__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Monday, May 19, 2008

058 - ADAKAH BID'AH TERBAHAGI DUA?

ADAKAH BID'AH TERBAHAGI DUA?

Beberapa golongan ulama ahli Sunnah wal Jamaah dari kalangan Salaf as-Soleh telah membahagikan bid'ah kepada dua bahagian iaitu bid'ah yang diistilahkan sebagai bid'ah hasanah (بِدْعَةٌ حَسَنَةٌ) "bid'ah yang baik" dan bid'ah dhalalah (بِدْعَةٌ ضَلاَلَةٌ) "bid'ah yang sesat".

Perselisihan dalam soal pembahagian bid'ah timbul lantaran kekeliruan umat Islam selepas zaman as-Salaf dalam memahami istilah bid'ah dan kesilapan pada memahami maksud dari penggunaan bahasa bid'ah itu sendiri oleh masyarakat 'Ajam (bukan Arab). Antara punca-punca yang lain ialah:

(1). Timbulnya beberapa kecelaruan untuk menentukan asas dan cara mengistimbat hukum ahkam serta pemahamannya. (Lihat: علم اصول البدع Hlm. 43. Ali Hasan) Untuk mengatasi masalah ini sebahagian ulama yang terpengaruh dengan kaedah mantik (logik) Yunani (Greek) menggunakan kaedah ini untuk memahami istilah agama dan cara mengistimbat hukum halal dan haram di dalam syara. Kejadian ini telah berleluasa dan ketara terutamanya selepas berlalunya zaman Salaf as-Soleh disebabkan menularnya kejahilan, kehilangan (kematian) ulama sunnah, bertambahnya ulama bid'ah, ulama nifak dan ulama pengampu yang suka bekerjasama dengan pemerintah zalim yang sentiasa berusaha untuk menghapuskan ulama sunnah dan para pengikut mereka.

Dari Ziad berkata: Pernah berkata kepada aku 'Umar radhiallahu 'anhu:

هَلْ تَدْرِىْ مَا يُهْدِمُ دِيْن اْلاِسْـلاَمِ ؟ قُلْتُ : لاَ . قَالَ يُهْدِمُ زِلَّةُ الْعَالِمِ وَجِدَالُ مُنَافِقِ بِاْلآيَاتِ وَحُكْمُ اْلاَئِمَّةِ الْمُضِلِّيْنَ

"Tahukah engkau siapa yang menghancurkan agama Islam? Aku berkata: Tidak! Beliau berkata: Yang menghancurkannya ialah orang alim yang jahat (yang sukakan bid'ah), perbincangan (perdebatan) orang munafik tentang ayat-ayat (Allah) dan perlaksanaan hukum dari para pemimpin pemerintah yang zalim". (Dikeluarkan oleh: (1). Ad-Darami dalam "As-Sunan". Jld. 1. 71. (2). Ibn Abdulbar dalam جامع البيان العلم. Jld. 2. Hlm 110. (3). Abu Syamah dalam الباعث على انكار البدع والحوادث. Hlm. 13)

(2). Mematuhi (ittiba') kehendak hawa nafsu dalam menentukan hukum ahkam agama adalah antara punca berlakunya bid'ah. (Dikeluarkan oleh: (1). Ad-Darami dalam "As-Sunan". Jld. 1. 71. (2). Ibn Abdulbar dalam جامع البيان العلم. Jld. 2. Hlm 110. (3). Abu Syamah dalam الباعث على انكار البدع والحوادث. Hlm. 45) Sepatutnya setiap individu muslim berittiba' kepada al-Quran dan as-Sunnah dan tidak bertaklid buta serta berittiba' kepada hawa nafsu yang menjadi punca utama berlakunya penyelewengan dari jalan Allah yang lurus.

Syara’ mewajibkan setiap mukmin hanya mengikut jalan Allah yang dipandu oleh sunnah Rasul-Nya. Meninggalkan sunnah samalah seperti meninggalkan petunjuk yang mengakibatkan berlakunya bid'ah dan kesesatan sebagaimana keterangan nas di bawah ini:

وَلاَ تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلُّكَ عَنْ سَـبِيْلِ اللهِ اِنَّ الَّذِيْنَ يُضِـلُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيْدٌ بِمَا نَسُوْا يَوْمَ الْحِسَابِ

"Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan". (Shaad, 38: 26)

وَمَنْ اَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًاى مِنَ اللهِ

"Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun". (al-Qasas, 28: 50)

Berkata Ubay bin Ka'ab radhiyallahu 'anhu:

عَلَيْكُمْ بِالسَّـبِيْلِ وَالسُّنَّةِ ، فَاِنَّهُ لَيْسَ مِنْ عَبْدٍ عَلَى سِبِيْلٍ وَسُـنَّةٍ ذَكرَ الرَّحْمَنَ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ فَتَمَسَّهُ النَّار اَبَدًا . وَاِنَّ اِقْتِصَـادًا فِىْ سَبِـيْلِ سُـنَّةٍ خَيْرٌ مِنْ اِجْتِهَادٍ فِىْ خِلاَفِ سَبِيْلٍ وَسُنَّةٍ

"Hendaklah kamu mengikut jalan (Allah) dan sunnah (Rasul-Nya). Maka sesungguhnya tidak akan diperolehi oleh seseorang hamba yang tidak mengikut jalan (Allah) dan sunnah (Rasul-Nya walaupun) berzikir kepada Rahman (Allah) sehingga mengalir air matanya kerana takutkan Allah, namun dia akan tetap disentuh (dimasukkan) ke dalam neraka (lantaran tidak mengikut sunnah). Sesungguhnya berpada-pada (dalam melakukan ibadah tetapi) mengikut jalan (Allah) dan sunnah (contoh Rasul-Nya) lebih baik dari bersungguh-sungguh tetapi menyalahi (terkeluar) dari jalan (Allah) dan sunnah (Rasul-Nya)". ((1). Dikeluarkan oleh Ibn Battah dalam "Al-Ibanah" (1/27/1) Makhtut. (2). Al-Lalikaii. Lihat: شرح اصول اعتقاد اهل السنة. Jld. 1 Hlm. 54. (3). Abu Na'em. Lihat: حلية الاولياء. Jld. Hlm. 252-253. (4). Ibn Jauzi. Lihat: تلبيس ابليس. Hlm. 9. (5). Imam as-Syatibi. Lihat: الاعتصام. Jld. 1. Hlm. 81 dan 94. (6). Al-Baghawi. Lihat: شرح السنة. Jld. 1. Hlm. 208)

Al-Juneid rahimahumullah juga pernah berkata:

اَلطَّرِيْقُةُ كُلُّهَا مَسْدُوْدَةٌ اِلاَّ عَلَى الْمُتَّفِقِيْنَ آثَارِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْمُتَّبِعِيْنَ سُنَّتِهِ وَطَرِيْقَتِهِ ، فَاِنَّ طُرُقَ الْخَيْرَاتِ كُلُّهَامَفْتُوْحَةٌ عَلَيْهِ كَمَا قَالَ تَعَالَى (لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُوْلِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ)

"Semua jalan (ke syurga) tertutup kecuali bagi mereka-mereka yang mengikut (berpegang kepada) atsar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, mengikut sunnah serta jalannya. Maka sesungguhnya jalan-jalan semuanya dibuka di atas landasan sunnah sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya telah ada bagi kamu pada diri Rasulullah contoh yang baik". (Lihat: تلبيس ابليس. Hlm. 10-11. Dan Lihat: الاعتصام. Jld. Hlm. 10-11)

Maksud sebenar dari istilah bid'ah yang dikehendaki oleh golongan Ulama Salaf as-Soleh bolehlah diringkaskan melalui penjelasan berikut ini:

1. Bid'ah dhalalah : (بِدْعَةٌ ضَلاَلَةٌ) "Bid'ah (ciptaan yang diada-adakan) yang menyesatkan" ialah setiap bid'ah yang bersangkut-paut dengan akidah dan amal-ibadah atau urusan agama (syara). Larangan melakukan bid'ah dalam hal ini amat tegas kerana agama Islam tidak boleh dibid'ahkan lagi, ia sudah cukup sempurna dan lengkap sebagaimana yang sudah dijelaskan dengan dalil-dalil dan hujjah-hujjah di atas. Bid'ah dhalalah menyebabkan pembuatnya ke neraka dan akan kekal di dalamnya jika yang dilakukan bid'ah akidah.

2. Bid'ah hasanah(بِدْعَةٌ حَسَنَةٌ) : "Bid'ah yang baik". Bid'ah yang kedua ini hanya dimaksudkan pada bid'ah (ciptaan) dalam hal urusan (perkara-perkara) yang berbentuk keduniaan (kebendaan) semata. Sebagaimana yang telah kita fahami bahawa antara pengertian bid'ah ialah ciptaan. Usaha mereka-cipta (sesuatu ciptaan) yang berupa kebendaan atau kemajuan berbentuk keduniaan yang diperlukan oleh manusia amat digalakkan oleh agama selagi ciptaan (yang diistilahkan bid'ah keduniaan) tersebut tidak membahayakan atau memudaratkan manusia dan alam sejagat.

Terdapat beberapa nas yang menggalakkan orang-orang beriman supaya mencipta berbagai-bagai peralatan dan rekaan yang canggih untuk menjadi kegunaan, menambah kemakmuran dan memenuhi keperluan generasi manusia di dunia kerana dalam hal urusan dunia manusia diberi kebebasan dan lebih tahu menguruskannya sendiri menurut kemampuan dan kepakaran masing-masing sebagaimana sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَسَلَّمَ : (اَنْتُمْ اَعْلَمُ بِشُـؤُنِ دُنْيَاكُمْ)

“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam: Kamu lebih tahu hal ehwal (urusan) dunia kamu”. (H/R Muslim)

وَقَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ : ( اَنْـتُمْ اَعْلَمُ بِاَمْرِ دُنْيَاكُمْ )

"Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam: Kamu lebih tahu (pandai) tentang urusan dunia kamu". (H/R Muslim)

Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menggesa orang-orang beriman supaya mengecapi segala nikmat pemberian Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan jalan berusaha dan melakukan sesuatu. Antara cara yang digalakkan ialah dengan sentiasa membuat pembaharuan, mereka-cipta peralatan yang diperlukan oleh masyarakat dunia yang diistilahkan sebagai bid'ah (ciptaan) duniawi yang hasanah (baik).

Mencipta peralatan moden (teknologi canggih) adalah untuk kegunaan dan kemudahan manusia supaya dapat menjalani keselesaan dan kebahagian hidup agar dapat menunaikan ibadah di dunia dengan sempurna dan juga sebagai tanda kesyukuran mereka terhadap nikmat pemberian Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah telah berfirman:

وَابْتَغِ فِيْمَاآتَاكَ اللهُ الدَّارَ اْلآخِرَةَ وَلاَ تَنْسَ نَصِيْبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَاَحْسِنْ كَمَا اَحْسَنَ اللهُ وَلاَ تَبْغِ الْفَسَادَ فِى اْلاَرْضِ اِنَّ اللهَ لاَيُحِبُّ الْمُفْسِدِيْنَ

"Dan carilah apa yang telah Allah berikan kepada kamu demi untuk akhirat dan jangan lupa pula bahagianmu (kenikmatan) di dunia dan berbuat baiklah (kepada yang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan". (al-Qasas, 28: 77)

Orang yang beriman diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai khalifah-Nya di bumi ini. Mereka diseru supaya memakmurkan dunia antaranya melalui kemajuan dari hasil ciptaan (bid'ah) yang berbentuk kebendaan. Maka bid'ah (ciptaan baru) dalam berbagai-bagai bidang yang berbentuk keduniaan adalah fardu kifayah, sebaliknya pula bid'ah (ciptaan atau mengada-adakan sesuatu) di segi agama atau keagamaan adalah bid'ah dhalalah (menyesatkan) yang diharamkan oleh syara dari melakukannya buat selama-lamanya.

