http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/
al-Imam Abu Ja’afar Ahmad B. Muhammad ath-Thahawi berkata:
والعرش والكرسي حق
“Adanya ‘Arsy dan Kursi adalah benar.” (no. 49)
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:
Ketahuilah bahawa ‘Arsy adalah makhluk Allah yang sangat besar. Perkara ini disebutkan di dalam ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis. Kerana besarnya ‘Arsy, Allah menisbatkan ‘Arsy ini kepada diri-Nya. Di dalam satu ayat, Allah berfirman (maksudnya) “Pemilik ‘Arsy”. Dalam asy-Syarah, disebutkan beberapa ayat lain yang menyebutkan penisbatan ‘Arsy kepada Dzat Allah.
Secara bahasa, ‘Arsy ertinya adalah singgahsana raja. Tentang bagaimana keadaan ‘Arsy, di sebutkan di dalam al-Qur’an, di antaranya:
“Dan pada hari tersebut, delapan orang malaikat menjunjung ‘Arsy Tuhanmu di atas (kepala) mereka.” (Surah al-Haqqah, 69: 17)
“Dan ‘Arsy tersebut berada di atas air.” (Surah Hud, 11: 7)
Di dalam hadis disebutkan bahawa jarak di antara hujung telinga dengan bahu salah satu malaikat pemikul ‘Arsy adalah sejauh 700 tahun. ‘Arsy memiliki tiang-tiang penyangga (penyokong). Dan ‘Arsy merupakan atap dari Syurga Firdaus. Ini disebutkan di dalam hadis-hadis sahih yang tercantum di dalam kitab asy-Syarah (yang ditulis oleh Ibnu Abil ‘Izz).
Hadis-hadis tersebut membantah takwil sebahagian orang yang mengatakan bahawa ‘Arsy adalah permisalan dari suatu kerajaan dan besarnya kekuasaan Allah.
Ada pun tentang masalah kursi Allah, ada ayat al-Qur’an yang menyebutkannya, iaitu (maksudnya):
“Luas Kursi Allah adalah seluas langit dan bumi.” (Surah al-Baqarah, 2: 255)
Kursi Allah di hadapan ‘Arsy-Nya. Dalam sebuah riwayat yang sahih tetapi mauquf disebutkan bahawa Ibnu ‘Abbas berkata, “Kursi adalah tempat berpijak dua kaki Allah, manakala ‘Arsy tidak ada yang tahu betapa besarnya melainkan Allah.” Atsar ini disebutkan di dalam kitabku yang berjudul Mukhtashar al-‘Uluw li adz-Dzahabi, hadis no. 36.
Di dalam persoalan kursi Allah, tidak ada hadis Nabi yang sahih melainkan perkataan Nabi (maksudnya):
“Luas tujuh langit jika dibandingkan dengan kursi Allah hanyalah seperti cincin yang dilemparkan di padang pasir yang luas. Dan ‘Arsy Allah jika dibandingkan dengan kursi-Nya adalah sebagaimana perbandingan padang yang luas tadi dengan cincin tersebut.”
Dengan itu, hadis tersebut juga telah membantah takwil Ibnu ‘Abbas bahawa kursi Allah maksudnya ilmu Allah. Ini telah saya jelaskan di dalam ash-Shahihah, hadis no. 109.
al-Imam Abu Ja’afar Ahmad B. Muhammad ath-Thahawi berkata:
وهومستغن عن العرش ومادونه
“Dia tidak memerlukan ‘Arsy dan apa jua yang berada di bawahnya.” (no. 50)
Syaikh al-Albani rahimahullah mengulas perkataan ini dengan penjelasannya:
Salah seorang pemberi syarah kitab ini, Ibnu Abil ‘Izz berkata: “Syaikh ath-Thahawi mengatakan perkataan di atas, kerana setelah Allah Ta’ala menyebut ‘Arsy dan kursi, dilanjutkan dengan menyebut bahawa Dia tidak memerlukan kepada ‘Arsy dan apa jua yang berada di bawahnya. Perkara tersebut adalah bagi menegaskan bahawa Dia menciptakan ‘Arsy sebagai tempat bersemayam bukan kerana Dia memerlukan ‘Arsy. Ada hikmah tertentu di dalam penciptaan ‘Arsy. Sesuatu yang tinggi memeang selalu berada di atas sesuatu yang rendah. Namun, tidak semestinya sesuatu yang rendah itu menjadi tempat berpijak dan penyangga sesuatu yang tinggi (di atas). Sesuatu yang tinggi pula tidak semestinya memerlukan sesuatu yang rendah. Sebagai contoh, lihatlah langit! Walau pun berada di atas bumi, langit tidak memerlukan bumi.
Allah Ta’ala Maha Agung dan Maha Mulia. Keagungan dan Kemuliaan Allah memiliki kekhususan tersendiri. Allah tidak bergantung kepada sesiapa pun. Dengan kehendak-Nya, Allah menguasai makhluk-makhluk-Nya yang ada di bawah. Makhluk-makhluk-Nya yang ada di bawah sangat memerlukan bantuan Allah, manakala Allah sendiri sama sekali tidak memerlukan mereka. Dan Allah mengetahui mereka.
Allah berada di atas ‘Arsy. Dengan kehendak-Nya, Allah menguasai ‘Arsy dan memegangnya. Walau pun begitu, Allah tidak perlu kepada ‘Arsy. ‘Arsy-lah yang memerlukan Allah. Allah menguasai ‘Arsy, tetapi tidak sebaliknya. ‘Arsy tidak melingkupi Allah. Allah membatasi wilayah ‘Arsy, namun ‘Arsy tidak membatasi wilayah Allah. Dan keistimewaan-keistimewaan seperti di atas hanya dimiliki Allah.
Orang-orang yang menafikan kedudukan Allah yang tinggi di atas ‘Arsy adalah para ahli ta’thil. Sebenarnya jika mereka memahami eksistensi (kewujudan) Allah dengan pemahaman sebagaimana di atas nescaya mereka akan terbimbing ke jalan yang lurus dan akan menyedari kedudukan akal terhadap wahyu. Mereka pun akan berjalan dengan mengikuti dalil. Akan tetapi, sungguh disayangkan, mereka meninggalkan dalil sehingga mereka menempuh jalan yang sesat.
Sikap yang benar di dalam masalah ini adalah sebagaimana sikap yang ditunjukkan oleh Imam Malik rahimahullah. Beliau pernah ditanya tentang ayat (yang maksudnya) “Dia bersemayam (istiwa) di atas ‘Arsy” yang terdapat di dalam surah al-A’raaf, 7: 54. Beliau ditanya, “Bagaimana cara Allah bersemayam?” Beliau pun menjawab, “Perbuatan bersemayam itu maklum (diketahui), namun mempersoalkan dengan bagaimana itu termasuk perkara yang tidak boleh dilakukan”.
Rujuk: Syaikh al-Albani, Taqliq dan Syarah ‘Aqidah ath-Thawiyah.