__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sunday, December 28, 2008

091 - Takhrij Hadis “Di Mana Allah”

Takhrij Hadis “Di Mana Allah”

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/

عَنْ مُعَاوِيَةُ بْنُ حَكَمُ السُّلَمِي: وَكَانَتْ لِيْ جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِيْ قِبَلَ اُحُدٍ وَالْجُوَانِيَةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ، فَاِذَا بَالذِّئْبِ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَاَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِيْ آدَمَ، اَسَفُ كَمَا يَاْسَفُوْنَ. لَكِنَّيْ صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَاَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ. قُلْتُ يَارَسُوْلَ اللهِ اَفَلاَ اَعْتِقُهَا؟ قَالَ : اِئْتِنِيْ بِهَا. فَقَالَ لَهَا: اَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِى السَّمَاءِ. قَالَ: مَنْ اَنَا؟ قَالَتْ: اَنْتَ رَسُوْلُ اللهِ. قَالَ: اَعْتِقُهَا فِاِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ

Daripada Muawiyah bin Hakam As-Sulami (radhiyallahu ‘anhu), beliau berkata: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya (peliharaannya). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam (keturunan adam) dari manusia kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka (memiliki rasa marah/tidak berpuas hati). Atas sebab itu (apabila kambingnya dimakan serigala) wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini”. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “Di mana Allah?” Dijawabnya: “Di langit”. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah”. Maka baginda bersabda: “Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah”.”

Hadis ini melalui dua jalan (jalur periwayatan) sebagaimana berikut:

1 – Jalur Imam Malik: Dari Hilal bin Ali Abu Maimunah, dari Atha’ bin Yasar, dari Mu’awiyah bin Hakam as-Sulami.

Boleh disemak di dalam:

- al-Muwaththa’, 2/722, no. 8. oleh Imam Malik.
- ar-Risalah, no. 242. oleh Imam asy-Syafi’i, tahqiq Syaikh Ahmad Syakir.
- Sunan al-Kubra, oleh an-Nasa’i, sebagaimana di dalam Tuhfatul Asyraf, 8/427. oleh al-Mizzi.
- ar-Radd ‘Alal Jahmiyyah, no. 62. oleh Imam ad-Darimi.
- Kitabut Tauhid, m/s. 132. oleh Ibnu Khuzaimah, tahqiq Syaikh Khalil Haras.
- Sunan al-Kubra, 10/98, no. 19984. oleh al-Baihaqi.
- at-Tamhid, 9/69-70. oleh Ibnu Abdil Barr.

2 – Jalur Yahya bin Abi Katsir: dari Hilal bin Ali bin Abi Maimunah, dari Atha’ bin Yasar, dari Mu’awiyah bin Hakam as-Sulami.

Boleh disemak di dalam:

- al-Musnad, 5/448. oleh Imam Ahmad.
- Juz al-Qira’ah, m/s. 70. oleh al-Bukhari.
- Sunan Abu Daud, no. 931, 3282. oleh Abu Daud.
- Sunan al-Kubra, oleh an-Nasa’i, sebagaimana di dalam Tuhfatul Asyraf, 8/427. oleh al-Mizzi.
- Kitabut Tauhid, m/s. 132. oleh Ibnu Khuzaimah, tahqiq Syaikh Khalil Haras.
- Syarhus Sunnah, 3/237-239, no. 726. oleh al-Baghawi.
- al-Mu’jam al-Kabir, 19/398, no. 938. oleh ath-Thabrani.
- Shahih Muslim, no. 537.
- dan banyak lagi...

Hadis ini telah disepakati kesahihannya oleh seluruh ulama kaum muslimin. Ini adalah sebagaimana sebahagian ulasan yang dibawakan di bawah:

1 – Imam al-Baihaqi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan oleh Muslim.” (al-Asma’ wa Shifat, m/s. 532-533, cet. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

2 – Imam al-Baghawi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan Muslim dari Abu Bakar bin Abi Syaibah dari Ismail bin Ibrahim dari Hajjaj.” (Syarhus Sunnah, 3/239, 9/247)

3 – Imam Ibnu Qudamah berkata: “Hadis ini sahih.” (Itsbat as-Shifat al-‘Uluw, m/s. 47)

4 – Imam adz-Dzahabi berkata: “Hadis ini sahih, dikeluarkan Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, dan imam-imam yang lainnya di dalam kitab-kitab mereka dengan memperlakukannya sebagaimana datangnya tanpa ta’wil dan tahrif. (al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, 1/249, tahqiq Abdullah bin Soleh al-Barrok)

5 – al-Hafiz Ibnu Hajar al’Asqalani berkata: “Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh Muslim. (Fathul Bari, 13-359)

6 – Syaikh al-Albani berkata: “Hadis ini sahih dengan tanpa ada keraguan. Tidak ada yang meraguinya melainkan orang-orang yang jahil dan pendukung hawa nafsu.” (Mukhtashar al-‘Uluw, m/s. 82)

7 – Begitu juga Imam asy-Syafi’i yang telah jelas menggunakan hadis ini untuk berhujjah dan pegangan sebagaimana katanya:

“Dengan itu, Rasulullah memutuskan keimanan budak wanita (jariyah/hamba wanita) tersebut ketika ia mengakui bahawa Rabbnya di langit dan dia tahu tentang Rabbnya melalui sifat ‘uluw dan fauqiyah (di atas).” (al-Umm, asy-Syafi’i, 5/280. al-Manaqib, al-Baihaqi, 1/398)

Bahkan, ini hanyalah sedikit nukilan, hakikatnya begitu banyak lagi. Begitulah akan keabsahan hadis ini di sisi ahlus Sunnah wal jama’ah dari dahulu hingga kini.

Syubhat Ahlul Bid’ah Terhadap Hadis Ini:

Terdapat segolongan pihak yang menyatakan, “Hadis ini menimbulkan kesan yang membawa kepada penunjukkan Allah itu menetap di suatu tempat yang mana perkara ini adalah mustahil bagi-Nya dan mustahil pula diucapkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”

Jawabannya:

Apabila yang dimaksudkan “tempat” (makan) adalah yang tersirat di dalam benar fikiran mereka, iaitu setiap yang meliputi dan membatasi seperti langit, bumi, kursi, ‘Arsy, dan sebagaimnya, maka adalah benar perkara itu mustahil bagi Allah berdasarkan kesepakatan seluruh ulama Islam, kerana Allah tidak mungkin dibatasi dan diliputi oleh makhluk, bahkan Dia lebih besar dan Agung, bahkan kursi-Nya sahaja meliputi langit dan bumi. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang selayaknya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari Kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari sebarang apa yang mereka persekutukan.” (Surah az-Zumar, 39: 67)

Begitu juga di dalam Shahih al-Bukhari, no. 6519 dan Muslim, no. 7050, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Allah menggenggam bumi dan melipat langit dengan tangan kanan-Nya, kemudian berfirman: Aku adalah raja, manakan raja-raja bumi?”

Ada pun apabila yang dimaksudkan adalah “tempat” sebagai sesuatu yang tidak meliputi yakni di luar alam semesta, maka Allah di luar alam semesta sebagaimana keberadaan-Nya sebelum menciptakan makhluk. Jadi, Allah di tempat yang bermakna kedua ini bukanlah makna pertama. (Rujuk: Muqaddimah Mukhtashar al-‘Uluw, m/s. 70-71. oleh al-Albani)

Yang menjadikan persoalan ini sehingga memeningkan (rumit) sebenarnya adalah kerana mereka menggunakan ilmu Kalam (falsafah/pemikiran) iaitu yang telah diserapkan ke dalam persoalan ini, sehingga mereka mengatakan kepada penganutnya: “Tidak dibolehkan mengatakan: “Allah di atas langit.” Kenapa? Kerana Allah tidak memerlukan tempat dan Allah tidak bertempat.” Kita katakan: Benar, Allah tidak memerlukan kepada tempat, tetapi perlu diketahui bahawa seseorang Muslim ketika meyakini bahawa Allah di atas langit bukanlah bermakna seperti seseorang di dalam bilik (kamarnya)! Kenapa? Kerana ini adalah tasybih (penyerupaan Allah dengan makhluk), sekali-kali tidak! (Rujuk: Minhaj Ahli Sunnah wal Jama’ah fil ‘Aqidah wal Amal, m/s. 134. oleh Abu Abdillah an-Nu’mani, m/s. 134)

Wallahu a’lam.

No comments: