__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Saturday, March 29, 2008

050 - Orang Yang Beriman Dari Masyarakat Generasi Awal Amat Takut Jika amal-Amal Mereka Terbatal

Orang Yang Beriman Dari Masyarakat Generasi Awal Amat Takut Jika amal-Amal Mereka Terbatal

Ketahuilah saudaraku seiman (mudah-mudahan Allah menerangi hatimu dengan petunjuk) sesungguhnya pahala yang besar dan kebaikan yang luas yang Allah janjikan kepada hamba-hamba-Nya hanya dapat dicapai oleh orang yang melakukannya (melaksanakan) dengan penuh keimanan dan mengharap pahala.

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata: “Setiap amalan itu pasti mempunyai permulaan dan tujuan akhir. Suatu amalan tidak akan menjadi ketaatan sehinggalah ia diletakkan atas dasar keimanan, maka keimanan adalah pembangkitnya, bukan adat, bukan hawa nafsu, bukan pula kerana mencari pujian dan kedudukan, dan seumpamanya. Tetapi, permulaannya haruslah berpaksikan dari iman dan tujuan akhirnya adalah pahala Allah Ta’ala, serta mengharapkan keredhaan-Nya, iaitu al-ibtisab (mengharap pahala).

Oleh kerana itu, dua perkara tersebut seringkali dirangkaumkan bersama, sebagaimana dalam sabda Nabi s.a.w.:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ibtisab (mengharap pahala)... ...Barangsiapa yang bangun pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan ihtisab... (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2014 dan Muslim, no. 760 dari Abu Hurairah r.a.) (dan yang seumpamanya). (Risaalah Tabuukiyah, hal. 45-46, tahqiq oleh Sheikh Salim Eid al-Hilali)

Hati para hamba berada di antara dua jari ar-Rahmaan, Dia membolak-balikkannya sesuai dengan kehendak-Nya. Ya Allah, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu. Terkadang, seseorang dihampiri aral yang merintangi dari maksudnya yang ikhlas, maka ia terhalang dari pahala yang dijanjikan tanpa ia sedari, kerana pahala itu hanya diberikan atas amalan yang ikhlas saja.

Orang yang memperhatikan sirah (peri-kehidupan/contoh tauladan) para golongan Salafush Soleh dari perkataan dan perbuatan mereka, dia akan melihat bahawa mereka berada dalam rasa takut (khauf) dan sangat berharap (raja’).

Rabb seluruh makhluk, Allah ‘Azza wa Jalla, berfirman mensifati sebaik-baik makhluk (Muhammad s.a.w.):

“Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati karena takut akan (azab) Tuhan mereka, Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun), Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (karena mereka tahu bahwa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka...” (al-Mukminun, 23: 57-60)

Dari ‘Aisyah r.anha, dia berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah tentang ayat ini, “Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut...”. Aisyah r.anha berkata: “Apakah mereka orang-orang yang minum arak dan mencuri?” Beliau menjawab: “Tidak wahai puteri ash-Shiddiq, tapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, melaksanakan solat, dan bersedeqah, sedangkan mereka merasa takut amalan-amalan itu tidak diterima. Mereka itu adalah orang yang bersegera dalam kebaikan.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, no. 3175. Sanadnya Sahih menurut al-Hakim (3/393-394) dengan dipersetujui oleh az-Zahabi. Dihasankan oleh Sheikh Salim eid al-Hilali)

Allah menyebutkan kaum mukminin yang bersegera dalam kebaikan dengan sifat yang paling baik, walaupun mereka telah melaksanakan ibadah dengan sebaik-baiknya, tapi mereka sentiasa merasa takut amalan mereka tidak diterima.

Rahsianya bukan kerana khuwatir Allah tidak memberikan pahala kepada mereka, sekali-kali tidak!! Tapi Kerana Allah tidak akan pernah mengingkari janji-Nya.

“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, maka Allah akan memberikan kepada mereka dengan sempurna pahala amalan-amalan mereka; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (Ali Imran 3: 57)

Bahkan, Allah menambahkan untuk mereka kurnia, kebaikan dan nikmat-Nya:

“agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” (Fathir 35: 30)

Tetapi, kerana mereka merasa takut belum melaksanakan (amalan-amalan)nya selaras dengan syarat-syarat ibadah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka mereka tidak bboleh memastikan bahawa mereka telah melaksanakannya bertepatan dengan keinginan Allah, tetapi mereka mengira telah melakukan kekurangan dalam hal tersebut. Oleh kerana itu mereka merasa takut amalan mereka tidak diterima, maka mereka pun berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan amalan soleh. Maka, hendaklah seseorang hamba memperhatikan hal ini, mudah-mudahan dengannya dapat menambah semangat/motivasi untuk memperbaiki ibadah dan meluruskan amalan dengan cara yang ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. dan mengikuti Rasulullah s.a.w.

Para Sahabat Rasulullah s.a.w. merasa khuwatir amalan-amalan mereka batal tanpa disedari, hal ini termasuk sebahagian dari kesempurnaan iman mereka. Firman Allah Ta’ala:

“... Tidaklah yang merasa aman dan azab Allah, kecuali orang-orang yang merugi.” (al-A’raaf 7: 99)

‘Abdullah bin ‘Ubaidillah bin Abi Mulaikah, seorang yang tsiqah lagi faqih berkata:

“Aku mendapati 30 orang Sahabat Nabi s.a.w., semuanya merasa takut kemunafikan menimpa diri mereka, tidak ada seorang pun dari mereka berkata bahawa imannya seperti keimanan Malaikat Jibril dan Mika’il”. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab Sahihnya secara mu’allaq (tanpa sanad), 1/1O9, Fathul Bari, dan disambung sanadnya oleh abu Zur’ah ar-Razi dalam Taariikh Dimasyqi, 1367, secara ringkas)

al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata dalam Fathul Baari (1/110-111): “Para Sahabat yang didapati oleh Ibnu Abi Mulaikah yang paling utama adalah ‘Aisyah, saudaranya iaitu Asma’, Ummu Salamah, ‘Abdullah bin ‘Umar, ‘Abdullah bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin Mas’ud dan ‘Abdullah bin az-Zubair r.’anhum, Abu Hurairah, ‘Uqbah bin al-Harits dan al-Musawwar bin Makhramah, mereka adalah para Sahabat yang ia dengar hadisnya. Ia juga mendapati Sahabat lain yang lebih utama dari mereka, seperti ‘Ali bin Abi Thalib dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.’anhum. Ia memastikan bahawa mereka merasa takut (munculnya kemunafikan dalam amalan-amalan mereka. Dan tidak ada nukilan dari selain mereka yang menyalahi hal itu, seakan-akan ini adalah ijma’. Yang demikian itu kerana seorang mukmin terkadang ditimpa rintangan yang mengotori amalnya, sehingga menjadikannya tidak ikhlas, namun rasa takut mereka tidak mengandungi kesan terhadap jatuhnya mereka ke dalam perbuatan tersebut, tapi hanya menunjukkan kelebihan mereka dalam contoh hal kewara’kan dan ketakwaan r.’anhum.

