Setiap amal yang tidak mengikut dan mencontohi sunnah maka ianya tidak akan berupaya untuk membawa pelakunya dekat kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala, bahkan akan semakin menjauhkannya dari Allah. Ini adalah kerana Allah memerintahkan manusia dan jin untuk beribadah kepada-Nya dengan ketentuan yang telah diperintahkan-Nya yang tidak boleh berdasarkan akal dan hawa nafsu. (Rujuk: مدارج السالكين 1/84. Ibnul Qaiyim)
Fitnah yang sangat besar bahayanya terhadap akidah dan muamalah (ibadah) Ummah Islamiyah ialah bid'ah dan kesan dari aktiviti para pelaku bid'ah (mubtadi'). Oleh itu para mukmin perlu memahami, mengetahui dan berhati-hati terhadap bid'ah dan para aktivisnya.
Syeikh al-'Allamah Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah telah menjelaskan:
ثُمَّ لَيُعْلَم اَنَّ هَذِهِ الْبَدَع لَيْسَتْ خُطُوْرَتُهَا فِى نِسْبَةٍ وَاحِدَةٍ بَلْ هِيَ عَلَى دَرَجَاتٍ : بَعْضُهَا شِرْكٌ وَكُفْرٌ صَرِيْحٌ وَبَعْضُهَا دُوْنَ ذَلِكَ
“Seterusnya telah jelas diketahui bahawasanya bid'ah ini bukanlah bahyanya pada satu nisbah sahaja, tetapi ia mengikut beberapa darjat: Sebahagiannya membawa kepada kesyirikan, kekufuran dan selain dari itu”. (Lihat: علم اصول البدع hlm. 32. Ali Hasan bin Ali bin Abdul Hamid)
Kemudian telah berkata Yahya bin Mu'az ar-Razi rahimahullah:
اِخْتِلاَفُ النَّاسِ كُلّهمْ يَرْجِعُ اِلَى ثَلاَثَةِ اُصُوْلٍ ، فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهَا ضِدٌّ ، فَمَنْ سَقَطَ عَنْهُ وَقَعَ فِى ضِدِّهِ : اَلتَّوْحِيْدُ ضِدُّهُ الشِّرْكُ ، وَالسُّنَّةُ وَضِدُّهَا الْبِدْعَةُ ، وَالطَّاعَةُ وَضِدُّهَا الْمَعْصِيَّةُ
“Ikhtilaf manusia keseluruhannya kembali kepada tiga usul, pada setiap satu ada lawannya, maka sesiapa yang jatuh pada salah satu (dari tiga usul ini) maka berlaku padanya lawannya: Tauhid lawannya syirik, sunnah lawannya bid'ah dan taat lawannya maksiat”. (Lihat: الاعتصام (1/91). As-Syatibi)
Antara bahaya bid'ah ialah Allah Azza wa-Jalla menghijab (tidak menerima/menutup) taubat ahli bid'ah selagi dia tidak bertaubat atau meninggalkan bid'ah yang dikerjakan. Hal ini dapat difahami dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi 'Asim dalam “Kitabus Sunnah” dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
اِنَّ اللهَ حَجَزَ اَوْ قَالَ حَجَبَ التَّوْبَةَ عَنْ صَاحَبِ بِدْعَةٍ
“Sesungguhnya Allah menahan (tidak menerima) atau pernah baginda (Rasulullah) mengatakan: Allah menutup pintu taubat orang yang melakukan bid'ah”. (Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani menjelaskan bahawa hadis ini sahih. Hadis ini disokong oleh hadis Abu Hamzah (dikenali sebagai Anas bin 'Iyad al-Laitsi al-Madani seorang yang dipercayai “tsiqah”). Beliau termasuk salah seorang perawi Bukhari dan Muslim. Lihat: as-Sahihah. Hlm. 1620. al-Albani. Hadis ini diriwayatkan juga oleh at-Thabrani. Dan dinyatakan hasan oleh al-Munziri)
Al-Hasan bin Abi Hasan dan Abu 'Amr as-Syaibani rahimahullah berkata:
“Allah Tabaraka wa Ta'ala tidak menerima taubat Ahli Ahwa (pembuat bid'ah)”. (Lihat: شرح اصول اعتقاد اهل السنة Hlm 141. Dan Lihat: البدع والنهي عنها Hlm. 54)
Para sahabat radhiallahu 'anhum, para ulama dan semua pendakwah yang berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh sangat keras penentangannya terhadap semua jenis bid'ah dalam agama dan semua aktivis bid'ah. Ini amat jelas jika dinilai melalui apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abdi al-Barr dalam kitabnya yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'oud radiallahu 'anhu:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا اَخَذُوْا الْعِلْمَ عَنْ اَكَابِرِهِمْ فَاِذَا اَخَذُوْهُ مِنْ اَصَاغِرِهِمْ وَشِرَارِهِمْ هَلَكُوْا
“Akan sentiasa umat manusia dalam kebaikan selama mereka mengambil ilmu dari tokoh-tokoh besar (ulama Ahli Sunnah) dari kalangan mereka. Maka apabila mereka mengambil dari orang-orang kecil (orang jahil) dan orang-orang keji (Ahli Bid'ah) maka nescaya mereka akan binasa.” (Lihat: جامع بيان العلم وفضله. Hlm. 248)
Setiap umat Islam yang beriman dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh dingatkan oleh syara supaya sentiasa berhati-hati agar tidak belajar dan menerima hukum ahkam agama dari ulama bid'ah yang dikenali juga sebagai ulama su’ (علماء سوء) “Ulama Jahat”.
Ali bin Abi Talib radiallahu 'anhu menjelaskan:
اُنْظُرُوْا عَمَّنْ تَاْخُذُوْنَ هَذَا الْعِلْمَ فَاِنَّمَا هُوَ دِيْنٌ
“Selidikilah (ketahuilah terlebih dahulu) dari siapa kamu mengambil ilmu ini kerana ia adalah agama.” (Lihat: الكفاية. Hlm. 121. Al-Khatib al-Baghdadi)
Umat Islam diperingatkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam agar berjaga-jaga dari penyebar bid'ah kerana di akhir zaman bid'ah akan merebak sehingga menguasai kehidupan masyarakat Islam seolah-olah ia suatu ledakan yang besar. Sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam:
اِنَّ مِنْ عَلاَمَاتِ السَّاعَةِ وَاقْتِرَابِهَا اَنْ يَقِلَّ الْعِلْمُ وَيَكْثُرَ الْجَهْلُ
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda Hari Kiamat dan hampirnya hari tersebut ialah berkurangannya ilmu dan bertambahnya banyak kejahilan”. (H/R Bukhari (1/178))
Menurut Abu 'Uthman Ismail Abdulrahman as-Sabuni bahawa maksud “ilmu” di hadis ini ialah “sunnah”, iaitu akan tiba di akhir zaman kurangnya manusia yang menyeru dan mengamalkan (menghidupkan) sunnah. Adapun makna “al-jahlu” (kejahilan) ialah “bid'ah”, yang bermaksud di akhir zaman pelaku bid'ah dan pembela (penyeru) bid'ah akan terus menerus bertambah dengan banyaknya. (Lihat: عقيدة السلف اصحاب الحديث Hlm. 124. as-Sabuni)
Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma pula pernah memberikan nasihatnya:
دِيْنُكَ ! دِيْنُكَ ! اِنَّمَا هُوَ لَحْمُكَ وَدَمُكَ فَانْظُرْ عَمَّنْ تَاْخُذُ خُذْ عَنِ الَّذِيْنَ اسْتَقَامُوْا وَلاَ تَاْخُذْ عَنِ الَّذِيْنَ مَالُوْا
“(Peliharalah) agamamu! (Peliharalah) agamamu! Ia adalah darah dan dagingmu, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambilnya. Ambillah dari orang-orang yang beristiqamah (memelihara sunnah) dan jangan diambil dari orang-orang yang menyeleweng (melencong dari sunnah iaitu Ahli Bid'ah).” (Lihat: الكفاية Hlm. 121. Al-Khatib al-Bahgdadi)
Untuk menghindarkan diri dari perangkap bid'ah dan aktivisnya maka Abdullah bin Mas’oud telah berpesan:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا اَخَذُوْا الْعِلْمَ عَنْ اَكَابِرِهِمْ فَاِذَا اَخَذُوْهُ مِنْ اَصَاغِرِهِمْ وَشِرَارِهِمْ هَلَكُوْا
“Akan sentiasa seseorang manusia dalam kebaikan selama ia mengambil ilmu dari tokoh-tokoh besar mereka (ulama sunnah). Jika ia mengambil ilmu dari orang-orang kecil (ulama bid'ah) di antara mereka maka nescaya mereka akan binasa”.
