__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Wednesday, November 3, 2010

128 - Mengimani Kewujudan Titian Shiraath di Hari Pembalasan

Mengimani Kewujudan Titian Shiraath di Hari Pembalasan

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Syaikh Muhammad B. Soleh al’-Utsaimin rahimahullah menyatakan:

الصراط لغة: الطريق. وشرعاً: الجسر الممدود على جهنم ليعبر الناس عليه إلى الجنة. وهو ثابت بالكتاب، والسنة، وقول السلف

ash-Shiraath secara bahasa adalah jalan, adapun secara istilah adalah jambatan/titian yang terbentang di atas Neraka Jahannam sebagai laluan bagi manusia melintas (menyeberang) menuju Syurga.” (Syarah Lum’atul I’tiqad al-Hadi ila Sabilir rosyad, m/s. 41)

Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 573H) menyatakan:

والصِّراطُ حقٌّ يَجُوزُهُ الأَبْرارُ، ويَزِلُّ عنْهُ الفُجَّارُ

Adanya jambatan (ash-Shirat) di antara Syurga dengan Neraka adalah satu kebenaran yang dapat dilintasi (diseberangi) oleh orang-orang yang baik, manakala orang-orang yang jahat akan tergelincir di ketika menyeberanginya. (Rujuk: Matan Lum’atul I’tiqad)

Perkhabaran tentang kewujudan Shiraath (jambatan) ini adalah sahih berdasarkan dalil-dalil dari al-Qur’an dan as-Sunnah serta disepakati pula oleh para ulama salaf.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَإِنْ مِنْكُمْ إِلا وَارِدُهَا كَانَ عَلَى رَبِّكَ حَتْمًا مَقْضِيًّا

“Dan tiada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi Neraka itu...” (Surah Maryam, 19: 71)

‘Abdullah B. Mas’oud, Qotadah dan Zaid B. Aslam radhiyallahu ‘anhum menyatakan bahawa maksudnya melalui jambatan. Manakala sebahagian ulama lainnya seperti Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma menafsirkannya dengan memasuki neraka tetapi mereka selamat darinya. (Rujuk: Tafsir Ibnu Katsir)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

ثُمَّ يُضْرَبُ الْجِسْرُ عَلَى جَهَنَّمَ وَتَحِلُّ الشَّفَاعَةُ وَيَقُولُونَ اللَّهُمَّ سَلِّمْ سَلِّمْ

“Kemudian dibentangkan jambatan di atas Neraka Jahannam dan berlakulah syafa’at dan mereka mengatakan, “Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah...” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/427, no. 269)

Ciri-ciri ash-Shiraath (Jambatan)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah ditanya berkenaan jambatan ini, maka beliau menjawab:

مَدْحَضَةٌ مَزِلَّةٌ عَلَيْهِ خَطَاطِيفُ وَكَلَالِيبُ وَحَسَكَةٌ مُفَلْطَحَةٌ لَهَا شَوْكَةٌ عُقَيْفَاءُ تَكُونُ بِنَجْدٍ يُقَالُ لَهَا السَّعْدَانُ

“Sebuah jambatan/laluan yang menjadikan orang tergelincir, di atasnya terdapat sesuatu yang menyambar-nyambar dan besi yang hujungnya bengkok (pengait) serta besi keras yang lebar dan luas tetapi memiliki duri bengkok yang berada di daerah Nejad yang bernama duri Sa’dan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, 22/448, no. 6886)

وَبِهِ كَلَالِيبُ مِثْلُ شَوْكِ السَّعْدَانِ - غَيْرَ أَنَّهَا لَا يَعْلَمُ قَدْرَ عِظَمِهَا إِلَّا اللَّهُ فَتَخْطَفُ النَّاسَ بِأَعْمَالِهِمْ

“Dan padanya (jambatan) itu memiliki besi yang hujungnya bengkok seperti duri sa’dan - cuma tidak ada yang mengetahui ukuran saiznya melainkan Allah. Ia akan menyambar manusia bersesuaian dengan amal perbuatan mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab ar-Riqaq, 20/238, no. 6088)

جِسْرٌ أَدَقُّ مِنْ الشَّعْرِ وَأَحَدُّ مِنْ السَّيْفِ

“Jambatan tersebut lebih halus dari sehelai rambut dan lebih tajam dari mata pedang.” (Hadis Riwayat Ahmad, 41/303, no. 24793. Dinilai dhaif oleh Syu’aib al-Arnauth)

بلغني أن الجسر أدق من الشعر وأحد من السيف

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, katanya: “Telah sampai kepadaku bahawa jambatan tersebut lebih halus dari sehelai rambut dan lebih tajam dari mata pedang.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, 16/380. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth dan al-Albani, at-Ta’liqat al-Hasan ‘ala Shohih Ibn Hibban, 52/1038)

Cara Melintasi ash-Shiraath (Jambatan)

Tidak akan dapat melintasinya melainkan orang-orang mukmin bersesuaian dengan kadar amal perbuatan mereka, manakala bagi orang-orang kafir, mereka serta-merta dihumban ke neraka sebaik dihisab. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

