__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Friday, February 19, 2010

116 - Masa Tidak Termasuk Nama Allah

Masa (ad-Dahr) Tidak Termasuk Nama Allah

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Berkata Syaikh Muhammad B. Soleh al-Utsaimin (rahimahullah):

ومن ثم نعرف أنه ليس من أسماء الله: "الدهر" لأنه لا يتضمن معنى يبلغ غاية الحسن، فأما قوله صلى الله عليه وسلم

Ad-Dahr (masa) tidaklah termasuk Nama Allah kerana kalimah tersebut tidak mengandungi makna kebaikan yang sempurna. Ada pun berkaitan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

لا تسبوا الدهر، فإن الله هو الدهر

Terjemahan: “Jangan kamu mencela ad-Dahr (masa), kerana Allah adalah ad-Dahr (masa).” (Hadis Riwayat Ahmad, 15/70, no. 9137. Muslim, 11/313, no. 4169)

فمعناه: مالك الدهر المتصرف فيه، بدليل قوله في الرواية الثانية عن الله تعالى

Maknanya di sini bahawa Allah-lah yang menguasai masa ini, Allah yang mengatur masa, berdasarkan firman Allah melalui sebuah hadis qudsi:

بيدي الأمر أقلب الليل والنهار

Terjemahan: “Di Tangan-Ku-lah segala urusan, Aku yang menukar malam dan siang.” (Rujuk: Syaikh Muhammad B. Soleh al-Utsaimin, Syarah Lum’atul I’tiqad, saaid.net)

Beliau (Syaikh Muhammad B. Soleh al-Utsaimin) juga menjelaskan:

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui sebuah hadis qudsi:

“Manusia telah menyakitiku, mereka mencela masa.”

Iaitu mencela waktu atau zaman, sama ada siang atau malam, sedangkan mencela siang atau malam bererti mencela Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana Allah-lah yang mengatur adanya siang dan malam. Kerana itu Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentang dirinya di dalam sebuah hadis qudsi:

“Akulah masa, hanya di tangan-Ku segala urusan, Akulah yang menukar siang dan malam.” (Muttafaq ‘alaih)

Ada pun memuji masa, berkaitan dengan seseorang yang memuji Rabb-nya dengan memuji masa tersebut bukan hanya memuji hari-hari siang dan malam maka tidak mengapa. Dan ini adalah baik. Seperti perkataan ini adalah hari-hari yang menyenangkan, aman, dan membahagiakan, dan alhamdulillah. Maka ia merupakan hari yang barakah atau seumpamanya, maka keadaan ini tidak mengapa. Ada pun memuji masa dengan melupakan Pencipta masa itu, maka ini tidak dibenarkan. Kerana memuji sebab dengan melupakan yang menjadikan sebab sebenarnya merendahkan dan meruntuhkan penyebab, iaitu Allah. (Rujuk: Ensiklopedi Fatwa Syaikh ‘Utsaimin (Judul asal: al-Fatawa al-Muhimmah), jil. 1, m/s. 113, Terbitan/terjemahan Pustaka as-Sunnah)

Di dalam riwayat yang lain, Rasulullah menjelaskan:

لَا تَسُبُّوا الدَّهْرَ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ: أَنَا الدَّهْرُ، الْأَيَّامُ وَاللَّيَالِي لِي، أُجَدِّدُهَا وَأُبْلِيهَا، وَآتِي بِمُلُوكٍ بَعْدَ مُلُوكٍ

Terjemahan: “Janganlah kamu mencela masa kerana Allah berfirman, “Aku adalah masa, malam dan siang adalah milik-Ku, Aku menjadikannya baru dan berlalu, dan Aku mengganti para raja dengan para raja yang baru”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 16/272, no. 10438. Tahqiq Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Hadis Sahih)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah menyebutkan:

قال الشافعي وأبو عبيدة وغيرهما من الأئمة في تفسير قوله: "لا تسبوا الدهر؛ فإن الله هو الدهر": كانت العرب في جاهليتها إذا أصابهم شدة أو بلاء أو نكبة، قالوا: يا خيبة الدهر. فيسندون تلك الأفعال إلى الدهر ويسبونه، وإنما فاعلها هو الله [عز وجل] فكأنهم إنما سبوا، الله عز وجل؛ لأنه فاعل ذلك في الحقيقة، فلهذا نُهي عن سب الدهر بهذا الاعتبار؛ لأن الله هو الدهر الذي يعنونه، ويسندون إليه تلك الأفعال. هذا أحسن ما قيل في تفسيره، وهو المراد، والله أعلم. وقد غلط ابن حزم ومن نحا نحوه من الظاهرية في عدهم الدهر من الأسماء الحسنى، أخذا من هذا الحديث

Terjemahan: Telah berkata asy-Syafi’e, Abu ‘Ubaidah dan selainnya dari para imam di dalam tafsir berkenaan firman Allah: “Janganlah kamu mencela masa, kerana Allah adalah ad-Dahr (masa).”

Pada masa ‘Arab jahiliyyah, ketika bangsa ‘Arab ditimpa bencana sehingga mereka menganggap bahawa yang melakukan semua itu adalah masa, lalu mereka pun mencela masa, padahal yang melakukan semua itu adalah Allah (‘Azza wa Jalla). Dengan perkataan mereka itu, seakan-akan mereka mencela Allah ‘Azza wa Jalla, kerana Allah-lah yang yang melakukan semuanya. Sebab itulah perbuatan mencela masa dilarang, kerana Allah adalah masa dengan merujuk maksud celaan tersebut. Juga kerana setiap kejadian yang buruk tersebut dinisbatkan oleh mereka kepada Allah (yang menjadikannya).

Inilah perkataan terbaik di dalam mentafsirkannya dan itulah maksud yang sebenarnya. Wallahu a’lam.

Dalam hal ini, Ibnu Hazm dan yang sealiran dengannya dari kelompok zhohiriyyah telah silap (keliru) di mana mereka menyatakan bahawa ad-Dahr (masa) adalah salah satu dari Asma’ al-Husna (Nama-nama) Allah berdasarkan hadis tersebut. (Rujuk: Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-Adzim, 7/269-270)

Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan:

فَسَابّ الدّهْرِ دَائِرٌ بَيْنَ أَمْرَيْنِ لَا بُدّ لَهُ مِنْ أَحَدِهِمَا . إمّا سَبّهُ لِلّهِ أَوْ الشّرْكُ بِهِ فَإِنّهُ إذَا اعْتَقَدَ أَنّ الدّهْرَ فَاعِلٌ مَعَ اللّهِ فَهُوَ مُشْرِكٌ وَإِنْ اعْتَقَدَ أَنّ اللّهَ وَحْدَهُ هُوَ الّذِي فَعَلَ ذَلِك وَهُوَ يَسُبّ مَنْ فَعَلَهُ فَقَدْ سَبّ اللّهَ

Terjemahan: Mencela masa itu berkemungkinan daripada salah satu dari dua perkara yang pasti berlaku. Iaitu mungkin darinya telah mencela/menyakiti Allah atau mensyirikkannya. Sekiranya ia meyakini bahawa masa itu bersifat (bertindak) seperti Allah, maka ia telah melakukan kesyirikkan. Dan sekiranya ia berkeyakinan bahawa Allah-lah sahaja yang bertindak, tetapi kemudian dia mencela masa, maka dia telah mencela Allah disebabkan Allah-lah yang memperlakukan (mengatur) masa tersebut. (Rujuk: Ibnul Qayyim, Zaadul Ma’aad, 2/323)

Wallahu a’lam...