Sungguh benar apa yang dikatakan oleh al-Hafiz tadi, generasi Rabbani itu telah berjuang melawan hawa nafsunya kerana Allah, sehingga mereka pun dekat kepada Allah berlipat-lipat kali dari amalan orang selain mereka.

Mereka (para shiddiqin) selalu melihat kepada hak Allah yang wajib mereka tunaikan, maka Allah pun memberikan (kenikmatan) berupa rasa penyesalan terhadap diri mereka (kerana mereka merasa belum dapat memenuhi hak-hak Allah dengan sempurna), mereka mengetahui bahawa keselamatan hanya dapat dicapai dengan ampunan Allah dan rahmat-Nya. Kerana hak Allah adalah untuk ditaati dan bukan dimaksiati, untuk diingat dan tidak dilupakan serta untuk disyukuri dan tidak dikufuri.

Maka, barangsiapa yang selalu melihat hak Penciptanya yang wajib dilakukannya, ia akan tahu secara yakin bahawa ia belum dapat melaksanakannya sebagaimana sewajarnya. Tidak ada yang dapat menyelamatkannya kecuali ampunan-Nya, ia merasa akan celaka bila hanya bersandar kepada amalannya saja.

Inilah tempat melihatnya orang-orang yang ikhlas demi Allah semata, dan inilah yang mewariskan rasa putus asa kepada dirinya, ia hanya menggantungkan seluruh pengharapannya kepada ampunan Allah dan rahmat-Nya.

Akan tetapi sungguh sangat disayangkan, jika seorang yang bijaksana memperhatikan keadaan manusia di zaman ini ia mendapati kenyataan yang berlawanan dengan hal tersebut, mereka hanya menuntut hak mereka kepada Allah dan tidak mahu memenuhi hak Allah atas mereka. Dan situlah, mereka telah terputus dari Allah, hati mereka telah tertutup untuk mengenal, mencintai, merasakan kerinduan untuk bertemu dengan-Nya dan bersyukur terhadap nikmat-Nya. Ini adalah puncak kebodohan manusia terhadap Allah dan terhadap dirinya.

Ketahuilah (mudah-mudahan Allah merahmatimu) bahawa modal utama perdagangan yang tidak akan merugi adalah seorang hamba yang sentiasa melihat kepada hak Allah, kemudian melihat, apakah ia telah melaksanakannya dengan benar, kerana hal itu akan membawa seorang hamba kepada kedudukan para shiddiqin yang Rabbani yang menundukkan hatinya di hadapan Rabb-nya, ketundukan yang di dalamnya terdapat kemuliaan, yang merasa faqir kepada Allah, kefaqiran yang di dalamnya terdapat kekayaan.

Ya Allah, inilah hati kami di hadapan-Mu, amalan kami tak pernah tersembunyi dari-Mu, maka tetapkanlah (ya Allah) hati kami di atas jalan-Mu yang lurus, iaitu jalannya orang-orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka dari para Nabi, para shiddiq, para syahid dan orang-orang yang soleh, merekalah sebaik-baik teman...

Oleh: Sheikh Salilm ‘Eid al-Hilali, dari kitabnya:

مبطلات الأعمال في ضوءالقران الكريم والسنة الصحيحة المطهرة
Edisi Terjemahan oleh Pustaka Imam asy-Syafi’i dengan Judul “Penyebab Rosaknya Amal Menurut al-Qur’an & Sunnah Yang Shahih”

Thursday, March 20, 2008

049 - ALLAH ISTIWA’ (BERSEMAYAM) DI ATAS ‘ARSY

ALLAH ISTIWA’ (BERSEMAYAM) DI ATAS ‘ARSY

BENARKAH ALLAH TIDAK BERTEMPAT

Rujuk juga Artikel sebelumnya di sini:

Manusia telah dicipta oleh Allah dengan sebaik-baik ciptaan. Oleh itu, mereka wajib untuk mengenal dan mengetahui di mana Allah. Pengetahuan ini akan membuat seseorang itu menghadapkan dirinya, hatinya, doanya, sembahyangnya dan seluruh ibadahnya kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan sebenar-benarnya.

Orang-orang yang tidak tahu di mana Tuhan mereka berada akan tersesat atau kesasaran kerana mereka tidak tahu ke mana sewajarnya mereka menghadapkan segala permohonan, penyerahan atau penumpuan ibadahnya.

Terdapat banyak keterangan yang berpandukan kepada khabar dari langit yang dipersetujui oleh para ulama Salaf as-Soleh tanpa khilaf bahawa wahyu itu turun dari langit, ini menunjukkan bahawa yang pemberi wahyu itu (Allah) "bertempat", iaitu Dia berada di langit dan bersemayam di atas 'Arasy-Nya.

Selain dari ayat-ayat al-Quran di atas yang telah menjelaskan hakikat sebenarnya di mana Allah, maka dalam hadith-hadith sahih terdapat banyak keterangan yang menunjukkan bahawa Allah itu di langit. Sebahagian besar ahli bid'ah, oleh kerana tidak memahami dengan baik dan dengan hasrat tidak mahu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya lantaran kejahilan mereka, lantas memutuskan dengan akal fikiran dan hawa nafsunya bahawa Allah tidak bertempat, kerana menurut mereka kalaulah Allah bertempat pasti Ia menyerupai makhluk-Nya. Semua pendapat atau kepercayaan yang sebegini adalah mungkar, batil dan menyeleweng, ia jelas amat bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadith-hadith yang sahih yang menjelaskan bahawa Allah itu di langit. Antara hadith-hadith yang dimaksudkan ialah:


قَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : رَبُّنَا الَّذِيْ فِى السَّمَآءِ تَقَدَّسَ اسْمُكَ اَمْرُكَ فِى السَّمَاءِ وَالاَرْضِ كَمَا رَحْمَتُكَ فِى السَّمَاءِ اِجْعَلْ رَحْمَتَكَ فِى اْلاَرْضِ اِغْفِرْلَنَا حُوْبَنَا وَخَطَايَانَا اَنْتَ رَبُّ الطَّيِّبِيْنَ اَنْزِلْ رَحْمَةً مِنْ رَحْمَتِكَ وَشِفَاءً مِنْ شِفَاءِكَ عَلَى الْوَجَعِ

"Ya Tuhan kami! Tuhan yang di langit, Engkau mensucikan nama-Mu (juga) urusan-Mu yang di langit dan di bumi. Sebagaimana halnya rahmat-Mu di langit itu, maka jadikanlah pula rahmat-Mu itu di bumi. Ampunilah dosa-dosa dan kesalahan kami. Turunkanlah suatu rahmat dari antara rahmat-Mu dan suatu kesembuhan dari kesembuhan yang datang dari-Mu atas penyakit ini, hingga benar-benar sembuh". (H/R Abu Daud, No. 2892. Ahmad, 6/21. (Hadith hasan))


عَنِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِـيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَـلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اَلْعَـرْشُ فَـوْقَ الْمَاءِ وَاللهُ فَوْقَ الْعَرْشِ لاَ يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ مِنْ اَعْمَالِكُمْ. وَفِى الرِّوَايَةِ: وَهُوَ يَعْلَمُ مَا اَنْتُمْ عَلَيْهِ

"Dari Ibn Mas'oud radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: 'Arasy itu berada di atas air dan Allah berada di atas 'Arasy. Tidak satupun dari amal kamu yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya. Dan pada riwayat yang lain: Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan". (H/R Abu Daud, Abdullah bin Ahmad, Thabrani dan Baihaqi (Hadith hasan, sanadnya sahih))


اَلاَ تَامِنُوْنِيْ وَاَنَا اَمِيْنٌ مَنْ فِى السَّمَآءِ

"Tidakkah kamu mahu percaya kepada aku sedangkan aku dipercayai oleh Yang di langit (Allah)". (H/R Bukhari, No. 4351)

Pengertian ayat (فِى السَّمَآءِ) "Di langit" pada ayat ini ialah (عَلَى السَّمَآءِ) "Di atas langit" sebagaimana yang dapat difahami dari hadith Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam:


اِنَّ اللهَ كَتَبَ كِتَابًا فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ

"Sesungguhnya Allah menulis segala ketentuan yang berada di sisi-Nya di atas 'Arasy". (H/R Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas semaksud malah diperkuat oleh firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:


اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

"Iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas 'Arasy". (Surah Thaha, 20: 5)

Di ayat yang lain Allah berfirman:


ثُمَّ اسْتَوَى اِلَى السَّمَآءِ

"Dan Dia berkehendak menuju langit". (Surah al-Baqarah, 2: 29)

Ayat ini jelas menerangkan bahawa Allah di atas langit yang menunjukkan ketinggian-Nya. Menurut al-Baghawi dalam tafsirnya yang dinukil dari qaul Ibn Abbas dan ramai lagi para mufassir salaf, bahawa apabila memperkatakan tentang perkara tersebut (di mana Allah) mereka hanya berpegang pada lahir lafaz "Istawa" (استوى) iaitu menyerahkan kepada ilmu Allah bagaimananya ketinggian Allah 'Azza wa-Jalla. (Lihat: القواعد الْمُثْلَى فى صفات الله واسكائه الحسنى Hlm. 58. al-Uthaimin)

ALLAH BERSEMAYAM DI ATAS ‘ARASYNYA

Penta'wilan (penafsiran) mengikut akal atau hawa nafsu terhadap sifat-sifat Allah yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, merupakan sebahagian dari punca kekeliruan dan kesilapan yang boleh membawa kepada kesesatan. Misalnya, menta'wil kalimah istiwa kepada istaula (menguasai) akan membawa kepada mengingkari satu sifat dari sifat-sifat Allah yang tinggi dan luhur.

Para ulama Salaf as-Soleh tiada berkhilaf (berselisih) tentang kufurnya sesiapa yang mengingkari bahawa Allah beristiwa (bersemayam) di atas 'Arasy-Nya. Seseorang yang mengingkari istiwa bermakna dia telah mengingkari isi ayat (al-Quran) di atas dan beberapa hadith yang sahih. Dengan berpandukan dalil-dalil dari al-Quran dan hadith-hadith sahih, para ulama salaf telah berijmak (sepakat) memutuskan telah "sesat/kufur" bagi sesiapa yang menafikan bahawa Allah bersemayam di atas 'Arasy-Nya, atau yang menukar makna bersemayam kepada makna yang lain.

Pada sebuah athar sahih yang warid dari sahabat dan tabi'in iaitu ucapan Ummi Salamah radiahlahu 'anha dalam menjelaskan firman Allah:


اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

"Allah bersemayam di atas 'Arasy-Nya", Beliau (Ummi Salamah radiallahu 'anha) berkata:

"Al-Istiwa (bersemayam) itu tidak majhul (dapat difahami), caranya pula tidak diketahui (majhul), namun berikrar (berpegang) dengannya adalah keimanan dan menentangnya (tidak percaya) adalah kufur". (Lihat: علاقة الاثبات والتفويض بصفات رب العالمين , hlm. 32. Redza bin Nu'san Mukti. Dikeluarkan juga oleh Al-Laalikai’i dalam شرح اصول السنة)

Semasa Imam Malik rahimahullah ditanya tentang maksud ayat: اَلرَّحْمَنٌ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى beliau menjawab:


اَلاِسْتِوَاءُ مَعْلُوْمٌ وَالْكَيْفُ مَجْهُوْلٌ وَالاِيْمَانُ بِه وَاجِبٌ وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ

"Al-Istiwa adalah sesuatu yang telah dimaklumi, (mempertanyakan) bagaimana (bentuk, rupa dan keadaannya) adalah mempertanyakan sesuatu yang majhul (tidak diketahui), mengimani perkara tersebut adalah wajib dan mempersoalkannya adalah merupakan suatu yang bid'ah". (Al-Akidah al-Wasitiyah. Ibn Taimiyah. Syarah oleh Dr. Soleh Fauzan al-Fauzan. Hlm. 14)

Istiwanya Allah di atas 'Arasy-Nya menunjukkan ketinggian-Nya atas segala makhluk dan Dia sentiasa berada dalam ketinggian. Terdapat banyak dalil-dalil dari Al-Quran dan hadith-hadith sahih yang menunjukkan tentang ketinggian Allah Subhanahu wa-Ta'ala antaranya:


وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضَ وَلاَ يَؤُوْدُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيْمِ

"Dan Kursi Allah meliputi langit dan bumi dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya dan Dia (Allah) Maha Tinggi lagi Maha Agung.” (Surah al-Baqarah, 2: 255)

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ اْلاَعْلَى

"Sucikanlah nama Rabbmu (Tuhanmu) Yang Paling Tinggi" (Surah al-A'la, 87: 1)


اِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيْرًا

"Sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Besar". (Surah an-Nisa’, 4:34)

ذَلِكَ بِاَنَّ اللهَ هُوَ الْحَقُّ وَاَنَّ مَا يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِهِ هُوَ الْبَاطِلُ وَاَنَّ اللهَ هُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيْرُ

"(Kuasa Allah) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Rabb) yang Hak dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil. Dan sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung". (Surah al-Haj, 22: 62)


عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْكَبِيْرُ الْمُتَعَالِ

"Yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang nyata (nampak/lahir), Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi". (Surah ar-Ra'd, 13: 9)


حَتَّى اِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوْبِهِمْ قَالُوْا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوْا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيْرُ

"Sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka, mereka berkata: Apakah yang telah difirmankan oleh Rabbmu, mereka menjawab: (Perkataan) yang hak (benar). Dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung". (Surah Saba', 34: 23)


اِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيْمٌ

"Sesungguhnya Dia (Allah Subhahu wa-Ta'ala) Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana". (Surah asy-Syura, 42: 51)

Terdapat banyak hadith-hadith sahih yang menjelaskan tentang ketinggian Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Antaranya ialah:


عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ اَنَّ النَّبِيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِذَا قَضَى اللهُ اْلاَمْرَ فِى السَّمَآءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِاَجْنِهَتِهَا خَضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَاَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ يُنْقِذُهُمْ ذَلَكَ حَتَّى اِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوْبِهِمْ قَالُوْا : مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ؟ قَالُوْا الْحَقُّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيْرُ

"Dari Abu Hurairah radiallahu 'anhu bahawasanya Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Apabila Allah menetapkan perintah di atas langit para malaikat memukul sayap-sayapnya kerana patuh akan firman-Nya seakan-akan terdengar seperti gemerincing rantai (yang ditarik) di atas batu rata, hal itu menakutkan mereka (sehingga mereka jatuh pengsan kerana takut). Ketika dihilangkan rasa takut dari hati mereka, mereka berkata: Apakah yang difirmankan oleh Tuhanmu). Mereka menjawab: Firman al-Haq yang benar dan Dialah yang Maha Tinggi dan Maha Besar". (H/R Bukhari dan Ibnu Majah. Hadith ini disahihkan oleh al-Albani)


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمَا قَـالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَــلَّمَ : اِتَّقُوْا دَعْوَةَ الْمَظْلُوْمِ فَاِنَّهَا تَصْعَدُ اِلَى اللهِ كَاَنَّهَا شِرَارَةٌ وَفِى لَفْظٍ اِلَى السَّمَآءِ

"Dari Abdullah bin Umar radiallahu 'anhuma berkata: Bersabda Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam: Hati-hatilah kamu dari doa orang yang teranaiya (dizalimi atau diperlakukan secara tidak adil) kerana sesungguhnya doa mereka naik kepada Allah seperti bunga api. Pada lafaz yang lain, naik ke langit". (H/R Al-Hakim, Ad-Darimi dan Az-Zahabi (disahihkan oleh al-Albani))

عَنْ جَـابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِى خُطْبَتِهِ يَوْمَ عَرَفَةَ : اَلاَهَلْ بَلَّغْتُ ؟ فَقَالُوْا : نَعَمْ . فَجَعَلَ يَرْفَعُ اِلَى السَّـمَاءِ وَيَنْكُتُهَا اِلَيْهِمْ وَيَقُوْلُ : اَللَّهُمَّ اشْهَدْ

"Dari Jabir bin Abdullah radiallahu 'anhu bahawa Rasulullah sallahu 'alaihi wa-sallam bersabda semasa berkhutbah di hari 'Arafah: Apakah aku sudah sampaikan (risalahku)? Para sahabat menjawab: Ya! Kemudian Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam mengisyaratkan jari telunjuknya ke langit lalu bersabda: Ya Allah saksikanlah". (H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud, ad-Darimi dan Ibn Majah (Disahihkan oleh al-Albani))

Di hadith yang lain, Nabi Muhammad salahllahu 'alaihi wa-sallam telah mengisyaratkan bahawa Allah Azza wa-Jalla di langit:


عَنِ بْنِ سَـعِيْدِ الْخُـدْرِيِّ اَنَّ رَسُـوْلَ اللهِ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ قَالَ : اَلاَ تَاْمَنُوْنَنِيْ وَاَنَا اَمِيْنٌ مَنْ فِى السَّمَآءِ يَاْتِنِيْ خَبَرٌ مِنَ السَّمَآءِ صَبَاحٌ وَمَسَاءٌ

"Dari Sa'ed al-Khudri sesungguhnya Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam telah bersabda: Tidakkah kamu mempercayai aku sedangkan aku yang dipercayai oleh (Zat) Yang berada di atas langit Yang menurunkan khabar (wahyu) pada waktu pagi dan petang?". (H/R Ahmad. 3/4. Bukhari. No. 4351. Muslim, bab az-Zakah. 144. Ahmad, Abu Daud, An-Nasii dan Baihaqi)


قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَلرَّاحِمُوْنَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ اِرْحَمُوْامَنْ فِى اْلاَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِى السَّمَآءِ

"Telah bersabda Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam: Orang-orang yang menyayangi akan disayangi oleh Ar-Rahman (Allah). Sayangilah orang yang di bumi, engkau akan disayangi oleh Yang di langit (Allah)". (H/R Abu Daud. 4941, hadith hasan sahih. H/R Al-Baihaqi dalam "Asma wa as-Sifat" hlm. 300)


قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ : وَالَّـذِيْ نَفْسِـىْ بِيَدِهِ مَا مِنْ رَجُـلٍ يَدْعُـوْ اِمْرَاَتَهُ اِلَى فِرَاشِـهِ فَاَبَى عَلَيْهِ اِلاَّ كَانَ الَّذِيْ فِى السَّمَآءِ سَاخِطًا عَلَيْهَا حَتَّى يَرْضَى عَنْهَا

"Bersabda Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam: Demi nyawaku yang di tangan-Nya, tidaklah seseorang lelaki (suami) yang mengajak isterinya ke tempat tidurnya maka ia (isterinya) enggan mematuhinya kecuali Yang di langit (Allah) akan mengutuknya (memurkainya) sehinggalah ia diredhai oleh suaminya". (H/R Muslim, bab an-Nikah. 121)


اِنَّهُ سَـاعَةٌ تُفْتَحُ فِيْهَا اَبْوَابَ السَّـمَآءِ فَاُحِبُّ اَنْ يَصْعَدَ لِيْ فِيْهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

"Sesungguhnya pada waktu itu dibuka pintu-pintu langit, maka aku suka amal-amal solehku diangkat naik pada saat tersebut". (H/R Ahmad dan Turmizi. (Hadith sahih))

Nabi Muhammad salallahu wa-sallam pernah bertanya kepada Amran bin Hussin yang diketika itu beliau belum memeluk Islam:


كَمْ اِلَهًا تَـعْبُدُ الْيَوْمَ ؟ قَال : سَـبْعَةٌ . سِـتَّةٌ فِى اْلاَرْضِ وَوَاحِدٌ فِى السَّـمَآءِ . فَقَالَ : فَاِذَا اَصَـابَكَ الضَّرَرَ فَمَنْ تَدْعُوْا ؟ قَالَ : اَلَّذِيْ فِى السَّمَاءِ

"Bertanya Rasulullah (kepada Amran bin Hussin sebelum beliau memeluk Islam): Berapa tuhan yang engkau sembah pada hari ini? Beliau menjawab: Tujuh, enam di bumi dan satu di langit. Baginda bertanya: Diketika engkau ditimpa bahaya maka tuhan yang mana yang engkau seru? Beliau menjawab: Tuhan yang di langit". (H/R Al-Baihaqi dalam "Al-Asma wa-sifat" hlm. 300)

Isteri Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam yang bernama Zainab berbangga kerana dia dinikahkan oleh Allah yang di atas langit yang ketujuh sebagaimana pengakuannya:

زَوَّجَكُنَّ اَهَالِيكُنَّ وَزَوَّجَنِيَ اللهُ مِنْ فَوْقَ سَبْعَ سَمَاوَاتِ

"Kamu dikahwinkan oleh ahli-ahli kamu dan aku dikahwinkan oleh Allah dari atas langit yang ke tujuh". (H/R Bukhari No. 7420. al-Baihaqi "Al-Asma wa-Sifat". Hlm. 296)

Semasa kewafatan 'Aisyah radiallahu 'anha, Ibn Abbas radiallahu anhu berkata kepadanya:

كُنْتُ اُحِبُّ نِسَـاءَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ اِلاَّطَيِّبًا وَاَنْزَلَ اللهُ بَرَاءَتكِ مِنْ فَوْقَ سَبْعَ سَمَاوَاتِ

"Aku sentiasa mencintai para isteri Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam sebagaimana mencintai Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam dan tidak pernah Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam mencintai sesuatu kecuali kerana kebaikannya dan Allah telah membersihkan engkau dari atas langit yang ketujuh". (H/R Bukhari No. 742)


قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ : هَذِهِ اِمْرَاَةٌ سَمِعَ اللهُ شَكْوَاهَا مِنْ فَوْقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ هَذِهِ خَوْلَةُ بِنْتُ ثَعْلَبَةُ

"Berkata 'Umar bin al-Khattab: Inilah wanita yang didengar oleh Allah pengaduannya dari atas langit yang ketujuh, inilah Khaulah binti Thalabah". (Dikeluarkan oleh al-Baihiqi. Lihat: اجتماع الجيوش الاسلامية hlm. 39. Ibn Qaiyim)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah, Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda:


لَمَّا قَضَى اللهُ الْخَلْقَ كَتَبَ كِتَابًا عِنْدَهُ سَـبَقَتْ رَحْمَتِيْ غَضَبِيْ فَهُوْ عِنْدَهُ فَوْقَ السَّمَآءِ

"Setelah Allah mencipta makhluk, ditulis satu kitab di sisi-Nya (yang mana ditulis) rahmat-Ku mendahului kemurkaanKu, maka ia di sisi-Nya di atas 'Arasy". (H/R Bukhari, 7554. Muslim, bab at-Taubah, 14)

Semua dalil-dalil yang telah diutarakan di atas, dengan jelas telah menerangkan dan membuktikan kepada mereka yang mahu beriman bahawa Allah Subhanahu wa-Ta'ala bersemayam di atas 'Arasy-Nya. 'Arasy-Nya pula berada di atas langit yang ketujuh. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kufur sebagaimana yang telah disepakati oleh jumhur ulama Salaf as-Soleh.

Imam Abu Hasan Al-Asy'ari juga telah menjelaskan bahawa al-Quran bukan makhluk dan diturunkan oleh Allah yang berada di langit:

"Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas 'Arasy-Nya, mempunyai muka dan al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk dan ia diturunkan (dari langit)". (Lihat: اعتقاد ائمة الحديث Hlm. 50-51, Ismaili)

Mengingkari keterangan dan penetapan tentang nama-nama, sifat, zat dan perbuatan Allah sebagaimana yang terdapat pada dalil-dalil dari al-Quran, hadith-hadith dan athar yang sahih ini adalah kufur hukumnya. Dalam hal ini, al-Auza'ii dianggap Imam ahli Syam di zamannya, beliau telah menegaskan:


كُنَّاوَالتَّابِعُوْنَ مُتَوَافِرُوْنَ نُقُوْلُ : اَنَّ اللهَ عَلَىعَرْشِهِ وَنُؤْمِنُوْا بِمَاوَرَدَتْ بِهِ السُّنَةَ مِنْ صِفَاتِ اللهِ تَعَالَى

"Kami dan para Tabi'in sepakat menetapkan dengan qaul kami bahawa: Sesungguhnya Allah di atas 'Arasy-Nya dan kami beriman dengan apa yang telah dinyatakan oleh sunnah berkenaan sifat-sifat Allah Ta'ala". (Lihat: فتح البارى. Jld. 13. Hlm. 406, Ibn Hajar al-Asqalani)


عَنْ عَبْدِاللهِ بْنِ وَهَبٍ قَالَ : كُنْتُ عِنْدَ مَالِكٍ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَقَالَ : يَا اَبَا عَبْدَ الرَّحْمَن "اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى" كَيْفَ اسْتَـوَى ؟ فَاَطْرَقَ مَالِكُ فَاَخَذَتْهُ الرَّحْضَاءَ ثُمَّ رَفَعَ رَاْسَهُ فَقَالَ : اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىكَمَاوَصَفَ بِهِ نَفْسَهُ وَلاَ يُقَالُ كَيْفَ وَكَيْفَ عَنْهُ مَرْفُوْعٌ وَمَا اَرَاكَ اِلاَّ صَاحِبُ بِدْعَة فَاَخْرِجُوْهُ

"Dari Abdullah bin Wahab berkata: Aku pernah bersama Malik maka masuk seorang lelaki lalu bertanya: Wahai Aba Abdul Rahman! "Ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas 'Arasy", bagaimana Dia bersemayam? Beliau terus mengingkari dan dengan keadaannya yang marah sambil mengangkat kepalanya berkata: Ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas 'Arasy-Nya sebagaimana yang telah disifatkan oleh Allah pada dirinya sendiri dan janganlah ditanya bagaimana dan kenapa kerana telah marfu' tentangnya, dan tidaklah aku ketahui tentang dirimu kecuali seorang pelaku bid'ah, maka keluarkanlah dia". (Lihat: فتح البارى. Jld. 13. Hlm. 407, Ibn Hajar al-Asqalani)

Bertanyakan "Bagaimana Allah bersemayam di atas 'Arasy" dianggap oleh Imam Malik dan Rabi'ah sebagai pertanyaan yang bid'ah, kerana bertanya tentang apa yang tidak diketahui oleh manusia, dan sesuatu yang tidak diketahui maka tidak mungkin mereka akan memperolehi jawapannya. (الدعوة السلفية فى مفهومها الصحيح عقيدة وعبادة Hlm. 92. Sa'udin Mohammad Al-Kasbi)

Sesungguhnya memperkatakan sifat-sifat Allah adalah sebahagian dari memperkatakan tentang Zat-Nya, sebagaimana akal tidak berdaya mengetahui tentang zat-Nya maka begitu jugalah ia tidak mampu mengetahui tentang bagaimananya sifat Allah. (الدعوة السلفية فى مفهومها الصحيح عقيدة وعبادة Hlm. 92. Sa'udin Mohammad Al-Kasbi) Beginilah manhaj yang diikuti oleh para Salaf al-Soleh rahimahumullah (tentang memahami sifat dan zat Allah 'Azza wa-Jalla), mereka meletakkan kesempurnaan akal mengikut tempat dan kadar kemampuannya. (الدعوة السلفية فى مفهومها الصحيح عقيدة وعبادة Hlm. 92. Sa'udin Mohammad Al-Kasbi)


قَالَ التُّرْمِزِيُّ : وَهُوَ عَلَى الْعَرْشِ كَمَا وَصَفَ بِهِ نَفْسهُ فِى كِتَابِهِ كَذَا قَالَ غَيْرُ وَاحَدٍ مِنْ اَهْلِ الْعِلْمِ

"Berkata at-Tirmizi: Ia bersemayam di atas 'Arasy sebagaimana yang disifatkan-Nya sendiri di dalam kitab-Nya. Beginilah perkataan ahli ilmu yang bukan seorang sahaja yang mengatakannya seperti itu". (Lihat: عون المعبود. Jld. 13. Hlm. 42)

ALLAH DI LANGIT

Dengan penjelasan terperinci ini nyatalah bahawa akidah seluruh golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut manhaj atau pemahaman para Salaf as-Soleh, mereka telah sepakat meyakini sebagai akidah bahawa Allah berada di langit yang ketujuh dan bersemayam di atas 'Arasy-Nya. Begitulah juga yang diterangkan oleh Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah semasa beliau ditanya tentang di mana Allah:


وَقِيْلَ لِعَبْدِاللهِ بْنِ الْمُبَارَكِ: كَيْفَ نَعْرِفُ رَبَّنَا ؟ قَالَ: بِاَنَّهُ فَوْقَ السَّمَآءِ السَّابِعَةِ عَلَى الْعَرْشِ

"Dan ketika ditanyakan kepada Abdullah bin al-Mubarak: Bagaimana kita mengetahui Tuhan kita? Dengan mengetahui-Nya bahawa sesungguhnya Dia di langit yang ke tujuh di atas 'Arasy-Nya". (Lihat: السنة hlm. 5. Abdullah bin Al-Imam Ahmad)

Golongan sesat Jahmiyah pula tidak dianggap sebagai golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah dan tergelincir dari manhaj Salaf as-Soleh kerana mereka tidak mempercayai bahawa Allah di langit:


وَقِيْلَ لِيَزِيْدِ بْنِ هَـارُوْن : مَنِ الْجَـهْمِيَّةُ ؟ فَـقَالَ : مَنْ زَعَمَ اَنَّ الرَّحْمَنَ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى عَلَى خِلاَفِ مَا يَقِرُّ فِى قُلُوْبِ الْعَامَةِ فَهُوْ جَهْمِيْ

