__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Thursday, January 10, 2008

035 - MEMAHAMI PENGERTIAN BID’AH

MEMAHAMI PENGERTIAN BID’AH

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Bid’ah:

“Suatu bentuk amalan (dalam beragama) yang baru yang tiada contohnya daripada sumber yang haqq bagi tujuan (dengan niat) mendekatkan diri kepada Allah s.w.t..”

Intipatinya:

1 – Suatu amalan/kaedah

2 – yang baru (yang tiada dasar/contoh)

3 – dengan niat beribadah (mendekatkan diri kpd Allah).

Mari kita lihat satu persatu:

Tulisan seterusnya ini di-ambil dari kertas kerja Ustaz Rasul bin Dahri.

PENGERTIAN BID'AH MENURUT BAHASA

Definisi bid'ah menurut takrif etimologi diambil dari asal perkataan al-bida' (اَلْبِدَع) yang memberi makna atau maksud:

"Mencipta (atau mengada-adakan sesuatu pekerjaan, amalan, benda atau perkara) yang sama sekali tiada contoh atau misal sebelumnya". (Lihat: الاعتصام للشاطبي Jld. 1. hlm. 36)

Asal Kalimah/Perkataan:

(بَدَعَ - يَبْدَعُ - بِدْعًا)

Atau

(بَدَعَ - بِدَاعَةً - بَدُوْعًا)

Atau

(اَبْدَعَ - اِبْتَدَعَ - تَبَدَّعَ)

Kalimah atau perkataan di atas memberi erti: "Mencipta, mereka-reka, mengada-adakan, memulakan atau sesuatu yang baru (pertama-tama diadakan)".

Al-bid'ah (البدعة) juga nama yang diberikan ke atas perbuatan yang sengaja diada-adakan dan jamaknya bida' (بدع) (Lihat: الاعتصام للشاطبي Jld. 1. hlm. 57) atau apa yang dicipta dalam agama dan selainnya (Lihat: العين Jld. 2. Hlm. 55.) dan sesiapa yang mengada-adakan sesuatu dia dianggap telah melakukan bid'ah. Dalam "Takrifat" pula ia ditetapkan sebagai setiap amal yang bertentangan dengan sunnah yang berupa sesuatu urusan yang diada-adakan. (Lihat: التعريفات hlm. 43)

Berkata Imam ath-Thurthusi rahimahullah:

اَصْلُ هَذِهِ الْكَلِمَةِ مِنَ اْلاِخْتِرَاعِ ، وَهُوَ الشَّيْءُ يُحْدَثُ مِنْ غَيْرِ اَصْلٍ سَبَقَ ، وَلاَ مِثَالٍ احْتُذِيَ وَلاَ اُلِفَ مِثْلَهُ

"Kata bid'ah berasal dari kata al-ikhtira' (اَلاِخْتِرَاع) iaitu sesuatu yang baru dicipta tanpa ada contoh sebelumnya, tiada misal mendahuluinya dan tidak pernah ada rekaan sepertinya (sebelumnya)". (Lihat: الحوادث والبدع hlm. 40 ath-Thurthusi (Tahqid oleh Ali Hasan). Diterbitkan oleh Dar Ibn al-Jauzi)

Kalimah bid'ah terdapat di dalam al-Quran yang digunakan dengan penggunaan istilahnya yang paling tepat dan seiringan mengikut maksud serta pengertian yang dikehendaki oleh kalimah tersebut. Kenyataan ini dapat difahami melalui tiga potong ayat di bawah ini:

بَدِيْعُ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ

"(Dialah) Pencipta segala langit dan bumi". (al-Baqarah, 2:11)

Penggunaan kalimah bid'ah pada ayat di atas adalah yang paling tepat sebagaimana yang dimaksudkan oleh pengertian kalimah bid'ah menurut bahasa kerana hakikatnya hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja Pencipta (melakukan bid'ah) hingga terciptanya langit, bumi dan segala-gala yang ada di alam ghaib atau di alam nyata.

Segala ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala yang sedia ada ini tidak pernah didahului oleh mana-mana contoh atau pencipta sebelum-Nya, hanya Dialah sahaja Pencipta yang mengadakan dan memulakan seluruh penciptaan yang terdapat di langit, di bumi, di alam dunia atau di alam akhirat yang sebelumnya tidak ada ('adam) kepada ada (mawujud).

Para ahli ilmu yang pakar atau mengetahui kaedah penggunaan tata Bahasa Arab akan lebih mudah memahami maksud dan pengertian bid'ah yang terdapat pada ayat di atas, yang terdapat di dalam hadis-hadis yang begitu banyak bilangannya dan yang banyak digunakan dalam pertuturan dan penulisan Bahasa Arab. Penggunaan bid'ah pada ayat di atas amat tepat baik secara bahasa (termasuk gaya bahasa) atau takrif syara. Ia ditafsirkan oleh para ahli ilmu:

أبدعت الشيء لا عن مثال

"Aku telah ciptakan (mengadakan) sesuatu tanpa ada misal (sebelumnya)." (Lihat: جامع البيان عن تأويل آي القرآن Jld. 1 Hlm. 709. Ibn Jarir at-Tabari)

Di ayat yang kedua pula Allah berfirman:

قُلْ مَا كُنْتُ بِدْعًا مِنَ الرُّسُلِ

"Katakanlah (ya Muhammad!): Bukanlah aku seorang Rasul pembawa agama yang baru dari agama yang telah dibawa oleh para Rasul yang lalu". (al-Ahqaf, 46:9)

Menurut Ibn Abbas radhiallahu 'anhu bid'ah yang dimaksudkan pada ayat di atas ialah "Yang Terawal." (Lihat: الجامع لأحكام القرآن ، القرطبى. Juz. 16. Hlm. 180) Ia ditakdirkan juga sebagai ucapan yang bermaksud: "Bukanlah aku ini pembuat bid'ah (sahibul bid'ah)." (Lihat: الجامع لأحكام القرآن ، القرطبى. Juz. 16. Hlm. 180)

Yang paling jelas ayat di atas bermaksud dan bertujuan agar Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam memberi tahu kepada umatnya bahawa baginda bukanlah seorang Rasul yang bid'ah (yang baru) di dunia ini. Sudah ada Rasul-Rasul lain mendahului baginda sebelum baginda diutus menjadi Rasul. Inilah pengertian bid'ah sebagaimana yang dikehendaki oleh ayat (syara’) dan dimaksudkan oleh bahasa iaitu:

"Bid'ah: Ialah sesuatu yang baru yang diada-adakan dan tidak ada contoh atau misal sebelumnya".

