahagian kaum muslimin membuat (mereka cipta) selawat kepada Nabi mengikut hawa nafsunya, sebagai contoh, selawat yang bid’ah karya Syaikh dari Lebanon:

“Ya Allah berkahilah Muhammad sehingga Engkau jadikan darinya sifat ke-esaan dan pengurus makhluk.”

Selawat bid’ah dari Syiria:

“Ya Allah berkahilah Muhammad yang dari cahayanya Engkau ciptakan segala sesuatu.”

Selawat Fatih

“Ya Allah berkahilah Muhammad sang pembuka terhadap yang tertutup.”

(Rujuk: Minhajul firqotun najiah: 116- 117, Syaikh Jamil Zainu)

Apabila kita memahami makna-makna selawat yang tersebut di atas, sungguh mereka telah menjadikan Nabi memiliki sifat ilahiyah (ketuhanan). Na’udzu billahi min dzalik.

7 - Risalah Nabi hanya untuk bangsa Arab

Sebagian tokoh yang menamakan dirinya muslim pencinta Nabi berpendapat bahawa risalah beliau hanya untuk bangsa Arab. Janggut bukan ajaran Islam tetapi adab orang Arab, poligami adab orang Arab. Perkataan ini muncul dari kalangan orang-orang yang berkepentingan tertentu dan khuwatir kehilangan kedudukannya. Secara tidak sedar, mereka menolak ayat:

Katakanlah, wahai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua (sekalian manusia)... (Surah al-A’raf, 7: 158)

8 - Beranggapan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengetahui persoalan ghaib, memiliki kekuatan ilahiyah (ketuhanan) sehingga mereka beristighotsah (berdoa/memohon kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dan menyatakan hajatnya kepada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam

Ini bukanlah suatu contoh sikap cinta kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan tetapi mempermainkan kedudukannya.

Katakanlah (wahai Nabiyullah kepada mereka): “Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudhoratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudhoratan...” (Surah al-A’raf, 7: 188)

9 - Menolak sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan alasan belum sampai masanya untuk diamalkan atau mencegah keresahan umat.

Sebagian kaum muslimin mengaku cinta kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, akan tetapi bila dibacakan al-Qur’an atau as-Sunnah yang kurang berkenan di hatinya mereka menolaknya, dengan alasan belum waktunya atau menjaga persatuan umat atau dengan alasan hawa nafsu lainnya.

Al-Hafidh Abul Faroh Abdurrahman bin Rejab al-Hambali berkata: “Semua kemaksiatan muncul kerana mendahulukan mengikuti hawa nafsunya daripada mencintai Allah dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Maka jika mereka tidak menjawab (tantanganmu), ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka hanyalah mengikuti hawa nafsu mereka (belaka)... (Surah al-Qashas, 28: 50).” (Tafsir Ibnu Rojjab al-Hambali, 1/202)

Semoga dengan sedikit penjelasan ini, Allah sentiasa memberi petunjuk kepada kita semua kaum muslimin ke jalan yang dinidhai-Nya, menjadi hamba yang cinta kepada-Nya dan mengikuti sunnah Nabi-Nya.

Wednesday, March 4, 2009

093 - Larangan Memberontak Dan Adab Menasihati Pemimpin Kaum Muslimin

Larangan Memberontak Dan Adab Menasihati
Pemimpin Kaum Muslimin

Imam Abu Ja’afar ath-Thahawi rahimahullah berkata:

“Kita tidak membolehkan memberontak (membelot) terhadap para imam (pemimpin muslim) dan para penguasa walau pun mereka melakukan kezaliman. Kita tidak menyumpahi (memaki hamun) mereka dan tidak berlepas diri dengan tidak taat kepada mereka. Kita berkeyakinan bahawa mentaati mereka sepanjang dalam ketaatan kepada Allah adalah wajib, selama mana mereka tidak memerintahkan melakukan maksiat. Kita tetap mendoakan kebaikan untuk mereka supaya mereka dikurniakan dengan kebaikan sama ada dari segi fizikal atau pun rohani.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mentaatiku bererti dia mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakaiku bererti dia menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin, bererti dia mentaatiku. Sesiapa yang menderhakai pemimpinnya, bererti menderhakaiku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2957)

“Seseorang muslim wajib mendengar dan taat, sama ada suka atau pun tidak. Melainkan apabila dia diperintah untuk melakukan maksiat. Bila dia diperintahkan untuk melakukan maksiat, tidak ada lagi istilah mendengar dan taat (dalam urusan maksiat tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2955)

Dari Auf bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka membenci kamu, yang kamu menyumpahinya dan mereka menyumpahi kamu.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah ketika itu kami boleh memerangi mereka dengan pedang?” Beliau menjawab: “Tidak, selama mereka masih menunaikan solat bersama-sama kamu. Ingatlah, sesiapa yang melihat pemimpinnya melakukan kemasiatan, hendaklah dia membenci kemaksiatannya itu, namun janganlah dia berlepas diri dari mentaatinya”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1855)

Dalam persoalan prinsip ini, imam Abil ‘Izz al-Hanafi mensyarahkan perkataan imam Abu Ja’afar ath-Thahawi di atas dengan katanya:

“Ada pun kewajiban untuk mentaati mereka (bukan dalam persoalan maksiat) walau pun mereka melakukan kezaliman adalah sesuatu yang disyari’atkan, kerana keluar dari ketaatan kepada mereka (pemerintah/penguasa) akan melahirkan kerosakan yang belipat kali ganda dibandingkan dengan kezaliman mereka sendiri. Malah, bersabar terhadap kezaliman mereka dapat meleburkan dosa-dosa dan dapat melipat gandakan pahala. Kerana Alla tidak akan menaikkan penguasa ke atas diri kita melainkan disebabkan oleh kerosakan amal perbuatan kita juga. Ganjaran itu bergantung kepada amal perbuatan. Maka, hendaklah kita bersungguh-sungguh memohon keampunan, bertaubat, dan memperbaiki amal-amal perbuatan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan).” (Surah asy-Syura, 42: 30)

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129)

(Dengan ini) apabila rakyat ingin selamat dari kezaliman para pemimpin mereka, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman itu juga.” (Rujuk: Tahzib Syarh ath-Thahawiyah, jil. 2, m/s. 199-200, Pustaka at-Tibyan)

Syaikh al-Albani rahimahullah turut mengulas perkataan imam Abu Ja’afar ath-Thahawi dan syarah oleh imam Abil ‘Izz di atas dengan perkataannya:

“Dengan itu, jelaslah bagaimana cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para penguasa yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita. Caranya, kaum muslimin (umat Islam) mestilah bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam secara benar. Perkara tersebut adalah sebagai usaha dengan berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 7: 11)

Bertepatan dengan perkara persebut, ada seorang da’i (pendakwah) di zaman kita ini berkata, “Tegakkanlah daulah Islam di dalam hati-hati kamu, maka daulah Islam itu pun kemudiannya akan tertegak di atas muka bumi”.

Jadi, di dalam menyelesaikan masalah tersebut bukanlah dengan kaedah-kaedah seperti yang diguna-pakai sebahagian orang, iaitu dengan memberontak dan memerangi penguasa. Kerana, perkara tersebut di samping termasuk ke dalam bentuk bid’ah, ia juga bertentangan dengan nash-nash syar’i yang mana memerintahkan kita untuk mengadakan perubahan pada masyarakat dengan cara yang baik. Dalam persoalan ini, kita juga perlu memehami sebuah prinsip:

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj, 22: 40) (Rujuk: Syarah dan Taqliq Syaikh al-Albani ke atas Aqidah ath-Thahawiyah)

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata:

“Sesiapa yang keluar (dari ketaatan) terhadap seorang pemimpin dari para pemimpin kaum muslimin, padahal manusia telah bersatu dan mengakui kepimpinan baginya dengan cara apapun, sama ada dengan redha atau dengan kemenangan (dalam perperangan), maka sesungguhnya orang tersebut telah memecah-belah kesatuan kaum musilmin dan menyelisihi pesanan-pesanan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan apabila ia mati dalam keádaan demikian maka matinya seperti mati jahiliyah. Tidak halal memerangi penguasa (pemerintah) dan keluar dari ketaatan kepadanya disebabkan seseorang. Sesiapa yang melakukan perkara yang seperti itu maka dia adalah seorang mubtadi’ (pelaku bid’ah) yang bukan di atas Sunnah dan jalan (yang lurus). (Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah, no. 33 dan 34)

Imam al-Barbahari rahimahullah turut menjelaskan:

“Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun bila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku mempunyai doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Ia ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, tidak lebih hanya bermanfaat untuk diriku, namun bila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih)

Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukannya keburukan, walau pun dia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri sementara bila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya.” (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 1423H/2002M, m/s. 83-84)

Adab Jika Mahu Menasihati Penguasa/Pemimpin

Telah berkata Ibnul Asir: “Nasihat ialah suatu ungkapan daripada sepotong ayat iaitu berkehendakkan kebaikan kepada yang dinasihatkan baginya, dan tidak mungkin diungkapkan dari makna ini bersama makna yang lain. Asal makna nasihat dalam bahasa ialah suci.” (Dinukil dari Dr. Khalid al-Anbariy, Sistem Politik Islam, m/s. 212-213)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu perkara, maka janganlah disebarkan (didedahkan) secara terang-terangan, akan tetapi peganglah tangannya dan ajaklah dia berbincang dengan diam-diam. Jika dia menerima, maka itulah yang diharapkan, jika tidak, maka sesungguhnya dia telah menunaikan kewajipannya”. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah. Sanadnya sahih, sebagaimana dinyatakan oleh Syaikh al-Albani ketika mentahqiq kitab as-sunnah, m/s. 507)

Berkenaan hadis ini, Syaikh al-Albani menyatakan bahawa ini adalah kaedah sebenar dalam menasihati para pemimpin secara sembunyi (rahsia – pen.), apabila orang yang menasihati melaksanakan cara begini, maka dia sudah pun melaksanakan tanggungjawabnya dan tidak lagi bertanggungjawab selepas itu. (Dr. Khalid Ali al-Anbariy, Sistem Politik Islam, m/s. 220)

Ibnu Nahhas rahimahullah berkata:

“Saat yang amat tepat untuk menasihati pemimpin adalah di saat sepi dari pihak ketiga. Ini lebih baik daripada bersuara secara terbuka di hadapan media massa, bahkan menyuarakan dan menasihati pemimpin lebih mulia secara rahsia tanpa ada liputan pihak yang ketiga.” (Lihat: Tanbihul Ghafilin ‘An A’malul Jahilin wa Tahzirus Salikin Min Af’alil Halikin)

Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata:

“Orang yang menyedari sebahagian permasalahan tentang kesalahan pemimpin, hendaklah dia menasihatinya, jangan menyebarkannya di hadapan orang ramai (umum). Tetapi hendaklah dia berbincang secara empat mata di dalam rangka menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, pent.) serta tidak memperlekehkannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadis”. (Lihat: Sail al-Jarrar 4/556. Dinukil dari: Abu Farouq Rasul Dahri, Sikap Ahlus Sunnah wal Jama’ah Terhadap Pemerintah)

“Dalam masalah menegur penguasa (pemimpin), pendapat yang benar ialah melakukannya secara individu, bukan di khalayak umum. Adalah amat baik jika tegurannya secara rahsia atau menasihatinya dengan cara sembunyi-sembunyi, tanpa ada pihak yang ketiga”. (Lihat: Tanbihul Ghafilin ‘An A’malul Jahilin wa Tahzirus Salikin Min Af’alil Halikin)

Imam Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah berkata:

“Ada pun nasihat untuk para pemimpin kaum Muslimin maka ia adalah cintakan kebaikan untuk mereka, petunjuk untuk mereka dan keadilan mereka, menyukai sokongan rakyat ke atas mereka, membenci perpecahan umat kepada mereka, mematuhi ajaran agama, suka memuliakan mereka kerana mentaati Allah, membantu mereka dalam kebenaran, taat kepada mereka dalam perkara yang haq, marah kepada orang yang membelot dari mereka, dan cinta kepada usaha mereka di alam urusan berbuat taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Membantu mereka dengan kebenaran, menyedarkan mereka dengan lemah lembut, mengelakkan daripada menentang mereka dan mendoakan kejayaan (kebaikan) untuk mereka.” (Rujuk: Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 172 dan 173, Darul Falah)

Memuliakan Pemerintah

Daripada Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu, katanya:

“Aku mendengar Nabi bersabda: “Sultan adalah bayangan Allah di bumi, sesiapa yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya dan sesiapa yang menghinakannya, maka Allah akan menghinakannya”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 5/42. Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis ash-Shahihah, 5/376)

Dr. Khalid Ali al-Anbariy berkata:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan ke atas umat ini menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, baginda melarang mencaci mereka dan menyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan berlakunya kebencian rakyat kepada mereka mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.

Dalam perkara ini, berkatalah Sahl bin Abdullah at-Tastari: “Manusia sentiasa dalam keadaan baik selama mana mereka menghormati sultan dan ulama, maka sekiranya mereka menghormati kedua-duanya ini, Allah memeberi kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka dan sekiranya mereka menghina kedua-duanya, Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka”.” (Sistem Politik Islam, m/s. 215)

Thursday, January 1, 2009

092 - Hikmah Memahami Asma’ wa Shifat Allah

Hikmah Memahami Asma’ wa Shifat Allah
(Nama-nama & Sifat-sifat Allah)

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Oleh:
Syaikh ‘Abdurrazzaq bin ‘Abdil Muhsin al-‘Abbad al-Badr

Sesungguhnya mengenali (mempelajari) Nama-Nama Allah dan Sifat-sifat-Nya yang terdapat di dalam al-Kitab (al-Qur’an) dan as-Sunnah, yang menunjukkan kesempurnaan Allah secara mutlak dari pelbagai segi, merupakan pintu ilmu yang paling utama yang mana dengannya dapat menambah keimanan. Menyibukkan diri dengan mempelajarinya, memahaminya, dan mengetahuinya secara sempurna memiliki hikmah dan faedah yang tinggi dan agung. Di antaranya adalah sebagaimana berikut:

1) - Ilmu tauhid Asmaa’ wash-Shifat merupakan ilmu yang paling mulia dan paling agung secara mutlak. Menyibukkan diri dengan memahami dan mempelajarinya menunjukkan erti menyibukkan diri di dalam mencari sesuatu yang paling mulia. Dan mendapatkannya merupakan pemberian yang paling mulia.

2) - Ma’rifatullaah (mengenali Allah) menimbulkan kecintaan (hubb), rasa takut (khauf), pengharapan (roja’), dan keikhlasan beramal kepada-Nya. Inilah sebuah hakikat erti kebahagiaan seseorang hamba. Tidak ada jalan lain untuk mengenali Allah melainkan dengan mengenali Nama-Nama Allah dan Sifat-Sifat-Nya serta memahami makna-maknanya.

3) - Tujuan Allah menciptakan makhluk adalah supaya mereka mengenal dan dapat beribadah hanya kepada-Nya. Menyibukkan diri dengannya bererti menyibukkan diri dengan tujuan penciptaan para hamba. Meninggalkannya dan mengabaikannya bererti meremehkan tujuan untuk apa kita diciptakan.

Adalah sungguh buruk bagi seseorang hamba yang tidak mengenali Tuhan-nya dan enggan mengetahui-Nya, padahal nikmat Allah sentiasa dilimpahkan kepadanya terus-menerus, begitu pula dengan kurnian-Nya yang sangat melimpah dari pelbagai segi.

4) - Salah satu dari rukun iman, bahkan yang paling utama dan asas adalah beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iman bukan hanya mengatakan, “Aku beriman kepada Allah”, sedangkan dia tidak mengenali Tuhan-nya dengan sebenarnya. Hakikat sebenar dari sebuah keimanan adalah mengetahui apa yang diimani dan berusaha keras untuk mengenali Nama-Nama-Nya juga Sifat-Sifat-Nya sehingga mencapai darjat yakin. Darjat keimanan seseorang ditentukan oleh sejauh mana ia mengenali Tuhan-nya. Semakin kenal kepada Tuhan-nya, semakin bertambah pula keimanannya. Setiap kali berkurang, maka berkurang pula keimanannya. Jalan yang paling dekat untuk sampai kepada ma’rifatullaah (mengenali Allah) adalah dengan merenungi Sifat-Sifat dan Nama-Nama-Nya Subhanahu wa Ta’ala.

5) - Mengenali Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah asas kepada segala sesuatu. Mereka yang benar-benar mengenali Allah akan menjadikan sifat-sifat dan perbuatan-Nya yang ia yakini sebagai landasan ke atas segala apa yang ia lakukan dan laksanakan sebagai hukum dalam kehidupannya. Mereka tidak akan melakukan sesuatu melainkan yang bersesuaian dengan tuntutan makna yang terkandung di dalam Nama dan Sifat-Sifat-Nya. Perbuatan orang itu tidak akan menyimpang dari keadilan, keutamaan, dan hikmah. Ini adalah sebagaimana halnya Allah yang tidak akan menetapkan sebuah hukum pun, melainkan bersesuaian dengan makna puji yang dimiliki-Nya, hikmah-Nya, keutamaan-Nya dan keadilan-Nya. Semua berita dari-Nya adalah haq dan benar, dan semua perintah serta larangan-Nya adalah keadilan yang penuh dengan hikmah. (Lihat: Tafsir Ibni Sa’di (1/24-26), dan ringkasan tafsirnya (hal. 15))

Berpandukan dari faidah-faidah dan pelbagai hikmah ini (dapat kita nyatakan) bahawa mengetahui Nama-Nama Allah yang indah dan Sifat-Sifat-Nya yang agung akan melahirkan hasil berupa penghambaan (‘ubudiyah) dan ketundukan kepada-Nya. Setiap sifat penghambaan yang muncul dalam diri seseorang hamba adalah kesan dari mengenali Nama dan Sifat-Nya, mengetahuinya, dan hasil dari ma’rifat (mengenali) kepada-Nya. Semua sifat penghambaan ini mencakupi segala bentuk ‘ubudiyah (peribadahan/penghambaan) yang dilakukan sama ada dengan hati atau yang dilakukan dengan anggota badan.

Beberapa contoh yang lahir hasil keyakinan terhadap Asma’ al-Husna

Seseorang hamba, jika meyakini bahawa hanya Allah-lah yang dapat memberikan mudharat dan manfaat, yang mampu memberi dan menahan, yang menciptakan dan yang memberi rezeki, yang menghidupkan dan memerhatikan, maka keyakinan itu akan membuahkan hasil zahir atau pun batin. Di dalam batin iaitu sikap penghambaan (‘ubudiyah) berupa tawakkal (berserah) kepada-Nya. Adapun dalam zahirnya (yang nampak) adalah kesan tawakkal tersebut serta hasilnya.

Mengetahui Asma’ al-Husna harus diiringi dengan pengamalannya

Dan jika dia meyakini sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, tidak ada yang samar bagi-Nya seberat zarrah pun di langit dan di bumi, dan sesungguhnya Dia mengetahui yang tersembunyi bahkan yang lebih tersembunyi, mengetahui khianatnya mata dan apa-apa yang disembunyikan di dalam hati, maka keyakinan ini akan membuahkan hasil berupa sikap menjaga lisan, anggota badan dan gerakan-gerakan hati dari segala perkara yang tidak diredhai oleh Allah. Ia akan menjadikan semua anggota badan ini terikat semata-mata kepada segala perkara yang dicintai dan juga diredhai oleh Allah.

Dan jika ia meyakini sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Mulia, Maha Pengasih, dan luas kebaikan-Nya, maka keyakinan ini akan menimbulkan sikap pengharapan yang kuat. Sedangkan pengharapan akan melahirkan pelbagai jenis peribadahan secara zahir (nampak) atau pun batin kerana terdapat kecintaan di dalam mengenali dan mengetahui-Nya.

Dan jika ia meyakini kesempurnaan Allah dan keindahan-Nya, maka perkara ini menimbulkan cinta secara khusus, dan kerinduan yang lebih besar untuk berjumpa dengan Allah, dan perkara ini akan mengarahkan kita kepada pelbagai jenis ibadah.

Dengan meyakini perkara ini, dapatlah diketahui bahawa semua bentuk ‘ubudiyah (peribadahan) kembali kepada makna-makna yang terkandung di dalam Nama-Nama juga Sifat-Sifat Allah. (Lihat kitab Miftaah Daaris Sa’aadah, karya Ibnul Qayyim (hal. 424, 425), dan lihat yang semisalnya lebih luas lagi dalam kitab al-Fawaa-id, karya beliau (hal. 128-13 1))

Seorang hamba akan diberi taufik dengan memperoleh penyebab utama yang akan menambah keimanannya, apabila ia mengenali Tuhannya dengan pengenalan yang hakiki lagi selamat dari penyimpangan orang-orang yang sesat di dalam mengenali Allah. Dia selamat dari jalan orang-orang yang mengubah Nama-Nama dan Sifat-Sifat-Nya (ahlut tahriif), jalan orang-orang yang menta’thilnya (menolak), menggambarkannya (tamtsil), atau menyerupakannya (tasybih) dengan makhluk. Maka dia pun selamat dari manhaj ahli kalam (ahli falsafah/pemikiran) yang bathil seperti ini, yang pada dasarnya merupakan penghalang paling besar bagi seorang hamba untuk mengenali Tuhannya dan yang paling berpengaruh di dalam mengurangi keimanan lagi melemahkannya. Dia pun mengenali Tuhannya dengan Nama-Nama-Nya yang indah juga Sifat-Sifat-Nya yang agung, yang dengannya Allah memperkenalkan Dzat-Nya kepada para makhluk, yang diungkap di dalam al-Kitab (al-Qur’an) dan as-Sunnah berpandukan kefahaman Salafush Soleh (generasi awal dari para sahabat Rasulullah).

Dan telah sahih diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Sebuah berita bahawa Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama (yang terdapat dalam al-Qur-an dan hadis-hadis), sesiapa yang menghafalnya, maka perkara itu berupaya menjadi faktor masuknya seseorang itu ke dalam Syurga.
Diriwayatkan dalam ash-Shahihain dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata. “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bersabda:

“Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghafalnya, maka dia akan masuk ke dalam Syurga.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5/354, 10/214, 12/377 - Fathul Baari, dan Muslim 4/2O63)

Yang dimaksudkan dengan menghafal, bukan hanya sekadar menghafal. Kerana, orang yang fasiq pun adakalanya mampu menghafalnya. Maka, dengan ini maksudnya adalah mengamalkannya. (Fathul Baari, 10/226. Ini adalah ungkapan al-Ashili)

Kita wajib memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat-Nya, juga mengetahui makna yang terkandung di dalamnya sehingga mudah untuk mengambil manfaat secara sempurna darinya.

Abu ‘Umar ath-Thalamanki rahimahullah berkata, “Di antara kesempurnaan di dalam mengenali Nama-Nama Allah dan Sifat-Sifat-Nya, di mana orang yang berdoa dan menghafalnya berhak mendapat pahala sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam iaitu apabila dia mengenali Nama-Nama Allah dan Sifat-sifat-Nya dengan disertai kefahaman faidah-faidah yang terkandung di dalamnya serta hakikat yang ditunjukinya. Sesiapa yang tidak mengetahui perkara tersebut, maka dia bukanlah orang yang mengetahui makna dan Nama-Nama Allah. Dia tidak akan dapat mengambil manfaat yang tepat dari makna-makna yang terkandung di dalamnya jika hanya dengan menyebutkannya.” (Fathul Baari (6/226))

Ibnul Qayyim rahimahullah telah menyebutkan tiga tingkatan bagi mereka yang menghafal (Nama-Nama Allah):

Tingkatan pertama: Menghafal lafaz dan bilangannya.

Tingkatan kedua: Memahami maknanya dan perkara-perkara yang ditunjuki olehnya.

Tingkatan ketiga: Berdoa kepada Allah dengan menggunakan nama-nama tersebut.