فَيَمُرُّ الْمُؤْمِنُونَ كَطَرْفِ الْعَيْنِ وَكَالْبَرْقِ وَكَالرِّيحِ وَكَالطَّيْرِ وَكَأَجَاوِيدِ الْخَيْلِ وَالرِّكَابِ فَنَاجٍ مُسَلَّمٌ وَمَخْدُوشٌ مُرْسَلٌ وَمَكْدُوسٌ فِي نَارِ جَهَنَّمَ

“Orang-orang yang beriman akan melaluinya seperti kerdipan mata, dan ada yang seperti kilat, angin, burung, kuda yang baik dan unta. Maka merekalah yang selamat dan diselamatkan. Ada pula yang dicabik-cabik lalu dilepaskan dan ada pula yang masuk ke dalam Neraka Jahannam.” (Muttafaq ‘Alaih: al-Bukhari, 22/448, no. 6886. Muslim, 1/427, no. 269)

Lafaz dalam Shohih Muslim disebutkan:

تَجْرِي بِهِمْ أَعْمَالُهُمْ وَنَبِيُّكُمْ قَائِمٌ عَلَى الصِّرَاطِ يَقُولُ رَبِّ سَلِّمْ سَلِّمْ حَتَّى تَعْجِزَ أَعْمَالُ الْعِبَادِ حَتَّى يَجِيءَ الرَّجُلُ فَلَا يَسْتَطِيعُ السَّيْرَ إِلَّا زَحْفًا

“Mereka berjalan bersesuaian dengan amal perbuatan mereka, dan Nabi kamu berdiri di atas jambatan sambil berdoa, “Ya Tuhan, selamatkanlah, selamatkanlah...” Sehingga amal perbuatan tersebut tidak mampu lagi membawanya sehingga ada yang tidak mampu berjalan melainkan dengan cara merangkak.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/449, no. 288)

Dalam lafaz al-Bukhari:

حَتَّى يَمُرَّ آخِرُهُمْ يُسْحَبُ سَحْبًا

“Sehingga yang terakhir melaluinya dengan menyeret badannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, 22/448, no. 6886)

Yang pertama sekali menyeberangi jambatan ini dari kalangan para Nabi adalah Rasulullah Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan bagi seluruh manusia adalah umat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdasarkan sabdanya,

فَأَكُونُ أَنَا وَأُمَّتِي أَوَّلَ مَنْ يُجِيزُهَا وَلَا يَتَكَلَّمُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا الرُّسُلُ وَدَعْوَى الرُّسُلِ يَوْمَئِذٍ اللَّهُمَّ سَلِّمْ سَلِّمْ

“Aku dan umatku adalah yang pertama sekali menyeberanginya, dan ketika itu tiada yang berbicara melainkan para Rasul, dan doa para Rasul pada ketika itu adalah, “Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, 22/447, no. 6885)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyimpulkan bahawa:

والصراط منصوب على متن جهنم وهو الجسر الذي بين الجنة والنار يمر الناس على قدر أعمالهم فمنهم من يمر كلمح البصر ومنهم من يمر كالبرق ومنهم من يمر كالريح ومنهم من يمر كالفرس الجواد ومنهم من يمر كركاب الإبل ومنهم من يعدو عدوا ومنهم من يمشي مشيا ومنهم من يزحف زحفا ومنهم من يخطف خطفا ويلقى في جهنم . فإن الجسر عليه كلاليب تخطف الناس بأعمالهم فمن مر على الصراط دخل الجنة فإذا عبروا عليه وقفوا على قنطرة بين الجنة والنار فيقتص لبعضهم من بعض فإذا هذبوا ونقوا أذن لهم في دخول الجنة

Ash-Shiraath dibentangkan di atas neraka jahannam, ia adalah jambatan/titian di antara syurga dan neraka. Manusia melaluinya (meniti di atasnya) bersesuaian dengan kadar amal perbuatan mereka, di antara mereka ada yang melaluiya sepantas kerdipan mata, ada yang melaluinya seperti kilat, ada yang melaluinya selaju angin, ada yang melaluinya seperti larian kuda, ada yang melaluinya seperti menunggang unta, ada yang melaluinya dengan berlari, ada yang melaluinya dengan berjalan, dan ada yang melaluinya dengan merangkak. Di antara mereka ada yang disambar lalu dilemparkan ke dalam jahannam, kerana di jambatan/titian tersebut terdapat besi pengait yang menyambar manusia bersesuaian dengan amalnya. Sesiapa yang berjaya melepasi titian siraath, dia masuk syurga. Apabila mereka telah melaluinya, maka mereka berhenti di jambatan di antara syurga dan neraka, lalu dilaksanakan qishash dari sebahagian untuk sebahagian yang lain. Apabila mereka telah disucikan dan dibersihkan, mereka diizinkan masuk syurga. (al-Aqidah al-Wasithiyah, m/s. 20)

Diambil dan disunting dari Syarah Lum'atul I'tiqad milik Syaikh Muhammad B. Soleh al-'Utsaimin rahimahullah