Di antara karakteristik Ahlus Sunnah wal jama’ah adalah:
1 – Menempuh/mengikuti jalan Rasulullah s.a.w. dan menelusuri jejaknya secala lahir dan batin. Beza halnya dengan kaum munafiqin yang hanya secara lahiriyah saja mengikutinya, sementara batinnya tidak. Jejak Rasulullah s.a.w. itu adalah sunnahnya, iaitu segala sesuatu yang diriwayatkan dan dinukil dari beliau berupa ucapan, perbuatan atau taqrir (persetujuan). Jadi, bukanlah jejak lahiriyahnya seperti tempat di mana beliau duduk, tidur dan lainnya, kerana menelusuri hal-hal seperti itu dapat menyebabkan perbuatan syirik, sebagaimana telah terjadi pada umat-umat sebelumnya.
2 - Menelusuri jalan para as-sabiqun al-awwalun dan para sahabat Nabi Muhammad dari kaum Anshar, kerana Allah telah memberikan keunggulan kepada mereka berupa ilmu dan pemahaman (yang mendalam terhadap masalah agama). Mereka telah menyaksikan turunnya wahyu dan mendengar tafsirnya (penjelasannya secara langsung dari Rasulullah s.a.w.) serta belajar juga secara langsung daripada Rasulullah tanpa perantara. Maka mereka lebih dekat kepada kebenaran dan lebih berhak diikuti setelah Rasulullah s.a.w.. Jadi, susunan/keutamaan dalam mengikuti mereka menempati urutan kedua sesudah mengikuti Rasul. Oleh kerana itu aqwal (ucapan-ucapan para sahabat adalah hujjah (dalil) yang wajib diikuti bila tidak ada nash dari Nabi s.a.w., kerana cara mereka beragama lebih selamat, lebih mengetahui dan lebih bijak. Tidak sebagaimana dikatakan oleh sebahagian kaum mutaakhirin (masa ini) yang mengatakan, “Sesungguhnya cara kaum salaf itu aslam (lebih selamat) sedangkan cara kaum khalaf itu lebih mengetahui lagi lebih bijak. Lalu dengan itu mereka mengikuti jalan khalaf dan meninggalkan jalan para salaf (golongan paling awal menerima Islam dari kalangan sahabat, tabi’in, dan tabi’ at-tabi’in).”
3. Di antara karakteristik Ahlus Sunnah wal jama’ah ialah berpegang teguh kepada wasiat (pesan) Rasulullah di mana beliau bersabda,
“Hendaklah kalian berpegang teguh kepada Sunnahku dan Sunnah para Khulafaur-Rasyidin sepeninggalanku, berpegang teguhlah kepadanya dan gigitlah dengan gigi geraham kalian sekuat-kuatnya, dan awas, hindarilah perkara-perkara baru (yang diada-adakan), kerana setiap bid’ah (hal baru) itu adalah sesat.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah. at-Tirmidzi berkata, hadis ini Hasan Sahih)
Ahlus Sunnah itu selalu mengikuti thariqah (jalan) para khulafa’ur Rasyidin secara khusus sesudah mereka mengikuti jalan as-Sabiqun al-Awwalun (Generasi awal) dan kaum Muhajirin dan Anshar secara urnum. Kerana Rasulullah telah mewasiatkan wasiat khusus agar mematuhi sunnah Khulafa’ur Rasyidin sebagaimana di dalam hadis di atas. Pada hadis tersebut Rasulullah s.a.w., meletakkan susunan Sunnah Khulafa’ur Rasyidin bersama dengan Sunnahnya, maka hal itu menunjukkan bahawa apa yang disunnahkan oleh para Khulafaur Rasyidin atau salah seorang dari mereka tidak boleh diabaikan dan wajar diambil perhatian dengan sebaiknya.
4. Termasuk karakteristik mereka juga adalah menjunjung tinggi Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, mereka sentiasa mendahulukan keduanya di dalam penggunaan dalil (istidlal) dan berpegang (merujuk) kepada keduanya daripada pendapat orang dan perbuatannya, kerana mereka mengetahui bahawa sebenar-benar perkataan adalah perkataan (firman) Allah, sebagaimana Allah tegaskan,
“Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (an-Nisa’: 87)
Dan juga:
“Siapakah yang lebih benar ucapannya daripada Allah?” (An-Nisa’: 122)
5. Sepakat untuk mengamalkan al-Qur’an dan as-Sunnah serta bersatu pada al-haq (kebenaran) dan saling tolong-menolong di dalam kebajikan dan taqwa. Hal ini telah melahirkan wujudnya ijma’, sedangkan ijma’ merupakan sumber ketiga di dalam ilmu dan agama. Para ulama ushul telah mendefinisikan ijma’ sebagai berikut:
Kesepakatan ulama di zamannya atas suatu perkara agama sepeninggalan Rasulullah s.a.w., ijma’ adalah hujjah yang pasti (qath’i) yang wajib diamalkan sesudah dua sumber utamanya, iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah. Ijma’ yang paling utama adalah ijma’ nya para sahabat, ijma’ para ilmuan di tiga kurun terbaik seperti yang disebut dalam hadis.
Termasuk karakteristiknya juga adalah mengukur dengan tiga landasan tersebut semua ucapan (pendapat) manusia dan perbuatan mereka sama ada lahirnya atupun batin yang ada hubungannya dengan masalah agama.
No comments:
Post a Comment