__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sunday, December 23, 2007

028 - Apakah Tujuan Makhluk Diciptakan?

Apakah Tujuan Makhluk Diciptakan?

http://Aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Pertama, ALLAH tidak akan sekali-kali mencipta sesuatu yang sia-sia. Rahsia di sebalik setiap ciptaan-NYA, hanya DIA sahajalah yang mengetahuinya.

Firman ALLAH S.W.T:

Maksudnya:

“Adakah kamu menyangka KAMI Mencipta kamu tanpa sebarang tujuan dan kamu menyangka tidak akan dikembalikan kepada KAMI? Maha Tinggi ALLAH Raja yang sebenarnya, TUHAN yang Haq. Tiada TUHAN melainkan DIA, TUHAN yang mempunyai ‘Arasy yang Mulia.” (Surah al-Mukminun: 115-116)

Orang mukmin wajib menyakini bahawa segala yang diciptakan oleh ALLAH ada hikmahnya yang tersendiri. Sebaliknya, orang-orang kafir pula menafikan hikmah ini.

Maksudnya:

“KAMI tidak ciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya tanpa sebarang hikmah dan keadilan. Itu hanyalah sangkaan orang-orang kafir! Celakalah orang-orang yang kafir itu dengan azab neraka.” (Surah Sad: 27)

Kedua, tujuan ALLAH menciptakan manusia bukan semata-mata untuk makan, minum dan beranak-pinak. ALLAH memuliakan manusia berbanding makhluk lain dengan menjadikan mereka sebagai khalifah di muka bumi ini. Tetapi ramai manusia ingkar. Mereka leka dengan keindahan dunia. Kehidupan mereka tidak ada beza dengan haiwan, bahkan mereka lebih sesat.

Firman ALLAH S.W.T:

Maksudnya:

Orang-orang kafir menikmati kesenangan dunia. Mereka makan dan minum seperti haiwan ternakan. Oleh itu, nerakalah tempat tinggal yang layak bagi mereka. (Surah Muhammad: 12)

Hakikatnya, pencipta sesuatu lebih mengetahui tentang ciptaannya. Oleh itu, ALLAH yang Mencipta manusia lebih mengetahui hikmah penciptaan mereka. Setiap manusia perlu meyakini bahawa seluruh anggota badannya dicipta atas tujuan tertentu.

Ketiga, ALLAH menjelaskan bahawa DIA Mencipta langit, bumi, hidup dan mati untuk menguji umat manusia. Sesiapa yang mentaati-NYA, maka dia akan beroleh pahala. Sebaliknya, sesiapa yang ingkar mereka akan diseksa.

Firman ALLAH S.W.T:

Maksudnya:

“DIA telah menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk: 2)

Antara perintah ALLAH yang paling utama dalam penciptaan manusia ialah untuk mentauhidkan ALLAH dan beribadah.

Firman ALLAH S.W.T:

Maksudnya:

“AKU tidak ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-KU.” (Surah al-Zariyat: 56)

Ibn Kathir r.h berkata:

“Tujuan ALLAH mencipta mereka ialah untuk beribadah kepada-NYA. Bukan kerana DIA memerlukan mereka. Ali bin Abu Talhah berkata bahawa Ibn Abbas menyebut, tujuan ALLAH mencipta mereka adalah untuk beribadah kepada-NYA, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa. Pendapat ini dipersetujui oleh Ibn Jarir. Ibn Juraij berpendapat, tujuannya agar mereka rnengenali ALLAH. Al-Rabi’ bin Anas pula berkata, tujuannya semata-mata untuk beribadah.” (Tafsir Ibn Kathir, jil: 4, ms: 239)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’id r.h berkata:

“ALLAH mencipta makhluk untuk beribadah kepada-NYA, mengenali-NYA menerusi nama-nama dan sifat-sifatNYA. Sesiapa yang patuh dan melaksanakan segala yang telah diperintahkan, dia termasuk orang-orang yang berjaya. Sebaliknya, sesiapa yang ingkar, maka dia akan menjadi orang-orang yang rugi.

ALLAH pasti akan mengumpulkan mereka di suatu tempat untuk membalas segala ketaatan yang dilakukan. Oleh itu, ALLAH menyebut keingkaran kaum musyrikin terhadap balasan yang akan diterima berdasarkan amalan seseorang.

Walaupun kamu cuba meyakinkan mereka tentang kewujudan hari kiamat, mereka tetap tidak percaya. Mereka hanya akan menuduh kamu berbohong dan mencaci dakwah yang kamu sampaikan. Sedangkan kebenaran itu tidak dapat disangkal lagi.” (Tafsir al-Sa’di, ms: 333)

No comments: