إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Firman-Nya: “Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (an-Nisa’, 4: 58)
Ayat ini adalah penyempurnaan ayat,
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (an-Nisa’, 4: 58)
Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan kepada kita agar menyampaikan amanat kepada mereka yang berhak menerimanya. Di antaranya adalah menjadi saksi kebaikan bagi orang itu atau keburukan untuknya dan jika kita menetapkan suatu ketetapan di antara manusia, maka kita harus menetapkannya dengan adil. Maka, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa Dia menyuruh kita untuk menunaikan kewajiban di atas jalan hukum dan demi hukum itu sendiri. Jalan hukum yang berbentuk persaksian masuk ke dalam rangkuman ayat,
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya.” (an-Nisa’, 4: 58)
Manakala hukum berkaitan dengan firman Allah,
“... Dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. “ (an-Nisa, 4: 58)
Kemudian Allah berfirman,
“Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (an-Nisa’, 4: 58)
Asalnya adalah “نعم ما” “sebaik-baik sesuatu”. Akan tetapi, huruf miim di-idgham-kan hal “memasukkan satu huruf ke dalam yang lain” kepada miim yang termasuk ke dalam bab idgham besar. Kerana idgham tidak terjadi antara dua jenis, kecuali jika yang pertama berharakat sukun. Dalam situasi ini, idgham dengan huruf yang pertama berharakat fathah.
Ungkapan “نعما يعظكم به” “memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu”. Allah menjadikan perintah-Nya pada dua perkara ini menunaikan (amanah kepada orang yang berhak menerimanya dan menetapkan hukum dengan adil) adalah sebagai nasihat. Kerana Semua itu sesuai untuk hati. Semua yang sesuai dengan hati adalah nasihat. Menjalankan semua perintah ini tidak disangsikan/diragukan bahawa semua itu sesuai dengan hati.
Lalu berfirman: “إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا” “sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. Ungkapan كَانَ ini adalah kata kerja, tetapi tidak memiliki ketentuan waktu. Yang dimaksudkan adalah hanya menunjukkan kepada sifat sahaja. Dengan kata lain, bahawa Allah bersifat mendengar dan melihat. Akan tetapi, kita katakan, “Dia itu tidak dipengaruhi dengan waktu, kerana jika kita membiarkannya ia tetap dengan penunjukan waktunya, maka sifat itu pasti telah habis. Pada mulanya Maha Mendengar dan Maha Melihat, sedangkan sekarang tidaklah demikian. Sangat diketahui bahawa makna yang sedemikian itu tidak dapat diguna-pakai dan bathil. Sedangkan yang dimaksudkan adalah bahawa Allah bersifat dengan dua sifat ini, iaitu mendengar dan melihat untuk selama-lamanya. Sedangkan كَانَ dalam konotasi sedemikian, tiada lain yang dimaksudkan melainkan pewujudan.
Ungkapan “سَمِيعًا بَصِيرًا” “Maha Mendengar dan Maha Melihat”. Kita menyatakan berkenaan dengannya sebagaimana kita katakan berkenaan dengan ayat sebelumnya. Di dalamnya mengandungi penetapan sifat mendegar dan melihat bagi Allah dengan dua bentuknya dan penetapan penglihatan dengan dua jenisnya.
Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu membaca ayat ini lalu ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam meletakkan ibu jari dan jari telunjuknya di atas mata dan telinga beliau.” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Kitab as-Sunnah, Bab Fii Jahmiyah) Adapun yang dimaksudkan dengan bentuk peng-isyaratan itu adalah menegaskan keberadaan pendengaran dan penglihatan, dan bukan penetapan mata dan telinga.
Ini kerana perbahasan penetapan mata dibincangkan dengan kehadiran dalil-dalil yang lain. Menurut Ahlussunnah wal Jama’ah, tidak menetapkan telinga bagi Allah dan tidak pula ditiadakan dari-Nya kerana tidak ada keterangan dalil tentang pendengaran (Tidak menetapkan dan tidak menafikan – Ed.).
Jika kita katakan, “Apakah aku harus melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam?”
Jawabnya: Dari kalangan para ulama, ada yang menyatakan, “Ya, lakukan sebagaimana hal-nya yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam. Kita bukanlah orang yang Iebih berpetunjuk daripada Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam dan kita juga bukanlah orang yang lebih berhati-hati dari adanya pengidhafahan sifat yang tidak layak untuk Allah kepada Allah daripada Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam.”
Di antara mereka ada yang berkata, “Tidak perlu kita melakukan seperti hal-nya yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam selama mana kita mengetahui bahawa yang dimaksudkan itu adalah pewujudan (hakikat). Jadi isyarat ini tidaklah menjadi suatu yang dimaksudkan. Akan tetapi, ia dimaksudkan kerana selainnya. Dengan demikian, tiada kepentingan untuk kita tunjuk (mengisyaratkan). Apatah lagi jika dikhuwatirkan dengan penunjukan itu akan membawa dianggap oleh orang lain sebagai penyerupaan. Sebagaimana jika di hadapan kita adalah dari kalngan orang awam yang masih tidak memahami sesuatu sebagaimana sewajarnyanya. Dengan demikian, kita haruslah mengambil sikap berhati-hati. Bagi setiap tempat ada perkataan yang sesuai.
Demikian juga apa yang ditunjukkan melalui hadis Ibnu Umar yang mengisahkan bahawa Rasulullah Shallallahu Ala’hi wa Sallam bersabda,
“Allah ‘Azza wa Jalla mengambil semua lapisan langit dan semua lapisan bumi dengan kedua tangan-Nya, lalu berfirman, “Akulah Allah”. Dia menggenggamkan jari-jemari-Nya dan mengembangkannya.” (Diriwayatkan oleh imam Muslim, Kitab Shifaat al-Munafiqin)
Dikatakan berkenaan dengan hal ini adalah apa yang dinyatakan di dalam hadis Abu Hurairah.
Faedah yang berkaitan dengan perilaku iman kepada dua sifat: 1 - mendengar dan 2 - melihat adalah agar kita berwaspada dari melakukan perkara yang bertentangan dengan Allah dalam perkataan dan perbuatan kita.
Dalam ayat ini ada sebahagian dari asma’ Allah, iaitu dua sifat yang ditetapkannya, yang mana ianya adalah yang Maha Mendengar dan Yang Maha Melihat. Dan di antara sifat-sifat adalah penetapan pendengaran, penglihatan, perintah, dan nasihat.
Rujukan: Syarah Aqidah Wasithiyah (Judul Asli: Syarh al-‘Aqidah al-Wasithiyah), oleh Sheikh Muhammad Sholeh al-Utsaimin, Cet. 1 (2007M), Terbitan Darul Falah (Jakarta), m/s. 172-175.
- wallahu a’lam...
No comments:
Post a Comment