Monday, May 19, 2008

058 - ADAKAH BID'AH TERBAHAGI DUA?

ADAKAH BID'AH TERBAHAGI DUA?

Beberapa golongan ulama ahli Sunnah wal Jamaah dari kalangan Salaf as-Soleh telah membahagikan bid'ah kepada dua bahagian iaitu bid'ah yang diistilahkan sebagai bid'ah hasanah (بِدْعَةٌ حَسَنَةٌ) "bid'ah yang baik" dan bid'ah dhalalah (بِدْعَةٌ ضَلاَلَةٌ) "bid'ah yang sesat".

Perselisihan dalam soal pembahagian bid'ah timbul lantaran kekeliruan umat Islam selepas zaman as-Salaf dalam memahami istilah bid'ah dan kesilapan pada memahami maksud dari penggunaan bahasa bid'ah itu sendiri oleh masyarakat 'Ajam (bukan Arab). Antara punca-punca yang lain ialah:

(1). Timbulnya beberapa kecelaruan untuk menentukan asas dan cara mengistimbat hukum ahkam serta pemahamannya. (Lihat: علم اصول البدع Hlm. 43. Ali Hasan) Untuk mengatasi masalah ini sebahagian ulama yang terpengaruh dengan kaedah mantik (logik) Yunani (Greek) menggunakan kaedah ini untuk memahami istilah agama dan cara mengistimbat hukum halal dan haram di dalam syara. Kejadian ini telah berleluasa dan ketara terutamanya selepas berlalunya zaman Salaf as-Soleh disebabkan menularnya kejahilan, kehilangan (kematian) ulama sunnah, bertambahnya ulama bid'ah, ulama nifak dan ulama pengampu yang suka bekerjasama dengan pemerintah zalim yang sentiasa berusaha untuk menghapuskan ulama sunnah dan para pengikut mereka.

Dari Ziad berkata: Pernah berkata kepada aku 'Umar radhiallahu 'anhu:

هَلْ تَدْرِىْ مَا يُهْدِمُ دِيْن اْلاِسْـلاَمِ ؟ قُلْتُ : لاَ . قَالَ يُهْدِمُ زِلَّةُ الْعَالِمِ وَجِدَالُ مُنَافِقِ بِاْلآيَاتِ وَحُكْمُ اْلاَئِمَّةِ الْمُضِلِّيْنَ

"Tahukah engkau siapa yang menghancurkan agama Islam? Aku berkata: Tidak! Beliau berkata: Yang menghancurkannya ialah orang alim yang jahat (yang sukakan bid'ah), perbincangan (perdebatan) orang munafik tentang ayat-ayat (Allah) dan perlaksanaan hukum dari para pemimpin pemerintah yang zalim". (Dikeluarkan oleh: (1). Ad-Darami dalam "As-Sunan". Jld. 1. 71. (2). Ibn Abdulbar dalam جامع البيان العلم. Jld. 2. Hlm 110. (3). Abu Syamah dalam الباعث على انكار البدع والحوادث. Hlm. 13)

(2). Mematuhi (ittiba') kehendak hawa nafsu dalam menentukan hukum ahkam agama adalah antara punca berlakunya bid'ah. (Dikeluarkan oleh: (1). Ad-Darami dalam "As-Sunan". Jld. 1. 71. (2). Ibn Abdulbar dalam جامع البيان العلم. Jld. 2. Hlm 110. (3). Abu Syamah dalam الباعث على انكار البدع والحوادث. Hlm. 45) Sepatutnya setiap individu muslim berittiba' kepada al-Quran dan as-Sunnah dan tidak bertaklid buta serta berittiba' kepada hawa nafsu yang menjadi punca utama berlakunya penyelewengan dari jalan Allah yang lurus.

Syara’ mewajibkan setiap mukmin hanya mengikut jalan Allah yang dipandu oleh sunnah Rasul-Nya. Meninggalkan sunnah samalah seperti meninggalkan petunjuk yang mengakibatkan berlakunya bid'ah dan kesesatan sebagaimana keterangan nas di bawah ini:

وَلاَ تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلُّكَ عَنْ سَـبِيْلِ اللهِ اِنَّ الَّذِيْنَ يُضِـلُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيْدٌ بِمَا نَسُوْا يَوْمَ الْحِسَابِ

"Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan". (Shaad, 38: 26)

وَمَنْ اَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًاى مِنَ اللهِ

"Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun". (al-Qasas, 28: 50)

Berkata Ubay bin Ka'ab radhiyallahu 'anhu:

عَلَيْكُمْ بِالسَّـبِيْلِ وَالسُّنَّةِ ، فَاِنَّهُ لَيْسَ مِنْ عَبْدٍ عَلَى سِبِيْلٍ وَسُـنَّةٍ ذَكرَ الرَّحْمَنَ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ فَتَمَسَّهُ النَّار اَبَدًا . وَاِنَّ اِقْتِصَـادًا فِىْ سَبِـيْلِ سُـنَّةٍ خَيْرٌ مِنْ اِجْتِهَادٍ فِىْ خِلاَفِ سَبِيْلٍ وَسُنَّةٍ

"Hendaklah kamu mengikut jalan (Allah) dan sunnah (Rasul-Nya). Maka sesungguhnya tidak akan diperolehi oleh seseorang hamba yang tidak mengikut jalan (Allah) dan sunnah (Rasul-Nya walaupun) berzikir kepada Rahman (Allah) sehingga mengalir air matanya kerana takutkan Allah, namun dia akan tetap disentuh (dimasukkan) ke dalam neraka (lantaran tidak mengikut sunnah). Sesungguhnya berpada-pada (dalam melakukan ibadah tetapi) mengikut jalan (Allah) dan sunnah (contoh Rasul-Nya) lebih baik dari bersungguh-sungguh tetapi menyalahi (terkeluar) dari jalan (Allah) dan sunnah (Rasul-Nya)". ((1). Dikeluarkan oleh Ibn Battah dalam "Al-Ibanah" (1/27/1) Makhtut. (2). Al-Lalikaii. Lihat: شرح اصول اعتقاد اهل السنة. Jld. 1 Hlm. 54. (3). Abu Na'em. Lihat: حلية الاولياء. Jld. Hlm. 252-253. (4). Ibn Jauzi. Lihat: تلبيس ابليس. Hlm. 9. (5). Imam as-Syatibi. Lihat: الاعتصام. Jld. 1. Hlm. 81 dan 94. (6). Al-Baghawi. Lihat: شرح السنة. Jld. 1. Hlm. 208)

Al-Juneid rahimahumullah juga pernah berkata:

اَلطَّرِيْقُةُ كُلُّهَا مَسْدُوْدَةٌ اِلاَّ عَلَى الْمُتَّفِقِيْنَ آثَارِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْمُتَّبِعِيْنَ سُنَّتِهِ وَطَرِيْقَتِهِ ، فَاِنَّ طُرُقَ الْخَيْرَاتِ كُلُّهَامَفْتُوْحَةٌ عَلَيْهِ كَمَا قَالَ تَعَالَى (لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُوْلِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ)

"Semua jalan (ke syurga) tertutup kecuali bagi mereka-mereka yang mengikut (berpegang kepada) atsar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, mengikut sunnah serta jalannya. Maka sesungguhnya jalan-jalan semuanya dibuka di atas landasan sunnah sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya telah ada bagi kamu pada diri Rasulullah contoh yang baik". (Lihat: تلبيس ابليس. Hlm. 10-11. Dan Lihat: الاعتصام. Jld. Hlm. 10-11)

Maksud sebenar dari istilah bid'ah yang dikehendaki oleh golongan Ulama Salaf as-Soleh bolehlah diringkaskan melalui penjelasan berikut ini:

1. Bid'ah dhalalah : (بِدْعَةٌ ضَلاَلَةٌ) "Bid'ah (ciptaan yang diada-adakan) yang menyesatkan" ialah setiap bid'ah yang bersangkut-paut dengan akidah dan amal-ibadah atau urusan agama (syara). Larangan melakukan bid'ah dalam hal ini amat tegas kerana agama Islam tidak boleh dibid'ahkan lagi, ia sudah cukup sempurna dan lengkap sebagaimana yang sudah dijelaskan dengan dalil-dalil dan hujjah-hujjah di atas. Bid'ah dhalalah menyebabkan pembuatnya ke neraka dan akan kekal di dalamnya jika yang dilakukan bid'ah akidah.

2. Bid'ah hasanah(بِدْعَةٌ حَسَنَةٌ) : "Bid'ah yang baik". Bid'ah yang kedua ini hanya dimaksudkan pada bid'ah (ciptaan) dalam hal urusan (perkara-perkara) yang berbentuk keduniaan (kebendaan) semata. Sebagaimana yang telah kita fahami bahawa antara pengertian bid'ah ialah ciptaan. Usaha mereka-cipta (sesuatu ciptaan) yang berupa kebendaan atau kemajuan berbentuk keduniaan yang diperlukan oleh manusia amat digalakkan oleh agama selagi ciptaan (yang diistilahkan bid'ah keduniaan) tersebut tidak membahayakan atau memudaratkan manusia dan alam sejagat.

Terdapat beberapa nas yang menggalakkan orang-orang beriman supaya mencipta berbagai-bagai peralatan dan rekaan yang canggih untuk menjadi kegunaan, menambah kemakmuran dan memenuhi keperluan generasi manusia di dunia kerana dalam hal urusan dunia manusia diberi kebebasan dan lebih tahu menguruskannya sendiri menurut kemampuan dan kepakaran masing-masing sebagaimana sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَسَلَّمَ : (اَنْتُمْ اَعْلَمُ بِشُـؤُنِ دُنْيَاكُمْ)

“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam: Kamu lebih tahu hal ehwal (urusan) dunia kamu”. (H/R Muslim)

وَقَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ : ( اَنْـتُمْ اَعْلَمُ بِاَمْرِ دُنْيَاكُمْ )

"Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam: Kamu lebih tahu (pandai) tentang urusan dunia kamu". (H/R Muslim)

Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menggesa orang-orang beriman supaya mengecapi segala nikmat pemberian Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan jalan berusaha dan melakukan sesuatu. Antara cara yang digalakkan ialah dengan sentiasa membuat pembaharuan, mereka-cipta peralatan yang diperlukan oleh masyarakat dunia yang diistilahkan sebagai bid'ah (ciptaan) duniawi yang hasanah (baik).

