__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Friday, August 31, 2007

016 – KESAN MAKSIAT TERHADAP IMAN

KESAN MAKSIAT TERHADAP IMAN

Maksiat adalah lawan kepada ketaatan, samaada dalam bentuk meninggalkan perintah mahupun melakukan suatu larangan. Sedangkan iman, sebagaimana telah kita ketahui adalah 70 cabang lebih, yang tertinggi adalah ucapan “La ilaha illallah” dan yang terendah adalah menyingkirkan gangguan di jalan. Jadi cabang-cabang ini mempunyai nilai (level) yang berbeza-beza, samaada dalam bentuk mengerjakan (kebaikan) mahupun meninggalkan (larangan). Kerana itu maksiat juga berbeza-beza. Dan maksiat bererti keluar dari ketaatan. Jika ia dilakukan kerana ingkar atau mendustakan maka ia boleh membatalkan iman. Sebagaimana Allah menceritakan tentang fir’aun melalui firman-Nya:

“Tetapi Fir’aun mendustakan dan mendurhakai.” (an-Naziat: 21)

Dan adakalanya, maksiat itu tidak sampai kepada tahap tersebut iaitu sehingga membuatnya keluar dari iman, tetapi memperburuk dan mengurangi keimanan. Maka siapa yang melakukan dosa besar seperti berzina, mencuri, minum-minuman yang memabukkan atau sejenisnya, tetapi tanpa meyakini kehalalan-nya, maka hilang rasa takut, khusyu’ dan cahaya dalam hatinya; sekalipun pokok pembenaran dan iman tetap ada di hatinya. Lalu jika ia bertaubat kepada Allah dan melakukan amal soleh maka kembalilah khassyah dan cahaya itu ke dalam hatinya. Apabila ia terus melakukan kemaksiatan maka bertambahlah kotoran dosa itu di dalam hatinya sampai menutupi serta menguncinya na’udzubillah! Maka ia tidak lagi mengenal yang baik dan tidak mengingkari kemungkaran.

Imam ahmad dan lainnya meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya orang mukmin itu jika berbuat dosa maka terbentuklah titik hitam di hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan dan beristighfar maka bersihlah kembali hatinya. Dan jika menambah (dosa) maka bertambahlah (bintik hitamnya) sampai menutupi hatinya. Itulah rain’ yang disebut oleh Allah dalam al-Qur’an:
كَلا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (al-Muthaffifin 83: 14, Hadis Riwayat Ahmad, II/297)

Ada sebuah perumpamaan yang menggambarkan pengaruh maksiat atas iman, iaitu bahawasanya iman itu seperti pohon besar yang rendang. Maka akar-akarnya adalah tashdiq (kepercayaan) dan dengan akar itulah ia hidup, sedangkan cabang-cabangnya adalah amal perbuatan. Dengan cabang itulah tergambar kehidupannya yang baik. Semakin bertambah cabangnya, maka semakin bertambah dan sempurnalah pohon itu, dan jika berkurang maka buruklah pohon itu. Lalu jika berkurang terus sampai tidak tersisa cabang mahupun batangnya maka hilanglah nama pohon itu. Manakala akar-akar itu tidak mengeluarkan batang-batang dan cabang-cabang yang boleh berdaun maka keringlah akar-akar itu dan hancurlah ia dalam tanah.

Begitu pula maksiat-maksiat dalam kaitannya dengan pohon iman, ia selalu membuat pengurangan dan aib dalam kesempurnaan dan keindahannya, sesuai dengan besar dan kecilnya atau banyak dan sedikitnya kemaksiatan tersebut. Wallahu a’lam...

015 - MEMBEDAH PEMIKIRAN KHAWARIJ

Membedah Pemikiran Khawarij

Oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah

014 - RINGKASAN UMUM TERHADAP BEBERAPA FIRQAH YANG SESAT

014 - RINGKASAN UMUM TERHADAP BEBERAPA FIRQAH YANG SESAT

-------
Kaum Jabriyah/Jabariyah
-------

- Berasal dari kata Jabr (terpaksa), iaitu semua dipaksa dan tidak ada kekuasaan dan kebebasan dalam dirinya (manusia). Mereka adalah termasuk dalam aliran yang sesat dan termasuk dalam golongan ahlul bid’ah. Mereka berfahaman dengan tidak mengakui adanya kekuasaan dan kebebasan dalam diri manusia, serta mereka menolak adanya hikmah serta maslahat dalam perbuatan dan ketentuan (hukum) Allah (permasalahan qadar). (Rujuk Maqalat Islamiyyin juz I, Syarah Khalil Tahqiq as-Saqqaf, hal. 186). Berpandangan bahawa manusia dalam segala hal (perbuatan, gerak-geri, dan tingkah lakunya) adalah dalam keadaan terpaksa, tidak memiliki kekuasaan dan kebebasan. Dan semua itu (gerak-geri, tingkah laku, dan perbuatan manusia) adalah perbuatan Allah semata-mata iaitu manusia tiada haq langsung untuk menentukan tindakannya. Termasuk dalam aliran ini ialah Jahmiyah, mereka turut berpandangan seperti itu. (Rujuk Maqalat al-Islamiyyin, al-Milal, jil. I, Wasathiyah Ahlussunnah, hal. 374-375)

-------
Jahmiyah
-------

- Jahmiyah ialah aliran yang sesat dan dikafirkan oleh para ulama. Timbul pada akhir kekuasaan Bani Umayyah. Disebut demikian, kerana berasal dari nama tokoh pendirinya, iaitu Abu Mahraz Jahm bin Shafwan at-Tirmidzi yang terbunuh pada tahun 128H. Di antara pendapat aliran ini ialah, menolak kebenaran adanya Asma dan Sifat bagi Allah, al-Qur’an adalah mahkluk (barang ciptaan) dan bahawa iman itu adalah hanya sekadar mengenal Allah dan lain-lain. (Rujuk Maqalat Islamiyyin juz. I; al-Farq Baina Firaq, hal. 158; al-Milal wan Nihal; Syarah Khalil; Tahqiq as-Saqqaf, hal 158; Wasathiyah Ahlus Sunnah, hal. 296)

-------
Musyabbihah
-------

- Aliran yang sesat dan termasuk dalam golongan Ahlul Bid’ah. Mereka yang mempersamakan atau menyerupakan sifat Allah dengan sifat mahkluk-Nya Termasuk dalam golongan tamtsil ini ialah; Jawaliqiyah, Hisyamiyah, dan Jawaribiyah (Rujuk al-Farq Bainal Firaq; Syarah Khalil hal. 185; Wasathiyah Ahlus Sunnah, hal. 317)

-------
Qadariyah
-------

Satu aliran yang sesat dan tergolong dalam golongan ahlul bid’ah. Berasal dari kata “qadar”, yang ertinya ketentuan Ilahi. Aliran ini tidak mengakui adanya qadar tersebut dan mengatakan manusialah yang menentukan nasibnya sendiri dan dialah yang membuat perbuatannya, terlepas dari qudrat serta iradat Ilahi. Termasuk dalam aliran ini, adalah juga golongan yang dipanggil sebagai Muktazilah, kerana turut memiliki pandangan (fahaman) yang sama dalam hal ini. (Rujuk al-Farq bainal Firaq, al-Milal wan Nihal, jil. I, Wasathiyah Ahlus Sunnah, hal. 378)

-------
Murji’ah
-------

Satu aliran yang sesat dan tergolong dalam golongan ahlul bid’ah. Berasal dari kata “irja”, ertinya pengakhiran, sebab mereka mengakhirkan amal dari iman. Mereka mengatakan: “Suatu dosa tidak berbahaya selama mana ada iman, sebagaimana suatu ketaatan tidak tidak berguna selama ada kekafiran.” Menurut mereka, amal tidaklah termasuk dalam kriteria iman, serta iman tidak bertambah dan tidak pula berkurang. Pendapat ini bertentangan dengan pendapat ahlus sunnah wal Jama’ah, kerana menurut ahlus sunnah, iman itu ialah keyakinan dalam hati, diucapkan melalui lisan dan dinyatakan dalam perbuatan, bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan sebab perbuatan dosa dan maksiat. (Rujuk Wasathiyah Ahlus Sunnah, hal. 294-296)

-------
Wa’idiyah
-------

Satu aliran yang sesat dan tergolong dalam golongan ahlul bid’ah. Berasal dari kata “wa’id” yang ertinya ancaman. Mereka berpendapat bahawa Allah haruslah melaksanankan ancaman-Nya, sebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur’an. Untuk itu, menurut mereka, pelaku dosa besar bila meninggal dunia, tanpa bertaubat, maka ia akan kekal di dalam neraka, sebagaimana yang diancamkan Allah terhadap mereka, sebab Allah tidak akan menyalahi janji-Nya. (alMilal, jil. I: Syarah Khalil Hirras Tahqiq as-Saqqaf, hal. 188)

-------
Haruriyah
-------

Satu aliran yang sesat dan tergolong dalam golongan ahlul bid’ah. Berasal dari kata “haruura’”, iaitu suatu tempat dekat dengan Kuffah. Haruriyah termasuk salah satu kelompok dalam aliran khawarij. Dinamakan demikian kerana di tempat itulah mereka berkumpul ketika keluar dari kepemimpinan Ali bin Abu Thalib. Menurut mereka, pelaku dosa besar adalah kafir dan di akhirat ia akan kekal di dalam neraka. (al-Farqu bainal Firaq)

-------
Muktazilah
-------

Satu aliran yang sesat dan tergolong dalam golongan ahlul bid’ah. Mereka adalah pengikut kepada Washil bin Atha’ dan Amr bin ‘Ubaid. Dikatakan Muktazilah kerana mereka mengeluarkan diri (‘itizal) dari kelompok majlis ilmu Hasan al-Basri atau kerana mereka menyelisih keluar dari pandangan sebahagian besar umat Islam ketika itu dalam hal pelaku dosa besar, kerana menurut Washil bin Atha’, pelaku dosa besar berada dalam status antara iman dan kafir, dikatakan beriman tidak, sedang dikatakan kafir juga tidak. Dan di akhirat kelak bila tidak bertaubat akan kekal dalam neraka. (al-Farqu bainal Firaq, Wasathiyah, hal. 296-297, 341-343) Adapun menurut Ahlus Sunnah, pelaku dosa besar yang mukmin, dia masih tetap disebut mukmin, kerana imannya, hanya saja dia itu fasiq kerana perbuatan dosa besarnya. Atau dikatakan dia itu mukmin yang kurang imannya, sedang urusannya di akhirat kelak apabila belum bertaubat, adalah terserah kepada Allah. Jika Allah mengkehendaki, akan disiksa (sesuai dengan keadilan-Nya), dan jika mengkehendaki, akan diampuni-Nya (sesuai dengan sifat kasih-Nya). (Wasathiyah Ahlus Sunnah, hal. 346) Antara lain, sifat Muktazilah juga adalah suatu kelompok yang amat mengedepankan ilmu falsafah dan mengutamakan peranan akal (ilmu kalam). Mereka menafikan sifat-sifat tertentu bagi Allah. Menganggap al-Qur’an adalah makhluk, dan mendakwa bahawa perbuatan manusia itu terkeluar dari kehendak Allah. (Tafsirul Ayatil Kursi, Sheikh al-Utahameen)

-------
Rafidhah
-------

Satu aliran yang sesat dan tergolong dalam golongan ahlul bid’ah. Berasal dari kata “Rafdh”, ertinya menolak. Salah satu kelompok dalam aliran syi’ah. Mereka bersikap berlebih-lebihan terhadap Ali dan Ahlul Bait, serta mereka menyatakan permusuhan terhadap sebahagian besar sahabat, khususnya Abu Bakar dan Umar. Disebut Rafidhah, kerana mereka menolak untuk membantu serta mendukung Zaid bin ali bin al-Husein bin Ali bin Abu Thalib pada masa kepemimpinan Hisyam bin abdul Malik. Sebabnya, kerana mereka meminta kepada Zaid supaya menyatakan tidak berpihak kepada Abu Bakar dan Umar, beliau menolak dan tidak mahu, sehingga mereka pun menolak untuk mendukungnya. Oleh kerana itu, mereka akhirnya disebut sebagai Rafidhah. (Minhajus Sunnah li Syeikhul Islam, I/34, Wasathiyah, hal. 405)

-------
Khawarij
-------

Satu aliran yang sesat dan tergolong dalam golongan ahlul bid’ah. Berasal dari kata “kharaja” ertinya keluar. Suatu aliran atau kelompok Islam yang mana mereka (pada zaman bermulanya) ini mengkafirkan Ali dan Mu’awiyah serta para pendukung keduanya. (Iaitu, mereka keluar dari ketaatan kepada pemerintah) Mereka disebut demikian kerana menyatakan keluar dari kepemimpinan Ali setelah peristiwa Siffin. (al-Farq, al-Milal, Wasathiyah, hal. 290-291) Khawarij turut menyatakan bahawa pelaku dosa bear adalah kafir dan di akhirat kekal di dalam neraka. Mereka memerangi kaum muslimin (pemerintah atau rakyat kebanyakan) dan berpendapat bolehnya keluar dari jemaah pemerintah dan menubuhkan jemaah-jemaah yang lain sebagai tindakan membangkang. (Tafsirul ayatil Kursi, Sheikh al-Uthaimeen)

-------
Kesimpulan:
-------

Demikianlah ringkasan yang menerangkan perihal beberapa kelompok-kelompok sesat dalam Islam. Secara am-nya, kelompok-kelompok ini masih lagi wujud sehingga kini, cuma sifat-sifat atau fahaman-fahaman yang mana pada asalnya hanya dinisbahkan kepada satu-satu nama kelompok (firqah) tidaklah lagi dihadkan kepada satu-satu kelompok sahaja, malah ia telah menjadi bercampur baur. Dengan erti kata lain, muncul beberapa puak yang lain lagi, yang mengadatasikan (menggabungkan) fahaman-fahaman sesat dari beberapa kelompok yang tersebut di atas, kepada satu-satu bentuk kelompok yang baru yang lain. Namun hakikatnya, secara dasarnya, fahaman-fahaman mereka masih berpunca dari beberapa kelompok-kelompok sesat yang disebutkan tadi.

Untuk lebih jelas berkenaan beberapa fahaman-fahaman sesat di atas, boleh juga merujuk kepada tulisan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berjudul al-Furqan Bainal Haq wa al-Bathil. Yang mana buku/kitab ini banyak menjelaskan perihal kesesatan dalam kelompok yang dipanggil sebagai syi’ah, khowarij, mu’tazilah, jahmiyah, murji’ah, qadariyah, jabariyah dan shuffiyah.

Wa Allahu a’lam...

013 – HUKUM PELAKU DOSA BESAR

013 – HUKUM PELAKU DOSA BESAR

DOSA TERBAHAGI MENJADI DOSA BESAR DAN KECIL

-------
1 – Dosa Besar (Kabirah)
-------

Iaitu setiap dosa yang mengharuskan adanya had** di dunia atau yang diancam oleh Allah dengan neraka atau laknat atau murka-Nya. Adapula yang berpendapat, dosa besar adalah setiap maksiat yang dilakukan seseorang dengan terang-terangan (berani) serta meremehkan dosanya.

**Had, bentuk jama’nya adalah hudud, iaitu sangsi hukum atau hukuman yang sudah ditentukan jenis dan ukurannya oleh syara’, seperti rejam, sebat 100 kali, atau potong tangan dan seumpamanya.

Contoh dosa besar adalah sebagaimana disebutkan dalam hadits Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jauhilah olehmu tujuh dosa yang membinasakan. Mereka bertanya, “apa itu?”, Beliau menjawab, “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan benar, memakan riba’, memakan harta anak yatim, melarikan diri pada waktu peperangan dan menuduh berzina wanita-wanita suci yang mukmin. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

-------
2 – Dosa Kecil (Shaghirah)
-------

Iaitu segala dosa yang tidak mempunyai had di dunia, juga tidak terkena ancaman khusus di akhirat.

Ada pula yang berpendapat bahawa dosa kecil adalah setiap kemaksiatan yang dilakukan kerana alpa atau lalai dan tidak henti-hentinya orang itu menyesali perbuatannya, sehingga rasa kenikmatannya dengan maksiat tersebut terus pudar.

Contoh dosa kecil adalah apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dicatat atas bani Adam bahagiannya dari zina, pasti dia mendapatkannya tidak mungkin tidak; maka dua mata zinanya adalah memandang, dua telinga zinanya adalah mendengar, lisan zinanya adalah berbicara, tangan zinanya adalah memegang, dua kaki zinanya adalah melangkah, dan hati adalah menginginkan dan mendambakan, hal itu dibenarkan oleh kemaluan atau didustakannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2657)

Dalil pembahagian dosa menjadi bear dan kecil adalah firman Allah s.w.t.:

Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga). (an-Nisa’ 4: 31)

(Yaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunanNya. Dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan)mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa. (an-Najm 53: 32)

Diriwayatkan dari Umar, Ibnu Abbas dan yang lain r.a. bahawasanya mereka berkata:

“Tidak ada dosa besar dengan beristighfar dan tidak ada dosa kecil (jika dilakukan) dengan terus-menerus.”

-------
Pegangan Ahlus Sunnah Berkenaan Pelaku Dosa Besar
-------

Sesungguhnya orang yang melakukan dosa besar tidaklah menjadi kafir jika dia termasuk ahli tauhid dan ikhlas. Tetapi ia adalah mukmin dengan keimanannya dan fasik dengan dosa besarnya, dan ia berada di bawah kehendak Allah. Apabila berkehendak, Dia mengampuninya dan apabila Ia berkehendak pula, maka ia menyiksa di neraka kerana dosanya, kemudian Ia mengeluarkannya dan tidak menjadikannya kekal di neraka. Berbeza dengan sebahagian kelompok-kelompok yang sesat yang ekstreem dalam hal ini. Mereka antaranya adalah:

1 – Murji’ah: Golongan yang menyatakan maksiat tidak membahayakan (berpengaruh buruk) bagi orang beriman, sebagaimana ketaatan tidak bermanfaat bagi orang kafir.

2 – Muktazilah: Mereka yang mengatakan bahawa orang yang berdosa besar ini tidak mukmin dan tidak juga kafir, tetapi ia berada pada tingkatan yang ada di antara dua tingkatan tersebut. Namun, demikian, apabila ia keluar dari dunia tanpa bertaubat maka ia kekal di neraka.

3 – Khawarij: Mereka mengatakan bahawa orang yang berdosa besar adalah kafir dan kekal di neraka.

-------
Dalil-Dalil Ahlus Sunnah
-------

Ahlus Sunnah berhujjah dengan dalil-dalil yang banyak sekali dari al-Qur’an dan al-Hadis, di antaranya:

Firman Allah s.w.t.:

Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil. Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (al-Hujurat 49: 9-10)

Segi istidlal (pengambilan dalil) nya: Allah tetap mengakui keimanan pelaku dosa peperangan dari orang-orang mukmin dan bagi para pembangkang dari sebahagian golongan atas sebahagian yang lain, dan Dia menjadikan mereka menjadi bersaudara. Dan Allah memerintahkan orang-orang mukmin untuk mendamaikan antara saudara-saudara mereka yang seiman.

Abu Said al-Khudri r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Allah memasukkan penduduk Syurga ke syurga. Dia memasukkan orang-orang yang Ia kehendaki dengan Rahmat-Nya. Dan Ia memasukkan penduduk neraka. Kemudian berfirman, “Lihatlah, orang yang engkau dapatkan dalam hatinya iman seberat biji sawi maka keluarkanlah ia”. Maka dikeluarkanlah mereka dari neraka dalam keadaan hangus terbakar, lalu mereka dilemparkan ke dalam sungai kehidupan atau air hujan, maka mereka tumbuh di situ seperti biji-bijian yang tumbuh di pinggir aliran air. Tidakkah engkau melihat bagaimana ia keluar berwarna kuning melingkar?” (Hadis Riwayat Muslim, I/172 & Bukhari, IV/158)

Segi istidlal-nya, adalah kekalnya orang-orang yang berdosa besar di neraka, bahkan orang yang dalam hatinya terdapat iman yang paling rendah pun akan dikeluarkan dari neraka, dan iman seperti ini tidak lain hanyalah milik orang-orang yang penuh dengan kemaksiatan dengan melakukan berbagai larangan serta meninggalkan kewajiban-kewajiban.

Thursday, August 30, 2007

012 - HAL-HAL YANG MEMBATALKAN IMAN

HAL-HAL YANG MEMBATALKAN IMAN

Pembatal iman atau “nawaqidhul iman” adalah sesuatu yang dapat menghapuskan iman sesudah iman masuk di dalamnya. Antara perkara-perkara yang dapat membatalkan iman seperti yang dimaksudkan adalah:

1 – Mengingkari rububiyah Allah atau sesuatu dari kekhususan-kekhususan-Nya, atau mengaku memiliki sesuatu dari kekhususan tersebut atau membenarkan orang yang mengakuinya.

“Dan mereka berkata, “Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa”, dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.” (al-Jatsiyah: 24)

2 – Sombong serta menolak beribadah kepada Allah.

Allah s.a.w. berfirman:

“Al Masih sekali-kali tidak enggan menjadi hamba bagi Allah, dan tidak (pula enggan) malaikat-malaikat yang terdekat (kepada Allah). Barangsiapa yang enggan dari menyembah-Nya, dan menyombongkan diri, nanti Allah akan mengumpulkan mereka semua kepada-Nya. Adapun orang-orang yang beriman dan berbuat amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka dan menambah untuk mereka sebagian dari karunia-Nya. Adapun orang-orang yang enggan dan menyombongkan diri, maka Allah akan menyiksa mereka dengan siksaan yang pedih, dan mereka tidak akan memperoleh bagi diri mereka, pelindung dan penolong selain dari pada-Nya.” (an-Nisa’ 4: 172-173)

3 – Menjadikan perantara dan penolong yang ia sembah atau mintai (pertolongan) selain Allah.

Allah s.w.t. berfirman:

Dan mereka menyembah Yang lain dari Allah, sesuatu Yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: "Mereka (yang Kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada Kami di sisi Allah". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa Yang ia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha suci Allah dan tertinggi keadaannya dari apa Yang mereka sekutukan." (Yunus 10: 18)

Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya." Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar. (az-Zumar 39: 3)

Hanya bagi Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar. Dan berhala-berhala yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memperkenankan sesuatupun bagi mereka, melainkan seperti orang yang membukakan kedua telapak tangannya ke dalam air supaya sampai air ke mulutnya, padahal air itu tidak dapat sampai ke mulutnya. Dan doa (ibadat) orang-orang kafir itu, hanyalah sia-sia belaka. (ar-Ra’d 13: 14)

4 – Menolak sesuatu yang ditetapkan Allah untuk diri-Nya atau yang ditetapkan melalui kalam Rasul-Nya. Begitu pula orang yang menyifati seseorang (makhluk) dengan sesuatu sifat yang khusus bagi Allah, seperti ilmu Allah. Termasuk juga menetapkan sesuatu yang dinafikan Allah dari diri-Nya atau yang telah dinafikan dari-Nya oleh Rasul-Nya s.a.w. Allah berfirman kepada Rasulnya:

Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia." (al-Ikhlas 112: 1-4)

Hanya milik Allah asmaa-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. (al-A’raaf 7: 180)

Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadat kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)? (Maryam 19: 65)

5 – Mendustakan Rasulullah s.a.w. tentang sesuatu yang beliau bawa. Allah s.w.t. berfirman:

Dan jika mereka mendustakan kamu, maka sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya); kepada mereka telah datang rasul-rasulnya dengan membawa mukjizat yang nyata, zubur, dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna. Kemudian Aku azab orang-orang yang kafir; maka (lihatlah) bagaimana (hebatnya) akibat kemurkaan-Ku. (Fatheer 35: 25-26)

6 – Berkeyakinan bahawa petunjuk Rasulullah s.a.w. tidak sempurna atau menolak suatu hukum syara’ yang telah Allah turunkan kepadanya, atau meyakini bahawa selain hukum Allah itu lebih baik, lebih sempurna dan lebih memenuhi hajat manusia, atau meyakini kesamaan hukum Allah dan Rasul-Nya dengan hukum yang selainnya, atau meyakini dibolehkannya berhukum dengan selain hukum Allah.

Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. (an-Nisa’ 4: 60)

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (an-Nisa’ 4: 65)

Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. (al-Ma’idah 5: 44)

7 – Tidak mahu mengkafirkan orang-orang musyrik atau ragu kekafiran mereka, sebab hal itu bererti meragukan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Allah s.w.t. berfirman:

... dan berkata: "Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu disuruh menyampaikannya (kepada kami), dan sesungguhnya kami benar-benar dalam keragu-raguan yang menggelisahkan terhadap apa yang kamu ajak kami kepadanya." (Ibrahim 14: 9)

8 – Mengolok-olok atau mengejek-ejek Allah atau al-Qur’an atau agama Islam atau pahala dan siksa dan yang sejenisnya, atau mengolok-olok Rasulullah s.a.w. atau seorang nabi, baik itu gurauan mahupun dengan kesungguhan. Allah s.w.t. berfirman:

Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan manjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja." Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta maaf, karena kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), niscaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa. (at-Taubah 9: 65-66)

9 – Membantu orang musyrik atau menolong mereka untuk memusuhi orang muslim. Allah s.w.t. berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Ma’idah 5: 51)

10 – Meyakini bahawa orang-orang tertentu boleh keluar dari ajaran Rasulullah s.a.w., dan tidak wajib mengikuti ajaran beliau. Allah s.w.t. berfirman:

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. (al-Ma’idah 5: 3)

11 – Berpaling dari agama Allah, tidak mahu mempelajarinya serta tidak mahu mengamalkannya. Allah s.w.t. berfirman:

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya? Sesungguhnya Kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdosa. (as-Sajdah 32: 22)

Demikianlah sebahagian perkara-perkara yang membatalkan iman yang paling jelas. Masih banyak pembatal-pembatal iman yang lain seperti sihir, menolak al-Qur’an, samaada sebahagian mahupun keseluruhannya, atau meragukan kemukjizatannya atau menghina mushaf atau sebahagiannya, atau menghalalkan sesuatu yang sudah disepakati keharamannya seperti zina atau khamar, atau mengkritik agama serta mencelanya. Na’udzu billahi min dzalik. Wallahu a’lam!..

Tuesday, August 28, 2007

011 - PERBAHASAN TENTANG IMAN (Bahagian Dua)

PERBAHASAN TENTANG IMAN

[Bahagian Kedua]

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.” (al-Anfal 8: 2-4)

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.” (al-Anfal 8: 74)

Dalam ayat-ayat yang pertama, Allah menyebutkan orang-orang yang lembut hatinya dan takut kepada Allah s.w.t. ketika nama-Nya disebut, keyakinan mereka bertambah dengan mendengar ayat-ayat Allah. Mereka tidak mengharapkan kepada selain-Nya, tidak menyerahkan hati mereka kecuali kepada-Nya, tidak pula meminta hajat kecuali kepada-Nya. Mereka mengetahui, Dialah semata yang mengatur kerajaan-Nya tanpa ada sekutu. Mereka menjaga perlaksanaan seluruh ibadah fardhu dengan memenuhi syarat, rukun dan sunnahnya. Mereka adalah orang mukmin yang benar-benar beriman. Allah menjanjikan mereka darjat yang tinggi di sisi-Nya, sebagaimana mereka juga memperoleh pahala dan ampunan-Nya.

Kemudian dalam ayat yang kedua, Allah menyifati para sahabat Rasulullah s.a.w., baik Muhajirin mahupun Anshar dengan iman yang sebenar-benarnya, kerana iman mereka yang kukuh dan amal perbuatan mereka yang menjadi buah dari iman tersebut.

Telah kita ketahui bersama lafaz iman, baik secara bahasa mahupun menurut istilah. Sebagaimana kita juga mengetahui bahawa mazhab Ahlus sunnah wal Jama’ah memasukkan amal ke dalam makna iman, dan bahawa iman itu boleh bertambah, juga boleh berkurang. Bertambah kerana bertambahnya amal soleh dan keyakinan dan berkurangnya kerana kurangnya hal yang tersebut juga. Kemudian kita juga mengetahui sebahagian besar dalil-dalilnya.