Hakikat ini mencakupi doa ibadah atau pun doa ketika memohon sesuatu. (Badaai’ul Fawaa’id (1/164))

Ibnu Sa’di berkata ketika menjelaskan makna hadis Abu Hurairah terdahulu, “Makna al-ihshaa’ (menghitung/menghafal) adalah barangsiapa menghafalnya, memahami makna-maknanya, meyakininya dan beribadah kepada Allah dengannya, maka dia akan masuk ke dalam Syurga. Kerana, Syurga tidak akan dimasuki melainkan oleh orang-orang yang beriman. Al-ihshaa’ itu merupakan sumber dari perkara yang paling besar di dalam menghasilkan keimanan, kekuatan dan ketetapannya. Mengetahui Nama-Nama Allah yang indah adalah asas-asas di dalam keimanan di mana kualiti keimanan akan kembali (merujuk) kepadanya.” (at-Taudhiih wal Bayaan (hal. 26))

Barangsiapa mengenali Allah dengan pengenalan seperti ini, maka dia akan menjadi manusia yang paling kuat keimanannya, paling banyak ibadahnya dan paling banyak melakukan ketaatan, dan akan menjadi orang yang paling takut serta selalu merasa diawasi oleh Allah Ta’ala.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“... Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (orang yang berilmu) ...” (Surah Faathir, 35: 28)

Ibnu Jarir ath-Thabari rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini berkata, “Allah Ta’ala berfirman yang maknanya, “Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah sehingga dia menjaga diri dari siksa-Nya dengan taat kepada-Nya hanyalah para ulama. Mereka takut terhadap kekuasaan yang meliputi segala sesuatu yang dia kehendaki kerana Allah melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya. Orang yang mengetahui kekuasaan Allah, tentu akan meyakini adanya siksa Allah terhadap kemaksiatan yang dilakukan kepada-Nya sehingga orang tersebut benar-benar takut kepada-Nya jika Allah menyiksanya.” (Tafsir ath-Thabari (12/132))

Ibnu Katsir berkata, “Maknanya adalah Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah dengan sebenar-benar rasa takut adalah para ulama yang benar-benar mengenali-Nya, bahawa Dia Maha Agung, Maha Tahu, dan disifati dengan Sifat-Sifat kesempurnaan, dan disifati dengan Nama-Nama yang indah. Setiap kali pengenalan itu lebih mantap dan pengetahuannya lebih sempurna, maka rasa takut kepada-Nya pun akan lebih besar dan lebih banyak.” (Tafsiir Ibni Katsir (3/553))

Makna ungkapan ini telah disimpulkan oleh salah seorang ulama Salaf di dalam sebuah ungkapan yang ringkas. Beliau berkata, “sesiapa yang lebih mengenali Allah, maka dia akan lebih merasa takut kepada-Nya.” (ar-Risaalah al-Qusyairiyyah, karya Abul Qasim al-Qusyairi (hal. 141), dan yang mengatakannya adalah Abu ‘Abdillah Ahmad bin ‘Ashim al-Anthaki. Lihat biografinya dalam as-Siyar A’lam an-Nubala’ (11/409))

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, “Tidak ada keperluan (kebergantungan) rohani yang lebih besar daripada mengenali terhadap Tuhan-nya, Penciptanya, keperluan akan rasa cinta kepada-Nya, menyebut-Nya, merasa gembira dengan-Nya, meminta wasilah (perantara) kepada-Nya, dan kedekatan di sisi-Nya. Tiada jalan untuk mendapatkan semua keperluan ini melainkan dengan mengenali Sifat-Sifat-Nya, dan Nama-Nama-Nya. Setiap kali seseorang lebih mengetahui semua itu (Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah), maka dia akan lebih mengenal Allah, lebih memohon kepada-Nya dan lebih dekat. Dan setiap kali dia ingkar terhadap semua itu (Nama dan Sifat-Sifat Allah), maka dia akan lebih bodoh dengan tidak mengetahui Allah, ertinya dia pun akan lebih membenci-Nya dan lebih jauh dari-Nya. Seseorang hamba ditempatkan oleh Allah di sisi-Nya sebesar kadar ia mengingati Allah di dalam dirinya.” (al-Kafiyatusy Syaafiyah (hal. 3, 4))

Dengan mengenali Allah, ia dapat memperkuat rasa takut dan selalu diawasi, memperbesar harapan kepada-Nya, menambah keimanan seseorang hamba, dan dapat melahirkan ingin melaksanakan pelbagai jenis ibadah. Tidak ada jalan untuk meraih semua ini (mengenali Allah) melainkan dengan merenungi Kitabullaah dan juga dengan pengenalan yang Allah lakukan kepada para hamba-Nya melalui lisan-lisan para Rasul-Nya berupa Nama-Nama-Nya, Sifat-Sifat-Nya juga perbuatan-Nya. Demikian pula segala perkara yang dibersihkan dari-Nya berupa sesuatu yang tidak layak untuk-Nya Subhanahu wa Ta’ala, dan sebagaimana Dia mengatur hari-hari-Nya, juga perbuatan-Nya terhadap para kekasih-Nya dan musuh-musuh-Nya. Semua itu telah diceritakan kepada para hamba-Nya dengan persaksian dari-Nya supaya mereka menjadikannya sebagai dalil bahawa Dia adalah Tuhan mereka yang haq lagi jelas, yang tidak sepatutnya beribadah melainkan kepada-Nya. Dan agar mereka menjadikannya sebagai dalil bahawa sesungguhnya Dia Maha Kuasa ke atas segala sesuatu, Maha Tahu atas segala sesuatu, sangat pedih siksaan-Nya, Maha Pengampun, Maha Penyayang, Maha Agung, Maha Bijaksana, serta melakukan apa saja yang dikehendaki oleh-Nya. Dia-lah yang memberi rahmat dan pengetahuan-Nya mencakupi segala sesuatu. Segala perbuatan-Nya meliputi segala aspek hikmah, kasih sayang, keadilan juga kemaslahatan, tidak akan terkeluar darinya sedikit pun. Hasil ma’rifatullah (mengenali Allah) tidak akan diperolehi melainkan dengan mentadabburi (menghayati) firman-Nya dan merenungi kesan-kesan dari segala perbuatan-Nya.” (Lihat Miftaah Daaris Sa’aadah, karya Ibnul Qayyim (hal. 202))

Disunting bahasa dan perkataannya oleh:
Nawawi Subandi, dari sebuah buku berjudul “Duduklah Sejenak Bersama Kami...” Oleh penulis. Terjemahan asal dan terbitan oleh Pustaka Ibnu Katsir.

Sunday, December 28, 2008

091 - Takhrij Hadis “Di Mana Allah”

Takhrij Hadis “Di Mana Allah”

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/

عَنْ مُعَاوِيَةُ بْنُ حَكَمُ السُّلَمِي: وَكَانَتْ لِيْ جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِيْ قِبَلَ اُحُدٍ وَالْجُوَانِيَةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ، فَاِذَا بَالذِّئْبِ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَاَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ آدَمَ، اَسَفُ كَمَا يَاْسَفُوْنَ. لَكِنَّيْ صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَاَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ. قُلْتُ يَارَسُوْلَ اللهِ اَفَلاَ اَعْتِقُهَا؟ قَالَ : اِئْتِنِيْ بِهَا. فَقَالَ لَهَا: اَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِى السَّمَاءِ. قَالَ: مَنْ اَنَا؟ قَالَتْ: اَنْتَ رَسُوْلُ اللهِ. قَالَ: اَعْتِقُهَا فِاِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ

Daripada Muawiyah bin Hakam As-Sulami (radhiyallahu ‘anhu), beliau berkata: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya (peliharaannya). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam (keturunan adam) dari manusia kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka (memiliki rasa marah/tidak berpuas hati). Atas sebab itu (apabila kambingnya dimakan serigala) wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini”. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “Di mana Allah?” Dijawabnya: “Di langit”. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah”. Maka baginda bersabda: “Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah”.”

Hadis ini melalui dua jalan (jalur periwayatan) sebagaimana berikut:

1 – Jalur Imam Malik: Dari Hilal bin Ali Abu Maimunah, dari Atha’ bin Yasar, dari Mu’awiyah bin Hakam as-Sulami.