Oleh kerana baginda bukan merupakan seorang Rasul yang pertama dan baru kepada manusia maka baginda tidak dinamakan Rasul yang bid'ah menurut pengertian istilah bahasa dan syara’ kerana sudah ada contoh dan beberapa orang rasul sebagai pendahulu sebelumnya.

Dan di ayat ketiga Allah berfirman:

وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوْهَا

"Dan mereka sengaja mengada-adakan rahbaniyah". (al-Hadid, 57:27)

Menurut penafsiran al-Hafiz Imam as-Syaukani rahimahullah tentang ayat di atas:

وَرَهْبَانِيَّةً مُبْتَدِعَةً مِنْ عِنْدِ اَنْفُسِهِمْ

"Kerahiban yang mereka sendiri cipta (ada-adakan)". (Lihat: فتح القدير. Jld. 5. Hlm. 178)

Maka jika difahami pengertian bid'ah dari ketiga-tiga ayat al-Quran di atas maka ia memberi makna atau maksud:

"Sesuatu yang baru, yang tidak ada misal (contoh) sebelumnya, yang diada-adakan dan yang direka cipta".

Bid'ah menurut bahasa (لُغَةً) juga telah didefinisikan oleh kalangan ulama fiqah yang muktabar:

كُلُّ عَمَلٍ عَلَى غَيْرِ مِثَالٍ سَابِقٍ

"Setiap amalan (perbuatan atau pekerjaan) yang tiada contoh sebelumnya". (Lihat: البدعة تحديدها وموقف الاسلام منها Hlm. 157. 'Izat Ali Atiah)

Bila dikatakan: (اِبْتَدَعَ فُلاَنٌ بِدْعَة) "Telah mencipta si Fulan satu cara/jalan" bermakna cara/jalan ciptaan si Fulan tidak pernah ada contoh sebelumnya. Menurut Ali Hasan pula bid'ah ialah:

وَهَذَا اْلاِسْمُ (يَعْنِى: اِلْبِدْعَةُ) يَدْخُلُ فِيْمَا تَخْتَرعُهُ الْقُلُوْبُ وَفِيْمَا تَنْطِقُ بِهِ اْلاَلْسِنَةُ وَفِيْمَا تَفْعَلُهُ الْجَوَارِحُ

"Dan yang boleh dikategorikan dalam bid'ah, termasuklah sesuatu yang dilakukan oleh hati, yang dipertuturkan oleh lisan dan yang dilakukan oleh tubuh badan". (Lihat: علم اصول البدع hlm 23. Ali Hasan. Daar ar-Rayah. Cetakan kedua)

Takrif yang ringkas ini amat jelas, mudah dihayati dan difahami, oleh itu tidak perlu dikupas atau diberi penghuraian dengan panjang lebar.

PENGERTIAN BID'AH MENURUT ISTILAH SYARA’

Kalangan jumhur ulama fiqah (fuqaha) dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah telah memberikan takrif bid'ah mengikut landasan yang sesuai dengan hukum syara’ atau syariyah (شَرْعِيَّةٌ). Antara takrif yang masyhur yang sering digunakan ialah:

اِحْدَاثُ مَا لَمْ يَكُنْ لَهُ اَصْل فِى عَهْدِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَىْ لاَدَلِيْلَ مِنَ الشَّرْعِ

"Mencipta (mengada-adakan atau mereka-reka) sesuatu (amal) yang sama sekali tidak ada contohnya pada zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam atau tiada dalilnya dari syara".

كُلُّ مَا عَارَضَ السُّنَّةَ مِنَ الاَقْوَالِ اَوِ الاَفْعَالِ اَوِ الْعَقَائِدِ وَلَوْ كَانَتْ عَنْ اِجْتِهَاد

"(Bid'ah): Ialah setiap yang bertentangan dengan sunnah dari jenis perkataan (ucapan) perbuatan (amalan) atau akidah (pegangan/kepercayaan) sekalipun melalui usaha ijtihad." (Lihat: احكام الجنائز وبدعها. Hlm. 306. Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)

فَالبِدْعَةُ اِذَنْ عِبَارَةٌ عَنْ طَرِيْقَةٍ فِى الدِّيْنِ مُخْتَرِعَةٌ تَضَاهِى الشَّرْعِيَّة يَقْصُدُ بِالسُّلُوْكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةِ فِى التَّعَبُّدِ للهِ سُبْحَانَهُ

"Maka bid'ah pada dasarnya ialah diibaratkan: Suatu jalan dalam agama yang direka-cipta yang seakan-akan syara’. Ia bermaksud mengadakan suatu cara tata-agama yang berlebih-lebihan sehingga mencapai ke tahap penyembahan (ibadah) terhadap Allah Subhanahu wa Ta'ala." (Lihat: الاعتصام للشاطبى Jld. 1. Hlm. 27)

اَلْبِدْعَةُ طَرِيْقَةٌ فِى الدِّيْنِ مُخْتَرِعَةٌ تَضَاهِى الشَرْعِيَّة يَقْصُدُ بِالسُّلُوْكِ عَلَيْهَا مَا يَقْصُدُ بِالطَّرِيْقَةِ الشَّرْعِيَّةِ. اَوْ قَالَ: يَقْصُدُ بِهَا التَّقَرُّب الِى اللهِ وَلَمْ يقمْ عَلىَ صِحَّتِهَا دَلِيْلٌ شَرْعِيٌّ صَحِيْحٌ اَصْلاً اَوْوَصْفًا

"(Maksudnya): Bid'ah ialah suatu jalan (ciptaan/rekaan) yang disandarkan oleh pembuatnya kepada agama sehingga menyerupai syariah. Ianya dilakukan dengan maksud untuk menjadikannya tata-agama sehingga mencapai jalan (cara) yang menyerupai jalan syariah. Atau sebagaimana yang dikatakan: (Amalan) yang bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditegakkan kesahihannya melalui dalil syarii yang sahih yang bersumber dari sumber yang sebenar dan tepat." (Lihat: الاعتصام للشاطبى Jld. 1. Hlm. 37)

Berkata Al-Jauhari rahimahullah:

اَلْبَدِيْعُ وَالْمُبْتَدِعُ اَيْضًا واَلْبِدْعَةٌ: اَلْحَدَثُ فِى الدِّيْنِ بَعْدَ اْلاِكْمَالِ

"Al-Badi', al-Mubtadi' dan bid'ah ialah: Mengada-adakan sesuatu dalam agama setelah agama disempurnakan (dinyatakan lengkap)". (Lihat: مختار الصحاح ar-Razi / صحاص اللغة Hlm. 44)

Berkata al-Fairus Abadi rahimahullah:

اَلْبِدْعَةُ: اَلْحَدَثُ فِى الدِّيْنِ بَعْدَ اْلاِكْمَالِ . وَقِيْلَ: مَااسْتُحْدِثَ بَعْدَهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ اْلاَقْوَالِ وَاْلاَفْعَالِ

"Bid'ah ialah: Mengada-adakan sesuatu dalam agama setelah (agama) disempurnakan. Dan disebut bid'ah apa sahaja yang direka-cipta selepas Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam sama ada berbentuk percakapan atau amalan (perbuatan)". (Lihat: بصائر ذوى التمييز Jld. 2. Hlm. 132)

Takrif di atas telah disepakati oleh semua golongan ulama salaf dan khalaf. Ini terbukti dengan keseragaman takrif mereka termasuklah definisi yang diberikan oleh Imam Syafie, Hambali, Hanafi, Maliki, Sufyian as-Thauri dan imam-imam fiqah yang lain. Apa yang dimaksudkan "Mendekatkan diri kepada Allah" sebagaimana yang terdapat dalam ta'rif di atas, tidak termasuk bid'ah yang berbentuk (urusan) keduniaan seperti kereta, pesawat, membukukan al-Quran dan sebagainya. (Lihat: البدع واثرها السىء فى الامة hlm. 6 Salim Hilali)

PERKATAAN DAN PERBUATAN YANG SE-ERTI DENGAN BID'AH

Perbuatan seseorang Muslim boleh dihukum bid'ah apabila perbuatan atau amalan tersebut telah ditambah, ubah-suai atau diubah dari bentuk atau cara asalnya yang telah ditetapkan oleh syara’. Kedudukan sesuatu amal boleh dinilai melalui makna atau maksud dari kalimah-kalimah yang tercatit di bawah ini:

1 - Bid'ah bererti mereka-reka atau sesuatu rekaan yang direka-reka (dicipta) (اِخْتِرَاعٌ) . (Lihat: القاموس المخيط. Hlm. 907. مقاييس اللغة (1/209). لسان العرب.)

2 - Bid'ah juga bererti baru (mendatangkan yang baru atau sesuatu yang diada-adakan) .(اِحْدَاثٌ اَوْ زِيَادَة) (Berdasarkan hadis: كل محدثة بدعة "Setiap yang baru (diada-adakan) itu bid'ah.")

3 - Bid'ah bererti mengubah (mengubah-suai atau menukar ganti) .(تَبْدِيْلٌ) (Lihat: Surah al-Baqarah 2:59. "Lalu orang-orang yang zalim mengganti perintah Allah dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka.)

4 - Bid'ah bererti menambah yang baru ( menokok-nambah) .(زِيَادَةٌ) (Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam telah mengharamkan penambahan dalam agama, baginda bersabda:اذا حدثتكم حديثا فلا تزيدُنَّ علي "Jika aku katakan kepada kamu suatu kata-kata maka janganlah sekali-kali kamu menokok-nambah ke atas kata-kataku")

5 - Bid'ah bererti menyembunyikan atau menyorokkan. .(كِتْمَانٌ)

Setiap amal-ibadah yang masih terlibat dengan mana-mana dari lima kalimah di atas sedangkan tidak ada dalil (hujjah) atau keizinan dari syara (al-Quran, al-Hadis, athar yang sahih dan fatwa dari ulama muktabar) yang mengharuskan maka ibadah tersebut dinamakan ibadah yang bid'ah.

Sewajarnya para ulama di Nusantara mencontohi peranan para ulama Salaf as-Soleh yang telah berusaha sedaya upaya memerangi bid'ah dan semua aktivitinya supaya tidak terus membiak sebagaimana sekarang. Dalam usaha membentaras amalan dan aktiviti bid'ah jumhur ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berjalan di atas manhaj Salaf as-Soleh telah menerangkan kekejian atau kesesatan bid'ah. Cara mereka menjelaskan pengertian bid'ah sentiasa mengikut pengistilahan syarii. Mereka mengenegahkan istilah (pengertian) bid'ah dengan penampilan yang amat jelas dan mudah difahami. Walaupun mereka mempunyai gaya susunan bahasa dan ayat yang berlainan tetapi prinsip serta objektifnya adalah sama dan ke arah yang sama.