"Pernah ditanyakan kepada Yazid bin Harun: Siapa itu Jahmiyah? Maka beliau berkata: Sesiapa yang mempercayai bahawa Ar-Rahman (Allah) bersemayam di 'Arasy-Nya (tetapi kepercayaannya) tidak sebagaimana yang dipercayai oleh orang-orang Islam, maka itulah Jahmiyah". (Lihat: الابانة الكبرى (195/1) Ibn Battah)

Golongan Jahmiyah mempercayai bahawa Allah Subhanahu wa-Ta'ala bersemayam di Arasy tetapi mereka tidak percaya bahawa Allah di langit, maka sesiapa yang mempunyai keyakinan seperti ini dia adalah Jahmiyah. Berkata Hamad bin Zaid:

"Jahmiyah ialah mereka yang menyatakan bahawa di langit tidak ada sesuatu (Allah bukan di langit)". (Lihat: ابانة الكبرى Ibn Battah (917/1). Lihat: الرد على الجهمية Ibn Abi Hatim. Lihat: السنة hlm. 12. Abdullah bin Ahmad)

Adapun antara ayat yang sering dipertikaikan dan disalah tafsir oleh golongan ahli bid'ah dan Jahmiyah ialah ayat yang menjelaskan:


قَالَ لاَ تَخَافَا ، اِنَّنِيْ مَعَكُمَآ اَسْمَعُ وَاَرَى

"Allah berfirman: Janganlah kamu berdua merasa takut, sesungguhnya Aku berserta kamu berdua, Aku Mendengar dan Melihat". (Surah Thaha, 20: 46)

Maksud dari ayat (اِنَّنِيْ مَعَكُمَا) "Sesungguhnya Aku berserta kamu berdua" ialah ilmu-Nya (sebagaimana yang telah dijelaskan). Iaitu ilmu Allah berserta dan meliputi segala-galanya. Allah Maha Mengetahui kerana ilmu pengetahuan Allah berada di mana-mana. Allah berserta kita dengan ilmu-Nya kerana Dia mendengar dan melihat kita. (Lihat: العقيدة الاسلامية من الكتاب والسنة الصحيحة hlm. 18) Namun, Allah bersemayam di atas Arasy-Nya di langit. Dan ayat di atas dapat dijelaskan dengan nas-nas di bawah ini:


اِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا وَهُوَ مَعَكُمْ (اَيْ مَعَكُمْ بِعِلْمِهِ)

"Sesungguhnya kamu menyeru Yang Maha Mendengar Yang Hampir yang sentiasa berserta kamu (iaitu Ilmu-Nya)". (H/R Muslim)

وَعِنْدَهُ مَفَاتِيْحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَااِلاَّ هُوَوَيَعْلَمُ مَا فِى الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْـقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ اِلاَّ يَعْلَمُهَا وَلاَ حَـبَّةٍ فِى ظُلُمَاتِ اْلاَرْضِ وَلاَ رَطْبٍ وَلاَ يَابِسٍ اِلاَّ فِى كِتَابٍ مُّبِيْنَ

"Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daunpun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah dan yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Loh Mahfuz)". (Surah al-An'am, 6: 59)

Antara hadith yang menjadi dalil yang kuat yang menunjukkan bahawa Allah di atas 'Arasy-Nya, 'Arasy-Nya di langit dan ilmu-Nya di mana-mana ialah sabad Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam:

قَالَ مُعَاوِيَةُ بْنُ حَكَمُ السُّـلَمِى: وَكَانَتْ لِيْ جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِيْ اُحُدٍوَالْجُوَانِيَةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ . فَاِذَا بِالذِّئْبِ قَدْ ذَهَبَ بَشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا وَاَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ آدَمَ . اَسَفَ كَمَا يَاْسـفُوْنَ . لَكِنِّيْ صَكَكْتُهَا صَكَّةً فَاَتَيْتُ رَسُـوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ . قُلْتُ يَارَسُوْلَ اللهِ اَفَلاَاَعْتِقُهَا؟ قَالَ: اِئْتِنِيْ بِهَا. فَقَالَ لَهَا: اَيْنَ اللهُ ؟ قَالَتْ فِى السَّـمَآءِ . قَالَ: مَنْ اَنَا؟ قَالَتْ اَنْتَ رَسُـوْلُ اللهِ. قَالَ : اَعْتِقْهَا فَاِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ

Berkata Muawiyah bin Hakam As-Sulami: Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya. Sedang aku termasuk seorang anak Adam kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka. Kerananya wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku menghadap Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya? Jawab Rasulullah: Bawalah wanita itu ke sini. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. Di mana Allah? Dijawabnya: Di langit. Rasulullah bertanya lagi: Siapakah aku? Dijawabnya: Engkau Rasulullah. Maka baginda bersabda: Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah". (H/R Muslim dan Abi Daud)

Menurut syara’ dan telah disepakati oleh ulama Salaf as-Soleh, bahawa perbuatan, fahaman (akidah) atau keyakinan mereka yang menyerupakan, mensekufukan, memisalkan, mensetarakan atau mengumpamakan Allah Ta'ala dengan makhluk-Nya adalah batil (kufur) dan boleh membawa kepada perbuatan syirik. Ia nyata bertentangan dengan ayat-ayat al-Quran, terutamanya ayat yang terdapat di surah Asy-Syura "Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya", 42:11 dan ayat di surah Al-Ikhlas "Dan tidak ada seorangpun yang setara/sekufu dengan Dia (Allah)", (Surah al-Ikhlas, 112: 4)

Cara para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengikut manhaj Salaf as-Soleh menetapkan zat, nama-nama dan sifat-sifat Allah terbina di atas dua perkara:

1- Mereka mensucikan Allah Subhanahu wa-Ta'ala dari diserupakan dengan segala makhluk-Nya yang berdasarkan firman-Nya:


لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ

"Tiada suatu yang semisal denganNya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat". (Surah asy-Syura, 42: 11)

2- Menjauhkan penyerupaan dengan cara ingin tahu, bertanya atau mempersoalkan "Bagaimana" zat dan sifat-sifat Allah. Kerana hanya Allah sahaja yang benar-benar mengetahui akan sifat dan zat-Nya. Maka larangan ini berdasarkan kepada firman-Nya:


وَلاَ يُحِيْطُوْنَ بِهِ عِلْمًا

"Sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmu-Nya". (Surah Thaha, 20: 110)

Manusia tidak akan mengetahui yang ghaib jika tidak diberi tahu atau dikhabarkan oleh Allah melalui wahyu-Nya, atau diceritakan oleh Rasul-Nya melalui sabdanya. Maka bagaimanakah mereka mampu mengetahui akan hakikat sifat-sifat dan zat Allah yang semuanya itu adalah persoalan yang ghaib. Sebenarnya hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya yang berkaitan dengan segala keghaiban sebagaimana firman-Nya:


عَالِمُ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ اَحَدًا اِلاَّ مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُوْلٍ

"Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui yang ghaib. Maka Dia tidak memperlihatkan kepada seseorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya". (Surah al-Jin, 72: 26-27)

Ayat di atas menjelaskan bahawa Rasulullah juga tidak mengetahui apa yang berada dan terjadi di alam ghaib, termasuklah yang terdapat di Lauh al-Mahfuz serta apa yang ditulis dengan qalam, kecuali setelah dikhabarkan oleh Allah kepada baginda sebagaimana diungkapkan dalam syair al-Bushairi:


فَاِنَّ مِنْ جُوْدِكَ الدُّنْيَا وَضَرَّتُهَا
وَمِنْ عُلُوْمِكَ عِلْمُ اللُّوْحِ وَالْقَلَمِ


"Sesungguhnya kedermawanan-Mu terhadap dunia dan kemudaratannya # Dan bahagian (termasuk) dari ilmu-Mu adalah ilmu Lauh al-Mahfuz dan ilmu al-Qalam. (Lihat: اركان الاسلام والايمان Muhammad bin Jamil Zainu)

Ketidak-tahuan atau kejahilan seseorang tentang keadaan alam ghaib telah dikhabarkan oleh Allah dalam beberapa ayat al-Quran:


وَعِنْدَهُ مَفَاتِيْحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَا اِلاَّ هُوَ

"Dan pada sisi Allah sahaja kunci-kunci semua yang ghaib. Tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri". (Surah al-An'am, 6: 59)


قُلْ لاَ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ الْغَيْبَ اِلاَّ اللهُ

"Katakanlah! Tidak ada seseorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah". (Surah an-Naml, 27: 65)

Semua penjelasan di atas yang diiringi dengan dalil-dalil dari al-Quran dan hadith-hadith yang sahih adalah kata pemutus. Ianya adalah wahyu yang mengkhabarkan bahawa Allah bersemayan di 'Arasy-Nya yang berada di langit, maka semua dalil-dalil tersebut adalah hujjah untuk menolak alasan mereka yang mengharamkan seseorang dari bertanya "Di mana Allah berada?" atau (اَيْنِيَّة الله) "Di mananya Allah".

Bertanya kepada seseorang "Di mana Allah" untuk memastikan akidahnya adalah sunnah, kerana Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam sendiri pernah bertanya kepada seorang hamba perempuan dengan pertanyaan: "Di mana Allah?". Berdasarkan hadith ini, maka siapakah yang lebih berhak diikuti dan wajib dijadikan contoh jika bukan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, baginda tidak pernah mengikut hawa nafsunya apabila memperkatakan atau menjelaskan sesuatu tentang agama Allah. Oleh itu, seseorang yang bertanya "Di mana Allah?" tidak boleh dihukum sesat atau menyalahi sunnah.

Pendapat, pandangan dan kepercayaan ahli bid'ah terutama yang digelar Ahli al-Ahwa (ahli hawa nafsu) wajib ditolak dan ditinggalkan jika ia enggan menjadikan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagai ikutan, contoh dan Rasul yang wajib ditaati dalam semua perkara yang berhubung dangan agama, terutama tentang penentuan di mana Allah sebagaimana yang telah diterangkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam di mana sebenarnya Allah berada.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan yang tegas kepada mereka-mereka yang mengaku beriman tetapi masih enggan mengikuti contoh dan mentaati baginda dalam segala persoalan dan urusan agama, sama ada yang berkaitan dengan persoalan akidah, ibadah atau mu'amalah. Baginda bersabda:


كُلُّ اُمَّتِيْ يَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ اِلاَّ مَنْ اَبَى قَالُوْا وَمَنْ يَاْبَ يَا رَسُـوْلَ اللهِ ؟ قَالَ : مَنْ اَطَاعَنِى دَخَلَ الْجَنَّةِ وَمَنْ عَصَانِيْ قَقَدْ اَبَى

"Setiap ummatku semuanya akan masuk syurga kecuali sesiapa yang menolak. Mereka bertanya, siapakah yang menolak wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Sesiapa yang mentaati aku dia masuk syurga dan sesiapa bermaksiat (menentangku) maka dia telah menolak". (H/R Bukhari no. 782)

Firman Allah:


وَمَنْ يُشَـاقِقِ الرَّسُـوْلَ مِنْ بَـعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيْرًا

"Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin. Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali". (Surah an-Nisa', 4: 115)

Kesimpulannya: Bahawa segala apa yang telah dijelaskan (di atas), adalah berlandaskan al-Quran, as-Sunnah yang sahih dan mengikut panduan para Salaf as-Soleh radiallahu 'anhum, mereka sekalian beriman dengan segala apa yang telah dikhabarkan oleh Allah tentang diri-Nya di dalam kitab-Nya, dan beriman dengan segala apa yang telah dijelaskan oleh RasulNya tentangNya. Mereka beriman dengan keimanan yang selamat, iaitu tidak dilakukan pada sifat, zat dan nama-nama-Nya tahrif, ta'til, takyyif dan tamsil. (Lihat: شرح العقيدة الوسطية hlm. 21, Ibn Taimiyah)

Dan Imam Ahmad rahimahumullah pula berkata:

"Tidak diharuskan mensifatkan Allah kecuali dengan apa yang telah disifatkan-Nya sendiri oleh diri-Nya atau dengan apa yang telah disifatkan oleh Rasul-Nya dan tidak pula melampaui batasan al-Quran dan al-Hadith". (Lihat: شرح العقيدة الوسطية hlm. 21. Ibn Taimiyah)