Boleh disemak di dalam:

- al-Muwaththa’, 2/722, no. 8. oleh Imam Malik.
- ar-Risalah, no. 242. oleh Imam asy-Syafi’i, tahqiq Syaikh Ahmad Syakir.
- Sunan al-Kubra, oleh an-Nasa’i, sebagaimana di dalam Tuhfatul Asyraf, 8/427. oleh al-Mizzi.
- ar-Radd ‘Alal Jahmiyyah, no. 62. oleh Imam ad-Darimi.
- Kitabut Tauhid, m/s. 132. oleh Ibnu Khuzaimah, tahqiq Syaikh Khalil Haras.
- Sunan al-Kubra, 10/98, no. 19984. oleh al-Baihaqi.
- at-Tamhid, 9/69-70. oleh Ibnu Abdil Barr.

2 – Jalur Yahya bin Abi Katsir: dari Hilal bin Ali bin Abi Maimunah, dari Atha’ bin Yasar, dari Mu’awiyah bin Hakam as-Sulami.

Boleh disemak di dalam:

- al-Musnad, 5/448. oleh Imam Ahmad.
- Juz al-Qira’ah, m/s. 70. oleh al-Bukhari.
- Sunan Abu Daud, no. 931, 3282. oleh Abu Daud.
- Sunan al-Kubra, oleh an-Nasa’i, sebagaimana di dalam Tuhfatul Asyraf, 8/427. oleh al-Mizzi.
- Kitabut Tauhid, m/s. 132. oleh Ibnu Khuzaimah, tahqiq Syaikh Khalil Haras.
- Syarhus Sunnah, 3/237-239, no. 726. oleh al-Baghawi.
- al-Mu’jam al-Kabir, 19/398, no. 938. oleh ath-Thabrani.
- Shahih Muslim, no. 537.
- dan banyak lagi...

Hadis ini telah disepakati kesahihannya oleh seluruh ulama kaum muslimin. Ini adalah sebagaimana sebahagian ulasan yang dibawakan di bawah:

1 – Imam al-Baihaqi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan oleh Muslim.” (al-Asma’ wa Shifat, m/s. 532-533, cet. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

2 – Imam al-Baghawi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan Muslim dari Abu Bakar bin Abi Syaibah dari Ismail bin Ibrahim dari Hajjaj.” (Syarhus Sunnah, 3/239, 9/247)

3 – Imam Ibnu Qudamah berkata: “Hadis ini sahih.” (Itsbat as-Shifat al-‘Uluw, m/s. 47)

4 – Imam adz-Dzahabi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, dan imam-imam yang lainnya di dalam kitab-kitab mereka dengan memperlakukannya sebagaimana datangnya tanpa ta’wil dan tahrif. (al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, 1/249, tahqiq Abdullah bin Soleh al-Barrok)

5 – al-Hafiz Ibnu Hajar al’Asqalani berkata: “Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh Muslim. (Fathul Bari, 13-359)

6 – Syaikh al-Albani berkata: “Hadis ini sahih dengan tanpa ada keraguan. Tidak ada yang meraguinya melainkan orang-orang yang jahil dan pendukung hawa nafsu.” (Mukhtashar al-‘Uluw, m/s. 82)

7 – Begitu juga Imam asy-Syafi’i yang telah jelas menggunakan hadis ini untuk berhujjah dan pegangan sebagaimana katanya:

“Dengan itu, Rasulullah memutuskan keimanan budak wanita (jariyah/hamba wanita) tersebut ketika ia mengakui bahawa Rabbnya di langit dan dia tahu tentang Rabbnya melalui sifat ‘uluw dan fauqiyah (di atas).” (al-Umm, asy-Syafi’i, 5/280. al-Manaqib, al-Baihaqi, 1/398)

Bahkan, ini hanyalah sedikit nukilan, hakikatnya begitu banyak lagi. Begitulah akan keabsahan hadis ini di sisi ahlus Sunnah wal jama’ah dari dahulu hingga kini.

Syubhat Ahlul Bid’ah Terhadap Hadis Ini:

Terdapat segolongan pihak yang menyatakan, “Hadis ini menimbulkan kesan yang membawa kepada penunjukkan Allah itu menetap di suatu tempat yang mana perkara ini adalah mustahil bagi-Nya dan mustahil pula diucapkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”

Jawabannya:

Apabila yang dimaksudkan “tempat” (makan) adalah yang tersirat di dalam benar fikiran mereka, iaitu setiap yang meliputi dan membatasi seperti langit, bumi, kursi, ‘Arsy, dan sebagaimnya, maka adalah benar perkara itu mustahil bagi Allah berdasarkan kesepakatan seluruh ulama Islam, kerana Allah tidak mungkin dibatasi dan diliputi oleh makhluk, bahkan Dia lebih besar dan Agung, bahkan kursi-Nya sahaja meliputi langit dan bumi. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang selayaknya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari Kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari sebarang apa yang mereka persekutukan.” (Surah az-Zumar, 39: 67)

Begitu juga di dalam Shahih al-Bukhari, no. 6519 dan Muslim, no. 7050, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Allah menggenggam bumi dan melipat langit dengan tangan kanan-Nya, kemudian berfirman: Aku adalah raja, manakan raja-raja bumi?”

Ada pun apabila yang dimaksudkan adalah “tempat” sebagai sesuatu yang tidak meliputi yakni di luar alam semesta, maka Allah di luar alam semesta sebagaimana keberadaan-Nya sebelum menciptakan makhluk. Jadi, Allah di tempat yang bermakna kedua ini bukanlah makna pertama. (Rujuk: Muqaddimah Mukhtashar al-‘Uluw, m/s. 70-71. oleh al-Albani)

Yang menjadikan persoalan ini sehingga memeningkan (rumit) sebenarnya adalah kerana mereka menggunakan ilmu Kalam (falsafah/pemikiran) iaitu yang telah diserapkan ke dalam persoalan ini, sehingga mereka mengatakan kepada penganutnya: “Tidak dibolehkan mengatakan: “Allah di atas langit.” Kenapa? Kerana Allah tidak memerlukan tempat dan Allah tidak bertempat.” Kita katakan: Benar, Allah tidak memerlukan kepada tempat, tetapi perlu diketahui bahawa seseorang Muslim ketika meyakini bahawa Allah di atas langit bukanlah bermakna seperti seseorang di dalam bilik (kamarnya)! Kenapa? Kerana ini adalah tasybih (penyerupaan Allah dengan makhluk), sekali-kali tidak! (Rujuk: Minhaj Ahli Sunnah wal Jama’ah fil ‘Aqidah wal Amal, m/s. 134. oleh Abu Abdillah an-Nu’mani, m/s. 134)

Wallahu a’lam.

Monday, December 22, 2008

090 - Ringkasan Kaedah-Kaedah Penting Dalam Memahami Asma’ wa Sifat Allah (Nama dan Sifat Allah)

Ringkasan Kaedah-Kaedah Penting Dalam Memahami Asma’ wa Sifat Allah (Nama-nama dan Sifat-sifat Allah)

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah pun menetapkan bagi diri-Nya nama-nama dan sifat-sifat yang menunjukkan dan sekaligus memberitahukan serta membuktikan betapa kesempurnaannya. Allah melaksanakan sesuatu dengan apa yang dikehendaki-Nya, sama ada mencipta, memberi petunjuk, memberikan pahala, atau seumpamanya yang layak bagi-Nya.

Namun, dalam menetapkan atau memahami nama-nama dan sifat-sifat yang dinisbatkan kepada Allah perlulah melalui disiplin dan kaedah yang betul. Ini adalah bagi mengelakkan penyelewengan dan salah faham yang telah banyak berlaku dari zaman berzaman.

Maka, atas beberapa sebab, penyusunan semula kaedah dan disiplin dalam memahami al-Asma’ wa as-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala secara ringkas diletakkan di sini. Kaedah dan disiplin tersebut adalah sebagaimana berikut.

1 - Kaedah Pertama: “Mengambil Zahir ayat/lafaz”

Wajib untuk menetapkan nash al-Qur’an dan as-sunnah pada zahirnya tanpa mengubahnya sedikit pun kerana Allah Ta’ala telah menurunkan al-Qur’an dengan bahasa Arab dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun juga berbicara dengan menggunakan bahawa Arab, maka kewajiban kita adalah meentapkan hukum yang ditunjukkan oleh Firman Allah dan Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdasarkan bahasa aslinya. Kerana perbuatan mengubah lafaz tertentu dari nama-nama Allah tanpa dalil, hukumnya adalah haram.

Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Katakanlah: “Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang nampak atau pun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”.” (Surah al-A’raaf, 7: 33)

Sebagai contoh adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya.” (Surah az-Zumar, 39: 67)

“... tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka. Dia menafkahkan sebagaimana yang Dia kehendaki.” (Surah al-Ma’idah, 5: 64)

Dari Zahir ayat tersebut kita dapati ia menyatakan bahawa Allah memiliki dua tangan yang sebenarnya. Maka, adalah wajib bagi kita menetapkan hakikat dua tangan bagi Allah Ta’ala.

Maka, lafaz tangan (yadun) perlu ditetapkan sebagai tangan. Tidak boleh ditukar atau diselewengkan dengan gantian maksud yang lain yang menyimpang dari makna zahir lafaz yang asal.

2 – Kaedah Kedua: “Semua Nama Allah Adalah Baik (Husna) Dan Tinggi”

Nama Allah itu semuanya baik (Husna) yang memiliki sifat kesempurnaan dan sama sekali tidak memiliki kekurangan atau cacat cela.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Hanya milik Allah asmaa’ul husna (nama-nama yang baik), maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa’ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya” (Surah al-A’raaf, 7: 180)

“... Dan Allah memiliki sifat yang Maha Tinggi.” (Surah an-Nahl, 16: 60)

Sebagai contoh:

Nama ar-Rahim, ar-Rahman, al-Ghafur, al-‘Aziz, dan al-Hakim.

3 – Kaedah Ketiga: “Setiap Nama Mengandungi Sifat”

Setiap nama yang ditetapkan bagi Allah Azza wa Jalla, maka ia mengandungi sifat, manakala sebaliknya penetapan bagi sifat tidak semestinya mengandungi (penetapan) untuk Nama. (Ibnul Qayyim, Badai’ al-Fawa’id, 1/162. Ibnu Utsaimin, al-Qowaidul Mutsla, m/s. 30)

4 - Kaedah Keempat: “Nama-nama Allah Tidak Dibatasi Dengan Bilangan Tertentu”

Berdasarkan sebuah hadis dari Doa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Daripada Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, “Ya Allah, aku meminta kepada-Mu dengan semua nama yang menjadi milik-Mu, yang Engkau namakan diri-Mu dengannya atau yang Engkau turunkan di dalam kitab-Mu atau Engkau ajarkan kepada salah seorang dari makhluk-Mu atau pun yang Engkau sembunyikan sebagai ilmu ghaib di sisi-Mu.” (Hadis riwayat Ahmad, al-Musnad, 1/394, 452. Disahihkan oleh Ibnul Qayyim, Syifa’ul ‘Alil, m/s. 274. Disahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir, Ta’liq al-Musnad, no. 3721)

5 – Kaedah Kelima: “Nama-nama Allah Ditetapkan dan Diketahui Melalui Dalil Syar’i, Bukan Dengan Akal”

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah: “Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang nampak atau pun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”.” (Surah al-A’raaf, 7: 33)

Tidak ada cara lain dalam menentukan nama atau sifat bagi Allah, melainkan Dia sendiri yang menentukannya dan megkhabarkannya melalui Kitab-Nya dan Sunnah Rasulu-Nya.

“Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.” (Surah al-An’am, 6: 155)

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Hai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk”.” (Surah al-A’raaf, 7: 158)

Imam asy-Syafi’i rahimahullah menjelaskan:

“Allah memiliki beberapa Nama dan Sifat yang tidak boleh bagi sesiapa pun yang telah ditegakkan hujjah kepadanya, lalu menolaknya. Sesiapa yang menolaknya setelah hujjah ditegakkan kepadanya, maka dia telah kafir. Ada pun sekiranya hujjah belum ditegakkan, maka dia dimaafkan disebabkan kejahilannya, kerana mengetahui perkara seperti ini tidak dapat dipelajari dengan akal, merenung, dan berfikir. Maka, wajib ditetapkan sifat-sifat ini dan wajib dihilangkan penyerupaan dengan makhluk, sebagaimana ayang dinyatakan sendiri oleh Allah di dalam firman-Nya:

“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia...” (Surah asy-Syura, 42: 11). (Ibnu Taimiyyah, ar-Risalah al-Madaniyyah, m/s. 121. Ibnul Qayyim, Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyyah, m/s. 59. al-Albani, Mukhtashar al-‘Uluw, m/s. 177)

Imam Ahmad rahimahullah berkata:

“Kita katakan sebagaimana yang Allah firmankan, dan kita mensifati-Nya sebagaimana Dia mensifati Diri-Nya sendiri dan tidak melebihinya. Sifat Allah tidak boleh dijangkau oleh sesiapa pun juga, kita beriman dengan semua yang terdapat dalam al-Qur’an sama ada yang muhkam (ayat yang jelas) atau pun yang mutasyabih (ayat yang samar), kita tidak akan pernah menghilangkan satu pun dari sifat-sifat-Nya hanya kerana sebuah celaan, kita tidak akan melampaui apa yang terdapat dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, kita tidak akan dapat mengetahui hakikat semua sifat Allah melainkan dengan keterangan yang sahih dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan ketetapan dari al-Qur’an.” (Ibnul Jauzi, Manaqib Imam Ahmad, m/s. 156. Ibnul Qayyim, ash-Shawaiq al-Mursalah, 1/265)

Imam Ibnu Qudamah rahimahullah berkata:

“Keseluruhan Sifat Allah yang telah disebutkan di dalam al-Qur’an atau hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sahih, maka wajib bagi kita untuk mengimaninya dan menerimanya dengan tanpa ta’thil (penolakan), tanpa ta’wil (menyelewengkan), tasybih (menyerupakan), dan tamtsil (menyamakan).” (Ibnu qudamah, Lum’atul I’tiqad al-Haadii ilaa Sabilir Rasyad, no. 2. Dengan syarah oleh Syaikh Muhammad al-Utsaimin, tahqiq/takhrij oleh Abu Muhammad Asyraf)

6 – Kaedah Keenam: “Semua Nama-nama Allah Menunjukkan Dzat Allah Dan Sifat Yang Dimilikinya”

Beriman dengan nama Allah sahaja tidak cukup sempurna melainkan dengan menetapkan nama tersebut kepada Allah. Sebagai contohnya, nama al-‘Azim (Yang Maha Agung), atau ar-Rahim (Yang Maha Penyayang), beriman dengan Nama ini sahaja belum lagi sempurna selagi mana ia tidak ditetapkan bagi Allah.

7 – Kaedah Ketujuh: “Sifat Allah Terbahagi Kepada Dua”

a. Sifat Tsubutiyyah:

Sifat yang telah Allah tetapkan secara langsung kepada diri-Nya. Iaitu seperti sifat hidup, mengetahui, dan berkuasa.

Sifat Tsubutiyyah ini terbahagi menjadi dua, iaitu Tsubutiyyah Dzatiyyah dan Tsubutiyyah fi’liyyah.

Sifat Tsubutiyyah Dzatiyyah adalah suatu sifat yang allah sentiasa bersifat dengannya, seperti mendengar dan melihat.

Manakala sifat Tsubutiyyah fi’liyyah adalah sifat yang berkaitan dengan kehendak Allah. Dia melakukannya atau tidak melakukannya bergantung kepada kehendak-Nya. Ini adalah seperti sifat istiwa’ (bersemayam), dan sifat al-Marji’ (datang).

b. Sifat Salbiyyah

Sifat yang Allah nafikan dari diri-Nya. Iaitu seperti sifat tidur dan sifat zalim. Maka, wajib bagi kita menafikan sifat tersebut daripada Allah dan wajib mengimani yang sebaliknya (yang berlawanan) dari sifat tersebut.

Sebagai contoh, Allah menafikan sifat zalim dari diri-Nya:

“... dan Rabb-mu tidak menzalimi seorang pun.” (Surah al-Kahfi, 18: 49)

Menafikan sifat mengantuk dan tidur:

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah dengan benar) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur.” (Surah al-Baqarah, 2: 255)

8 – Kaedah Kelapan: “Sifat Allah Tidak Sama (Tidak Boleh Disetarakan) Dengan Sifat Makhluk”

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat.” (Surah asy-Syura, 42: 11)

“... dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia” (Surah al-Ikhlas, 112: 4)

Maka, wajib kita menjauhi:

1 - Tamsil, iaitu menyerupakan. Di mana kita dilarangkan menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk. Sebagai contohnya, kita dilarang menyerupakan atau menyebutkan, “Tangan Allah itu seperti tangan manusia.”

2 – Takyif, iaitu mepersoalkan dan mem-bagaimanakan. Termasuk dalam kategori ini adalah dengan mengkhayalkannya atau membayangkannya (berimaginasi).

3 – Tasybih, iaitu menyerupakan Allah dengan makhluk.

Ishaq bin Rahawih mengatakan, “Tasybih (penyurupaan) hanya terjadi ketika seseorang mengatakan, “Tangan seperti tanganku, pendengaran seperti pendengaranku”. Inilah (yang dinamakan) penyerupaan. Ada pun jika seseorang mengatakan seperti firman Allah, “Tangan, pendengaran, dan penglihatan”, kemudian tidak menyatakan “bagaimana” dan “seperti”, tidak termasuk penyerupaan (tasybih).

Seandainya penetapan sifat “tinggi” bagi Allah Ta’ala bererti penyerupaan (tasybih), maka setiap orang yang menetapkan sifat-sifat lain bagi Allah seperti Dia hidup, berkuasa, mendengar, dan melihat, termasuk golongan yang menyerupakan juga. Hal seperti ini tidak mungkin dikatakan oleh seseorang muslim yang menisbatkan dirinya kepada Ahlu Sunnah wal Jama’ah. Berbeza dengan orang-orang yang menafikan (meniadakan) sifat-sifat, seperti golongan Muktazilah dan lain-lainnya.” (al-Albani, Mukhtashar al-‘Uluw li ‘Aliyyil Ghaffar, m/s. 69-70)

4 – Ta’thil, iaitu menolak, menghilangkan, mengingkari, atau menafikan sifat-sifat Allah sama ada sebahagian darinya atau keseluruhan sifat-sifat yang telah Allah sendiri tetapkan bagi-Nya.

5 – Tahrif atau ta’wil, iaitu mengubah atau menyelewengkan lafaz atau makna sebenar dari sifat-sifat Allah yang telah Dia tetapkan bagi Diri-Nya.

6 – Tafwid, iaitu menyerahkan lafaz yang menunjukkan sifat atau nama Allah tanpa mahu menetapkan bahawa lafaz tersebut mengandungi maknanya yang dinisbatkan kepada Allah. (Rujuk perbahasan di bawah)

Oleh itu, kita menetapkan sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Tanpa melakukan penyelewengan sebagaimana yang dijelaskan.

Allah berfirman:

“... ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmu-Nya” (Surah Thaha, 20: 110)

9 - Kaedah Kesembilan: “Mendiamkan Apa Yang Tidak Disebutkan Oleh Allah”

Hendaklah kita berhenti dari menyebutkan apa yang tidak disebutkan/ditetapkan oleh Allah. Hendaklah kita menetapkan sebagaimana yang ditetapkan. Dan menafikan sebagaimana yang dinafikan.

“...dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 255)

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan bertanggungjawab dengannya.” (Surah al-Isra’, 17: 36)

Sifat-sifat Allah Azza wa Jalla adalah Tauqifiyyah (baku), maka tidak ada yang wajib ditetapkan melainkan apa yang telah Dia sendiri tetapkan, atau ditetapkan melalui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan tidak pula ditiadakan (dinafikan) melainkan apa yang ditiadakan oleh Allah bagi diri-Nya atau ditiadakan oleh Rasulullah Shallallahu Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 5/26)

10 – Kaedah Kesepuluh: “Tidak Diketahui Kaifiyahnya (bagaimananya)”

Makna sifat-sifat Allah Azza wa Jalla yang ditetapkan berdasarkan al-Qur’an dan as-Sunnah dapat diketahui dan difahami maknanya, tiada majaz atau kiasan sama sekali di dalamnya. Manakala cara-caranya (kaifiyahnya) tidak diketahui (abstrak). (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 2/36. Rujuk juga: Ibnu Utsaimin, al-Qowa’idul Mutsla, m/s. 105)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an dengan bahasa Arab supaya kamu boleh memahaminya.” (Surah az-Zukhruf, 43: 3)

11 – Kaedah Kesebelas: “Sifat-sifat Allah tidak boleh Diqiyaskan Dengan Sifat-Sifat Yang Lain”

Hendaklah kita berhenti dari menyebutkan apa yang tidak disebutkan/ditetapkan oleh Allah. Hendaklah kita menetapkan sebagaimana yang ditetapkan. Dan menafikan sebagaimana yang dinafikan.

“...dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 255)

Memahami at-Tafwidh Dari Kaca Mata Ahlus Sunnah

Kalimah al-Tafwidh dari sudut bahasa membawa pengertian “menyerahkan”. Ada pun dari sudut syari’at, istilah at-Tafwidh telah mengalami perubahan maksud di antara generasi salaf dan khalaf. Generasi salaf, iaitu generasi awal umat Islam, memahami at-Tafwidh sebagai menyerahkan kaifiyat (persoalan bagaimana) sesuatu Sifat yang dinisbatkan kepada Allah manakala makna Sifat tersebut difahami sekadar apa yang dimaklumi melalui bahasa arab. Manakala generasi khlaf, iaitu generasi umat Islam yang terkemudian (yang meninggalkan prinsip salaf), mereka memahaminya sebagai menyerahkan makna dan kaifiyat sekaligus sesuatu Sifat itu kepada Allah. Iaitu mereka hanya mengimani lafaz yang didatangkan tanpa mahu menerima makna (maksud) lafaz yang dibawa.

Pemahaman yang dibina oleh generasi yang terkemudian ini amat jelas bertentangan dengan prinsip yang dipegang oleh para salaf. Ini adalah kerana jika diserahkan makna dan kaifiyat Sifat Allah, maka Sifat-sifat tersebut hanya tinggal lafaz sehingga tidak lagi memiliki sebarang pengertian dan manfaat kepada umat. Dalam erti kata yang lain, seolah-olah istilah tersebut adalah kosong tanpa apa pun erti dan manfaat. Jika demikian, apa faedahnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan Sifat-sifat-Mya di dalam al-Qur’an dan melalui perkataan Rasul-Nya? Sedangkan Allah berfirman:

“(al-Qur’an ini) adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil pelajaran.” (Surah Shaad, 38: 29)

Allah juga menjelaskan bahawa dengan nama-nama Allah-lah supaya kita berdoa meminta kepada-Nya. Ini jelas dapat dilihat dari firman-Nya:

“Hanya milik Allah asmaa’ul husna (nama-nama yang baik), maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa’ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya” (Surah al-A’raaf, 7: 180)

Sekiranya kita tidak dapat memahami maksud nama-nama dan sifat-sifat Allah tersebut, bagaimana kita hendak berdoa dengannya?

Sedangkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri berdoa:

“Aku memohon kepada-Mu lazatnya melihat kepada Wajah-Mu yang Maha Mulia, dan kerinduan untuk bertemu dengan-Mu.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Ashim dalam as-Sunnah, 1/185. al-Hakim, 1/524, dengan katanya sanadnya sahih, juga disepakati oleh adz-Dzahabi. Juga turut disahihkan oleh al-Albani, Shahih al-Jami’ as-Shaghir, 1/279, no. 1310)

Seseorang tidak akan dapat beribadah kepada Allah secara sempurna dan dengan keyakinan yang benar sebelum mengetahui nama dan sifat Allah. (Ibnu Utsaimin, al-Qowaidul Mutsla, m/s. 26)

Sebagai contoh, kita boleh berdoa memohon keampunan dengan menggunakan Nama-Nya yang Maha Pengampun (al-Ghafur), berdoa memohon dikasihani dengan menggunakan Nama-Nya yang Maha Mengasihani (ar-Rahim), berdoa memohon perlindungan dengan menggunakan Nama-Nya yang Maha Melindungi (al-Hafidz). Selain dari itu, kita juga melakukan perbuatan ibadah kerana meyakini maksud di sebalik Nama-nama-Nya dan setelah mengetahui sifat-sifat-Nya. Ini adalah seperti kita bertaubat, kerana kita meyakini bahawa Allah adalah Maha Menerima Taubat (at-Tawwab), maka dengan-Nya kita bertaubat. Begitu juga kita sentiasa berbuat kebaikan dan takut melakukan keburukan, kerana kita tahu bahawa Allah Maha mengetahui, Maha melihat, Maha Meneliti.

Menurut Syaikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin rahimahullah:

“Tadabbur (memperhatikan ayat-ayat Allah) hanya dapat dilakukan terhadap perkara-perkara yang dapat difahami sehingga manusia dapat mengambil pelajaran dari apa yang telah difahaminya. Oleh kerana itu, al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab, sehingga orang-orang yang faham bahasa arab akan dapat mengetahuinya. Perkara ini menunjukkan makna-makna yang terdapat dalam al-Qur’an dapat difahami (termasuklah ayat-ayat berkenaan sifat-sifat Allah). Jika tidak, sudah tentu tiada perbezaannya diturunkan dalam bahasa arab atau bahasa lainnya. Demikian pula penjelasan Nabi terhadap al-Qur’an meliputi penjelasan lafaz dan maknanya.” (Ibnu Utsaimin, al-Qowaidul Mutsla, m/s. 105-106)

Beliau menjelaskan lagi:

Secara akal (logik), mustahil Allah menurunkan satu kitab atau Rasulullah menyampaikan satu perkataan yang ditujukan untuk menjadi petunjuk bagi umat manusia, lalu tidak menjelaskan permasalahan penting dalam kitab tersebut sehingga tidak dapat diketahui maknanya ibarat huruf abjad yang tidak dapat difahami sedikit pun. Perkara ini jelas termasuk perkara yang bertentangan dengan hikmahnya Allah Ta’ala. Kerana Allah telah berfirman:

““Alif Lam Ra”. (Inilah) kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu.” (Surah Hud, 11: 1)

Semua dalil wahyu dan akal ini menunjukkan bahawa kita boleh berupaya memahami makna nas-nas sifat allah dan menunjukkan ketidaktahuan kita akan bentuk hakikat sifat-sifat tersebut.

Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah kebatilan mazhab Mufawwidhah yang memasrahkan (menyerahkan) sepenuhnya kepada Allah pengertian makna nash-nash sifat dan mengaku-ngaku bahawa pemahaman seperti itu termasuk mazhab salaf. Padahal Salaf berlepas diri dari pemahaman mazhab seperti itu!!! Ini adalah kerana makna nash-nash tentang sifat Allah secara mutawatir telah dikemukakan oleh para ulama Salaf. Pernyataan tersebut terkadang secara mujmal (umum/global) dan terkadang secara terperinci. Dan mereka memasrahkan kaifiyah (bentuk hakikatnya) kepada Allah Ta’ala.” (Ibnu Utsaimin, al-Qowaidul Mutsla, m/s. 106-107)

089 - Pertikaian Kalimah al-Jihah (arah) Dalam Persoalan al-Asma’ wa as-Sifat Allah

Pertikaian Kalimah al-Jihah (arah) Dalam Persoalan al-Asma’ wa as-Sifat Allah (الجهة)

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Ibnu Taimiyah rahimahullah menjelaskan di dalam kitab-Nya, at-Tadmuriyyah, m/s. 45: “... Sebagaimana yang diketahui, tidak ada nash yang menetapkan atau menafikan kata jihah (arah) seperti yang ada pada penetapan sifat tinggi, beristiwa’ (bersemayam), di atas, naik ke atas dan selainnya. Kemudian, sebagaimana yang diketahui, sesuatu yang ada hanya ada dua macam: Sang Pencipta dan yang diciptakan (makhluk). Sang Pencipta tentunya berbeza dengan makhluk. Ertinya, tidak ada sedikit pun dari dzat-Nya yang terdapat dalam diri makhluk-Nya. Demikian pula sebaliknya.

Katakan kepada orang-orang yang menafikannya, “Adakah yang anda maksudkan dengan “arah” adalah sesuatu yang ada dan diciptakan? Jika memang demikian, maka Allah tidak termasuk yang diciptakan. Atau, yang engkau maksudkan dengan “arah” adalah apa yang ada di sebalik alam. Padahal tidak diragukan lagi bahawa Allah di atas alam.”

Begitu pula, katakan kepada orang yang mengatakan bahawa Allah berada dalam “arah”, “Adakah yang anda maksudkan adalah Allah berada di atas alam atau yang Anda maksudkan adalah Allah berada dalam diri setiap makhluk. Jika kemungkinan pertama yang anda maksudkan, maka hal tersebut adalah yang benar. Sedangkan jika kemungkinan kedua yang anda maksudkan, maka hal tersebut tidak benar.

Dari sini, jelaslah bahawa kata (jihah) tidak terdapat dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh kerananya tidak seharusnya ditetapkan atau ditiadakan. Sebab, dalam penetapan dan peniadaan tersebut terdapat bahaya seperti yang disebutkan sebelum ini. Jika saja dalam penetapan sifat tersebut tidak menimbulkan ruang bagi para penentang untuk menisbatkannya kepada sifat “al-‘Uluw”, mungkin hal tersebut dapat dipertimbangkan (ditolak ansur).

Begitu juga, tidak selayaknya meniadakan (jihah) dengan dasar bahawa penetapan sifat tinggi (al-‘Uluw) bagi Allah pasti berimplikasi kepada penetapan arah bagi Allah. Sebab, dalam kepastian di sini, terdapat banyak bahaya menetapkan sifat tinggi bagi Allah. Selain itu, bahaya yang timbul adalah dinafikannya orang-orang beriman memandang Allah pada hari Kiamat. Termasuk yang secara tegas menafikan hal tersebut adalah golongan Muktazilah dan Syi’ah. Seorang tokoh (Syi’ah) bernama Ibnul Muthahhir asy-Syi’i dalam kitab Manahij memberikan argumen terhadap penafian tersebut. Dia berkata, “... kerana Dia tidak dalam arah”. ...

.... Ringkasnya, “arah” adalah suatu perkara yang konkrit selain Allah, atau makhluk. Sedangkan Allah di atas makhluk-Nya tidak dibatasi atau dilingkupi oleh suatu apa pun dari makhluk-Nya, sebab Dia berbeza dari makhluk-makhluk-Nya. Jika yang dimaksudkan dengan “arah” adalah suatu perkara yang abstrak dan berada di atas alam, maka ketahuilah hanya Allah yang ada di sana.

Makna terakhir inilah yang dimaksudkan oleh pernyataan orang-orang yang menetapkan sifat Tinggi, dan orang-orang yang menukil (mengutip) dari ulama salaf tentang penetapan “arah” bagi Allah, sebagaimana dalam kutipan Imam al-Qurthubi dari para ulama salaf.

Ibnu Rusyd alam kitabnya al-Kasyfu Manaahil Adillah menyatakan pendapatnya tentang “arah”, “Ada pun tentang sifat ini, ahli syari’ah sejak semula telah menetapkannya bagi Allah, sehingga dinafikan oleh golongan Muktazilah. Kemudian, penafian tersebut diikuti pul oleh golongan terkini dari Asy’ariyyah, seperti Abul Ma’ali dan orang-orang yang mengikutinya. Padahal secara zahir, semua dalil-dalil syar’i mengindikasikan (menunjukkan) penetapan “arah”, seperti firman Allah... (Kemudian beliau menuturkan beberapa ayat-ayat yang terkenal). Lalu melanjutkan, ...” hingga ayat-ayat lain yang jika ditakwilkan, maka seluruh syari’at akan mengalami penakwilan. Begitu pula jika dikatakan bahawa ayat-ayat tersebut dinyatakan sebagai ayat-ayat mutasyabihat (yang mengandung lebih dari satu makna), maka seluruh syari’at akan menjadi mutasyabihat (mengandungi lebih dari satu makna). Ini adalah kerana semuanya sepakat menyatakan bahawa Allah di langit, dan dari langit itu malaikat turun membawa wahyu untuk disampaikan kepada pra nabi...””

Penjelasan ini dipetik dari:

Syaik al-Albani, Mukhtashar al-‘Uluw li ‘Aliyyil Ghaffar, m/s. 71-70.