__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Saturday, May 26, 2007

Pengenalan: Menyelami Manhaj Aqidah Dan Fenomena Perpecahan Yang Dijanjikan

Menyelami Manhaj Aqidah Dan Fenomena Perpecahan
Yang Dijanjikan (Edisi Revisi)

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Jika ditanya kepada sesiapa sahaja umat Islam atau mereka yang bergelar Muslim, “adakah kau menyintai Rasulullah?” tentu sekali dengan pantas mereka membalas, “Mestilah saya cintakan Rasulullah.”

Namun, apabila pertanyaan dilanjutkan sedikit, “Bagaimana ya caranya kita menyintai Rasulullah?” pastinya ramai yang terdiam sebentar sebelum menjawab. Yang terus terkedu pun pasti ramai. Yang menjawab dengan tidak berfikir pun mungkin ramai. Itulah andaian saya. Dan itulah yang pernah saya tanyakan kepada diri saya sendiri dan beberapa orang rakan terdekat saya suatu ketika dahulu. Apa yang saya telah lakukan bagi membuktikan saya amat menyintai Rasulullah? Jika diteliti, memang ianya benar sukar untuk menentukan jawapannya.

Isu Akal Dan Penyelewengan Yang Pelbagai

Di dalam masa-masa terdekat ini, kita sering digemparkan dengan pelbagai jenis isu semasa yang sangat hangat yang mana menyentuh sensitiviti kita dalam beragama. Pelbagai jenis ajaran sesat melanda masyarakat kita ketika ini. Bermula daripada serangan ajaran syi’ah, al-Arqam, tarekat, perbomohan, tangkal dan murtad, dan lalu kita tidak pernah kering dengan pertambahan ajaran-ajaran sesat yang baru seterusnya. Bukan sahaja zaman ini, malahan kurun-kurun yang telah berlalu. Tidak pernah kering dengan isu kesesatan.

Keluar daripada topik ajaran sesat, terlihat pula serangan pemikiran yang amat pelbagai dan sukar diatasi juga turut mengambil tempat di dalam masyarakat kita, malah masyarakat kita sendiri masih kekeliruan dalam mencari hakikat kemurnian dalam mengamalkan agama.

Jika dulu ada muktazilah, murji’ah, Qadariyah dan khawarij, kini serangannya nampak semakin hebat dan mencabar. Serangan-serangan yang begitu licik berlaku ke atas pemikiran dan manhaj asas beragama itu masih ada dan sentiasa wujud, malah dalam bentuk yang lebih halus dan sukar ditangkis dengan tahap perisai yang biasa. Walaupun dengan nama-nama yang berbeza, namun modus operandi, kaedah praktik, dan daya sebarannya tidak jauh berbeza dengan isu-isu yang lepas. Daya fikir yang amat pelbagai dan jauh dari nilai kemurnian Islami ini amat sukar untuk ditewaskan. Ditambah lagi dengan pengagungan ilmu kalam (mantiq dan aqal) dan mengabaikan dalil yang haq dalam memahami agama, fenomena itu selanjutnya menjadi bertambah parah. Penyelewengan dalil dengan menilai-nya berpandukan aqal adalah amat-amat menakutkan. Apatah lagi apabila nafsu dan masalah sikap turut masuk campur.

Maka-nya, lahirlah budaya kepuakan dan bibit-bibit hizbi (perpecahan) serta gejala ta’asub. Membuahkan rasa bangga dengan puak masing-masing. Lalu, akibatnya budaya pemberontakan di dalam sesama masyarakat ke atas badan kepimpinan berleluasa atas dasar nafsu. Budaya menyesatkan puak-puak yang tidak sealiran menjadi perkara biasa. Pemberontakkan kepada penguasa terlahir atas rasa dizalimi dan ketidakadilan. Budaya bermudah-mudah dalam persoalan takfir (mengkafir) menjadi ikutan tanpa dalil yang sah. Puak-puak (hizb) yang mendakwa memperjuangkan agama (Islam) menjadi begitu banyak namun tidak dalam kesatuan yang satu. Mereka berpecah-pecah (berbilang kumpulan) dan saling menyesatkan di antara satu sama lain. Antara puak-puak yang dimaksudkan adalah seperti golongan syi’ah, feminisme, Qur’aniyyun (Anti Hadis), Hizbut Tahrir, Ikhwanul Muslimin, Atheis, al-Arqam, tabligh, dan seumpamanya.

“Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira (berbangga) dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).” (ar-Ruum: 32)

Namun, sebelum itu... jika dipersoalkan kepada setiap aliran-aliran yang wujud ini, apakah asas pegangan dan petunjuk yang mereka gunakan dalam mengamalkan asas amal Islami mereka? Pasti mereka menjawab, “Kami beramal selaras dengan al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah.”

Lalu, saya melanjutkan lagi pertanyaan kepada anda semua... “Apakah method yang tulen dan bersih dalam menilai al-Qur’an dan as-Sunnah?” Apakah cukup dengan pernyataan “Saya mengambil agama dari al-Qur’an dan as-Sunnah” semata-mata? Lalu menilainya dengan method pemahaman aqal dan pemikiran? Maka, di sinilah sebenarnya bermulanya perbezaan dan perpecahan umat Islam dalam menilai lalu mengamalkan agama dalam setiap langkah kehidupan mereka. Mereka tidak mempunyai method yang sebenar yang dianjurkan oleh sunnah itu sendiri dalam menilai agama yang mereka hendak amalkan. Perbezaan yang membuah bukan beredar sekitar permasalah furu’, fiqh atau khilafiyah. Malahan, hakikatnya, perbezaan itu wujud pada dasar aqidah lagi yang mana ianya berpunca daripada penafsiran nash-nash al-Qur’an dan as-sunnah dengan sewenang-wenangnya iaitu dengan menggunakan pemikiran, aqal dan hawa nafsu.

Berikut adalah sebahagian contoh sebagai bukti bahawa mereka melakukan penafsiran nas-nas agama menggunakan aqal dan hawa nafsu yang mana jelas keterlaluan.

Di dalam kitab fi zilalil Qur’an oleh Sayyid Qutb, beliau jelas mengkafirkan seluruh umat Islam dengan pernyataannya seperti berikut:

إنه ليس على وجه الأرض اليوم دولة مسلمة ولا مجتمع مسلم.

“Bahawasanya pada hari ini tidak terdapat di permukaan bumi sebuah negara Islam, tidak pula sebuah masyarakat Islam”. (Rujuk: Fii Zilalil Quran, 4/2122)

فقد ارتدت البشرية الى عبادة العباد والى جور الأديان ونكصت عن لااله إلا الله وإن ظل فريق منها يردد على المآذن (لااله الا الله)

“Telah murtad manusia kepada penyembahan hamba (makhluk) dan merosakkan agama serta keluar dari Laa ilaha illallah, sekalipun sebahagian dari mereka masih mengumandangkan dengan mengualang-ulangi pada azan kalimah (Laa ilaha illallah)”. (Lihat: Fii Zilalil Quran. 11/1057)

Malahan, dalam sebahagian kitab-kitab beliau yang lain, secara terang-terangan beliau menyerang Saidina Uthman radhiyallahu ‘anhu dan para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,

يصرف الأمور بكثير من الانحراف عن الاسلام

“Dia (Khalifah Uthman) mengurus urusan-urusan yang banyak menyimpang dari Islam”. (Lihat: al-‘Adalahtul Ijtimaiyah fil Islam, hal. 214)

ونحن نميل الى اعتبار خلافة على رضي الله عنه ، امتدادا طبيعيا لخلافة اشيخين قبله

“Dan kami lebih condong kepada sistem kekhalifahan Ali radiallahu ‘anhu sebagai mengambil alih secara tabi’ie dua Khalifah sebelumnya”.

Di dalam kitab fi zilalil Qur’annya juga (Rujuk: Fii Zilalil Quran, 5/3006), beliau turut menyatakan bahawa al-Qur’an itu sebagai makhluk (dan bukannya kalaamullah). Ini adalah suatu bentuk hasil tafsiran yang jelas bercanggah dengan i’tiqad atau aqidah ahlus sunnah wal-jama’ah yang menyatakan bahawa al-Qur’an itu kalaamullah (kata-kata Allah).

“Maka (sepakat) seluruhnya para imam mazhab yang empat dan orang-orang Salaf dan Khalaf, mereka bersepakat bahawasanya al-Qur’an adalah Kalamullah (bukan makhluk)”. (Rujuk: Syarah Akidah at-Tahawiyah, 1/185, oleh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Bazz)

Manakala al-Maududi (seorang tokoh Ikhwanul Muslimin) pula jelas dengan terang-nya telah menghinakan Nabi Yusuf ‘alaihis Salam dengan menyatakan seperti berikut (ketika mentafsirkan ayat ini):

قَالَ اجْعَلْنِيْ عَلَى خَزَآئِنِ اْلاَرْضِ

“Berkata Yusuf: Jadikanlah aku bendaharawan bumi (negeri Mesir)”. (Yusuf. 12:55)

“Sesungguhnya ini tidak menunjukkan permintaan Saidina Yusuf ‘alaihi salam untuk menjawat sebagai menteri semata tetapi sesungguhnya ia berupa permintaan untuk menjadi diktator, oleh yang demikian kedudukan baginda benar-benar menyerupai kedudukan Musolini sekarang ini di Itali”. (Lihat: تفهيمات Hal. 12, al-Maududi)

Bentuk penyelewengan nas-nas agama seperti inilah yang sebenarnya membawa manusia ke lembah perpecahan yang teruk pada waktu akhir-akhir ini. Dalam permasalahan Sayyid Qutb ini, Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi sendiri yang merupakan tokoh Ikhwanul Muslimin dekad ini dengan tidak mampu melindungi bentuk penyimpangan penafsiran oleh Sayyid Qutb ini telah berkata dan mengakui bahawa:

“Pada ketika ini telah muncul buku-buku karya Sayyid Qutb yang merupakan pemikiran terakhirnya, iaitu pengkafiran terhadap masyarakat dan..., yang demikian itu nampak jelas dalam Tafsir Fi Zilalil Qur’an cet. Ke-2, Ma’alim Fith Thariq yang kebanyakannya diambil dari al-Zilal...” (Rujuk Adhwa Islaamiyyah, hal. 102, Dinukil dari Mereka Adalah Terroris, Oleh Luqman Ba’aduh)

Antara Keikhlasan Dan Kesahihan Amalan Kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala

Pernahkah kita memikirkan tentang keikhlasan dalam setiap langkah perbuatan dan tindakan yang kita laksanakan? Setiap perbuatan yang tidak disertai dengan keikhlasan pastinya amat berat dan payah untuk dilaksanakan. Namun, adakah cukup dengan sekadar keikhlasan?

Jika hanya difokus kepada satu arah iaitu keikhlasan dalam beramal, sudah tentu cacamerba jadinya. Cuba ambil contoh sami budha... Kita tanyakan kepadanya soal keikhlasan tindakannya dalam mengamalkan ajaran budha-nya. Pasti mereka lantas menjawab, mereka beramal dengan penuh keikhlasan dan mengharap kebaikan serta rahmat dari Tuhan. Begitu juga jika ditanya kepada pengamal agama hindu, bahai, kristian, penyembah berhala, penyembah matahari, dan lain-lain lagi.

Begitu jugalah jika ditanyakan hal yang sama tentang perihal keikhlasan kepada pengamal ajaran-ajaran sesat di mana-mana pun. Mereka menekankan bahawa mereka beramal dengan penuh keikhlasan bagi mengharap rahmat dan kebaikan.

Sebenarnya kita sering terlupa, bahawa sekadar keikhlasan di hati dalam melaksanakan amalan masih tidak mencukupi syarat dan kriteria penerimaan amalan di dalam kehidupan Islami yang tulen dan sejahtera. Lupakah bahawa kita telah diperuntukkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai petunjuk dalam beramal? Inilah landasan risalah yang sahih dalam menentukan ketulenan amalan serta titik tolak penerimaan amalan kita oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Setiap keikhlasan, sebenarnya mestilah disertakan dengan kesahihan amalan itu sendiri. Kesahihan amalan mestilah dinilai berdasarkan kewujudan bukti dalil daripada kedua-dua sumber tersebut yang saya sebutkan tadi iaitulah al-Qur’an dan as-Sunnah. Tatacara dan bentuk perlaksanaan amalan mestilah diatur-tunjuk oleh al-Qur’an dan as-Sunnah.

“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (Wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya. Ingatlah! (hak Yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala Ibadat dan bawaan Yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang Yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (az-Zumar: 2-3)

“Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa Yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.” (Thaha: 123)

“Barangsiapa yang beramal dengan amalan selain dari cara kita, maka ianya tertolak.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1718)

Kesilapan Dalam Mengambil al-Qur’an dan as-Sunnah

Suatu lagi permasalahan yang sering terwujud atau sengaja diwujudkan adalah berpunca daripada kesilapan menilai dan mengambil isi al-Qur’an dan as-Sunnah. Al-Qur’an dan as-Sunnah tidak boleh diambil dengan neraca nafsu dan aqal semata-mata. Lalu bagaimanakah mesti kita mengambilnya?

Perpecahan Yang Dijanjikan

“Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari ahlu kitab telah berpecah belah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya agama ini (Islam) akan berpecah-belah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di dalam neraka dan satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama’ah.” (Hadis Riwayat Abu Duad, Ahmad, ad-Darimi, al-Ajury, al-Lalikaiy. Disahihkan oleh al-Hakim, dan disepakati oleh Imam Az-Zhahabi)

Dalam riwayat yang lain disebutkan; “Semua golongan tersebut tempatnya di Neraka kecuali satu (iaitu) yang aku dan para sahabatku meniti di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dinilai Hasan oleh al-Albani)

Ketika Rasulullah memberitahukan bahawa umat ini akan terpecah menjadi 73 golongan yang kesemuanya di neraka, kecuali satu golongan. Baginda Rasulullah ditanya tentang perihal siapa yang satu itu..., lalu baginda Rasulullah s.a.w. menjawab;

“Mereka adalah orang yang berada di atas ajaran yang sama dengan ajaranku pada hari ini, dan para sahabatku.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut Sheikh Soleh al-Fauzan di dalam Kitab Tauhid-nya (التوحيد للصف الاول العالي), “kebenaran sabda baginda Rasulullah s.a.w. tersebut telah terbukti ketika sebahagian manusia membangunkan aqidah dan manhaj mereka di atas selain kitab Allah dan sunnah yang sahih, iaitu dengan mengambil landasan ilmu kalam (mantiq dan aqal) yang diwarisi daripada falsafah Yunani dan Romawi. Maka atas sebab itulah, terjadinya pelbagai penyimpangan dan perpecahan dalam hal aqidah yang mana seterusnya mengakibatkan pecahnya umat dan retaknya masyarakat Islam kepada pelbagai jenis firqah (kelompok) dan manhaj beragama yang berbeza-beza.”

Sabda Rasulullah di dalam hadis yang lain;

“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat. (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, berkata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih”. Juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Darimi dalam kitab Sunan mereka. Demikian juga oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi (Tahqiq al-Mustadrak, 1/288))

Pemurnian Semula Manhaj dan Aqidah Beragama

Berdasarkan kepada pertikaian dan penjelasan hadis di atas tidak dapat tidak, kita mestilah berusaha mengembalikan manhaj menilai (memegang) al-Qur’an dan as-Sunnah berdasarkan fahaman para sahabat ataupun disebut sebagai para salafus-soleh (golongan beriman dan soleh terdahulu dan terawal menerima Islam). Hanya manhaj (prinsip) inilah yang mampu menyelamatkan kita daripada ketelanjuran beragama dan menempatkan kita sentiasa di jalan yang sahih.

Ini dibuktikan apabila AllahSubhanahu wa Ta’ala sendiri memuji golongan salafus-soleh (golongan awal) ini di dalam al-Qur’an antaranya di dalam surah ali ‘Imran, ayat 110 dan surah at-Taubah, ayat 100.

“Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka Dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan Yang besar.” (at-Taubah: 100)

Juga dipuji oleh Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri melalui hadisnya yang bermaksud; “Sebaik-baik manusia adalah pada masaku ini (iaitu para sahabat baginda), kemudian yang sesudah-nya (para tabi’in), kemudian yang sesudah-nya (para tai’ut tabi’in). Setelah itu akan datang suatu kaum yang persaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului persaksiannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Makanya, kekeliruan dan perpecahan dalam memahami agama hanya dapat disatukan semula dengan memurnikan semula aqidah kepada aqidah yang sahih dan bersih dari sebarang pengurangan dan penambahan yang dilakukan tanpa berdasarkan dalil yang sah. Pemahaman aqidah mestilah diambil terus daripada al-Qur’an dan as-sunnah dan manakala kaedah mantiq (falsafah serta olahan aqal), ta’wil, tahrif, dan sebagainya dalam mengambil aqidah hendaklah dibuang kerana aqal tidak akan mampu mendatangkan ketetapan yang haq dalam persoalan ghaib dan rahsia Allah, melainkan hanya sangkaan yang membawa kepada ke arah kesesatan yang memecah-belahkan. Prinsip dan manhaj dalam beragama perlulah di tegakkan di atas paksi al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih (atau sah) berdasarkan manhaj penafsiran ijmak salaful-ummah. Maka dengan itulah mengapa begitu pentingnya berpegang sepertimana yang diminta oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri iaitu menurut kefahaman para sahabat salafus-soleh.

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)” (al-an’am: 116)

Perbuatan ta’asub kepada amalan tradisi dan pemikiran hizb yang jelas tiada kaitan dengan agama, malahan yang jelas bercanggah hendaklah ditinggalkan. Amalan ta’asub kepada pihak-pihak tertentu hendaklah dibuang sejauh-jauhnya. Letakkanlah sikap ta’asub hanya kepada Allah dan Rasulullah. Tunduk, jujur, dan ikhlas dengan yang haq.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah", mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (Mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?” (al-Baqarah: 170)

Selain itu, masyarakat dan diri kita sendiri perlulah berusaha untuk keluar dari budaya taqlid buta atau hanya meng-iyakan apa yang diperkatakan oleh orang lain tanpa melakukan kajian dan penilaian selanjutnya (futher study). Taqlid buta amatlah berbahaya kerana jika orang yang ditaqlid-nya mempunyai kesilapan, maka diri kita juga akan terus mewarisi kesilapan tersebut. Seperti yang kita tahu, manusia tidaklah bebas dari melakukan kesilapan. Maka, setiap di antara kita punyai tanggunjawab terhadap setiap apa yang kita per-amalkan. Janganlah mudah berpuas hati setakat dengan apa yang kita dapati hanya dengan taqlid semata-mata. Jika DNA manusia, sistem anatomi badan, ilmu kejuruteraan, dan pelbagai lagi cabang ilmu mampu kita kaji, mengapa dalam bab agama kita tidak mahu bersikap teliti dengan mengambil inisiatif untuk turut mengkaji. Bukankah itu lebih membantu dalam mencari kesahihan dalam beramal dan menuju ke arah jaminan kesejahteraan? Oleh itu, di sinilah di mana peranan ilmu kita sendiri dan para ilmuan seluruhnya mempunyai tanggungjawab yang sangat penting dalam menyebarkan kebenaran. “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada Ahluz-Zikri (para ilmuan yang mengetahui) jika kamu tidak mengetahui. (al-Anbiya’: 7)

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (al-Isra’: 36)

Kepentingan budaya bermusyawarah dan perbincangan juga mesti diutamakan. Jauhi permusuhan dan sikap cela-mencela dalam kondisi memulakan dakwah kepada yang tidak memahami. Duduklah berdepan dan jalani perbincangan bersama dengan cara yang aman murni dengan sepenuh keikhlasan demi sebuah kebenaran yang haq.

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Ali ‘Imran: 159)

Ayuh masyarakat, kita kembalikan ketulenan amalan kita kepada yang haq. Kembali kepada sikap dan budaya para ilmuan terdahulu. Menilai dan mengkaji dengan teliti dan sentiasa memahatkan manhaj di atas fahaman salafus-soleh. Budaya ilmu dan saling belajar di antara satu dengan yang lain perlu disemarakkan dan disuburkan.

Ketahuilah bahawa perpecahan umat yang terjadi masa ini, telah banyak diberitakan di dalam dalil-dalil yang sah. Bersertakan dengan itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah menunjukkan apakah kaedah penawarnya... Hanya kita yang adakalanya tidak pernah mahu tunduk dengan ketetapan yang telah diturunkan. Lalu menta’wil-ta’wil dalil itu menurut hawa nafsu demi mempertahankan kesombongan yang tidak akan sampai ke-mana, lantas membuahnya pelbagai jurang perbezaan yang memecah-belah. Maka, kini telah tiba masanya untuk kita sama-sama muhasabah diri masing-masing demi sebuah kebenaran yang tulen lagi sejahtera. Dan hanya itulah solusi kepada pelbagai jenis fenomena perpecahan yang berlaku hari ini. Tunduk dan taat kepada yang haq. Demi sebuah kecintaan kepada baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka, tidak dapat tidak, hanya satu yang dapat kita tunjukkan bahawa kita mempunyai rasa kecintaan yang amat mendalam kepada baginda. Iaitulah menuruti setiap langkah sunnah-nya dengan kaedah yang bertepatan menuruti kehendak baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri. Berusahalah kita untuk menyingkapi setiap sunnah yang ditinggalkan buat kita semua itu. Hanya itulah yang bakal dan mampu menangani fenomena perpecahan yang melanda. Kembali kepada manhaj dan prinsip akidah yang tulen lagi sahih. Dengan berpegang kepada manhaj para sahabat, manhaj para salafus-soleh. Selaras saranan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (an-Nisa’: 59)

“Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (al-Hujuraat: 1)

“Sesungguhnya perkataan Yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang Yang beroleh kejayaan. Dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. Dan mereka (yang munafik) bersumpah dengan nama Allah, dengan sebebar-benar sumpahnya: Bahawa jika Engkau (Wahai Muhammad) perintahkan mereka (keluar berjihad), tentulah mereka akan keluar. katakanlah: "Janganlah kamu bersumpah, (taat kamu itu) taat Yang terkenal (dustanya). Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan". (an-Nuur: 51-53)

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (al-Ahzaab: 21)

Rujukan:

1. Prinsip-prinsip Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jama’ah, Yazid Abdul Qadir Jawas, Pustaka at-Taqwa, 2002.
2. Kitab Tauhid, Dr. Soleh al-Fauzan, Darul Haq, 2000.
3. Ikhwanul Muslimin Atau Ikhwanul Muflisin, Rasul Dahri, Cet. Pertama 2007)
4. Mereka Adalah Terroris, Luqman Ba’aduh, Cet. Qaulan Sadida, 2005)
5. Fi Zilalil Qur’an, Terjemahan Kelolaan YAPEIM.

6 comments:

Zulfadhli Al Fahmi Abdul Hamid said...

Syukran.. nice post.
I add you in my list

Amira Farhana Maarop said...

Assalamualaikum....
>terima kasih banyak2
>InsyaALLAH saya akan memanfaatkan segala ilmu yang saya pelajari..
>wassalam

Anonymous said...

Alhamdulillah... Moga kita sama2 mengkaji lebih lagi

Reduan bin Salleh said...

saya terkilan post ini hingga dalam hati tertanya hujah taklid dan sebagai pembaca ingin tahu, adakah seseorang yang berhasrat memeluk agama islam perlu membuat satu research yang kita tidak tahu sampai bila baru mengucap dua kalimah syahadah?
Yang ikhlas, Reduan Salleh.

Reduan bin Salleh said...
This comment has been removed by the author.
dakwahpost.com said...

syukron tambahan ilmu mengenai aqidah imam syafii

visit link berikut ini

http://www.kumpulankonsultasi.com/2015/03/apa-manhaj-aqidah-imam-asy-syafii-mengenai-sifat-al-istiwa-bersemayam-di-atas-arsy.html