__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Thursday, April 23, 2009

095 - Tiada Sesuatu Pun Sebelum-Nya

Tiada Sesuatu Pun Sebelum-Nya

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Imam al-Bukhari dan selainnya meriwayatkan dari hadis ‘Imran bin Hushain radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa penduduk Yaman pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Kami datang untuk mendalami persoalan agama dan kami juga ingin bertanya kepadamu permulaan urusan (terciptanya seluruh makhluk) ini.”

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

“Allah-lah yang pertama kali ada, dan tidak ada sesuatu pun yang ada sebelum-Nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7418)

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Tidak ada yang lain sebelum-Nya. Dan ‘Arsy-Nya ada di atas air. Dia menetapkan (ketentuan) segala sesuatu serta menciptakan langit dan bumi.”

Dalam riwayat lain turut disebutkan:

“Kemudian Dia menciptakan langit dan bumi.”

Manusia berselisih pendapat menjadi dua kelompok di dalam memahami hadis ini. Di antara mereka ada yang mengatakan:

“Yang dimaksudkan oleh hadis ini adalah bahawa Allah mengatakan bahawa Allah ketika itu bersendiri, kemudian Dia mula menciptakan segala sesuatu. Sehingga Allah mula melakukan sesuatu, yang mana sebelumnya Dia tidak pernah melakukan sesuatu dari mulanya waktu yang tidak ber-awal, sehingga ke saat Dia mula mencipta. Dan perbuatan itu pun sebelumnya mustahil bagi-Nya.”

Manakala pendapat yang kedua menyatakan:

“Yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah bahawa Allah mengkhabarkan tentang permulaan apa yang diciptakan-Nya dari alam dunia yang zahir (nyata) ini, di mana Dia menciptakannya dalam kurun waktu enam masa sedangkan Dia berada di atas ‘Arsy. Perkara itu adalah sebagaimana yang dijelaskan di dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an.”

Dalam Shahih Muslim, dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru radhiyallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam disebutkan bahawa beliau bersabda (maksudnya):

“Allah telah menetapkan takdir para makhluk-Nya lima puluh ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.” Beliau melanjutkan:

“Dan ketika itu, ‘Arsy-Nya berada di atas air.” (Hadis Riwayat Muslim, 2753)

Dari hadis ini Allah mengkhabarkan bahawa penetapan takdir alam dunia yang diciptakan-Nya dalam kurun waktu enam masa ini sudah ada lima puluh ribu tahun sebelum masa penciptaan-Nya. Manakala ‘Arsy-Nya ketika itu berada di atas air. Hujjah kebenaran pendapat pihak yang kedua ini dapat kita lihat melalui beberapa sisi:

Pertama:

Perkataan penduduk Yaman:

“Kami datang untuk bertanya kepada mu tentang permulaan urusan (terciptanya seluruh makhluk) ini.”

Ini adalah merupakan satu isyarat berkenaan dengan segala yang zahir (nyata) yang ada ini. Dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjawab dengan menceritakan awal penciptaan alam dunia yang nyata ini, dan tidak menjawab dengan menceritakan tentang jenis-jenis makhluk-Nya. Kerana mereka tidaklah menanyakan berkenaan perkara tersebut. Beliau juga menjelaskan berkenaan penciptaan langit dan bumi, manakala Allah sendiri berada di atas ‘Arsy. Dan beliau tidak menceritakan tentang penciptaan ‘Arsy, padahal ‘Arsy itu sendiri telah diciptakan sebelum kedua makhluk (langit dan bumi) itu diciptakan.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallah juga menjelaskan bahawa:

“Allah-lah yang pertama kali ada, dan tidak ada sesuatu pun, atau selain-Nya yang ada sebelum keberadaan-Nya.”

Dan beliau juga melanjutkan penjelasannya:

“Dan ‘Arsy-Nya berada di atas air. Dia menetapkan (ketentuan) segala sesuatu dan menciptakan bumi dan langit.”

Beliau merangkaikan (menggabungkan/mengaitkan) tiga perkara yang disebutkan di situ dengan kata “dan”. Manakala ucapan beliau:

“Dan Dia menciptakan langit dan bumi”, diriwayatkan dengan “dan”, juga dengan “kemudian”. Maka dengan ini, jelaslah bahawa yang dimaksudkan di situ bahawa Allah mengkhabarkan kepada mereka tentang penciptaan langit, bumi, dan segala apa yang ada di antara keduanya yang Dia ciptakan dalam waktu enam masa.

Maka, dengan ini ia bukanlah menceritakan tentang bermulanya penciptaan segala sesuatu yang lain sebelum itu.

Begitulah juga dengan perkataan beliau:

“Allah-lah yang pertama kali ada. Dan tidak ada sesuatu yang ada sebelum-Nya.”

Tidaklah benar bila dikatakan bahawa yang dimaksudkan bahawa Allah ‘Azza wa Jalla ketika itu ada sendirian dan tidak ada satu makhluk pun berama-Nya. Kerana ucapan beliau:

“Dan ketika itu ‘Arsy-Nya ada di atas air.”

Maka, ianya menunjukkan sebuah pertentangan. Sebenarnya bentuk penuturan ucapan beliau tadi, boleh jadi ‘Arsy-Nya itu dalam keadaan sudah ada ketika keduanya (langit dan bumi) diciptakan, mungkin juga yang dimaksudkan adalah bahawa kesemuanya diciptakan bersamaan. Mana pun yang benar, yang jelas di sini bahawa ia (‘Arsy) tersebut sudah ada pada ketika itu. Maka dari itu, dapatlah difahami bahawa yang dimaksudkan adalah:

“Tidak ada sebelum itu, segala yang ada di alam dunia yang zahir (nyata) ini.”

Rujukan:

Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, terbitan/terjemahan pustaka at-Tibyan.