Memang ada segolongan ulama yang membahagikan bid'ah dalam urusan agama kepada bid'ah hasanah (baik) dan bid'ah qabihah (buruk). Ini adalah pembahagian yang batil. Agama atau syariat adalah hak Allah Subhanahu wa Ta'ala Tuhan semesta alam. Manusia tidak mempunyai hak untuk menentukan sesuatu perkara atau masuk campur dalam setiap urusan agama kerana semua yang berkaitan dengan agama Islam hanya urusan Allah semata.

Jika manusia dibenarkan masuk campur seperti menambah sesuatu (melakukan bid'ah) di dalam agama Allah ini, tentulah mereka dibenarkan juga mengurangkan sesuatu darinya. Namun, tidak pernah ada keizinan seperti itu dari al-Quran, as-Sunnah, athar yang sahih atau dari kalangan ulama Salaf as-Soleh. Dalam perkara ini seorang ulama telah memberi peringatan yang tegas melalui puisinya:

بدين المسلمين ، ان جاز زيد # فجازالنقص ايضاان يكونا
كفىذاالقول قبيحا ياخليلى # ولا يرضاه الا الجاهلون

"Dengan agama ini setiap Muslimin, jika dibenarkan menambah, maka akan dibenarkan juga mengurangkan, jika ini berlaku, cukuplah dikatakan perkara itu amat buruk wahai kekasihku. Dan tidak akan meredhainya yang demikian kecuali orang-orang yang jahil". (Lihat : تطهير الجنان عن درن الشرك والكفران Ahmad bin Hajar Ali Butami Ali as-Syafie as-Salafi. Hlm. 42-23)

SETIAP BID'AH DALAM AGAMA PASTI MENYESATKAN

(كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ)

"Setiap yang bid'ah itu sesat".


Perlu diperingatkan bahawa bid'ah di dalam perbincangan ini hanya merangkumi akidah, muamalah atau ibadah yang tidak melibatkan persoalan duniawi (kebendaan). Jika seseorang itu mahu memahami kesemua hadis-hadis yang telah dipaparkan kemudian mampu serta ada keinginan untuk membaca kitab-kitab yang menjelaskan sikap para sahabat terhadap setiap bid'ah, insya-Allah akan terbukti bahawa tidak terdapat walaupun seorang dari kalangan para sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam yang berani membahagikan bid'ah di dalam akidah, muamalah atau ibadah kepada dua bahagian, dua bentuk, dua cara, dua jenis atau lebih dari itu.

Kalimah kullu (كُلُّ) menurut ahli bahasa adalah salah satu bentuk kata umum. berkata Imam Syatibi rahimahullah:

مَحْمُولٌ عِنْدَ الْعُلَمَاءِ عَلَى عُمُوْمِهِ ، لاَ يُسْتَثْنَى مِنْهُ شَيْءٌ البَتَّة ، وَلَيْسَ فِيْهَا مَهُوَ حَسَنٌ اَصْلاً

"Menurut ulama: Hadis ini hanya diterapkan pada keumumannya, tanpa ada pengecualian apa pun darinya dan pada kalimah bid'ah tidak ada yang disebut bid'ah hasanah". (Lihat: الفتوى hlm. 181. as-Syatibi)

Adapun kalimah bid'ah dalam hadis ini ialah nakirah (indefinitif) yang jelas menunjukkan umum kerana tidak diawali dengan (ال). Begitu juga tidak seorangpun dari kalangan jumhur ulama hadis yang pernah mensyarahkan hadis-hadis yang berkaitan dengan bid'ah kepada dua jenis bid'ah atau lebih. Jika dibuat pengkajian secara ilmiyah, memang tidak kedapatan dari kalangan jumhur Ulama Salaf as-Soleh yang membahagikan bid'ah menurut syara kepada bid'ah hasanah dan bid'ah dhalalah.