Mencipta peralatan moden (teknologi canggih) adalah untuk kegunaan dan kemudahan manusia supaya dapat menjalani keselesaan dan kebahagian hidup agar dapat menunaikan ibadah di dunia dengan sempurna dan juga sebagai tanda kesyukuran mereka terhadap nikmat pemberian Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah telah berfirman:

وَابْتَغِ فِيْمَاآتَاكَ اللهُ الدَّارَ اْلآخِرَةَ وَلاَ تَنْسَ نَصِيْبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَاَحْسِنْ كَمَا اَحْسَنَ اللهُ وَلاَ تَبْغِ الْفَسَادَ فِى اْلاَرْضِ اِنَّ اللهَ لاَيُحِبُّ الْمُفْسِدِيْنَ

"Dan carilah apa yang telah Allah berikan kepada kamu demi untuk akhirat dan jangan lupa pula bahagianmu (kenikmatan) di dunia dan berbuat baiklah (kepada yang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan". (al-Qasas, 28: 77)

Orang yang beriman diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai khalifah-Nya di bumi ini. Mereka diseru supaya memakmurkan dunia antaranya melalui kemajuan dari hasil ciptaan (bid'ah) yang berbentuk kebendaan. Maka bid'ah (ciptaan baru) dalam berbagai-bagai bidang yang berbentuk keduniaan adalah fardu kifayah, sebaliknya pula bid'ah (ciptaan atau mengada-adakan sesuatu) di segi agama atau keagamaan adalah bid'ah dhalalah (menyesatkan) yang diharamkan oleh syara dari melakukannya buat selama-lamanya.

Memang ada segolongan ulama yang membahagikan bid'ah dalam urusan agama kepada bid'ah hasanah (baik) dan bid'ah qabihah (buruk). Ini adalah pembahagian yang batil. Agama atau syariat adalah hak Allah Subhanahu wa Ta'ala Tuhan semesta alam. Manusia tidak mempunyai hak untuk menentukan sesuatu perkara atau masuk campur dalam setiap urusan agama kerana semua yang berkaitan dengan agama Islam hanya urusan Allah semata.

Jika manusia dibenarkan masuk campur seperti menambah sesuatu (melakukan bid'ah) di dalam agama Allah ini, tentulah mereka dibenarkan juga mengurangkan sesuatu darinya. Namun, tidak pernah ada keizinan seperti itu dari al-Quran, as-Sunnah, athar yang sahih atau dari kalangan ulama Salaf as-Soleh. Dalam perkara ini seorang ulama telah memberi peringatan yang tegas melalui puisinya:

بدين المسلمين ، ان جاز زيد # فجازالنقص ايضاان يكونا
كفىذاالقول قبيحا ياخليلى # ولا يرضاه الا الجاهلون

"Dengan agama ini setiap Muslimin, jika dibenarkan menambah, maka akan dibenarkan juga mengurangkan, jika ini berlaku, cukuplah dikatakan perkara itu amat buruk wahai kekasihku. Dan tidak akan meredhainya yang demikian kecuali orang-orang yang jahil". (Lihat : تطهير الجنان عن درن الشرك والكفران Ahmad bin Hajar Ali Butami Ali as-Syafie as-Salafi. Hlm. 42-23)

SETIAP BID'AH DALAM AGAMA PASTI MENYESATKAN

(كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ)

"Setiap yang bid'ah itu sesat".


Perlu diperingatkan bahawa bid'ah di dalam perbincangan ini hanya merangkumi akidah, muamalah atau ibadah yang tidak melibatkan persoalan duniawi (kebendaan). Jika seseorang itu mahu memahami kesemua hadis-hadis yang telah dipaparkan kemudian mampu serta ada keinginan untuk membaca kitab-kitab yang menjelaskan sikap para sahabat terhadap setiap bid'ah, insya-Allah akan terbukti bahawa tidak terdapat walaupun seorang dari kalangan para sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam yang berani membahagikan bid'ah di dalam akidah, muamalah atau ibadah kepada dua bahagian, dua bentuk, dua cara, dua jenis atau lebih dari itu.

Kalimah kullu (كُلُّ) menurut ahli bahasa adalah salah satu bentuk kata umum. berkata Imam Syatibi rahimahullah:

مَحْمُولٌ عِنْدَ الْعُلَمَاءِ عَلَى عُمُوْمِهِ ، لاَ يُسْتَثْنَى مِنْهُ شَيْءٌ البَتَّة ، وَلَيْسَ فِيْهَا مَهُوَ حَسَنٌ اَصْلاً

"Menurut ulama: Hadis ini hanya diterapkan pada keumumannya, tanpa ada pengecualian apa pun darinya dan pada kalimah bid'ah tidak ada yang disebut bid'ah hasanah". (Lihat: الفتوى hlm. 181. as-Syatibi)

Adapun kalimah bid'ah dalam hadis ini ialah nakirah (indefinitif) yang jelas menunjukkan umum kerana tidak diawali dengan (ال). Begitu juga tidak seorangpun dari kalangan jumhur ulama hadis yang pernah mensyarahkan hadis-hadis yang berkaitan dengan bid'ah kepada dua jenis bid'ah atau lebih. Jika dibuat pengkajian secara ilmiyah, memang tidak kedapatan dari kalangan jumhur Ulama Salaf as-Soleh yang membahagikan bid'ah menurut syara kepada bid'ah hasanah dan bid'ah dhalalah.

Kalangan ulama khalaflah (ulama selepas zaman salaf) menjadi perintis dan yang mula-mula sekali membahagikan bid'ah kepada beberapa pecahan dan bahagian. Keadaan ini pesat berlaku terutamanya selepas 400 hijrah. Ini (antaranya) berpunca apabila lahirnya beberapa orang ulama selepas zaman Salaf (selepas kurun terbaik) khususnya yang terpengaruh dengan unsur-unsur metodologi pemahaman istilah Bahasa Arab yang diambil atau ditiru dari kaedah falsafah Bahasa Yunani, ditambah pula gerakan pemikiran falsafah Yunani yang tersebar luas dan lebih menekankan logika akal (mantik) dari kaedah naqal (pengambilan langsung dari al-Quran, as-Sunnah dan athar sahabat), maka kaedah Yunan (Greek) ini diguna pakai oleh sebahagian ulama Khalaf dalam menyelesaikan persoalan hukum ahkam dalam agama.

Cara yang betul dan selamat untuk memahami Bahasa Arab dan istilahnya mestilah melalui kaedah, cara, nahu atau tatabahasa melalui Bahasa Arab itu sendiri. Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam berbahasa dan berbangsa Arab. Al-Quran dan penafsirannya begitu juga as-Sunnah berserta syarahnya hanya menggunakan Bahasa Arab yang asli dan fasih (مُبِيْنٌ).

Kaedah yang selamat dan betul untuk memahami maksud dalam bahasa al-Quran serta as-Sunnah mestilah hanya dengan cara dan kaedah pemahaman melalui bahasa yang digunakan oleh kedua kitab tersebut berserta penafsirannya yang juga mestilah melalui bahasa itu sendiri. Adalah tidak tepat jika menggunakan bahasa asing atau elemen bahasa asing untuk memahami Bahasa Arab walau semaju mana sekalipun bahasa asing yang digunakan.

FUNGSI KALIMAH KULLU

Kalimah "Kullu" menurut ahli bahasa adalah salah satu bentuk kata umum. Imam Syatibi menjelaskan kaedah hadis ini yang menekankan kalimah kullu, iaitu:

مَحْمُوْلٌ عِنْدَ الْعَلَمَاء عَلَى عَمُوْمِهِ ، لاَيُسْتِثْنَى مِنْهُ شَيْءٌ اَلْبَتَّة وَلَيْسَ فِيْهَا مَا هُوَا حَسَنٌ اَصْلاً

"Menurut ulama, hadis ini diterapkan pada keumumannya tanpa ada pengecualian apa pun darinya. Pada bid'ah (di hadis ini pula) sama sekali tidak ada yang disebut (bid'ah) yang baik". (الفتوى Hlm. 180-18 Syatibi. Lihat: علم اصول البدع hlm. 91 Ali Hasan)

Antara fungsi kalimah (كُلُّ) yang digunakan oleh hadis di atas, dapat difahami dan diertikan dengan betul dan sempurna hanya melalui tatacara dan kaedah Bahasa Arab sahaja yang mana kalimah tersebut hanya boleh diertikan kepada makna: "Semua atau Kesemuanya".

Kalimah atau perkataan (كُلُّ) di dalam hadis ini adalah kalimah yang digunakan dalam Bahasa Arab untuk menjelaskan kepadatan atau kepastian yang semata-mata hanya memberi makna "Semuanya". Kalimah ini juga diistilahkan sebagai kalimah (جَامِعَةٌ) yang digunakan dalam Bahasa Arab hanya untuk menerangkan atau menunjukkan "kesemuanya atau keseluruhannya" tanpa adanya pengecualian sama sekali.

Dengan penjelasan ini perlu diberi penekanan dan perhatian yang serius bahawa kalimah (كُلُّ) dalam Bahasa Arab hanya memberi makna, erti dan maksud: "Semuanya atau Keseluruhannya". Ia sama sekali tidak boleh diterjemahkan kepada makna, erti atau maksud: "Separuh, Sebahagian atau Setengah". Maka hadis ini tidak membizakan dalam hukum antara satu bid'ah dengan bid'ah yang lain, iaitu tidak ada bid'ah hasanah dalam urusan agama.

Tambahan pula jika difahami kalimah kullu di hadis yang dibincangkan ini secara lahiriyah dan tabiinya menurut kaedah yang dimaksudkan oleh hadis tersebut, ia hanya memberi satu makna, satu maksud, satu erti dan satu tujuan iaitu "Setiap bid'ah itu pasti sesat" dan tidak boleh diertikan atau diterjemahkan kepada "Separuh, sebahagian atau setengah bid'ah itu baik (tidak sesat)". Menolak hakikat (istilah) kalimah ini samalah seolah-olah menganggap Nabi tidak tahu menggunakan istilah Bahasa Arab dengan betul maka anggapan serupa ini adalah kepercayaan yang dianggap bid'ah dan membawa kepada kekufuran yang nyata.

Dengan demikian tidak dapat diterima pendapat yang meyakini bahawa bid'ah dalam urusan agama terbahagi kepada dua, tiga atau lima bahagian kerana pembahagian seperti itu bertentangan dengan ketegasan dan maksud hadis-hadis yang menjelaskan bahawa hakikat bid'ah jika dilibatkan dalam persoalan syara adalah sesat keseluruhannya. Jika perbuatan menukar maksud dan makna kalimah kullu di hadis ini disengajakan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian pengikut yang berpegang kepada kaedah mantik yang dipengaruhi oleh kaedah Yunani, ia adalah perbuatan yang fasik dan batil.

Secara ilmiyah, apabila dikembalikan kepada penilaian bahasa al-Quran kalimah atau perkataan (كُلُّ) yang terdapat di dalam al-Quran atau al-Hadis hanya memberi makna "kesemuanya" atau "keseluruhannya".

Untuk memahami satu-satu ayat atau kalimah yang terdapat di dalam al-Quran mestilah melalui panduan dan penafsiran yang telah disyaratkan oleh al-Quran itu sendiri, kemudian barulah melalui panduan as-Sunnah. Begitu juga, cara untuk memahami al-Hadis dan satu-satu kalimah dari hadis-hadis yang sahih dengan betul dan sempurna mestilah melalui al-Quran terlebih dahulu.

Dengan itu untuk memahami kalimah (كُلُّ) di hadis yang sahih ini tentulah melalui landasan kalimah yang seumpamanya yang banyak terdapat di dalam al-Quran. Kalimah kullu ini dapat difahami melalui firman Allah sepertimana di bawah ini yang menggunakan kalimah yang sama dan mempunyai fungsi yang serupa:

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ

"Setiap yang hidup akan merasai mati". (Ali Imran, 3: 185)

Kedudukan kalimah (كُلُّ) pada ayat ini menunjukkan bahawa kalimah kullu tersebut hanya memberi maksud dan makna "semua, setiap atau keseluruhan" tanpa adanya pengecualian. Iaitu: "semua, setiap atau keseluruhan yang hidup akan mati" kerana inilah kenyataan yang wajib diyakini oleh setiap orang Islam yang beriman dengan keseluruhan ayat-ayat al-Quran bahawa setiap atau keseluruhan (كُلُّ) yang hidup akan menghadapi kematian kecuali Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana juga firman-Nya:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُوْالْجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ

"Kesemua yang terdapat di bumi akan binasa dan hanya yang tetap kekal Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan". (ar-Rahman, 55: 26-27)

Kedudukan kalimah kullu (كُلُّ) di ayat pertama mempunyai konsep dan fungsi yang sama dengan kedudukan kalimah kullu yang terdapat pada ayat yang kedua. Begitu juga kalimah (كُلُّ) pada kedua-dua ayat di atas ini mempunyai fungsi yang sama pula dengan kalimah kullu di hadis sahih yang telah kita bincang dan jelaskan.

Menafsirkan kalimah (كُلُّ) pada kedua-dua ayat di atas kepada pengertian separuh, setengah atau sebahagian adalah merupakan penafsiran atau pengolahan yang fasik lagi batil kerana bertentangan dengan kaedah penafsiran yang betul.

Telah terbukti bahawa kalimah kullu yang terdapat pada hadis tentang bid'ah yang sering menjadi isu ini tidak boleh dimaksudkan, diertikan, disyarahkan atau diterjemahkan kepada pengertian sebahagian, setengah atau separuh sebagaimana perbuatan segolongan ulama mantik kacukan Yunani kerana ia bertentangan dengan maksud hadis dan makna dari pengertian kalimah (كُلُّ) di dalam al-Quran dan juga hadis tersebut.

Menurut kaedah atau ketetapan ilmu usul jika sesuatu kalimah diulang berkali-kali di beberapa tempat sebagaimana diulang-ulangnya kalimah kullu (كُلُّ) dalam menetapkan bahawa "setiap (كل) bid'ah itu sesat", maka apabila ia terdapat dalam dalil-dalil (al-Quran, al-Hadis dan athar yang sahih) maka ia menjadi dalil syarii kulli (دليل شرعي كلي) iaitu: "Pasti setiap (كل) bid'ah itu sesat."

Penolakan adanya bid'ah hasanah dikuatkan dengan kenyataan bahawa tidak pernah terkeluar atau terucap dari mulut Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam yang mulia walaupun sebuah sabda yang menerangkan adanya bid'ah hasanah (bid'ah yang baik) di dalam amal-ibadah atau akidah. Sebaliknya, pendapat dan ucapan yang mengatakan adanya bid'ah hasanah hanyalah berpunca dari kekeliruan pemahaman istilah bahasa atau hasil dari kata-kata serta pendapat yang direka oleh ulama suk dan bukanlah berdasarkan al-Quran, as-Sunnah atau athar yang sahih.

Pada hakikatnya tidak mungkin ada bid'ah hasanah dalam agama kerana secara jumlah bid'ah semuanya maksiat sebagaimana penjelasan as-syatibi:

وَلاَ شَكَّ اَنَّ الْبِدَعَ مِنَ الْجُمْلَةِ الْمَعْصِيَةِ

"Tidak dapat diragukan bahawa bid'ah secara keseluruhannya adalah maksiat." (Lihat: الاعتصام. Jld. 2. Hlm. 60)

وَانَّ السَّلَفَ لَمْ يُطْلقُوْا لَفْظَ الْبِدْعَةِ اِلاَّ عَلَى مَا هُوَ فِى نَظرِهِمْ مَذْمُوْم

"Sesungguhnya (para ulama) salaf tidak pernah menggunakan lafaz bid'ah kecuali terhadap apa yang mereka dapat tercela (maksiat)." (Lihat: البدع hlm. 182. 'Izzat 'Atiah)

Terdapat segolongan mubtadi' (pembuat bid'ah) beralasan bahawa kalimah "Kullu" dalam hadis yang sedang dibincangkan tidak menunjukkan erti umum dengan dalil bahawa Allah berfirman:

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِاَمْرِ رَبِّهَا

"Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya". (al-Ahkaf, 56: 25)

Pembuat bid'ah seterusnya beralasan: Dalam ayat yang mulia di atas ini angin tidak menghancurkan segala sesuatu, maka hal ini menunjukkan bahawa kalimah "Kullu" tidak sentiasa menunjukkan erti yang bersifat umum.

Sebagai jawapan terhadap kesilapan mereka, bahawa kalimah "Kullu" dalam ayat di atas menunjukkan erti umum, sebab angin itu menghancurkan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Allah untuk dihancurkan dan tidak segala sesuatu yang terdapat di dunia. Penjelasan ini berdasarkan tafsiran Ibn Jarir:

اِنَّمَا عَنَى بِقَوْلِهِ : { تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِاَمْرِ رَبِّهَا } مِمَّا اُرْسِلَتْ بِهَلاَكِهِ لاَنَّهَا لَمْ تُدَمِّْ هُوْدًا وَمَنْ كَانَ آمَنَ بِهِ

Sesungguhnya yang dimaksudkan Allah dengan firmanNya: Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya. Adalah bahawa angin menghancurkan segala sesuatu yang dikehendaki oleh Allah untuk dihancurkan. Sebab angin tidak menghancurkan Nabi Hud alaihis salam dan orang-orang yang beriman kepadanya". (Lihat: تفسير الطبرى (13/ 26-27))

Imam al-Qurtubi rahimahullah pula menafsirkan ayat di atas sebagai berikut:

اَيُّ كَلُّ شَيْءٍ مَرَّتْ عَلَيْهِ مِنْ رَجَالِ عَادٍ وَاَمْوَالِهَا

"Maksudnya, yang dihancurkan hanyalah segala sesuatu yang dilewati angin dari kaum 'Ad dan harta mereka". (الجامع لاحكام القرآن (16/206). Al-Qurtubi)

Begitu jugalah dengan pendapat para ulama tafsir yang lain tentang kalimah "Kullu" di ayat di atas. Oleh itu, menggunakan dalil bahawa kalimah "Kullu" dalam hadis tidak mengundang erti umum tidak dapat dijadikan hujjah sama sekali.

Syeikh Mulla Ahmad Rumi al-Hanafi amat tegas dalam perkara ini sehingga beliau berkata:

فَمَنْ اَحْدَثَ شَيْئًا يَتَقَرَّبُ بِهِ اِلَىاللهِ تَعَالَى مِنْ قَوْلٍ اَوْ فِعْلٍ ، فَقَدْ شَرَعَ مِنَ الدِّيْنِ مَا لَمْ يَاْذَنْ بِهِ اللهُ فَعُلِمَ اَنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ مَنَ الْعِبَادَةِ الدِّيْنِيَّةِ لاَ تُكُوْنُ اِلاَّ سَيِّئَةً

"Sesiapa yang membuat perkara yang baru untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, baik dalam bentuk ucapan atau perbuatan, sesungguhnya dia telah membuat syariat dalam agama dengan bentuk ibadah keagamaan, ia adalah bid'ah yang keji". (Lihat: علم اصول البدع hlm. 101 Ali Hasan)

057 - ANCAMAN & BAHAYA BID'AH

ANCAMAN & BAHAYA BID'AH

Setiap amal yang tidak mengikut dan mencontohi sunnah maka ianya tidak akan berupaya untuk membawa pelakunya dekat kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala, bahkan akan semakin menjauhkannya dari Allah. Ini adalah kerana Allah memerintahkan manusia dan jin untuk beribadah kepada-Nya dengan ketentuan yang telah diperintahkan-Nya yang tidak boleh berdasarkan akal dan hawa nafsu. (Rujuk: مدارج السالكين 1/84. Ibnul Qaiyim)

Fitnah yang sangat besar bahayanya terhadap akidah dan muamalah (ibadah) Ummah Islamiyah ialah bid'ah dan kesan dari aktiviti para pelaku bid'ah (mubtadi'). Oleh itu para mukmin perlu memahami, mengetahui dan berhati-hati terhadap bid'ah dan para aktivisnya.

Syeikh al-'Allamah Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah telah menjelaskan:

ثُمَّ لَيُعْلَم اَنَّ هَذِهِ الْبَدَع لَيْسَتْ خُطُوْرَتُهَا فِى نِسْبَةٍ وَاحِدَةٍ بَلْ هِيَ عَلَى دَرَجَاتٍ : بَعْضُهَا شِرْكٌ وَكُفْرٌ صَرِيْحٌ وَبَعْضُهَا دُوْنَ ذَلِكَ

“Seterusnya telah jelas diketahui bahawasanya bid'ah ini bukanlah bahyanya pada satu nisbah sahaja, tetapi ia mengikut beberapa darjat: Sebahagiannya membawa kepada kesyirikan, kekufuran dan selain dari itu”. (Lihat: علم اصول البدع hlm. 32. Ali Hasan bin Ali bin Abdul Hamid)

Kemudian telah berkata Yahya bin Mu'az ar-Razi rahimahullah:


اِخْتِلاَفُ النَّاسِ كُلّهمْ يَرْجِعُ اِلَى ثَلاَثَةِ اُصُوْلٍ ، فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهَا ضِدٌّ ، فَمَنْ سَقَطَ عَنْهُ وَقَعَ فِى ضِدِّهِ : اَلتَّوْحِيْدُ ضِدُّهُ الشِّرْكُ ، وَالسُّنَّةُ وَضِدُّهَا الْبِدْعَةُ ، وَالطَّاعَةُ وَضِدُّهَا الْمَعْصِيَّةُ

“Ikhtilaf manusia keseluruhannya kembali kepada tiga usul, pada setiap satu ada lawannya, maka sesiapa yang jatuh pada salah satu (dari tiga usul ini) maka berlaku padanya lawannya: Tauhid lawannya syirik, sunnah lawannya bid'ah dan taat lawannya maksiat”. (Lihat: الاعتصام (1/91). As-Syatibi)

Antara bahaya bid'ah ialah Allah Azza wa-Jalla menghijab (tidak menerima/menutup) taubat ahli bid'ah selagi dia tidak bertaubat atau meninggalkan bid'ah yang dikerjakan. Hal ini dapat difahami dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi 'Asim dalam “Kitabus Sunnah” dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

اِنَّ اللهَ حَجَزَ اَوْ قَالَ حَجَبَ التَّوْبَةَ عَنْ صَاحَبِ بِدْعَةٍ

“Sesungguhnya Allah menahan (tidak menerima) atau pernah baginda (Rasulullah) mengatakan: Allah menutup pintu taubat orang yang melakukan bid'ah”. (Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani menjelaskan bahawa hadis ini sahih. Hadis ini disokong oleh hadis Abu Hamzah (dikenali sebagai Anas bin 'Iyad al-Laitsi al-Madani seorang yang dipercayai “tsiqah”). Beliau termasuk salah seorang perawi Bukhari dan Muslim. Lihat: as-Sahihah. Hlm. 1620. al-Albani. Hadis ini diriwayatkan juga oleh at-Thabrani. Dan dinyatakan hasan oleh al-Munziri)

Al-Hasan bin Abi Hasan dan Abu 'Amr as-Syaibani rahimahullah berkata:

“Allah Tabaraka wa Ta'ala tidak menerima taubat Ahli Ahwa (pembuat bid'ah)”. (Lihat: شرح اصول اعتقاد اهل السنة Hlm 141. Dan Lihat: البدع والنهي عنها Hlm. 54)

Para sahabat radhiallahu 'anhum, para ulama dan semua pendakwah yang berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh sangat keras penentangannya terhadap semua jenis bid'ah dalam agama dan semua aktivis bid'ah. Ini amat jelas jika dinilai melalui apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abdi al-Barr dalam kitabnya yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'oud radiallahu 'anhu:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا اَخَذُوْا الْعِلْمَ عَنْ اَكَابِرِهِمْ فَاِذَا اَخَذُوْهُ مِنْ اَصَاغِرِهِمْ وَشِرَارِهِمْ هَلَكُوْا

“Akan sentiasa umat manusia dalam kebaikan selama mereka mengambil ilmu dari tokoh-tokoh besar (ulama Ahli Sunnah) dari kalangan mereka. Maka apabila mereka mengambil dari orang-orang kecil (orang jahil) dan orang-orang keji (Ahli Bid'ah) maka nescaya mereka akan binasa.” (Lihat: جامع بيان العلم وفضله. Hlm. 248)

Setiap umat Islam yang beriman dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh dingatkan oleh syara supaya sentiasa berhati-hati agar tidak belajar dan menerima hukum ahkam agama dari ulama bid'ah yang dikenali juga sebagai ulama su’ (علماء سوء) “Ulama Jahat”.

Ali bin Abi Talib radiallahu 'anhu menjelaskan:

اُنْظُرُوْا عَمَّنْ تَاْخُذُوْنَ هَذَا الْعِلْمَ فَاِنَّمَا هُوَ دِيْنٌ

“Selidikilah (ketahuilah terlebih dahulu) dari siapa kamu mengambil ilmu ini kerana ia adalah agama.” (Lihat: الكفاية. Hlm. 121. Al-Khatib al-Baghdadi)

Umat Islam diperingatkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam agar berjaga-jaga dari penyebar bid'ah kerana di akhir zaman bid'ah akan merebak sehingga menguasai kehidupan masyarakat Islam seolah-olah ia suatu ledakan yang besar. Sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam:

اِنَّ مِنْ عَلاَمَاتِ السَّاعَةِ وَاقْتِرَابِهَا اَنْ يَقِلَّ الْعِلْمُ وَيَكْثُرَ الْجَهْلُ

“Sesungguhnya di antara tanda-tanda Hari Kiamat dan hampirnya hari tersebut ialah berkurangannya ilmu dan bertambahnya banyak kejahilan”. (H/R Bukhari (1/178))

Menurut Abu 'Uthman Ismail Abdulrahman as-Sabuni bahawa maksud “ilmu” di hadis ini ialah “sunnah”, iaitu akan tiba di akhir zaman kurangnya manusia yang menyeru dan mengamalkan (menghidupkan) sunnah. Adapun makna “al-jahlu” (kejahilan) ialah “bid'ah”, yang bermaksud di akhir zaman pelaku bid'ah dan pembela (penyeru) bid'ah akan terus menerus bertambah dengan banyaknya. (Lihat: عقيدة السلف اصحاب الحديث Hlm. 124. as-Sabuni)

Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma pula pernah memberikan nasihatnya:

دِيْنُكَ ! دِيْنُكَ ! اِنَّمَا هُوَ لَحْمُكَ وَدَمُكَ فَانْظُرْ عَمَّنْ تَاْخُذُ خُذْ عَنِ الَّذِيْنَ اسْتَقَامُوْا وَلاَ تَاْخُذْ عَنِ الَّذِيْنَ مَالُوْا

“(Peliharalah) agamamu! (Peliharalah) agamamu! Ia adalah darah dan dagingmu, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambilnya. Ambillah dari orang-orang yang beristiqamah (memelihara sunnah) dan jangan diambil dari orang-orang yang menyeleweng (melencong dari sunnah iaitu Ahli Bid'ah).” (Lihat: الكفاية Hlm. 121. Al-Khatib al-Bahgdadi)

Untuk menghindarkan diri dari perangkap bid'ah dan aktivisnya maka Abdullah bin Mas’oud telah berpesan:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا اَخَذُوْا الْعِلْمَ عَنْ اَكَابِرِهِمْ فَاِذَا اَخَذُوْهُ مِنْ اَصَاغِرِهِمْ وَشِرَارِهِمْ هَلَكُوْا

“Akan sentiasa seseorang manusia dalam kebaikan selama ia mengambil ilmu dari tokoh-tokoh besar mereka (ulama sunnah). Jika ia mengambil ilmu dari orang-orang kecil (ulama bid'ah) di antara mereka maka nescaya mereka akan binasa”.

Imam Abu Fadl al-Hamadani rahimahullah berkata:

“Pelaku bid'ah dan para pemalsu hadis lebih berbahaya daripada orang-orang kafir yang terang-terangan menentang Islam. Kaum kuffar menentang Islam dari luar sedangkan ahli bid'ah menghancurkan Islam dari dalam. Pelaku bid'ah diumpamakan sebagai penduduk kampung yang ingin menghancurkan kampungnya, sedangkan kuffar diumpamakan musuh di luar benteng yang sedang menunggu pembukaan pintu oleh ahli bid'ah. Ahli bid'ah berupaya memberi kesan yang amat buruk terhadap Islam jika dibandingkan (dengan kuffar) yang menentang Islam secara terang-terangan.” (Lihat: الموضوعات Ibn al-Jauzi. نقد الرجال Hlm. 128)

Sebahagian pengikut Imam Syafie dan Imam Ahmad menghalalkan membunuh para penyeru (pendakwah) bid'ah yang jelas telah menentang al-Quran. Begitu juga pandangan pengikut Imam Malik yang menjelaskan bahawa beliau menghalalkan membunuh golongan Qadariah bukan kerana murtadnya mereka tetapi kerana mereka menyeru kepada kerosakan (bid'ah) di permukaan bumi. (Lihat: الموضوعات Ibn al-Jauzi. نقد الرجال. Hlm. 128)

Keseluruhan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang berpegang dengan manhaj salaf mengharamkan orang-orang beriman dari berteman dan menghadiri apa pun majlis bid'ah terutamanya majlis pengajian ilmu (mujalasah) yang diadakan oleh ahli al-bida’ (اهل البدع) sebagaimana yang diperingatkan oleh para ulama salaf di bawah ini:

Berkata Imam al-Barbahari:

“Apabila kamu mendapati seorang yang bersungguh-sungguh menyiksa dan menganiaya dirinya dengan meninggalkan urusan dunianya semata-mata untuk beribadah maka dia adalah mengikut hawa nafsu (dia ahli bid'ah). Janganlah kamu berkawan, duduk-duduk bersamanya, mendengar perkataan, berjalan bersama-sama kerana saya tidak menjamin kamu (akan selamat dari bid'ah - pent) jika kamu bersamanya”. (Lihat: شرح السنة Hlm. 104. Imam al-Barbahari)

Al-Hasan rahimahullah berkata:

“Janganlah kamu berteman dengan pengikut hawa nafsu (ahli bid'ah) kerana akan tersemai di hatimu apa yang telah kamu terpengaruh darinya. Akhirnya kamu akan binasa atau kamu mengingkari (sesuatu dalam agama) sehingga hatimu menjadi tersiksa.” (Lihat: البدع Hlm. 17. Dr. Ali bin Muhammad Nashir al-Fazihi)

Imam az-Zahabi rahimahullah berkata:

“Berpegang kepada sunnah bermakna menghidupkan hati. Apabila seseorang membiasakan hatinya untuk menerima amalan bid'ah maka hati tersebut tidak akan memuliakan sunnah”. (Lihat: علم اصول البدع. Hlm. 288-289. Ali Hasan)

Ibnu Sirin rahimahullah berkata:

Tidak pernah ditemui seseorang yang melakukan bid'ah akan menolak bid'ah-bid'ah yang lain”.

Ini bermakna pelaku bid'ah sememangnya menggemari setiap apa sahaja jenis bid'ah yang disangkanya baik. Kebiasaannya mereka memang jahil (kurang memahami tentang syara’ atau sunnah). Lantaran kejahilan tersebut, penggemar bid'ah pasti akan mencintai apa sahaja perbuatan bid'ah kerana dianggapnya amalan yang berpahala. Akhirnya mereka lebih menggemari dan mempertahankan bid'ah dari sunnah yang jelas ada dalilnya untuk diamalkan.

Ahli bid'ah sama ada para penyebarnya (penyeru dan pendakwahnya) atau pengikutnya, mereka bukan sahaja akan memikul dosanya sendiri tetapi akan berterusan memikul dosa-dosa orang lain yang meniru perbuatan bid'ah yang mereka hidupkan sehinggalah ke Hari Kiamat. Firman Allah Azza wa-Jalla:

لِيَحْمِلُوْا اَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمِنْ اَوْزَارِ الَّذِيْنَ يُضِلُّوْنَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ

“Mereka akan menanggung dosa mereka keseluruhannya pada Hari Kiamat, dan akan menanggung dosa orang yang mereka sesatkan tanpa ilmu”. (an-Nahl, 16: 25)

SALAH FAHAM TERHADAP BID’AH

Pelaku bid'ah sama ada bid'ah yang berbentuk akidah atau muamalah, mereka tidak akan merasa gerun atau takut untuk melakukan bid'ah tersebut kerana mereka menyangka bahawa bid'ah terbahagi kepada dua, iaitu bid'ah hasanah dan bid'ah dholalah, mereka berhujjahkan hadis di bawah ini:

مَنْ سَنَّ فِىاْلاِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ اَجْرُهَاوَاَجْرُمَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ غَيْرَ اَنْ يَنْقُصَ مِنْ اُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ مَنْ سَنَّ فِى اْلاِسْلاَمِ سُنَّةً سِيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ اَنْ يَنْقُصَ مِنْ اَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

“Barangsiapa menghidupkan dalam Islam satu sunnah dari sunnah yang baik, maka baginya ganjaran pahala dan pahala tambahan dari orang yang meniru (mengamalkan sepertinya) sesudahnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala tersebut. Dan barangsiapa yang menghidupkan suatu sunnah dari jenis sunnah yang keji dalam Islam maka baginya dosa dan tambahan dosa bagi sesiapa yang meniru (mengikut jejaknya) sesudahnya tanpa dikurangkan sedikitpun dosa-dosa mereka itu.” (H/R Muslim)

Kalimah sunnah yang terdapat pada hadis di atas tidak boleh dimaksudkan sebagai bid'ah atau bid'ah hasanah. Adalah suatu kesilapan yang besar bagi sesiapa yang mengertikannya sedemikian. Kekeliruan ini boleh dijelaskan dan difahami melalui penerangan sebagaimana berikut:

Makna as-Sunnah: Menurut etimologi (bahasa) as-Sunnah diambil dari kata-kata:

سَنَّ - يَسِنُّ - وَيَسُنُّ - سُنًّا

Sunnah menurut bahasa ialah:

اَلسُنَّةُ هِيَ الطَّرِيْقَةُ ، مَحْمُودَةٌ كَانَتْ أمْ مَذْمُوْمَةٌ

“As-Sunnah ialah jalan, sama ada yang baik (terpuji) atau yang keji.” (Lihat: لسان العرب - مادة (سنن))

Sunnah boleh memberi maksud:

“Kebiasaan, perilaku, cara hidup dan suatu kaedah/method. Ia juga membawa: (السيرة): as-Sirah.” (Lihat: مختار الصحاح. Hlm. 133. Ar-Razi)

Sunnah menurut syara’:

“Apa yang dipindah/diambil (diriwayatkan, diterima dan diambil) dari Nabi Muhammad (sallallahu 'alaihi wa sallam) dan para sahabat baginda berkaitan dengan akidah dan amal.” (Lihat: لغة الاعتقاد الى سبيل الرشاد. Hlm. 40. Al-Uthaimin) Sunnah diistilahkan juga sebagai: (الطريقة المحمدية): “Jalan atau petunjuk Muhammad (sallallahu 'alaihi wa sallam) atau (السنة المحمدية): “Sunnah Muhammad (sallallahu 'alaihi wa sallam)”.

Menurut istilah Ahli Usul pula ialah:

“Segala yang disalin (dipindah, diambil, dinukil dan diriwayatkan) dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam secara khusus. (Lihat: الموافقات juz. 4. Hlm. 47. As-Syatibi) Ia berupa perkataan, perbuatan, ketetapan, akhlak, disiplin dan segala yang bersangkutan dengan hukum halal dan haram.”

Pengertian ini dapat difahami melalui sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam di bawah ini:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ.

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.” (H/R Muslim. (2137) Al-Haj. Abu Daud (1628) al-Manasik. Ibn Majah (3060) Al-Manasik)

Jika dikembalikan kepada istilah, bid'ah amat berbeza dengan sunnah kerana bid'ah ialah mengada-adakan (mencipta atau mereka-reka sesuatu yang baru) dalam agama. (Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Abdul Qayyum bin Muhammad bin Nasr)

Hadis yang dijadikan hujjah untuk membolehkan membuat bid'ah ini sebenarnya menggesa agar: “Menghidupkan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang telah ditinggalkan oleh ummah.” Ia bukan bermaksud: “Halal mencipta atau melakukan bid'ah yang tidak ada contohnya dari Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.”

Hadis tersebut disyarahkan oleh Imam Nawawi di dalam kitab sahih Muslim di bawah tajuk:

(اَلْحَثُّ عَلَى الصَّدَقَةِ وَاَنْوَاعِهَا وَاَنَّهَا حِجَابٌ مِنَ النَّارِ)

“Galakan untuk bersedekah dan jenis-jenis sedekah yang ianya menghijab dari api neraka.” (Lihat : صحيح مسلم ، بشرح النووي. Juz. 7. Hlm. 104)

Dalam syarahnya Imam Nawawi rahimahullah menjelaskan:

“Pada hadis ini suatu pengkhususan dari sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bahawa setiap yang diada-adakan itu bid'ah dan setiap bid'ah itu sesat. Apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah setiap yang diada-adakan itu batil dan menjadi bid'ah yang tercela.” (Lihat : صحيح مسلم ، بشرح النووي. Juz. 7. Hlm. 104)

Mengerjakan bid'ah termasuklah yang disangka bid'ah hasanah tidak boleh dianggap sebagai menghidupkan sunnah kerana sunnah ada contohnya dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat. Sebaliknya bid'ah tidak ada sama sekali contohnya kerana ia suatu yang baru, ciptaan baru, yang diada-adakan dan rekaan yang tidak ada contoh sebelumnya sama ada dari al-Quran atau as-Sunnah.

Apa yang dijelaskan oleh Imam Nawawi apabila mensyarahkan hadis di atas merupakan suatu galakan kepada setiap orang-orang yang beriman supaya menghidupkan kembali segala sunnah yang telah ditinggalkan atau tidak lagi dikerjakan oleh ummah. Ia bukan bermaksud supaya mengada-adakan suatu yang baru dengan mencipta beberapa bid'ah yang mana ciptaan tersebut tidak ada sama sekali suruhan atau contohnya dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, dari para sahabat, dari tabiin atau para Salaf as-Soleh.

Penjelasan Imam Nawawi ini amat bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam di bawah ini:

مَنْ اَحْيَا سُـنَّةً مِنْ سُنَّتِيْ قَدْ اُمِيْتَتْ بَعْدِيْ فَاِنَّ لَهُ اْلاَجْرِ مِثْلَ اَجْرِمَنْ عَمِلَ بِهَا مِنَ النَّاسِ لاَ يَنْقُصُ مِنْ اُجُوْرِ النَّاسِ شَـيْئًا وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً لاَ يَرْضَـاهَا اللهُ وَرَسُــوْلُهُ فَاِنَّ عَلَيْهِ مِثْلِ آثِمِ مَنْ عَمِلَ بَهَا مِنَ النَّاسِ لاَ يَنْقُصُ مِنْ آثِمِ النَّاسِ شَيْئًا

“Barangsiapa yang menghidupkan suatu sunnah dari sunnahku setelah ia dimatikan (ditinggalkan oleh manusia) selepas (peninggalan)ku, maka baginya pahala sebagaimana pahala sesiapa yang mengerjakannya dari kalangan manusia yang tidak dikurangkan sedikitpun pahala tersebut sebagaimana pahala yang diberikan kepada manusia yang menirunya. Dan sesiapa yang melakukan suatu bid'ah yang tidak diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya maka baginya dosa sebagaimana dosa sesiapa yang (meniru) mengamalkan tanpa dikurangkan dosa tersebut walau sedikitpun.” (H/R Ibn Majah (207), al-Iman. Turmizi (2601), al-Ilm. Ibn Abi 'Asim dalam 'As-Sunnah” (1/23). Berkata Turmizi dan al-Bahgawi: Hadis Hasan)

Menghidupkan sunnah hanyalah melalui contoh (ittiba' kepada sunnah) dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam. Menghidupkan satu bid'ah samalah seperti mematikan satu sunnah dan ini pasti berlaku apabila sunnah ditinggalkan dan mengambil sebaliknya. Dalam hal ini Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ عَامٍ اِلاَّ فِيْهِ بِدْعَةٌ وَتَمُوْتُ فِيْهِ سُنَّةٌ حَتَّى تَظْهَرُ الْبِدَعُ وَتَمُوْتُ السُّنَنُ

“Tidak ada suatu tahun kecuali akan berlaku padanya satu bid'ah dan akan mati satu sunnah, hingga nyatalah (terang-terang dikerjakan) perbuatan bid'ah dan (diketika itu) matilah (lenyaplah) sunnah-sunnah. (H/R at-Thabrani dan Ibn Wadha dalam al-Bida')

Selain daripada sunnah adalah bid'ah dholalah kerana pengertian sunnah sebagaimana yang telah dijelaskan ialah “Jalan” atau “Yang diambil (diittiba') dari contoh Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam”. Ini bermakna jalan yang diperkenankan hanyalah jalan yang ada nasnya dari syara iaitu agama Islam yang diturunkan dari langit, bukan melalui jalan-jalan (bid'ah) yang dicipta oleh manusia. Nas-nas di bawah ini menjelaskan:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْـعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : خَطَّ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ لَنَا خَطًّا ثُمَّ قَالَ : هَذَ سَبِيْلُ الله ثُمَّ خَطَّ خُطُوْطًا عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ وَقَالَ هَذِهِ سُبُـلٌ عَلَى كُلِّ سَـبِيْلٍ مِنْهَا شَيْـطَانٌ يَدْعَوْ اِلَيْهِ وَقَرَاَ : (وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِى مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ) وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ

“Dari Abdullah bin Mas’oud radhiallahu 'anhu: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam telah menggariskan kepada kami satu garisan kemudian bersabda: Ini jalan Allah. Kemudian menggariskan pula beberapa garisan ke arah kanan dan ke arah kiri baginda lantas bersabda: Inilah jalan-jalan yang mana di atas setiap jalan tersebut syaitan mengajak kepadanya, seterusnya baginda membacakan ayat: (Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah (ittiba'lah) jalan tersebut dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang lain) maka kamu akan disesatkan oleh jalan tersebut. Itulah menjadi wasiat bagi kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang takwa).” (al-An’am, 6: 153)

Menurut riwayat dari Abi al-Hajjaj bin Jabr al-Makki rahimahullah seorang tabiin dari kalangan imam tafsir, bahawa ayat (وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ) “Jangan kamu ikut jalan-jalan (yang lain)” yang dimaksudkan ialah: “(Jalan/perbuatan) yang bid'ah dan yang syubhat.” (Lihat: علم اصول البدع hlm. 40. Ali Hassan bin Abdul Hamid. Dikeluarkan oleh at-Tayalisi dalam musnad (244). Al-Lalikai dalam شرح اصول اعتقاد اهل السنة والجماعة. Jld. 1. Hlm. 80-81. Ahmad (1/435-465). Ibn Abi 'Asim dalam السنة, (1/13). An-Nasii dalam السنن الكبرى Ibn Habban (1/105). Al-Hakim dalam المستدرك (2/318))

Antara nas yang membuktikan bahawa yang dimaksudkan oleh ayat di atas ialah jalan Allah atau sunnah Allah dan Rasul-Nya ialah sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam:

فَسُـنَّةُ اللهِ وَسُــنَّةُ رَسُــوْلِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ اَحَقُّ اَنْ تَتَّبِعَ مِنْ سُنَّةِ فَلاَن اِنْ كُنْتَ صَادِقًا

“Maka sunnah Allah dan sunnah Rasul-Nya lebih hak kamu ikuti dari sunnah si Pulan jika kamu termasuk orang yang percaya (beriman).” (H/R Muslim)

قَالَ ابْنُ مَسْـعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : عَلَيْكُمْ بِالطَّرِيْقِ فَالْزَمْهُ وَلَئِنْ اَخَذْتُمْ يَمِيْنًا وَشِمَالاً لَتَضِلُّنَّ ضَلاَلاً بَعِيْدًا

“Hendaklah kamu sekalian mengikuti satu jalan (ajaran Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam) dan tetaplah kamu berpegang dengannya. Kalau kamu mengikut jalan ke kanan atau ke kiri nescaya kamu akan sesat dengan kesesatan yang jauh”.

Selain berpegang dengan sunnah Rasul-Nya, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam turut menyeru agar orang-orang yang beriman mengikuti (ittiba' kepada) sunnah para sahabat terutamanya para Khulafa ar-Rasyidin kerana mereka telah dijamin masuk Syurga, kekal di dalamnya, mereka meredhai Allah dan Allah redha kepada mereka sebagaimana firman Allah:

وَالسَّابِقُوْنَ الاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وِاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بِاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُ وَاَعَّدَ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِيْ تَحْتَهَا الاَنْهَارُ خَالِدِيْنَ فَيْهَا اَبَدًا ، ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمِ

“Orang-orang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti (berittiba' kepada) mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan merekapun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (at-Taubah, 9: 100)

عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِىْ تَمَسَّكُوْا بِهَا وَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

“Hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku. Peganglah ia kuat-kuat dan gigitlah dengan gigi geraham.” (H/R Muslim)

Banyak nas-nas dari syara’ menyeru agar orang-orang beriman berittiba' kepada sunnah bukan bertaqlid buta kepada pembuat bid'ah. Malah tidak pernah terdapat walau satu nas dari syara’ yang mengizinkan atau menyuruh seseorang itu berbuat bid'ah. Semua perbuatan dalam agama yang berbentuk atau berunsur bid'ah telah ditegah (dilarang atau diharamkan) oleh syara’ sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Mas'oud radhiallahu 'anhu:

اِتَّبِعُوْا وَلاَ تَبْتَدِعُوْا فَقَدْ كُفِيْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

“Hendaklah kamu ittiba' (patuh mengikuti syara’) dan janganlah melakukan bid'ah (menambah atau mencipta sesuatu yang baru dalam agama). Sudah memadai (sudah sempurna) bagi kamu sunnah nabi kamu dan setiap yang bid'ah itu sesat.” (Atsar yang sahih. Diriwayatkan dari kalangan tabi’in yang ramai jumlahnya, antaranya ialah: (1). Abu Abdul Rahman as-Salami yang dikeluarkan oleh at-Tabari (8870). Baihaqi di “Madhal” (204). Telah dijelaskan oleh al-Haitami di “al-Mujmak” (1/181) bahawa perawinya semuanya sahih. (2). Ibrahim an-Nakhii. (3). Qatadah, dikeluarkan oleh Ibn Wadah dalam (البدع والنهي عنها) hlm. 11 dari jalan Abi Hilal, beliau dipercayai dan Imam Bukhari mengambil juga dari hadisnya sebagaimana di at-Ta'lik. Menurut Nasruddin al-Albani: Athar ini adalah sahih)

Dalam hal wajibnya ittiba' dan haramnya melakukan bid'ah, Syeikh al-Qarafi rahimah humullah berkata:

فَاِنَّ الْخَيْرَ كُلَّهَا فِى اْلاِتِّبَاعِ وَاِنَّ الشَّرَّ كُلَّهَا فِى اْلاِبْتِدَاعِ

“Sesungguhnya kebaikan seluruhnya hanya dengan cara ittiba' (mengikuti dan taat kepada sunnah) dan keburukan (kesesatan) keseluruhannya ada pada bid'ah.” (Lihat: الفروق. Jld. 4. Hlm. 205. Al-Qarafi)

Berkata pula Imam as-San'ani rahimahullah:

لَيْسَ فِى الْبِدْعَةِ مَا يُمْدَحُ بَلْ كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

“Tidak terdapat dalam bid'ah itu apa yang terpuji (hasanah) tetapi semua bid'ah itu sesat.” (Lihat: سبل السلام jld. 2. hlm. 12. As-San'ani)

Melalui nas-nas di atas amat jelas bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam mewajibkan setiap mukmin ittiba’ (mengikuti) sunnah Allah, sunnah Rasul-Nya serta sunnah para sahabat dan mengharamkan mereka daripada mengikuti sunnah si Pulan dan si Pulan termasuklah sunnah Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana sabda baginda:

عَنْ اَبِى سَـعِيْدِ الْخُـدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ لَتَتَّبِعَنَّ سُـنَنَ الَّذِيْنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاَ تَبَعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يَا رَسُوْلَ اللهِ الْيَهُوْدَ والنَّصَارَى ؟ قَالَ فَمَنْ.

“Dari Sa'ied al-Khudri radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam: Akan terdapat mereka yang mengikut sunnah (cara hidup) mereka yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga masuk ke lubang biawak kamu akan masuk ke dalamnya juga. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! (Adakah mereka mengikuti cara) Yahudi dan Nasrani? Baginda bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka?.” (H/R Bukhari (3197). Muslim (4822). Ibn Majah (3948). Ahmad (1023))

Tuesday, May 13, 2008

056 - al-Asma’ Wa Sifat – Isyarat Anggota Tanpa Tajsim, Tasbih, & Tamtsil

al-Asma’ Wa Sifat – Isyarat Anggota Tanpa Tajsim, Tasbih, & Tamtsil


إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Firman-Nya: “Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (an-Nisa’, 4: 58)

Ayat ini adalah penyempurnaan ayat,

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (an-Nisa’, 4: 58)

Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan kepada kita agar menyampaikan amanat kepada mereka yang berhak menerimanya. Di antaranya adalah menjadi saksi kebaikan bagi orang itu atau keburukan untuknya dan jika kita menetapkan suatu ketetapan di antara manusia, maka kita harus menetapkannya dengan adil. Maka, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa Dia menyuruh kita untuk menunaikan kewajiban di atas jalan hukum dan demi hukum itu sendiri. Jalan hukum yang berbentuk persaksian masuk ke dalam rangkuman ayat,

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya.” (an-Nisa’, 4: 58)

Manakala hukum berkaitan dengan firman Allah,

“... Dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. “ (an-Nisa, 4: 58)

Kemudian Allah berfirman,

“Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (an-Nisa’, 4: 58)

Asalnya adalah “نعم ما” “sebaik-baik sesuatu”. Akan tetapi, huruf miim di-idgham-kan hal “memasukkan satu huruf ke dalam yang lain” kepada miim yang termasuk ke dalam bab idgham besar. Kerana idgham tidak terjadi antara dua jenis, kecuali jika yang pertama berharakat sukun. Dalam situasi ini, idgham dengan huruf yang pertama berharakat fathah.

Ungkapan “نعما يعظكم به” “memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu”. Allah menjadikan perintah-Nya pada dua perkara ini menunaikan (amanah kepada orang yang berhak menerimanya dan menetapkan hukum dengan adil) adalah sebagai nasihat. Kerana Semua itu sesuai untuk hati. Semua yang sesuai dengan hati adalah nasihat. Menjalankan semua perintah ini tidak disangsikan/diragukan bahawa semua itu sesuai dengan hati.

Lalu berfirman: “إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا” “sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. Ungkapan كَانَ ini adalah kata kerja, tetapi tidak memiliki ketentuan waktu. Yang dimaksudkan adalah hanya menunjukkan kepada sifat sahaja. Dengan kata lain, bahawa Allah bersifat mendengar dan melihat. Akan tetapi, kita katakan, “Dia itu tidak dipengaruhi dengan waktu, kerana jika kita membiarkannya ia tetap dengan penunjukan waktunya, maka sifat itu pasti telah habis. Pada mulanya Maha Mendengar dan Maha Melihat, sedangkan sekarang tidaklah demikian. Sangat diketahui bahawa makna yang sedemikian itu tidak dapat diguna-pakai dan bathil. Sedangkan yang dimaksudkan adalah bahawa Allah bersifat dengan dua sifat ini, iaitu mendengar dan melihat untuk selama-lamanya. Sedangkan كَانَ dalam konotasi sedemikian, tiada lain yang dimaksudkan melainkan pewujudan.

Ungkapan “سَمِيعًا بَصِيرًا” “Maha Mendengar dan Maha Melihat”. Kita menyatakan berkenaan dengannya sebagaimana kita katakan berkenaan dengan ayat sebelumnya. Di dalamnya mengandungi penetapan sifat mendegar dan melihat bagi Allah dengan dua bentuknya dan penetapan penglihatan dengan dua jenisnya.

Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu membaca ayat ini lalu ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam meletakkan ibu jari dan jari telunjuknya di atas mata dan telinga beliau.” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Kitab as-Sunnah, Bab Fii Jahmiyah) Adapun yang dimaksudkan dengan bentuk peng-isyaratan itu adalah menegaskan keberadaan pendengaran dan penglihatan, dan bukan penetapan mata dan telinga.

Ini kerana perbahasan penetapan mata dibincangkan dengan kehadiran dalil-dalil yang lain. Menurut Ahlussunnah wal Jama’ah, tidak menetapkan telinga bagi Allah dan tidak pula ditiadakan dari-Nya kerana tidak ada keterangan dalil tentang pendengaran (Tidak menetapkan dan tidak menafikan – Ed.).

Jika kita katakan, “Apakah aku harus melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam?”

Jawabnya: Dari kalangan para ulama, ada yang menyatakan, “Ya, lakukan sebagaimana hal-nya yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam. Kita bukanlah orang yang Iebih berpetunjuk daripada Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam dan kita juga bukanlah orang yang lebih berhati-hati dari adanya pengidhafahan sifat yang tidak layak untuk Allah kepada Allah daripada Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam.”

Di antara mereka ada yang berkata, “Tidak perlu kita melakukan seperti hal-nya yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam selama mana kita mengetahui bahawa yang dimaksudkan itu adalah pewujudan (hakikat). Jadi isyarat ini tidaklah menjadi suatu yang dimaksudkan. Akan tetapi, ia dimaksudkan kerana selainnya. Dengan demikian, tiada kepentingan untuk kita tunjuk (mengisyaratkan). Apatah lagi jika dikhuwatirkan dengan penunjukan itu akan membawa dianggap oleh orang lain sebagai penyerupaan. Sebagaimana jika di hadapan kita adalah dari kalngan orang awam yang masih tidak memahami sesuatu sebagaimana sewajarnyanya. Dengan demikian, kita haruslah mengambil sikap berhati-hati. Bagi setiap tempat ada perkataan yang sesuai.

Demikian juga apa yang ditunjukkan melalui hadis Ibnu Umar yang mengisahkan bahawa Rasulullah Shallallahu Ala’hi wa Sallam bersabda,

Allah ‘Azza wa Jalla mengambil semua lapisan langit dan semua lapisan bumi dengan kedua tangan-Nya, lalu berfirman, “Akulah Allah”. Dia menggenggamkan jari-jemari-Nya dan mengembangkannya.(Diriwayatkan oleh imam Muslim, Kitab Shifaat al-Munafiqin)

Dikatakan berkenaan dengan hal ini adalah apa yang dinyatakan di dalam hadis Abu Hurairah.

Faedah yang berkaitan dengan perilaku iman kepada dua sifat: 1 - mendengar dan 2 - melihat adalah agar kita berwaspada dari melakukan perkara yang bertentangan dengan Allah dalam perkataan dan perbuatan kita.

Dalam ayat ini ada sebahagian dari asma’ Allah, iaitu dua sifat yang ditetapkannya, yang mana ianya adalah yang Maha Mendengar dan Yang Maha Melihat. Dan di antara sifat-sifat adalah penetapan pendengaran, penglihatan, perintah, dan nasihat.

Rujukan: Syarah Aqidah Wasithiyah (Judul Asli: Syarh al-‘Aqidah al-Wasithiyah), oleh Sheikh Muhammad Sholeh al-Utsaimin, Cet. 1 (2007M), Terbitan Darul Falah (Jakarta), m/s. 172-175.

- wallahu a’lam...

Wednesday, May 7, 2008

55 - Melanggar Batasan Allah Dalam Keadaan Rahsia

Melanggar Batasan Allah Dalam Keadaan Rahsia

Dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu (r.a.), dari Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w.),

“Sungguh, aku tahu (bahawa) beebrapa kaum dari ummatku ada yang datang pada hari kiamat dengan kebaikan sebesar gunung Tihamah, lantas Allah ‘azza wa Jalla menjadikannya hancur lebur”. Tsauban berkata: “Wahai Rasulullah, sifatkanlah mereka bagi kami, jelaskanlah tentang mereka bagi kami, agar kami tidak termasuk dari mereka, sedangkan kami tidak sedar”. Beliau bersabda, “Ketahuilah, mereka adalah saudara kalian, dari kulit kalian, mengambil sebahagian malam sebagaimana kalain mengambilnya, akan tetapi mereka adalah suatu kaum yang apabila bersendirian dengan batasan Allah, mereka melanggarnya”.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, 4245 dari hadis Tsauban r.a. dengan sanad yang sahih, para perawinya tsiqah. Hadis itu disahihkan oleh al-Mundziri, al-Bushiri, dan al-Albani dalam Silsilah al-Ahaadiis ash-Shahihah, no. 505)

1 - Demikianlah Para Salafus Sholeh, mereka takut amalannya gugur tanpa disedari, betapa bagusnya sifat mereka, kita memohon kepada Allah agar membalas mereka dengan balasan yang setimpal.

2 – Nabi s.a.w. menjelaskan, ada golongan yang mana mereka tekun melaksanakan ibadah seperti bangun malam dan melakukan tahajjud dan dalam keadaan tertentu. Namun, dalam keadaan lain, mereka melanggar batasan (hukuman) Allah dalam sembunyi-sembunyi iaitu ketika bersendirian. Nabi memberi peringatan kepada Sahabat-sahabatnya akan perihal ini, bahawa Allah menghancurkan kebaikannya.

Oleh itu, semoga Allah sentiasa menjadikan kita dari golongan yang bertaqwa kepada Allah sama ada di dalam sendirian atau dalam keadaan ramai. Iaitu yang sentiasa meninggikan syi’ar-syi’ar agama Allah dan menjauhi apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Semoga kita dijauhkan oleh Allah s.w.t. dari dosa dan perbuatan-perbuatan keji yang terlihat mahupun yang tersembunyi.

54 - Mendustakan Taqdir Termasuk Perbuatan Syirik

Mendustakan Taqdir Termasuk Perbuatan Syirik

Sebelum itu, perbahasan berkenaan tajuk taqdir ini telah pun diperbincangkan apada tulisan yang lalu. Oleh itu, bolehlah merujuk kepada artikel tersebut bertajuk: “
Qadha’ & Qadar Suatu Perbahasan

Barangsiapa mendustakan taqdir, maka batal-lah amalnya, dan dia termasuk orang-orang yang rugi, walaupun dia mengeluarkan sedekah emas sebesar bumi untuk menebusnya.

Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w.) bersabda:

“Tiga (3) orang yang Allah tidak menerima alasan dan tebusannya, iaitu anak yang derhaka kepada orang tua, orang yang mengungkit-ngungkit kebaikan dan orang-orang yang mendustakan Taqdir.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah, 323. ath-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, 7547, dan lain-lain dari hadis abu Ummamah rdhiyallahu ‘anhu (r.a.). Sanadnya dihasankan oleh al-Mundziri dalam at-Targhiib wa at-Tarhiib, 3/321)

Dari Zaid bin Tsabit, Ubay bin Ka’ab, ‘Abdullah bin Mas’oud, dan Huzaifah bin Yaman radhiyallahu ‘anhu (r.a.), bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seandainya Allah meng-azab penduduk langit dan bumi, niscaya Allah akan meng-azab mereka tanpa menzalimi mereka sedikit pun, seandainya Allah merahmati mereka, niscaya rahmat-Nya itu lebih baik untuk mereka dari amalan yang mereka lakukan, seandainya engkau mengeluarkan sedekah emas sebesar gunung uhud di jalan allah, Allah tidak akan menerimanya sehingga engkau beriman kepada taqdir dan meyakini bahawa sesuatu yang akan menimpamu (dengan takdir) tidak akan meleset darimu, dan sesuatu yang tidak akan menimpamu, tidak akan mengenaimu. Jika engkau mati di atas selain keyakinan ini, engkau pasti masuk neraka.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, 4699. Ibnu Majah, 77. Ahmad, 5/182-183, 185, 189. ath-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, 4990. Ibnu Hibban, 1817 – Mawaariduzh Zham’aan. Dan Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah, 245. Dari jalan Ibnu Dailami dari mereka. Menurut Sheikh Salim ‘Eid al-Hilali, sanadnya Sahih)

Ketika telah tampak pendustaan terhadap taqdir di akhir era generasi Sahabat, para Tabi’in bergegas pergi kepada para sahabat untuk meminta fatwa mereka berkenaan kelompok baru ini (kelompok yang mendustakan taqdir).

Menurut Sheikh Salim ‘Eid al-Hilali, persoalan ini juga menampakkan kepada kita bahawa Fatwa para sahabat juga menjadi hujjah di dalam manhaj/prinsip ahlus sunnah wal jama’ah dalam mengambil menentukan permasalahan agama.

Dan dalil yang memutuskan persoalan kelompok yang mendustakan taqdir ini adalah sebagaimana berikut:

Dari Yahya bin Ya’mur rahimahullah (r.h.), ia berkata: “Orang yang pertama kali berbicara berkenaan taqdir adalah Ma’bad al-Juhani di negeri Bashrah. Maka aku bersama Humaid bin ‘Abdirrahman al-Himyari pergi untuk berhaji atau umrah. Kami berkata, Kalau kita bertemu dengan salah seorang Sahabat Rasulullah s.a.w., kita akan bertanyakan kepada beliau berkenaan perkataan mereka dalam permasalahan taqdir. Kami pun bertemu dengan ‘Abdullah bin ‘Umar yang sedang masuk masjid, maka kami pun mendekati beliau, aku bersama temanku, yang satu di sebelah kanannya dan yang lain di sebelah kirinya, maka aku merasa bahawa temanku menyerahkan perbicaran kepadaku, aku berkata, “Wahai Abu Abdirrahman, sesungguhnya telah muncul di negeri kami orang-orang yang membaca al-Qur’an, mencari ilmu yang aneh dan mereka berbicara semahunya. Yahya bin Ya’mur pun menyebutkan perkara mereka, dan mereka menganggap bahawa taqdir itu tidak ada dan semua perkara itu unuf (Maksudnya: tidak didahului oleh ketentuan (taqdir) dan tidak diketahui oleh Allah, tetapi Allah tahu setelah terjadinya ia).” ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. menjawab, “Apabila engkau bertemu dengan mereka, khabarkan bahawa aku berlepas diri dari mereka, dan mereka berlepas diri dariku. Demi Rabb yang Ibnu ‘Umar bersumpah dengan-Nya, kalaulah salah seorang dari mereka bersedekah dengan emas sebesar gunung Uhud, Allah tidak akan menerimanya sehingga mereka beriman kepada taqdir”, kemudian beliau berkata, “Ayahku, ‘Umar bin al-Khaththab r.a. menyatakan kepadaku, beliau pun menyebutkan hadis Jibril yang panjang berkenaan rukun Islam, rukun Iman dan tanda-tanda hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim, 8)

Tuesday, May 6, 2008

53 - Mengungkit-ngungkit Kebaikan Disertai Menyakiti (Hati) Orang Yang Diberi Kebaikan

Mengungkit-ngungkit Kebaikan Disertai Menyakiti (Hati) Orang Yang Diberi Kebaikan

Sumber:
http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Bersedekah atau berinfak di jalan Allah adalah termasuk kepada perbuatan ma’ruf yang mendekatkan seseorang hamba kepada Rabb-nya dengan sedekat-dekatnya dan menjaga diri dari kematian yang buruk.

Allah Subhanahu wa ta’ala (s.w.t.) telah memuji hamba-hambanya yang mengeluarkan sedekah (memberi sedekah), firman-Nya,

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan penerima), mereka memperolehi pahala di sisi Rabb mereka. Tidak ada kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.” (al-Baqarah, 2: 262)

Dari penjelasan dalil tersebut menyatakan bahawa mereka yang tidak mengungkit-ngungkit pemberiannya dan tidak menyakiti hati si penerima, maka Allah memberikan kepadanya pahala. Juga sebaliknya, jika mereka memberi dengan keadaan yang mengungkit-ngungkit dan menyakiti si penerima, maka Allah menghilangkan pahala dari perbuatan amalannya itu. Ini dilihat sebagaimana firman Allah s.w.t.,

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” (al-Baqarah, 2: 264)

Maka, hendaklah kita bersungguh-sungguh dalam mengeluarkan sedekah iaitu dengan meletakkan ciri ikhlas sebagai tunjuangnya dan dengan semata-mata kerana mengharap redha Allah s.w.t. bukannya mengharap balasan balik dari manusia. Dan sesungguhnya Allah memberikan balasan yang besar kepada mereka yang bersedekah atas landasan ikhlas kerana Allah sebagaimana yang dinyatakan melalui firman-Nya,

“Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur, (iaitu) mata air (dalam surga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana. Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka karena kesabaran mereka (dengan) surga dan (pakaian) sutera, di dalamnya mereka duduk bertelakan di atas dipan, mereka tidak merasakan di dalamnya (teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan.” (al-Insaan, 76: 5-13)

Ancaman kepada Mereka Yang Suka Mengungkit Pemberian

1 - Tidak memperolehi ganjaran pahala sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya,

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan penerima), mereka memperolehi pahala di sisi Rabb mereka. Tidak ada kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.” (al-Baqarah, 2: 262)

2 -Tidak diterima alasan dan tebusannya, sebagaimana Hadis Nabi s.a.w.,

“Tiga (3) orang yang Allah tidak menerima alasan dan tebusannya, iaitu anak yang derhaka kepada orang tua, orang yang mengungkit-ngungkit kebaikan dan orang-orang yang mendustakan Taqdir.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah, 323. ath-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, 7547, dan lain-lain dari hadis abu Ummamah rdhiyallahu ‘anhu (r.a.). Sanadnya dihasankan oleh al-Mundziri dalam at-Targhiib wa at-Tarhiib, 3/321)

3 - Tidak akan di-ajak bicara, tidak melihat kepadanya dan tidak akan disucikan oleh Allah.

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda,

“Tiga orang yang tidak akan Allah ajak bicara pada hari kiamat, tidak pula Allah melihat kepada mereka dan juga tidak mensucikan mereka, serta bagi mereka azab yang pedih.”

Abu Hurairah berkata, “Beliau mengulanginya hingga tiga (3) kali”. Abu Dzarr berkata, “Sungguh merugi, siapakah mereka wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Musbil (orang-orang yang berisbal iaitu yang melabuhkan pakaiannya melebihi mata kaki ke bawah (bagi lelaki)), orang yang mengungkit-ngungkit kebaikannya dan orang yang menjual barang dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis Riwayat Muslim, 106)

4 - Diancam Tidak Masuk Syurga

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Tiga (3) orang yang tidak akan masuk syurga, “Anak yang derhaka kepada orang tuanya, orang yangterus-menerus minum khamar, dan orang yang mengungkit-ngungkit pemberiannya.” (Diriwayatkan oleh an-Nasa’i, 5/80-81, Ahmad, 2/134, al-Hakim, 4/146-147, al-Baihaqi, 8/288, al-Bazzar, 1875, dan selain mereka dari jalan Salim bin ‘Abdillah)

Penutup

Maka, bersegeralah kita menjauhi hal-hal yang seperti itu dan menerapkan keikhlasan dalam setiap amal perbuatan kita dengan mencari redha dari Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman,

“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (al-Baqarah, 2: 263)

52 - Riya’


Di dalam al-Qur’an dan hadis, terdapat celaan terhadap riya’, di antaranya melalui firman Allah Subbhanahu wa ta’ala (s.w.t.) berikut:

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riya’ dan enggan (menolong dengan) barang berguna.” (al-Maa’uun, 107: 4-7)

Kata asal riya’ adalah dari kata ar-Ru’yah (melihat), orang yang riya’ memperlihatkan pada manusia untuk mendapatkan keuntungan dari sisi mereka, sehingga ia telah mendapat keuntungan peribadi dari amalannya di dunia.

Ada pelbagai jenis riya’, dari segi bentuknya yang berbeza-beza, dan kesannya yang buruk. Riya’ membatalkan amal, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah. Allah s.w.t. berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” (al-Baqarah, 2: 264)

Nabi Shallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w.) bersabda,

“Sesungguhnya yang paling aku takutkan pada kalian adalah syirik kecil, iaitu riya’. Allah akan berfirman pada hari kiamat ketika membalas amalan manusia: “Pergilah kepada orang-orang yang dulu kalian (berbuat) riya’ kepadanya, dan lihatlah, adakah kalian mendapatkan balasannya dari sisi mereka?” (Hadis Diriwayatkan oleh Ahmad, 5/428-429. Dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah, 4135, dari hadis Mahmud bin Labid Radhiyallahu ‘anhu (r.a.) dengan sanad yang sahih bertepatan dengan syarat Muslim)

“Mahukah aku khabarkan kepada kalian dengan perkara yang lebih aku takutkan menimpa kalian daripada al-Masih ad-Dajjal? Iaitu syirik tersembunyi, seseorang bangkit untuk melaksanakan solat, lalu ia memperbaiki (memperelok) solatnya kerana ia tahu ada seseorang yang memerhatikannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 2604, dari Sa’id al-Khudri r.a.)

Maka, seharusnya kita semua berhati-hatilah dari riya’ dan syirik tersembunyi ini kerana ia mampu menghapuskan amalan-amalan yang kita lakukan menjadikan ia sia-sia belaka dan tidak berguna di sisi Allah kelak.

Bahaya Riya’

Penyakit riya’ ini lebih bahaya dari dikejar oleh singa yang ganas, kerana ia menghilangkan nilai-nilai amalan kita. Ia boleh menghigapi sesiapa sahaja sama ada para ulama, ahli ibadah, mahu pun orang awam yang biasa.

Perlu diketahui, syarat-syarat diterimanya amalan sekurang-kurangnya terbina dari tiga kriteria, iaitu dengan iman (Islam) dan aqidah yang benar, keduanya ikhlas kerana Allah, dan ketiganya mestilah dengan petunjuk dari al-Qur’an dan sunnah. Ini dapat diperhatikan pada dalil-dalil yang akan dibawakan, dan sebagaimana yang telah dibincangkan di dalam artikel (tulisan-tulisan) yang lalu. Silakan juga merujuk kepada artikel bertajuk “
Syarat-Syarat Diterimanya Amalan”. Adapun sebahagian dalil-dalil berkenaan dengannya adalah seperti berikut,

Allah s.w.t. berfirman,

“Barangsiapa yang mengharap perjumpaan dengan Rabb-nya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan dengan seorang pun dalam beribadah kepadanya.” (al-Kahfi, 18: 110)

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (al-Baiyinah, 98: 5)

Allah meninggalkan orang yang berbuat Riya’, sebagaimana dalam hadis Nabi s.a.w.,

“Allah ta’ala berfirman: “Aku sangat tidak memerlukan sekutu. Barangsiapa beramal dengan suatu amalan, dia menyekutukan selain Aku bersama-Ku pada amalan itu, Aku tinggalkan dia dan sekutunya. (Hadis Riwayat Muslim, no. 2985)

“Barangsiapa mempelajari ilmu yang dengannya dicari wajah Allah ‘Azza wa Jalla, namun ia tidak mempelajarinya kecuali untuk meraih kesenangan dunia dengan ilmu itu, ia tidak akan mendapati aroma syurga pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Contoh-contoh Riya’

1 – Menampakkan tubuh badan yang tidak sihat, pucat, merendah diri, merendahkan suara, atau seumpamanya dengan niat supaya dia kelihatan seperti orang yang tawaddhu’ dan ahli kebaikan.

2 – Sengaja mewujudkan bekas sujud pada wajahnya, memakai pakaian-pakaian ahli ibadah supaya dia dikenali sebagai orang yang baik-baik. Termasuk dalam hal ini, adalah dengan mengenakan pakaian yang hebat, lalu hatinya memperkecilkan orang lain yang memakai pakaian-pakaian yang biasa-biasa.

3 – Riya’ dengan perkataan iaitu dengan menampakkan kehebatannya dalam berbicara, kehebatannya dalam menghafal sekian jumlah ayat-ayat al-Qur’an serta hadis-hadis, menggerak-gerakkan bibir dalam berzikir ketika berada di hadapan khalayak ramai, mulutnya suka menghinakan orang lain dan meninggikan kelebihan dirinya bukan pada tempatnya, atau seumpamnanya.

4 – Menampakkan dan menceritakan amal-amal ibadahnya seperti solat-solat sunnah, puasa, haji, sedekah dan seumpamanya kepada orang lain.

Adapun halnya, segala amalan itu bermula dengan niat. Jika ianya ikhlas, maka kita mendapat selaras apa yang sewajarnya. Namun, jika keluar dari batasan ikhlas dan mencari tujuan yang lain-lain seperti mencari kebanggaan di depan manusia dan seumpamanya, maka akan hilanglah keikhlasan tersebut atas sebab niat yang tidak ikhlas kerana Allah s.w.t.

Daripada Umar al-Khatthab, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan itu terjadi dengan niat, dan setiap orang mendapatkan apa yang diniatkannya. Sebagaimana seseorang yang berhijrah denan niat untuk mengahwini seorang wanita, maka dia mendapat dalam hijrah itu apa yang diniatkannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Wahyu, no. 1)