Berikut ini kita akan menambah keterangan tentang makna Islam dan iman.

ISLAM DAN IMAN

Di dalam Islam dan iman terkumpul agama secara keseluruhan. Sebagaimana Nabi s.a.w. membezakan makna Islam, iman, dan ihsan. Dalam hadis Jibril a.s., Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata:

Ketika Rasulullah s.a.w. pada suatu hari keluar berkumpul bersama-sama para sahabat, tiba-tiba muncul seorang laki-laki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya sangat hitam. Pada dirinya tidak tampak bekas dari perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun diantara kami yang mengenalnya. Kemudian ia duduk di hadapan Nabi shollallohu ‘alaihi wasallam, lalu mendempetkan kedua lututnya ke lutut Nabi, dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua pahanya, kemudian berkata: “Wahai Muhammad, terangkanlah kepadaku tentang Islam.” Kemudian Rosululloh shollallohu’alaihi wasallam menjawab: “Islam yaitu: hendaklah engkau bersaksi tiada sesembahan yang haq disembah kecuali Alloh dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Alloh. Hendaklah engkau mendirikan sholat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Romadhon, dan mengerjakan haji ke rumah Alloh jika engkau mampu mengerjakannya.” Orang itu berkata: “Engkau benar.” Kami menjadi heran, karena dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya. Orang itu bertanya lagi: “Lalu terangkanlah kepadaku tentang iman”. (Rosululloh) menjawab: ”Hendaklah engkau beriman kepada Alloh, beriman kepada para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para utusan-Nya, hari akhir, dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir yang baik dan yang buruk.”Orang tadi berkata: “Engkau benar.” Lalu orang itu bertanya lagi: ”Lalu terangkanlah kepadaku tentang ihsan.” (Beliau) menjawab: “Hendaklah engkau beribadah kepada Alloh seolah-olah engkau melihat-Nya. Namun jika engkau tidak dapat (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihat engkau.” Orang itu berkata lagi: “Beritahukanlah kepadaku tentang hari kiamat.” (Beliau) mejawab: “Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.” Orang itu selanjutnya berkata: “Beritahukanlah kepadaku tanda-tandanya.” (Beliau) menjawab: ”Apabila budak melahirkan tuannya, dan engkau melihat orang-orang Badui yang bertelanjang kaki, yang miskin lagi penggembala domba berlomba-lomba dalam mendirikan bangunan.” Kemudian orang itu pergi, sedangkan aku tetap tinggal beberapa saat lamanya. Lalu Nabi shollallohu ’alaihi wasallam bersabda: “Wahai Umar, tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu ?”. Aku menjawab: “Alloh dan Rosul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu beliau bersabda: “Dia itu adalah malaikat Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajarkan agama kalian.” (Hadis Riwayat Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Su’alu Jibril an-Nabi s.a.w. wa anil Iman wal Islam wal Ihsan, no. 50)

ISLAM

Rasulullah s.a.w. banyak menamakan beberapa perkara dengan sebutan Islam, umpamanya: taslimul qalbi (penyerahan hati), Salamatunnas minal lisan wal yad (tidak menyakiti orang lain dengan lisan dan tangan), memberi makan, serta ucapan yang baik. Semua perkara ini, yang disebut Rasulullah sebagai Islam mengandungi nilai penyerahan diri, ketundukan dan kepatuhan yang nyata.

Hukum Islam terwujud dan terbukti dengan dua kalimat syahadat, menegakkan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan menunaikan haji ke baitullah. Ini semua adalah syi’ar-syi’ar Islam yang paling tampak. Seseorang yang melaksanakannya bererti sempurnalah penghambaannya. Apabila ia meninggalkannya bererti ia tidak tunduk dan berserah diri.

Lalu penyerahan hati, yakni redha dan taat, dan tidak mengganggu orang lain, baik dengan lisan atau tangan, ia menunjukkan adanya rasa ikatan ukhuwah imaniyah. Sedangkan tidak menyakiti orang lain merupakan bentuk ketaatan menjalankan perintah agama, yang memang menganjurkan kebaikan dan melarang menganggu orang lain serta memerintahkan agar mendermakan dan menolong serta mencintai perkara-perkara yang baik. Ketaatan seseorang dengan berbagai hal tersebut juga hal lainnya adalah termasuk sifat terpuji, yakni jenis kepatuhan dan ketaatan, dan ia merupakan gambaran yang nyata tentang Islam. Hal-hal tersebut mustahil dapat terwujud tanpa pemebenaran hati (iman). Dan berbagai hal itulah yang disebut sebagai Islam.

IMAN


Kita telah mengetahui jawaban Rasulullah s.a.w. dalam hadis Jibril a.s. Beliau juga menyebut hal-hal lain sebagai iman, seperti akhlak yang baik, bermurah hati, sabar, cinta Rasul s.a.w., cinta sahabat, rasa malu dan sebagainya. Itu semua adalah iman yang merupakan pembenaran batin. Tidak ada sesuatu yang mengkhususkan imam untuk hal-hal yang bersifat batin belaka. Justeru yang ada adalah dalil yang menunjukkan bahawa amal-amal lahiriyah juga disebut iman. Sebahagiannya adalah apa yang telah disebut Rasulullah s.a.w. sebagai Islam.

Beliau telah menafsirkan iman kepada utusan Bani Abdil Qais dengan penafsiran Islam yang ada dalam hadis Jibril. Sebagaimana yang ada dalam hadis syu’abul iman (cabang-cabang iman). Rasulullah s.a.w. bersabda, “Yang paling tinggi adalah ucapan, “La ilaha illallah” dan yang paling rendah adalah “menyingkirkan gangguan dari jalan.” Padahal apa yang terdapat di antara keduanya adalah amalan lahiriyah dan batiniyah.

Sudah diketahui bersama bahawa beliau tidak memaksudkan hal-hal tersebut menjadi iman kepada Allah tanpa disertai iman dalam hati, sebagaimana telah dijelaskan dalam banyak dalil syar’i tentang pentingnya iman dalam hati.

Jadi syi’ar-syi’ar atau amalan-amalan yang bersifat lahiriyah yang disertai dengan iman dalam dada itulah yang disebut iman. Dan makna Islam mencakup pembenaran hati dan amalan perbuatan, dan itulah istislam (penyerahan diri) kepada Allah.

Berdasarkan ulasan tersebut maka dapat dikatakan, sesungguhnya sebutan Islam dan iman apabila bertemu dalam satu tempat maka Islam ditafsirkan dengan amalan-amalan lahiriyah, sedangkan iman ditafsirkan dengan keyakinan-keyakinan batin. Tetapi, apabila dua istilah ini dipisahkan atau disebut sendiri-sendiri (secara berasingan), maka yang ditafsiri dengan yang lain. Ertinya Islam itu ditafsiri dengan keyakinan dan amal, sebagaimana halnya iman juga ditafsiri demikian.

Keduanya adalah wajib, redha Allah tidak dapat diperoleh dan siksa Allah tidak dapat dihindarkan kecuali dengan kepatuhan lahiriyah disertai dengan keyakinan batiniyah. Jadi tidak sah pemisahan antara keduanya.

Seseorang tidak dapat menyempurnakan iman dan Islam-nya yang telah diwajibkan ke atasnya kecuali dengan mengerjakan perintah dan menjauhkan diri dari larangan-Nya. Sebagaimana kesempurnaan tidak mengharuskan sampainya pada puncak yang dituju, kerana adanya bermaca-macam tingkatan sesuai dengan tingginya kuantiti dan kualiti amal serta keimanan.

Wallahu a’lam!...

RUKUN IMAN DAN CABANG-CABANGNYA

Rukun-Rukun Iman

أركان bentuk jama’ dari ركن ا لشيء، ركنbererti sisi sesuatu yang paling kuat. Sedang yang dimaksudkan rukun iman adalah sesuatu yang menjadi sendi tegaknya iman.

Rukun iman ada enam:

1 – Iman kepada Allah.

2 – Iman kepada para malaikat

3 – Iman kepada kitab-kitab samawiyah

4 – Iman kepada para rasul

5 – Iman kepada hari akhir

6 – Iman kepada takdir Allah, yang baik mahupun yang buruk.

Dalilnya adalah jawaban Rasulullah s.a.w. ketika Jibreel a.s. bertanya padanya tentang iman:

“Engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, kepada Hari Akhir dan engkau beriman kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk.” (Hadis Riwayat Bukhari, I/19,20, dan Muslim, I/37)

Cabang-Cabang Iman

الشعب adalah bentuk jama’ dari شعبهyang ertinya segolongan dan sekelompok dari sesuatu. Sedangkan شعب الايمانadalah cabang-cabang iman yang bermacam-macam, jumlahnya banyak, lebih dari 72 cabang. Dalam hadis lain disebutkan bahawa cabang-cabangnya lebih dari 70 buah.

Dalil cabang-cabang iman adalah hadis Muslim dari Abu Hurairah r.a., rasulullah s.a.w bersabda;

“Iman itu tujuh puluh cabang lebih atau enam puluh cabang lebih; yang paling utama adalah ucapan “La ilaha illallah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan rintangan (kotoran) dari tengah jalan, sedangkan rasa malu itu (juga) salah satu cabang dari iman.” (Hadis Riwayat Muslim, I/63)

Beliau s.a.w. menjelaskan bahawa cabang yang paling utama adalah tauhid, yang wajib bagi setiap orang, yang mana tidak satu pun cabang iman itu menjadi sah kecuali sesudah sahnya tauhid tersebut. Adapun cabang iman yang paling rendah adalah menghilangkan sesuatu yang mengganggu kaum muslimin, di antaranya dengan menyingkirkan duri atau batu dari jalan mereka. Lalu, di antara ke dua cabang tersebut terdapat cabang-cabang lain seperti cinta kepada Rasulullah s.a.w., cinta kepada saudara muslim seperti mencintai diri sendii, jihad, dan sebagainya. Beliau tidak menjelaskan cabang-cabang iman secara keseluruhan, maka para ulama berijtihad menetapkannya. Al-Hulaimi, pengarang kitab al-Minhaj menghitungnya ada 77 cabang, sedangkan al-Hafidz Abu Hatim Ibnu Hibban menghitungkanya ada 79 cabang iman.

Sebahagian dari cabang-cabang iman itu ada yang berupa rukun dan ushul, yang dapat menghilangkan iman manakala ia ditinggalkan, seperti mengingkari adanya hari akhir... (rujuk at-Taghabun 64: 7), dan sebahagiannya lagi tidak membuat hilangnya iman, sekalipun tetap menurunkan qadar iman dan membuat fasik (maksiat), seperti tidak memuliakan tetangga.

Terkadang pada diri sesorang terdapat cabang-cabang iman dan juga cabang-cabang nifaq (kemunafikan). Maka dengan cabang-cabang nifaq itu ia berhak mendapatkan siksa, tetapi tidak kekal di neraka, kerana di hatinya masih terdapat cabang-cabang iman. Siapa yang seperti ini kondisinya (keadaannya) maka ia tidak boleh disebut sebagai mukmin yang mutlak, yang terkait dengan janji-janji tentang syurga, rahmat di akhirat dan selamat dari siksa. Sementara orang-orang mukmin yang mutlak juga berbeza-beza dalam tingkatannya.

Wallahu a’lam...

Friday, August 24, 2007

Pengajian 10 - PERBAHASAN TENTANG IMAN

PERBAHASAN TENTANG IMAN

[Bahagian Pertama]

Menurut bahasa, iman bererti pembenaran hati. Sedangkan menurut istilah, iman adalah:

“Membenarkan dengan hati, mengikrarkan (mengakui) dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan.”

Adalah pendapat jumhur. Dan imam asy-Syafi’e meriwayatkan ijma’ para sahabat, tabi’in dan orang-orang sesudah mereka yang sezaman dengan beliau atas pengertian tersebut.

Penjelasan Definisi Iman

“Membenarkan dengan hati” maksudnya menerima segala apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

“Mengikrarkan dengan lisan” maksudnya mengucapkan dua kalimah syahadat, “La Ilaha illallah wa anna Muhammadan Rasulullah” (Tidak ada sesembahan yang haq kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah).

“Mengamalkan dengan anggota badan” maksudnya, hati mengamalkan dalam bentuk keyakinan, sedang anggota badan mengamalkannya dalam bentuk ibadah-ibadah sesuai dengan fungsinya.

Para salaf rahimahullah menjadikan amal termasuk dalam pengertian iman. Dengan demikian iman itu boleh bertambah dan berkurang seiring dengan bertambah dan berkurangnya amal soleh.

Dalil-dalil Para Salaf

Para salaf bersandar kepada berbagai dalil, di-antaranya adalah:

Firman Allah s.w.t. (maksudnya):

1 – “Dan Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, dan tidaklah Kami menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cubaan ke atas orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi al-kitab menjadi yakin dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi al-Kitab dan orang-orang mukmin tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (menyatakan), “Apakah yang dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan?”.” (al-Muddatsirr 74: 31)

Ulasan Dalil pertama:

Di dalamnya terdapat penetapan bertambahnya iman orang-orang mukmin, iaitu dengan persaksian mereka akan kebenaran nabinya berupa terbuktinya khabar beritanya sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab samawi.

2 - “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.” (al-Anfal 8: 2-4)

Ulasan Dalil kedua:

Di dalamnya terdapat penetapan bertambahnya iman dengan mendengarkan ayat-ayat Allah bagi orang-orang yang disifati oleh Allah, iaitu mereka yang jika disebut nama Allah tergeraklah rasa takut mereka sehingga mengharuskan mereka menjalankan perintah dan menjauhi larangan-Nya. Mereka itulah orang-orang yang bertawakkal kepada Allah. Mereka tidak mengharapkan selain-Nya, tidak menuju kecuali kepada-Nya dan tidak mengadukan hajatnya kecuali kepada-Nya. Mereka itu orang-orang yang memiliki sifat selalu melaksanakan amal ibadah yang disyariatkan seperti solat dan zakat. Mereka adalah orang-orang yang benar-benar beriman, dengan tercapainya hal-hal tersebut baik dalam iqtiqad mahupun amal perbuatan.

3 -
“Iman itu tujuh puluh cabang lebih atau enam puluh cabang lebih, yang paling utama adalah “La ilaha illallah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan rintangan (kotoran) dari tengah jalan, sedang rasa malu itu (juga) salah satu cabang dari iman.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/63)

Berkenaan hadis ini, disebutkan di dalam Musnad Imam Ahmad hadis yang berikut: “Siapa yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai ekrana Allah, membenci kerana Allah dan menikahkan kerana Allah, maka ia telah menyempurnakan imannya. (Hadis Riwayat Ahmad, III/438, 440)

Ulasan Dalil ketiga:

Hadis ini menjelaskan bahawa iman itu terdiri dari cabang-cabang yang bermacam-macam, dan setiap cabang adalah sebahagian daripada iman itu, yang keutamaannya berbeza-beza, yang paling tinggi dan paling utama adalah “La ilaha illallah” kemudian cabang-cabang sesudahnya secara berturutan dalam nilai dan fadhilahnya sampai pada cabang yang terakhir iaitu menyingkirkan rintangan dan gangguan dari tengah jalan. Adapun cabang-cabang antara keduanya adalah solat, zakat, puasa, haji, dan amalan-amalan hati seperti malu, tawakkal, khasyyah (takut kepada Allah), dan sebagainya, yang kesemuanya itu dinamakan iman.

Di antara cabang-cabang ini ada yang boleh membuat lenyapnya iman manakala ia ditinggalkan, menurut ijma’ ulama, seperti dua kalimat syahadat. Ada pula yang tidak sampai menghilangkan iman menurut ijma’ ulama manakala ia ditinggalkan; seperti menyingkirkan rintangan dan gangguan dari jalan.

Sejalan dengan pengamalan cabang-cabang iman itu, baik dari segi kualitasnya, maka iman boleh bertambah dan boleh berkurang.

4 - “Sabda Rasulullah s.a.w., riwayat Abu Sa’id al-Khudri ia berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Siapa yang melihat kemungkaran di antara kalian, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka dengan lisannya, dan jika ia tidak mampu maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemahnya iman.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/69)

Ulasan Dalil keempat:

Hadis Muslim ini menuturkan tingkatan-tingkata nahi mungkar dan keberadaannya sebagai bahagian dari iman. Ia menafikan (meniadakan) iman dari seseorang yang tidak mahu melakukan tingkatan terendah dari tingkatan nahi mungkar iaitu mengubah kemungkaran dengan hati. Sebagaimana disebutkan dalam sebahagian riwayat hadis,

“Dan tidak ada sesudahnya iman walau sebesar biji sawi.” (Haids Riwayat Muslim, kitab al-Iman)

Berdasarkan hal ini maka tingkatan di atasnya adalah lebih kuat keimanannya. Wallahu a’lam...

Perbahasan seterusnya akan bersambung...