Imam Abu Fadl al-Hamadani rahimahullah berkata:
“Pelaku bid'ah dan para pemalsu hadis lebih berbahaya daripada orang-orang kafir yang terang-terangan menentang Islam. Kaum kuffar menentang Islam dari luar sedangkan ahli bid'ah menghancurkan Islam dari dalam. Pelaku bid'ah diumpamakan sebagai penduduk kampung yang ingin menghancurkan kampungnya, sedangkan kuffar diumpamakan musuh di luar benteng yang sedang menunggu pembukaan pintu oleh ahli bid'ah. Ahli bid'ah berupaya memberi kesan yang amat buruk terhadap Islam jika dibandingkan (dengan kuffar) yang menentang Islam secara terang-terangan.” (Lihat: الموضوعات Ibn al-Jauzi. نقد الرجال Hlm. 128)
Sebahagian pengikut Imam Syafie dan Imam Ahmad menghalalkan membunuh para penyeru (pendakwah) bid'ah yang jelas telah menentang al-Quran. Begitu juga pandangan pengikut Imam Malik yang menjelaskan bahawa beliau menghalalkan membunuh golongan Qadariah bukan kerana murtadnya mereka tetapi kerana mereka menyeru kepada kerosakan (bid'ah) di permukaan bumi. (Lihat: الموضوعات Ibn al-Jauzi. نقد الرجال. Hlm. 128)
Keseluruhan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang berpegang dengan manhaj salaf mengharamkan orang-orang beriman dari berteman dan menghadiri apa pun majlis bid'ah terutamanya majlis pengajian ilmu (mujalasah) yang diadakan oleh ahli al-bida’ (اهل البدع) sebagaimana yang diperingatkan oleh para ulama salaf di bawah ini:
Berkata Imam al-Barbahari:
“Apabila kamu mendapati seorang yang bersungguh-sungguh menyiksa dan menganiaya dirinya dengan meninggalkan urusan dunianya semata-mata untuk beribadah maka dia adalah mengikut hawa nafsu (dia ahli bid'ah). Janganlah kamu berkawan, duduk-duduk bersamanya, mendengar perkataan, berjalan bersama-sama kerana saya tidak menjamin kamu (akan selamat dari bid'ah - pent) jika kamu bersamanya”. (Lihat: شرح السنة Hlm. 104. Imam al-Barbahari)
Al-Hasan rahimahullah berkata:
“Janganlah kamu berteman dengan pengikut hawa nafsu (ahli bid'ah) kerana akan tersemai di hatimu apa yang telah kamu terpengaruh darinya. Akhirnya kamu akan binasa atau kamu mengingkari (sesuatu dalam agama) sehingga hatimu menjadi tersiksa.” (Lihat: البدع Hlm. 17. Dr. Ali bin Muhammad Nashir al-Fazihi)
Imam az-Zahabi rahimahullah berkata:
“Berpegang kepada sunnah bermakna menghidupkan hati. Apabila seseorang membiasakan hatinya untuk menerima amalan bid'ah maka hati tersebut tidak akan memuliakan sunnah”. (Lihat: علم اصول البدع. Hlm. 288-289. Ali Hasan)
Ibnu Sirin rahimahullah berkata:
Tidak pernah ditemui seseorang yang melakukan bid'ah akan menolak bid'ah-bid'ah yang lain”.
Ini bermakna pelaku bid'ah sememangnya menggemari setiap apa sahaja jenis bid'ah yang disangkanya baik. Kebiasaannya mereka memang jahil (kurang memahami tentang syara’ atau sunnah). Lantaran kejahilan tersebut, penggemar bid'ah pasti akan mencintai apa sahaja perbuatan bid'ah kerana dianggapnya amalan yang berpahala. Akhirnya mereka lebih menggemari dan mempertahankan bid'ah dari sunnah yang jelas ada dalilnya untuk diamalkan.
Ahli bid'ah sama ada para penyebarnya (penyeru dan pendakwahnya) atau pengikutnya, mereka bukan sahaja akan memikul dosanya sendiri tetapi akan berterusan memikul dosa-dosa orang lain yang meniru perbuatan bid'ah yang mereka hidupkan sehinggalah ke Hari Kiamat. Firman Allah Azza wa-Jalla:
لِيَحْمِلُوْا اَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمِنْ اَوْزَارِ الَّذِيْنَ يُضِلُّوْنَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ
“Mereka akan menanggung dosa mereka keseluruhannya pada Hari Kiamat, dan akan menanggung dosa orang yang mereka sesatkan tanpa ilmu”. (an-Nahl, 16: 25)
SALAH FAHAM TERHADAP BID’AH
Pelaku bid'ah sama ada bid'ah yang berbentuk akidah atau muamalah, mereka tidak akan merasa gerun atau takut untuk melakukan bid'ah tersebut kerana mereka menyangka bahawa bid'ah terbahagi kepada dua, iaitu bid'ah hasanah dan bid'ah dholalah, mereka berhujjahkan hadis di bawah ini:
مَنْ سَنَّ فِىاْلاِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ اَجْرُهَاوَاَجْرُمَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ غَيْرَ اَنْ يَنْقُصَ مِنْ اُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ مَنْ سَنَّ فِى اْلاِسْلاَمِ سُنَّةً سِيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ اَنْ يَنْقُصَ مِنْ اَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
“Barangsiapa menghidupkan dalam Islam satu sunnah dari sunnah yang baik, maka baginya ganjaran pahala dan pahala tambahan dari orang yang meniru (mengamalkan sepertinya) sesudahnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala tersebut. Dan barangsiapa yang menghidupkan suatu sunnah dari jenis sunnah yang keji dalam Islam maka baginya dosa dan tambahan dosa bagi sesiapa yang meniru (mengikut jejaknya) sesudahnya tanpa dikurangkan sedikitpun dosa-dosa mereka itu.” (H/R Muslim)
Kalimah sunnah yang terdapat pada hadis di atas tidak boleh dimaksudkan sebagai bid'ah atau bid'ah hasanah. Adalah suatu kesilapan yang besar bagi sesiapa yang mengertikannya sedemikian. Kekeliruan ini boleh dijelaskan dan difahami melalui penerangan sebagaimana berikut:
Makna as-Sunnah: Menurut etimologi (bahasa) as-Sunnah diambil dari kata-kata:
سَنَّ - يَسِنُّ - وَيَسُنُّ - سُنًّا
Sunnah menurut bahasa ialah:
اَلسُنَّةُ هِيَ الطَّرِيْقَةُ ، مَحْمُودَةٌ كَانَتْ أمْ مَذْمُوْمَةٌ
“As-Sunnah ialah jalan, sama ada yang baik (terpuji) atau yang keji.” (Lihat: لسان العرب - مادة (سنن))
Sunnah boleh memberi maksud:
“Kebiasaan, perilaku, cara hidup dan suatu kaedah/method. Ia juga membawa: (السيرة): as-Sirah.” (Lihat: مختار الصحاح. Hlm. 133. Ar-Razi)
Sunnah menurut syara’:
“Apa yang dipindah/diambil (diriwayatkan, diterima dan diambil) dari Nabi Muhammad (sallallahu 'alaihi wa sallam) dan para sahabat baginda berkaitan dengan akidah dan amal.” (Lihat: لغة الاعتقاد الى سبيل الرشاد. Hlm. 40. Al-Uthaimin) Sunnah diistilahkan juga sebagai: (الطريقة المحمدية): “Jalan atau petunjuk Muhammad (sallallahu 'alaihi wa sallam) atau (السنة المحمدية): “Sunnah Muhammad (sallallahu 'alaihi wa sallam)”.
Menurut istilah Ahli Usul pula ialah:
“Segala yang disalin (dipindah, diambil, dinukil dan diriwayatkan) dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam secara khusus. (Lihat: الموافقات juz. 4. Hlm. 47. As-Syatibi) Ia berupa perkataan, perbuatan, ketetapan, akhlak, disiplin dan segala yang bersangkutan dengan hukum halal dan haram.”
Pengertian ini dapat difahami melalui sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam di bawah ini:
تَرَكْتُ فِيْكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ.
“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.” (H/R Muslim. (2137) Al-Haj. Abu Daud (1628) al-Manasik. Ibn Majah (3060) Al-Manasik)
Jika dikembalikan kepada istilah, bid'ah amat berbeza dengan sunnah kerana bid'ah ialah mengada-adakan (mencipta atau mereka-reka sesuatu yang baru) dalam agama. (Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Abdul Qayyum bin Muhammad bin Nasr)
Hadis yang dijadikan hujjah untuk membolehkan membuat bid'ah ini sebenarnya menggesa agar: “Menghidupkan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang telah ditinggalkan oleh ummah.” Ia bukan bermaksud: “Halal mencipta atau melakukan bid'ah yang tidak ada contohnya dari Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.”
Hadis tersebut disyarahkan oleh Imam Nawawi di dalam kitab sahih Muslim di bawah tajuk:
(اَلْحَثُّ عَلَى الصَّدَقَةِ وَاَنْوَاعِهَا وَاَنَّهَا حِجَابٌ مِنَ النَّارِ)
“Galakan untuk bersedekah dan jenis-jenis sedekah yang ianya menghijab dari api neraka.” (Lihat : صحيح مسلم ، بشرح النووي. Juz. 7. Hlm. 104)
Dalam syarahnya Imam Nawawi rahimahullah menjelaskan:
“Pada hadis ini suatu pengkhususan dari sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bahawa setiap yang diada-adakan itu bid'ah dan setiap bid'ah itu sesat. Apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah setiap yang diada-adakan itu batil dan menjadi bid'ah yang tercela.” (Lihat : صحيح مسلم ، بشرح النووي. Juz. 7. Hlm. 104)
Mengerjakan bid'ah termasuklah yang disangka bid'ah hasanah tidak boleh dianggap sebagai menghidupkan sunnah kerana sunnah ada contohnya dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat. Sebaliknya bid'ah tidak ada sama sekali contohnya kerana ia suatu yang baru, ciptaan baru, yang diada-adakan dan rekaan yang tidak ada contoh sebelumnya sama ada dari al-Quran atau as-Sunnah.
Apa yang dijelaskan oleh Imam Nawawi apabila mensyarahkan hadis di atas merupakan suatu galakan kepada setiap orang-orang yang beriman supaya menghidupkan kembali segala sunnah yang telah ditinggalkan atau tidak lagi dikerjakan oleh ummah. Ia bukan bermaksud supaya mengada-adakan suatu yang baru dengan mencipta beberapa bid'ah yang mana ciptaan tersebut tidak ada sama sekali suruhan atau contohnya dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, dari para sahabat, dari tabiin atau para Salaf as-Soleh.
Penjelasan Imam Nawawi ini amat bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam di bawah ini:
مَنْ اَحْيَا سُـنَّةً مِنْ سُنَّتِيْ قَدْ اُمِيْتَتْ بَعْدِيْ فَاِنَّ لَهُ اْلاَجْرِ مِثْلَ اَجْرِمَنْ عَمِلَ بِهَا مِنَ النَّاسِ لاَ يَنْقُصُ مِنْ اُجُوْرِ النَّاسِ شَـيْئًا وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً لاَ يَرْضَـاهَا اللهُ وَرَسُــوْلُهُ فَاِنَّ عَلَيْهِ مِثْلِ آثِمِ مَنْ عَمِلَ بَهَا مِنَ النَّاسِ لاَ يَنْقُصُ مِنْ آثِمِ النَّاسِ شَيْئًا
“Barangsiapa yang menghidupkan suatu sunnah dari sunnahku setelah ia dimatikan (ditinggalkan oleh manusia) selepas (peninggalan)ku, maka baginya pahala sebagaimana pahala sesiapa yang mengerjakannya dari kalangan manusia yang tidak dikurangkan sedikitpun pahala tersebut sebagaimana pahala yang diberikan kepada manusia yang menirunya. Dan sesiapa yang melakukan suatu bid'ah yang tidak diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya maka baginya dosa sebagaimana dosa sesiapa yang (meniru) mengamalkan tanpa dikurangkan dosa tersebut walau sedikitpun.” (H/R Ibn Majah (207), al-Iman. Turmizi (2601), al-Ilm. Ibn Abi 'Asim dalam 'As-Sunnah” (1/23). Berkata Turmizi dan al-Bahgawi: Hadis Hasan)
Menghidupkan sunnah hanyalah melalui contoh (ittiba' kepada sunnah) dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam. Menghidupkan satu bid'ah samalah seperti mematikan satu sunnah dan ini pasti berlaku apabila sunnah ditinggalkan dan mengambil sebaliknya. Dalam hal ini Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
مَا مِنْ عَامٍ اِلاَّ فِيْهِ بِدْعَةٌ وَتَمُوْتُ فِيْهِ سُنَّةٌ حَتَّى تَظْهَرُ الْبِدَعُ وَتَمُوْتُ السُّنَنُ
“Tidak ada suatu tahun kecuali akan berlaku padanya satu bid'ah dan akan mati satu sunnah, hingga nyatalah (terang-terang dikerjakan) perbuatan bid'ah dan (diketika itu) matilah (lenyaplah) sunnah-sunnah. (H/R at-Thabrani dan Ibn Wadha dalam al-Bida')
Selain daripada sunnah adalah bid'ah dholalah kerana pengertian sunnah sebagaimana yang telah dijelaskan ialah “Jalan” atau “Yang diambil (diittiba') dari contoh Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam”. Ini bermakna jalan yang diperkenankan hanyalah jalan yang ada nasnya dari syara iaitu agama Islam yang diturunkan dari langit, bukan melalui jalan-jalan (bid'ah) yang dicipta oleh manusia. Nas-nas di bawah ini menjelaskan:
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْـعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : خَطَّ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ لَنَا خَطًّا ثُمَّ قَالَ : هَذَ سَبِيْلُ الله ثُمَّ خَطَّ خُطُوْطًا عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ وَقَالَ هَذِهِ سُبُـلٌ عَلَى كُلِّ سَـبِيْلٍ مِنْهَا شَيْـطَانٌ يَدْعَوْ اِلَيْهِ وَقَرَاَ : (وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِى مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ) وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ
“Dari Abdullah bin Mas’oud radhiallahu 'anhu: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam telah menggariskan kepada kami satu garisan kemudian bersabda: Ini jalan Allah. Kemudian menggariskan pula beberapa garisan ke arah kanan dan ke arah kiri baginda lantas bersabda: Inilah jalan-jalan yang mana di atas setiap jalan tersebut syaitan mengajak kepadanya, seterusnya baginda membacakan ayat: (Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah (ittiba'lah) jalan tersebut dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang lain) maka kamu akan disesatkan oleh jalan tersebut. Itulah menjadi wasiat bagi kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang takwa).” (al-An’am, 6: 153)
Menurut riwayat dari Abi al-Hajjaj bin Jabr al-Makki rahimahullah seorang tabiin dari kalangan imam tafsir, bahawa ayat (وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ) “Jangan kamu ikut jalan-jalan (yang lain)” yang dimaksudkan ialah: “(Jalan/perbuatan) yang bid'ah dan yang syubhat.” (Lihat: علم اصول البدع hlm. 40. Ali Hassan bin Abdul Hamid. Dikeluarkan oleh at-Tayalisi dalam musnad (244). Al-Lalikai dalam شرح اصول اعتقاد اهل السنة والجماعة. Jld. 1. Hlm. 80-81. Ahmad (1/435-465). Ibn Abi 'Asim dalam السنة, (1/13). An-Nasii dalam السنن الكبرى Ibn Habban (1/105). Al-Hakim dalam المستدرك (2/318))
Antara nas yang membuktikan bahawa yang dimaksudkan oleh ayat di atas ialah jalan Allah atau sunnah Allah dan Rasul-Nya ialah sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam:
فَسُـنَّةُ اللهِ وَسُــنَّةُ رَسُــوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ اَحَقُّ اَنْ تَتَّبِعَ مِنْ سُنَّةِ فَلاَن اِنْ كُنْتَ صَادِقًا
“Maka sunnah Allah dan sunnah Rasul-Nya lebih hak kamu ikuti dari sunnah si Pulan jika kamu termasuk orang yang percaya (beriman).” (H/R Muslim)
قَالَ ابْنُ مَسْـعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : عَلَيْكُمْ بِالطَّرِيْقِ فَالْزَمْهُ وَلَئِنْ اَخَذْتُمْ يَمِيْنًا وَشِمَالاً لَتَضِلُّنَّ ضَلاَلاً بَعِيْدًا
“Hendaklah kamu sekalian mengikuti satu jalan (ajaran Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam) dan tetaplah kamu berpegang dengannya. Kalau kamu mengikut jalan ke kanan atau ke kiri nescaya kamu akan sesat dengan kesesatan yang jauh”.
Selain berpegang dengan sunnah Rasul-Nya, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam turut menyeru agar orang-orang yang beriman mengikuti (ittiba' kepada) sunnah para sahabat terutamanya para Khulafa ar-Rasyidin kerana mereka telah dijamin masuk Syurga, kekal di dalamnya, mereka meredhai Allah dan Allah redha kepada mereka sebagaimana firman Allah:
وَالسَّابِقُوْنَ الاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وِاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بِاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُ وَاَعَّدَ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِيْ تَحْتَهَا الاَنْهَارُ خَالِدِيْنَ فَيْهَا اَبَدًا ، ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمِ
“Orang-orang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti (berittiba' kepada) mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan merekapun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (at-Taubah, 9: 100)
عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِىْ تَمَسَّكُوْا بِهَا وَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
“Hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku. Peganglah ia kuat-kuat dan gigitlah dengan gigi geraham.” (H/R Muslim)
Banyak nas-nas dari syara’ menyeru agar orang-orang beriman berittiba' kepada sunnah bukan bertaqlid buta kepada pembuat bid'ah. Malah tidak pernah terdapat walau satu nas dari syara’ yang mengizinkan atau menyuruh seseorang itu berbuat bid'ah. Semua perbuatan dalam agama yang berbentuk atau berunsur bid'ah telah ditegah (dilarang atau diharamkan) oleh syara’ sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Mas'oud radhiallahu 'anhu:
اِتَّبِعُوْا وَلاَ تَبْتَدِعُوْا فَقَدْ كُفِيْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
“Hendaklah kamu ittiba' (patuh mengikuti syara’) dan janganlah melakukan bid'ah (menambah atau mencipta sesuatu yang baru dalam agama). Sudah memadai (sudah sempurna) bagi kamu sunnah nabi kamu dan setiap yang bid'ah itu sesat.” (Atsar yang sahih. Diriwayatkan dari kalangan tabi’in yang ramai jumlahnya, antaranya ialah: (1). Abu Abdul Rahman as-Salami yang dikeluarkan oleh at-Tabari (8870). Baihaqi di “Madhal” (204). Telah dijelaskan oleh al-Haitami di “al-Mujmak” (1/181) bahawa perawinya semuanya sahih. (2). Ibrahim an-Nakhii. (3). Qatadah, dikeluarkan oleh Ibn Wadah dalam (البدع والنهي عنها) hlm. 11 dari jalan Abi Hilal, beliau dipercayai dan Imam Bukhari mengambil juga dari hadisnya sebagaimana di at-Ta'lik. Menurut Nasruddin al-Albani: Athar ini adalah sahih)
Dalam hal wajibnya ittiba' dan haramnya melakukan bid'ah, Syeikh al-Qarafi rahimah humullah berkata:
فَاِنَّ الْخَيْرَ كُلَّهَا فِى اْلاِتِّبَاعِ وَاِنَّ الشَّرَّ كُلَّهَا فِى اْلاِبْتِدَاعِ
“Sesungguhnya kebaikan seluruhnya hanya dengan cara ittiba' (mengikuti dan taat kepada sunnah) dan keburukan (kesesatan) keseluruhannya ada pada bid'ah.” (Lihat: الفروق. Jld. 4. Hlm. 205. Al-Qarafi)
Berkata pula Imam as-San'ani rahimahullah:
لَيْسَ فِى الْبِدْعَةِ مَا يُمْدَحُ بَلْ كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
“Tidak terdapat dalam bid'ah itu apa yang terpuji (hasanah) tetapi semua bid'ah itu sesat.” (Lihat: سبل السلام jld. 2. hlm. 12. As-San'ani)
Melalui nas-nas di atas amat jelas bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam mewajibkan setiap mukmin ittiba’ (mengikuti) sunnah Allah, sunnah Rasul-Nya serta sunnah para sahabat dan mengharamkan mereka daripada mengikuti sunnah si Pulan dan si Pulan termasuklah sunnah Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana sabda baginda:
عَنْ اَبِى سَـعِيْدِ الْخُـدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ لَتَتَّبِعَنَّ سُـنَنَ الَّذِيْنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاَ تَبَعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يَا رَسُوْلَ اللهِ الْيَهُوْدَ والنَّصَارَى ؟ قَالَ فَمَنْ.
“Dari Sa'ied al-Khudri radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam: Akan terdapat mereka yang mengikut sunnah (cara hidup) mereka yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga masuk ke lubang biawak kamu akan masuk ke dalamnya juga. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! (Adakah mereka mengikuti cara) Yahudi dan Nasrani? Baginda bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka?.” (H/R Bukhari (3197). Muslim (4822). Ibn Majah (3948). Ahmad (1023))
No comments:
Post a Comment