Kalangan ulama khalaflah (ulama selepas zaman salaf) menjadi perintis dan yang mula-mula sekali membahagikan bid'ah kepada beberapa pecahan dan bahagian. Keadaan ini pesat berlaku terutamanya selepas 400 hijrah. Ini (antaranya) berpunca apabila lahirnya beberapa orang ulama selepas zaman Salaf (selepas kurun terbaik) khususnya yang terpengaruh dengan unsur-unsur metodologi pemahaman istilah Bahasa Arab yang diambil atau ditiru dari kaedah falsafah Bahasa Yunani, ditambah pula gerakan pemikiran falsafah Yunani yang tersebar luas dan lebih menekankan logika akal (mantik) dari kaedah naqal (pengambilan langsung dari al-Quran, as-Sunnah dan athar sahabat), maka kaedah Yunan (Greek) ini diguna pakai oleh sebahagian ulama Khalaf dalam menyelesaikan persoalan hukum ahkam dalam agama.

Cara yang betul dan selamat untuk memahami Bahasa Arab dan istilahnya mestilah melalui kaedah, cara, nahu atau tatabahasa melalui Bahasa Arab itu sendiri. Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam berbahasa dan berbangsa Arab. Al-Quran dan penafsirannya begitu juga as-Sunnah berserta syarahnya hanya menggunakan Bahasa Arab yang asli dan fasih (مُبِيْنٌ).

Kaedah yang selamat dan betul untuk memahami maksud dalam bahasa al-Quran serta as-Sunnah mestilah hanya dengan cara dan kaedah pemahaman melalui bahasa yang digunakan oleh kedua kitab tersebut berserta penafsirannya yang juga mestilah melalui bahasa itu sendiri. Adalah tidak tepat jika menggunakan bahasa asing atau elemen bahasa asing untuk memahami Bahasa Arab walau semaju mana sekalipun bahasa asing yang digunakan.

FUNGSI KALIMAH KULLU

Kalimah "Kullu" menurut ahli bahasa adalah salah satu bentuk kata umum. Imam Syatibi menjelaskan kaedah hadis ini yang menekankan kalimah kullu, iaitu:

مَحْمُوْلٌ عِنْدَ الْعَلَمَاء عَلَى عَمُوْمِهِ ، لاَيُسْتِثْنَى مِنْهُ شَيْءٌ اَلْبَتَّة وَلَيْسَ فِيْهَا مَا هُوَا حَسَنٌ اَصْلاً

"Menurut ulama, hadis ini diterapkan pada keumumannya tanpa ada pengecualian apa pun darinya. Pada bid'ah (di hadis ini pula) sama sekali tidak ada yang disebut (bid'ah) yang baik". (الفتوى Hlm. 180-18 Syatibi. Lihat: علم اصول البدع hlm. 91 Ali Hasan)

Antara fungsi kalimah (كُلُّ) yang digunakan oleh hadis di atas, dapat difahami dan diertikan dengan betul dan sempurna hanya melalui tatacara dan kaedah Bahasa Arab sahaja yang mana kalimah tersebut hanya boleh diertikan kepada makna: "Semua atau Kesemuanya".

Kalimah atau perkataan (كُلُّ) di dalam hadis ini adalah kalimah yang digunakan dalam Bahasa Arab untuk menjelaskan kepadatan atau kepastian yang semata-mata hanya memberi makna "Semuanya". Kalimah ini juga diistilahkan sebagai kalimah (جَامِعَةٌ) yang digunakan dalam Bahasa Arab hanya untuk menerangkan atau menunjukkan "kesemuanya atau keseluruhannya" tanpa adanya pengecualian sama sekali.

Dengan penjelasan ini perlu diberi penekanan dan perhatian yang serius bahawa kalimah (كُلُّ) dalam Bahasa Arab hanya memberi makna, erti dan maksud: "Semuanya atau Keseluruhannya". Ia sama sekali tidak boleh diterjemahkan kepada makna, erti atau maksud: "Separuh, Sebahagian atau Setengah". Maka hadis ini tidak membizakan dalam hukum antara satu bid'ah dengan bid'ah yang lain, iaitu tidak ada bid'ah hasanah dalam urusan agama.

Tambahan pula jika difahami kalimah kullu di hadis yang dibincangkan ini secara lahiriyah dan tabiinya menurut kaedah yang dimaksudkan oleh hadis tersebut, ia hanya memberi satu makna, satu maksud, satu erti dan satu tujuan iaitu "Setiap bid'ah itu pasti sesat" dan tidak boleh diertikan atau diterjemahkan kepada "Separuh, sebahagian atau setengah bid'ah itu baik (tidak sesat)". Menolak hakikat (istilah) kalimah ini samalah seolah-olah menganggap Nabi tidak tahu menggunakan istilah Bahasa Arab dengan betul maka anggapan serupa ini adalah kepercayaan yang dianggap bid'ah dan membawa kepada kekufuran yang nyata.

Dengan demikian tidak dapat diterima pendapat yang meyakini bahawa bid'ah dalam urusan agama terbahagi kepada dua, tiga atau lima bahagian kerana pembahagian seperti itu bertentangan dengan ketegasan dan maksud hadis-hadis yang menjelaskan bahawa hakikat bid'ah jika dilibatkan dalam persoalan syara adalah sesat keseluruhannya. Jika perbuatan menukar maksud dan makna kalimah kullu di hadis ini disengajakan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian pengikut yang berpegang kepada kaedah mantik yang dipengaruhi oleh kaedah Yunani, ia adalah perbuatan yang fasik dan batil.

Secara ilmiyah, apabila dikembalikan kepada penilaian bahasa al-Quran kalimah atau perkataan (كُلُّ) yang terdapat di dalam al-Quran atau al-Hadis hanya memberi makna "kesemuanya" atau "keseluruhannya".

Untuk memahami satu-satu ayat atau kalimah yang terdapat di dalam al-Quran mestilah melalui panduan dan penafsiran yang telah disyaratkan oleh al-Quran itu sendiri, kemudian barulah melalui panduan as-Sunnah. Begitu juga, cara untuk memahami al-Hadis dan satu-satu kalimah dari hadis-hadis yang sahih dengan betul dan sempurna mestilah melalui al-Quran terlebih dahulu.

Dengan itu untuk memahami kalimah (كُلُّ) di hadis yang sahih ini tentulah melalui landasan kalimah yang seumpamanya yang banyak terdapat di dalam al-Quran. Kalimah kullu ini dapat difahami melalui firman Allah sepertimana di bawah ini yang menggunakan kalimah yang sama dan mempunyai fungsi yang serupa:

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ

"Setiap yang hidup akan merasai mati". (Ali Imran, 3: 185)

Kedudukan kalimah (كُلُّ) pada ayat ini menunjukkan bahawa kalimah kullu tersebut hanya memberi maksud dan makna "semua, setiap atau keseluruhan" tanpa adanya pengecualian. Iaitu: "semua, setiap atau keseluruhan yang hidup akan mati" kerana inilah kenyataan yang wajib diyakini oleh setiap orang Islam yang beriman dengan keseluruhan ayat-ayat al-Quran bahawa setiap atau keseluruhan (كُلُّ) yang hidup akan menghadapi kematian kecuali Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana juga firman-Nya:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُوْالْجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ

"Kesemua yang terdapat di bumi akan binasa dan hanya yang tetap kekal Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan". (ar-Rahman, 55: 26-27)

Kedudukan kalimah kullu (كُلُّ) di ayat pertama mempunyai konsep dan fungsi yang sama dengan kedudukan kalimah kullu yang terdapat pada ayat yang kedua. Begitu juga kalimah (كُلُّ) pada kedua-dua ayat di atas ini mempunyai fungsi yang sama pula dengan kalimah kullu di hadis sahih yang telah kita bincang dan jelaskan.

Menafsirkan kalimah (كُلُّ) pada kedua-dua ayat di atas kepada pengertian separuh, setengah atau sebahagian adalah merupakan penafsiran atau pengolahan yang fasik lagi batil kerana bertentangan dengan kaedah penafsiran yang betul.

Telah terbukti bahawa kalimah kullu yang terdapat pada hadis tentang bid'ah yang sering menjadi isu ini tidak boleh dimaksudkan, diertikan, disyarahkan atau diterjemahkan kepada pengertian sebahagian, setengah atau separuh sebagaimana perbuatan segolongan ulama mantik kacukan Yunani kerana ia bertentangan dengan maksud hadis dan makna dari pengertian kalimah (كُلُّ) di dalam al-Quran dan juga hadis tersebut.

Menurut kaedah atau ketetapan ilmu usul jika sesuatu kalimah diulang berkali-kali di beberapa tempat sebagaimana diulang-ulangnya kalimah kullu (كُلُّ) dalam menetapkan bahawa "setiap (كل) bid'ah itu sesat", maka apabila ia terdapat dalam dalil-dalil (al-Quran, al-Hadis dan athar yang sahih) maka ia menjadi dalil syarii kulli (دليل شرعي كلي) iaitu: "Pasti setiap (كل) bid'ah itu sesat."

Penolakan adanya bid'ah hasanah dikuatkan dengan kenyataan bahawa tidak pernah terkeluar atau terucap dari mulut Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam yang mulia walaupun sebuah sabda yang menerangkan adanya bid'ah hasanah (bid'ah yang baik) di dalam amal-ibadah atau akidah. Sebaliknya, pendapat dan ucapan yang mengatakan adanya bid'ah hasanah hanyalah berpunca dari kekeliruan pemahaman istilah bahasa atau hasil dari kata-kata serta pendapat yang direka oleh ulama suk dan bukanlah berdasarkan al-Quran, as-Sunnah atau athar yang sahih.

Pada hakikatnya tidak mungkin ada bid'ah hasanah dalam agama kerana secara jumlah bid'ah semuanya maksiat sebagaimana penjelasan as-syatibi:

وَلاَ شَكَّ اَنَّ الْبِدَعَ مِنَ الْجُمْلَةِ الْمَعْصِيَةِ

"Tidak dapat diragukan bahawa bid'ah secara keseluruhannya adalah maksiat." (Lihat: الاعتصام. Jld. 2. Hlm. 60)

وَانَّ السَّلَفَ لَمْ يُطْلقُوْا لَفْظَ الْبِدْعَةِ اِلاَّ عَلَى مَا هُوَ فِى نَظرِهِمْ مَذْمُوْم

"Sesungguhnya (para ulama) salaf tidak pernah menggunakan lafaz bid'ah kecuali terhadap apa yang mereka dapat tercela (maksiat)." (Lihat: البدع hlm. 182. 'Izzat 'Atiah)

Terdapat segolongan mubtadi' (pembuat bid'ah) beralasan bahawa kalimah "Kullu" dalam hadis yang sedang dibincangkan tidak menunjukkan erti umum dengan dalil bahawa Allah berfirman:

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِاَمْرِ رَبِّهَا

"Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya". (al-Ahkaf, 56: 25)

Pembuat bid'ah seterusnya beralasan: Dalam ayat yang mulia di atas ini angin tidak menghancurkan segala sesuatu, maka hal ini menunjukkan bahawa kalimah "Kullu" tidak sentiasa menunjukkan erti yang bersifat umum.

Sebagai jawapan terhadap kesilapan mereka, bahawa kalimah "Kullu" dalam ayat di atas menunjukkan erti umum, sebab angin itu menghancurkan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Allah untuk dihancurkan dan tidak segala sesuatu yang terdapat di dunia. Penjelasan ini berdasarkan tafsiran Ibn Jarir:

اِنَّمَا عَنَى بِقَوْلِهِ : { تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِاَمْرِ رَبِّهَا } مِمَّا اُرْسِلَتْ بِهَلاَكِهِ لاَنَّهَا لَمْ تُدَمِّْ هُوْدًا وَمَنْ كَانَ آمَنَ بِهِ

Sesungguhnya yang dimaksudkan Allah dengan firmanNya: Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya. Adalah bahawa angin menghancurkan segala sesuatu yang dikehendaki oleh Allah untuk dihancurkan. Sebab angin tidak menghancurkan Nabi Hud alaihis salam dan orang-orang yang beriman kepadanya". (Lihat: تفسير الطبرى (13/ 26-27))

Imam al-Qurtubi rahimahullah pula menafsirkan ayat di atas sebagai berikut:

اَيُّ كَلُّ شَيْءٍ مَرَّتْ عَلَيْهِ مِنْ رَجَالِ عَادٍ وَاَمْوَالِهَا

"Maksudnya, yang dihancurkan hanyalah segala sesuatu yang dilewati angin dari kaum 'Ad dan harta mereka". (الجامع لاحكام القرآن (16/206). Al-Qurtubi)

Begitu jugalah dengan pendapat para ulama tafsir yang lain tentang kalimah "Kullu" di ayat di atas. Oleh itu, menggunakan dalil bahawa kalimah "Kullu" dalam hadis tidak mengundang erti umum tidak dapat dijadikan hujjah sama sekali.

Syeikh Mulla Ahmad Rumi al-Hanafi amat tegas dalam perkara ini sehingga beliau berkata:

فَمَنْ اَحْدَثَ شَيْئًا يَتَقَرَّبُ بِهِ اِلَىاللهِ تَعَالَى مِنْ قَوْلٍ اَوْ فِعْلٍ ، فَقَدْ شَرَعَ مِنَ الدِّيْنِ مَا لَمْ يَاْذَنْ بِهِ اللهُ فَعُلِمَ اَنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ مَنَ الْعِبَادَةِ الدِّيْنِيَّةِ لاَ تُكُوْنُ اِلاَّ سَيِّئَةً

"Sesiapa yang membuat perkara yang baru untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, baik dalam bentuk ucapan atau perbuatan, sesungguhnya dia telah membuat syariat dalam agama dengan bentuk ibadah keagamaan, ia adalah bid'ah yang keji". (Lihat: علم اصول البدع hlm. 101 Ali Hasan)

3 comments:

Anonymous said...

Salam..

Saya Eman..

Nk tanya kenyataan tersebut:

"Adapun kalimah bid'ah dalam hadis ini ialah nakirah (indefinitif) yang jelas menunjukkan umum kerana tidak diawali dengan (ال)"

Adakah bila diawali dengan(ال) maksudnya blh dibahagi bid'ah kepada dua..

Blh anta jelaskan lagi..Syukran

Anonymous said...

tuan, habis kalo tuan tolak bidaah jgn la pkai kitab quran dan kitab2 hadis. itu kan bidaah. zmn nabi quran n hadis x dibukukan. seperkara lg asal dr asri jadi mufti? ad ke jwtan mufti zaman nabi. asal tuan pg haji naik pesawat? ini sume bukan soal duniawi tapi agama. kalo duniawi saya akn ckp asal tuan pkai keta tp nabi x pkai. tp tuan ckp xd hal duniawi dlm bidaah. jd saya trima. tp jwab soalan saya yg ats td. akhir sekali kenapa sahabt ada je bt bidaah tp nabi still jamin syurga. saidina usman bukukan kitab quran, saidina umar azan jmaat 2 kali. adakah tuan nk kata sahabat pula sesat? nauzubillah. wasallam
~ahlussunnah vs wahabi

Anonymous said...

ak gi mekah naik kapal terbang adakah ia merosakkan agama?

Klu ia merosakkan tatacara haji itu sendiri, maka ia dikira bid'ah.

Em, rasanya klu btawaf dgn naik motor atau kapal terbang, itu yg bid'ah.