Al-Hafiz Ibn Rejab al-Hambali rahimahullah menjelaskan:

"Yang dimaksudkan bid'ah ialah setiap perkara yang diada-adakan di dalam agama sedangkan perkara yang diada-adakan itu tidak terdapat sumbernya dari syara’ yang membolehkan seseorang melakukannya. Jika sekiranya terdapat dalilnya (contohnya) dari syara hal seperti ini bukanlah perbuatan bid'ah walaupun ada yang mengatakan bid'ah kerana itu hanyalah bid'ah menurut istilah bahasa sahaja (yang bukan termasuk dalam istilah syara)". (Lihat: جامع العلوم والحكم ، ابن رجب الحنبلى Hlm. 160. India)

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah:

"Bid'ah pada asalnya setiap yang dicipta yang tiada contoh sebelumnya. Menurut syara’ pula setiap yang bertentangan dengan sunnah dan tercela". (Lihat: فتح البارى Jld. 5 Hlm. 105)

Menurut Ibn Hajar al-Haitamy rahimahullah:

"Bid'ah menurut bahasa ialah setiap yang dicipta. Di segi syara’ pula ialah: Setiap pembaharuan yang diada-adakan dan bertentangan dengan syara". (Lihat: التبين بشرح الاربعين ، ابن حجر الهيثمى Hlm. 221)

Menurut Azzarkasy rahimahullah:

"Bid'ah menurut syara ialah perkara yang diada-adakan yang tercela". (Lihat: الابداع فى مضار الابتداع ، علي محفوظ. Hlm. 22)

Menurut Imam Syafie rahimahullah:

"Bid'ah ialah setiap perkara yang bertentangan dengan Kitab, Sunnah, Ijma atau Athar. Maka itu semua dinamakan bid'ah yang menyesatkan".

Apabila memahami pengertian bid'ah (بِدْعَةٌ) di segi bahasa dan juga syara melalui kesemua istilah bid'ah yang telah dikemukakan di atas, tentulah kita akan memahami bahawa bid'ah itu hanyalah merupakan perkara-perkara yang direka-cipta semata-mata dan tidak ada contohnya dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, para sahabat, para Salaf as-Soleh atau tidak terdapat dalilnya dari agama Islam (syara).

Oleh yang demikian, bid'ah itu wajib ditolak oleh setiap orang yang benar-benar beriman dengan kelengkapan dan kesempurnaan agama Islam di segenap aspeknya yang telah dijelaskan di dalam al-Quran dan al-Hadis.

Setiap mukmin wajib mengimani bahawa agama Islam ini telah sempurna dan lengkap. Tidak ada kekurangannya. Tidak ada cacat celanya. Terpelihara dari pengaruh negatif dan dari segala jenis pencemaran atau kerosakan. Tiada suatu pun tata cara ibadah sama ada yang wajib atau yang sunnah, yang jamaii atau fardi yang pernah tertinggal dalam agama Islam yang berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadis dan yang berautoriti sepenuhnya membentuk hukum-ahkam pada setiap zaman dan tempat. Ini semua telah ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam firman-Nya:

اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ

"Hari ini Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu (Islam)". (al-Ma’idah, 5:3)

Dalam susunan kata (bahasa) ayat ini telah menggunakan kalimah (اَكْمَلْ) iaitu (اسم تفضيل) yang bermaksud:

"Cukup (amat) sempurna, tiada lagi yang mengatasi kesempurnaannya atau yang telah disempurnakan secukup-cukupnya".

Kesahihan iman seseorang ialah apabila ia mempercayai kesempurnaan firman Allah yang termuat di dalam kitab-Nya yang menjelaskan bahawa agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam benar-benar telah sempurna (اكمل) sehingga tidak perlu dilakukan apa pun penambahan sama ada di segi huruf, kalimah, ayat, perlaksanaan ibadah atau hukum ahkamnya.

Seseorang yang beriman wajib membuktikan kepercayaannya dengan berpegang teguh kepada kalimah (سَمِعْنَا وَاَطَعْنَا) "Kami mendengar dan mentaati" di dalam al-Quran. Jika ini diabaikan bererti dia tidak percaya kepada firman Allah: "Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu."

Malangnya, mengapakah kalam Allah Subhanahu wa Ta'ala yang khusus ditujukan kepada manusia ini tidak dapat difahami atau diterima oleh sebilangan manusia sehingga dipertikaikan dan akhirnya dikufuri? Tentunya perkara itu mustahil berlaku kepada manusia jika mereka menerima amanah yang berupa al-Quran dengan ikhlas dan dengan penuh kesedaran.

Segala perbuatan Allah Subhanahu wa Ta'ala amat tepat. Terlalu mustahil Allah menurunkan kitab yang tidak boleh difahami oleh hamba-Nya. Pastinya yang tidak mahu memahami kitab Allah ini hanyalah orang-orang yang fasik terhadap ayat-ayat tersebut. Tanda kefasikan mereka ialah apabila tidak mahu menerima ayat-ayat Allah di dalam al-Quran dan al-Hadis untuk diimani tanpa ditakwil atau dipertikaikan.

Hanya orang-orang fasik atau rosak akidahnya sahaja yang suka mentakwil al-Quran dan al-Hadis mengikut reka cipta otak dan hawa nafsu masing-masing sehingga menyimpang dari syara. Seolah-olah mereka merasakan ada kekurangan atau sesuatu yang terlupa di dalam al-Quran, sedangkan Allah Subhanahu wa Ta'ala menafikan yang demikian sebagaimana firman-Nya:

مَا فَرَّطْنَا فِى الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ

"Tiadalah Kami lupa (tertinggal) suatu apa pun di dalam al-Kitab (al-Quran)". (al-An’am, 6:38)

وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلاً لاَّ مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

"Telah sempurna (lengkap) kalimah Tuhanmu (al-Quran) sebagai kalimah yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah kalimah-kalimah-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (al-An’am, 6:115)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam wafat setelah baginda selesai menyampai dan mengajarkan segala perbuatan (ibadah) dan petunjuk yang telah diamalkan oleh baginda dan para sahabatnya sebagaimana penjelasan yang terkandung di dalam nas-nas dari syara. Semua yang telah disempurnakan oleh syara merupakan contoh kepada umat Islam di segenap perkara sama ada cara untuk melakukan yang baik atau cara untuk meninggalkan yang buruk dan keji supaya umat Islam tidak tercebur ke dalam perbuatan bid'ah. Abu Hurairah radhiallahu 'anhu telah menjelaskan tentang kesempurnaan agama ini:

عَلَّمَنَا رَسُـوْلُ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ كُلَّ شَـيْءٍ حَتَّى الْخِرَاءَ ةَ

"Kami telah diajar oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam segala perkara sehinggalah persoalan (bagaimana cara) membuang kotoran (kencing atau berak)." (Hadis Riwayat Bukhari)

مَا تَرَكْتُ شَيْئًا مِمَّا اَمَرَكُمُ الله بِهِ اِلاَّ وَقَدْ اَمَرْتُكُمْ بِهِ ، وَلاَ شَيْئًا مِمَّا نَهَاكُمْ عَنْهُ اِلاَّ وَقَدْ نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ

"Tidaklah aku tinggalkan sesuatu tentang apa yang telah Allah perintahkan kepada kamu kecuali telah aku perintahkan tentangnya. Tidaklah pula (aku tinggalkan) tentang sesuatu yang ditegah (oleh Allah) kecuali telah aku tegah kamu dari (melakukan)nya. (Hadis sahih. Lihat: البدع واثرها السىء فى الامة hlm. 7. Salim Hilali)

اِنِّيْ قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى مِثْلِ الْبَيْضَاء ، لَيْلهَا كَنَهَارِهَا لاَ يَزِيْغُ عَنْهَا بَعْدِيْ اِلاَّ هَلَكَ

"Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu di atas contoh yang terang (sehingga keadaan) malamnya seperti siang harinya. Tidak ada yang menyeleweng darinya selepasku kecuali dia akan binasa." (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Albani dan mentakhrij kitab sunnah: لابن ابي عاصم Jld. 1. Hlm. 26-27)

Imam at-Thabrani menyebut riwayat dari Abu Dzar al-Ghifari radiallahu 'anhu beliau berkata:

تَرَكَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا طَائِرٌ يُقَلِّبُ جَنَاحَيْهِ فِى الْهَوَاءِ اِلاَّ وَهُوَ يَذْكُرُ لَنَا مِنْهُ عِلْمًا . قَالَ: فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا بَقِيَ شَيْءٌ يُقَرِّبُ مِنَ الْجَنَّةِ وَيُبَاعِدُ مِنَ النَّارِ اِلاَّ وَقَدْ بَيَّنَ لَكُمْ

"Setelah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam meninggalkan kami, tidak ada seekor burung yang mengepakkan kedua sayapnya di udara melainkan baginda menyebutkan kepada kami ilmu tentangnya. Ia berkata: Maka Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Tidak tertinggal sesuatu pun yang mendekatkan ke syurga dan menjauhkan dari neraka melainkan telah dijelaskan kepada kamu". (Lihat: الرسالة hlm. 93. Imam as-Syafie. Tahqiq Ahmad Syakir. Sanad hadis ini sahih. Lihat: علم اصول البدع hlm. 19. Ali Hasan)

Seseorang mukmin yang berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang mempunyai daya pemikiran yang tinggi, minda yang baik dan akal yang sempurna, bijak, rasional, waras dan logik tidak mungkin akan bertindak melakukan sesuatu apa pun terhadap perkara-perkara yang ternyata sudah diyakini sempurna, lengkap dan kemas, jauh sekali untuk menokok-nambah atau mengubah-suai (modifikasi).

Itulah kenyataan yang terdapat pada agama Islam. Ia adalah agama Allah Subhanahu wa Ta'ala yang paling mulia dan sempurna sejak di Loh Mahfuz sehinggalah diturunkan ke bumi. Ia telah dilaksanakan dan dicontohkan keseluruhannya oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam berserta para sahabat baginda secara iktikadi (اعتقادى), fekli (فعلى)dan qauli (قولى).

Penyampaiannya pula tidak pernah tertinggal walaupun satu huruf atau satu kalimah, apatah lagi satu ayat, satu surah atau keseluruhan al-Quran yang menjadi sumber hukum-ahkam kepada sekalian manusia sejak ia diturunkan sehinggalah ke Hari Kiamat. Hakikatnya, segala apa yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam tidak pernah salah dan mustahil tersilap atau tertinggal kerana ia adalah didatangkan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ia telah dijamin kesempurnaannya oleh Allah sehinggalah ke Hari Kiamat. Kenyataan ini dapat difahami dari ayat-ayat yang telah ditampilkan di atas.

Persangkaan dan kecetekan ilmu pengetahuan adalah punca yang menyebabkan seseorang itu sanggup menambah atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran yang telah dijamin oleh Allah kesempurnaannya. Allah telah berulang kali menerangkan di dalam firman-Nya dan melalui hadis-hadis Nabi-Nya tentang kesempurnaan agama ini. Hakikat ini terangkum di dalam al-Quran, hadis-hadis dan athar-athar sahih yang menjadi pegangan serta rujukan dalam menyelesaikan setiap permasalahan ummah, terutamanya yang berhubung dengan hukum-ahkam dalam mengatur urusan kehidupan mereka.

Lantaran benar-benar sempurnanya al-Kitab (al-Quran dan al-Hadis), Allah menjadikan kedua-dua kitab ini sebagai sumber rujukan yang terbaik untuk ummah di setiap segi atau perkara, dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada perkara-perkara yang besar dan rumit.

Allah telah menyeru sekalian manusia agar menganut agama Islam. Diwajibkan agar berpegang teguh kepada Kitab-Nya yang paling sempurna tanpa ditokok-tambah atau diubah-suai di setiap aspeknya demi mentaati suruhan dan contoh yang telah ditunjuk ajar oleh Rasul-Nya termasuklah hukum-ahkamnya yang telah ditetapkan.

Islam adalah agama yang sempurna, apabila ditokok-tambah atau diubah-suai menurut selera kemahuan manusia maka ia tidak dapat dinamakan agama Islam lagi kerana telah bertukar kepada agama rekaan otak manusia yang dangkal. Dengan adanya campur tangan manusia ia lebih sesuai diistilahkan sebagai agama bid'ah yang sesat lagi menyesatkan. Malahan ia juga lebih layak dinamakan agama jahiliah yang berpandukan hawa nafsu kesyaitanan manusia yang fasik. Kesempurnaan agama Islam lebih nyata apabila manusia diharamkan daripada mencemarkan agama ini dengan penambahan melalui perbuatan bid'ah.

Larangan dari melakukan bid'ah adalah larangan dari syara kerana larangan tersebut disertakan dengan berbagai-bagai ancaman oleh Allah dan Rasul-Nya. Antara yang paling tegas ialah amaran akan berlaku kesesatan dan pelanggaran batas hukum (hudud) yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam syara yang akhirnya boleh membawa kepada kefasikan dan mengkufuri agama serta ayat-ayat Allah. Hal ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam melalui beberapa potong hadis baginda:

اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَاِنْ كَانَ عَبْدًا حَبَشِيًّا ، فَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ يَرَى بَعْدِى اِخْتِلاَفًا كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِىْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِى تَمَسَّكُوابِهَا وَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ اْلاُمُوْرِ فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَة وَاِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

"Aku berwasiat kepada kamu sekalian supaya bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat sekalipun diperintah oleh seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup (selepas ini) di antara kamu selepasku akan melihat perbalahan yang banyak, maka kembalilah (berpeganglah) kamu kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin selepas peninggalanku, berpegang teguhlah dengannya, maka gigitlah dengan gigi geraham, kemudian berjaga-jagalah dengan hal yang baru (dicipta dalam agama) sesungguhnya setiap ciptaan yang baru itu adalah bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat". (Hadis Riwayat Ahmad (1653). At-Tirmizi (2600). Musnad Abu Daud (3991). As-Sunnan Ibn Majah (42))

كُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِى النَّارِ

"Setiap yang diada-adakan itu bid'ah, setiap yang bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu adalah ke dalam neraka". (Hadis Riwayat Muslim)

فِى خُطْبَةِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: اَمَّا بَـعْدُ: فَاِنَّ خَيْرَ الْحَدِيْـثِ كِتَابُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدَْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ ، وَشَرَّ اْلاُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا ، وَكُلّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ، وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِى النَّارِ

"Dalam khutbah Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam baginda bersabda: Kemudian dari itu, sesungguhnya sebaik-baik perkataan itu kitab Allah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam dan sekeji-keji perkara (perbuatan) ialah mengada-adakan yang baru dan setiap bid'ah (yang baru itu) adalah sesat dan setiap yang sesat ke neraka". (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)

عَنْ حُذَيْـفَةَ قَالَ: لاَيـقْـبَـلُ اللهُ لِصَاحِبِ الْبِدْعَةِ صَلاَةً وَلاَصَوْمًا وَلاَ صَدَقَـةً وَلاَ حَاجًا وَلاَ عُمْرَةً وَلاَ جِهَادًا وَلاَصَـرَفًا وَلاَعَدْلاً ، يَخْـرُجُ مِنَ اْلاِسْلاَمِ كَمَا يَخْرُجُ الشَّـعْرَةَ مِنَ الْعَجِيْنِ. رواه ابن ماجه

"Dari Huzaifah radhiallahu 'anhu baginda berkata: Allah tidak akan menerima dari pembuat bid'ah puasa, sembahyang, haji, umrah, jihad, kebaikan dan keadilan (yang dikerjakannya). Dia akan keluar dari Islam sebagaimana keluarnya rambut dari tepung". (Hadis Riwayat Ibn Majah. Lihat: فتح البارى jld. 17. hlm. 10. Hadis ini lemah dan sebahagian ulama hadis mendapati hadis ini adalah hadis mungkar)

اَبَى اللهُ اَنْ يَقْبَلَ عَمَلَ صَاحِب بِدْعَةٍ حَتَّى يَدَعَهَا

"Allah tidak akan menerima amalan pelaku (pembuat) bid'ah sehinggalah ditinggalkan bid'ah tersebut". (Hadis Riwayat Ibn Majah (49) Muqaddimah)

مَا اَحْدَثَ قَوْمٌ بِدْعَةً اِلاَّ رُفِعَ مِثْلُهَا مِنَ السُّنَّةِ فَتَمَسَّكُ بِسُنَّةٍ خَيْرٌ مِنْ اِحْدَاثِ بِدْعَةٍ

"Tidak akan (dibiarkan) berlaku bid'ah pada satu-satu kaum, kecuali akan dicabut (oleh Allah) satu sunnah dari mereka yang sepertinya. Maka berpegang kepada sunnah lebih baik dari melakukan (mencipta) satu bid'ah". (Hadis Riwayat Ahmad (16356))

مَنْ اَحْدَثَ فِىاَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

"Sesiapa yang mencipta (mengada-adakan) yang baru dalam urusan (agama) Kami ini, maka itu tertolak". (Hadis Riwayat Ahmad (24840). Bukhari (2499) as-Soleh. Muslim (3242) al-Aqdhiah. Abu Daud (3990) as-Sunnan. Ibn Majah (14) Muqaddimah)

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

"Sesiapa yang melakukan (mengerjakan) satu amal yang bukan dari suruhan Kami, maka (amalan itu) tertolak". (Maksud tertolak ialah bermakna “bid'ah” بالبدعة المسمى هو "Ia dinamakan bid'ah". Lihat: علم اصول البدع hlm. 29. Ali Hasan)

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ صَنَعَ اَمْرًا عَلَىْ غَيْرِ اَمْرِنَا فَهُوَ رَدٌّ

"Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam: Barangsiapa yang berbuat sesuatu urusan yang lain dari perintah kami, maka ia tertolak". (Hadis Riwayat Ibn Majah)

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ متفق عليه

"Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam: Maka barangsiapa yang menyimpang dari Sunnahku, maka bukanlah dia dari golonganku". Muttafaq 'Alaih.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَقَّرَ صَاحِبَ بِدْعَةٍ فَقَدْ اَعَانَ عَلَى هَدْمِ اْلاِسْلاَمِ. حديث مرفوع

"Dari Aisyah radhiallahu 'anha berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam: Sesiapa yang memuliakan aktivis bid'ah, maka dia telah menolong untuk menghancurkan Islam" (Hadis Riwayat Ahmad. Lihat: تلبيس ابليس. Hlm. 14. Menurut Syeikh Ali Hasan: Hadis ini adalah hadis hasan isnadnya. Lihat: المنتقى النفس hlm. 37. Dikeluarkan oleh Al-Lalikaii dalam شرح اصول اهل السنة (1/139)) Hadis Marfu'. (Ibn Asakir dalam تاريخ دمشق: ترجمة "العباس بن يوسف الشكلى. Hlm. 286)

اِنَّ لِكُلِّ عَمَلٍ شِرَّةً وَثَمَّ فَتْرَةً فَمَنْ كَانَتْ فَتْرَتُهُ اِلَى بِدْعَةٍ فَقَدْ ضَلَّ ، وَمَنْ كَانَتْ فَتْرَتُهُ اِلَى سُنَّةٍ فَقَدْ اهْتَدَى

"Sesungguhnya pada setiap amal terdapat kegiatan, dan pada amal ada fitrahnya. Barangsiapa yang fitrahnya terlibat dengan bid'ah maka dia telah sesat dan barangsiapa yang fitrahnya terlibat dengan sunnah maka dia telah mendapat petunjuk". (Hadis Riwayat Ahmad (22376), Musnad. Hadis sahih. Lihat: الاتمام (23521). Lihat: اتباع السنن (8))

Imam Abu Syamah al-Muqaddisi berkata:

وَقَدْ حَذَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَصْحَابهُ وَمَنْ بَعْدَهُمْ اَهْلَ زَمَانِهِمْ الْبِدَعِ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ ، وَاَمَرُوْهُمْ بِالاتِّبَاعِ الَّذِيْ فِيْهِ النَّجَاةُ مِنْ كُلِّ مَحْذُوْرٍ

"Nabi Sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan kepada sekalian para sahabatnya, dan orang-orang selepas zaman mereka dari melakukan bid'ah dan ciptaan-ciptaan yang baru (dalam agama). Mereka sekalian diperintahkan agar ittiba' kerana dengannya akan mendapat kejayaan (dan terselamat) dari setiap yang telah diperingatkan (oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam)". (Lihat: الباعث على انكار البدع والحوادث hlm. 11)

Kesemua nas-nas di atas mengharamkan umat Islam dari melakukan perbuatan bid'ah. Selain amalan yang berbentuk bid'ah itu ditolak oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana ia menyesatkan, ternyata bid'ah ini juga amat ditakuti oleh orang-orang beriman yang berilmu. Ini disebabkan setiap amalan bid'ah terutama yang melibatkan akidah, pasti akan menyebabkan pembuatnya menjadi sesat dan di akhirat kelak akan menjadi golongan yang merugi kerana akan dihumban ke neraka. Malah seseorang itu akan dikekalkan di dalam neraka jika semasa hidupnya ia terlibat dalam perbuatan bid'ah di segi akidah yang menyebabkan kesyirikan.

Setiap orang yang beriman sepatutnya merasa gerun terhadap ancaman dari hadis-hadis di atas sehingga dapat memberi kesan menakutkan yang mendalam di hati sanubari atau perasaan mereka.

Para sahabat dan jumhur ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as Soleh terlalu berjaga-jaga dari terlibat dengan segala perbuatan yang berbentuk atau berunsur bid'ah. Ketegasan mereka dalam perkara ini telah dirakamkan melalui kata-kata mereka:

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَاْلاِسْتَقَامَةِ اِتَّبِعْ وَلاَ تَبْتَدِعْ

"Dari Ibn Abbas beliau berkata: Hendaklah kamu takut (takwa) kepada Allah dan sentiasa istiqamah (sentiasa dalam ketaatan), hendaklah kamu mengikut (al-Quran dan as Sunnah) dan janganlah berbuat bid'ah".

قَالَ عُمَربْن الْخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَاِنْ رَآهَا النَّاسُ حَسَنَةٌ

"Setiap bid'ah itu sesat, walaupun (semua) manusia telah berpendapat satu-satu bid'ah (yang mereka lakukan itu) hasanah (baik)". (Diriwayatkan oleh Al-Lalikaii (162). Ibn Battah (205). Baihaqi dalam المدخل الى السنن (191) dan Ibn Nasr dalam السنة (70) sanadnya sahih)

قَالَ ابْنُ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: اَلاِقْتِصَادُ فِى السُّنَّةِ اَحْسَنُ مِنَ اْلاِجْتِهَادِ فِى الْبِدْعَةِ

"Berpada-pada dalam mengerjakan sunnah lebih baik dari bersungguh-sungguh dalam mengerjakan bid'ah". (Lihat: شرح اصول اعتقاد اهل السنة (114-115). As-Sunnah, hlm. 27-28 Ibn Nasr. Al-Ibanah (1/230) Ibn Battah)

Di riwayat yang lain pula:

وَاِنَّ اِقْتِصَادًا فِى سَبِيْلٍ وَسُنَّةٍ خَيْرٌ مِنْ اِجْتِهَادٍ فِى خِلاَفِ سَبِيْلِ سُنَّةٍ فَانْظُرُوْا اَنْ يَكُوْنَ عَمَلُكُمْ اِنْ كَانَ اِجْتِهَادًا اَوْ اِقْتِصَادًا اَنْ يَكُوْنَ ذَلِكَ عَلَى مِنْهَاجِ اْلاَنْبِيَاءِ وَسُـنَّتِهِمْ صَلَوَاتُ اللهِ عَلَيْهِمْ

"Berpada-pada dalam mengikuti jalan sunnah lebih baik dari bersungguh-sungguh dalam melakukan perkara yang boleh bertentangan dengan jalan sunnah. Lihatlah apa yang akan kamu lakukan, jika ia termasuk yang bersungguh-sungguh atau yang berpada-pada hendaklah mengikut panduan manhaj para nabi dan sunnah mereka sallallahu 'alaihi wa sallam". (Diriwayatkan oleh Al-Lalikaii (11). Ibn Mubarak dalam Az-Zuhud. Jld. 2. hlm. 12. dan Abu Na'im dalam Al-Hilyah. Jld. 1. Hlm. 252)

Al-Hafiz Fudhail bin 'Iyad rahimahullah menyatakan:

عَمَلٌ قَلِيْلٌ فِى سُنَّةٍ خَيْرٌ مِنْ عَمَلٍ كَثِيْرٍ فِى بِدْعَةٍ

"Amal yang sedikit (tetapi) dalam perkara sunnah lebih baik daripada amalan yang banyak (tetapi dalam perkara yang) bid'ah." (Lihat: الابانة عن شريعة الدينية Jld. 1. hlm. 395. (249))

Imam Malik rahimallahu ‘anhu seorang imam Ahli Sunnah wal-Jamaah dari kalangan Salaf as-Soleh amat tegas terhadap bid'ah. Beliau menganggap aktivis bid'ah sebagai orang yang mengkhianati kesempurnaan risalah (al-Quran dan al-Hadis) yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam kepada ummahnya. Beliau pernah mengeluarkan ucapannya yang tegas terhadap pembuat bid'ah:

مَنِ ابْتَدَعَ فِى اْلاِسْلاَمِ بِدْعَةٌ وَيَرَاهَا حَسَنَةٌ فَقَدْ زَعَمَ اَنَّ مُحَمَّدٌ قَدْ خَانَ الرِّسَالَةَِلاَنَّ اللهَ يَقُوْلُ: "اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَاكُمْ وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلاِسْلاَمَ دِيْنًا" فَمَالَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْنًا فَلاَ يَكُوْنُ الْيَوْمَ دِيْنًا

"Sesiapa yang melakukan bid'ah di dalam Islam kemudian disangkanya baik, maka dia telah menganggap bahawa Muhammad telah mengkhianati al-Risalah kerana telah jelas Allah berfirman: (Hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu dan Aku cukupkan nikmat kamu dan Aku hanya meredai Islam sebagai agamamu). Apa yang tidak dapat dianggap sebagai agama pada masa itu (masa Nabi), maka pada masa ini ia juga tidak boleh dianggap sebagai agama." (Hadis Riwayat Malik)

قَالَ فَـيْصَلُ بْـنُ عِـيَاضٍ رَحِمَ هُ اللهُ: مَنْ اَحَبَّ صَاحِبَ بِـدْعَةٍ اَحْـبَـطَ اللهُ عَمَلَهُ وَاخْرَجَ نُـوْرَ اْلاِسْلاَمِ مِنْ قَلْبِهِ

"Berkata Faisal bin 'Eyadz: Sesiapa yang menyukai pembuat bid'ah, Allah melenyapkan (menggugurkan) amalannya dan akan dicabut cahaya Islam dari hatinya". (Lihat: تلبيس ابليس Ibn Qaiyim, hlm 84. Dan lihat: شرح السنة hlm. 138. Dikeluarkan juga oleh Al-Lalikaii dalam شرح اصول الاعتقاد اهل السنة. Jld. 1. Hlm. 139)

وَقَالَ: مَنْ جَلَسَ اِلَى صَاحِبِ بِدْعَةٍ اَحْبَطَ الله عَمَلَهُ وَاَخْرَجَ نُوْرَ اْلاِيْمَان - اَوْ قَالَ الاِسْلاَمِ - مِنْ قَلْبِهِ

"Beliau juga pernah berkata: Sesiapa yang duduk di majlis orang bid'ah Allah melenyapkan (menggugurkan) amalannya dan mengeluarkan nur (cahaya) iman - atau ia berkata - keluar nur Islam dari hatinya." (Dikeluarkan oleh Al-Lalikaii dalam شرح اصول اعتقاد اهل السنة (1/132). Dan Ali bin al-J'ad. dalam "Musnad" (1885))

اَنَّ صَاحِبَ الْبِدْعَةِ يَزْدَادُ مِنَ اللهِ بُعْدًا كُلَّمَا بَالَغَ فِى الطَّاعَةِ والْعِبَادَةِ

"Pembuat bid'ah akan bertambah-tambah jauh dari Allah sekalipun bersangatan ketaatan dan kuat ibadahnya". (Lihat: Fathul al-Qadir, jld. 1, hlm. 10)

اِنَّ اللهَ حَجَبَ التَّوْبَةَ عَنْ كُلِّ صَاحِبِ بِدْعَةٍ حَتَّى يَدَعَ بَدْعَتَهُ

"Sesungguhnya Allah menghijab (tidak menerima) taubat setiap pembuat bid'ah sehinggalah ia meninggalkan bid'ahnya". (Hadis Riwayat at-Thabrani dengan sanad yang sahih. Dan dihasankan oleh al-Munziri. Lihat: مدارج السالكين (1/84) Ibn Qaiyim)

Imam Ibn Rajab rahimahullah pernah ditanya, apakah boleh menyebut keburukan aktivis bid'ah (مبتدع) dalam usaha menyedarkan ummah agar menjauhi mereka? Beliau menjawab:

"Adapun Ahli Bid'ah itu sesat begitu juga orang-orang yang bersertanya yang seakan-akan ulama. Maka boleh menjelaskan kejahilan, kecacatan atau kejahatan mereka dalam rangka memperingatkan ummah agar tidak mengikuti mereka". (Lihat: شرح السنة , al-Barbahari, hlm. 138. Tahqiq Abu Yasir ar-Rodadi)

Penjelasan Imam Ibn Rejab di atas menunjukkan bahawa menyebut dan membongkar perbuatan bid'ah yang diseru dan dilakukan oleh para penyeru bid'ah tidak boleh dianggap sebagai suatu kesalahan. Malah wajib didedahkan kepada umum jika tujuan dan niat seseorang yang bertindak sedemikian demi untuk menjauhkan atau menyelamatkan ummah agar tidak terlibat dan tidak terpengaruh dengan perbuatan dan hasutan ahli bid'ah.

No comments: