Tuesday, January 1, 2008

033 - NIFAQ, DEFINISI DAN JENISNYA

NIFAQ, DEFINISI DAN JENISNYA

A. Definsi Nifaq

Nifaq secara bahasa berasal dari kata النافقاء (nafiqa’) iaitu salah satu lubang tempat keluarnya yarbu (sejenis haiwan berupa tikus) dari sarangnya, di mana jika ia dicari dari lubang yang satu maka akan keluar dari lubang yang lain. Dikatakan pula, ia berasal dari kataالنفق (nafaq) iaitu lubang tempat bersembunyi. (lihat, lbnu al-Atsir, an-Nihayah, 5/98)

Nifaq menurut syara’ iaitu menampakkan Islam (muslim) dan kebaikan tetapi menyembunyikan kekufuran dan kejahatan.

B. Jenis Nifaq

Nifaq ada dua jenis: Nifaq I’tiqadi dan Nifaq ‘Amali.

Nifaq I’tiqadi (Keyakinan)

Nifaq I’tiqadi (keyakinan) iaitu nifaq besar, di mana pelakunya menampakkan keislaman, tetapi menyembunyikan kekufuran. Jenis nifaq ini menjadikan keluar dari agama dan pelakunya berada dalam kerak neraka. Allah menyifati para pelaku nifaq ini dengan berbagai kejahatan, seperti kekufuran, ketiadaan iman, mengolok-olok dan mencaci agama dan pemeluknya serta kecenderungan kepada musuh-rnusuh agama untuk bergabung dengan mereka dalam memusuhi Islam. Orang-orang munafik jenis ini sentiasa ada pada setiap zaman. Lebih-lebih ketika tampak kekuatan Islam dan mereka tidak mampu membendungnya secara lahiriyah. Dalam keadaan seperti itu mereka masuk ke dalam agama Islam untuk melakukan tipu daya terhadap agama dan pemeluknya secara sembunyi-sembunyi, juga agar mereka boleh hidup bersama umat Islam dan merasa tenang dalam hal jiwa dan harta benda mereka. Kerana itu, seorang munafiq menampakkan keimanannya kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Hari Akhir, tetapi dalam batinnya mereka berlepas diri dari semua itu dan mendustakannya. Nifaq jenis ini ada empat macam:

1. Mendustakan Rasulullah s.a.w. atau mendustakan sebahagian dari apa yang beliau bawa.
2. Membenci Rasulullah s.a.w. atau membenci sebagian apa yang beliau bawa.
3. Merasa gembira dengan kernunduran agama Rasulullah s.a.w..
4. Tidak senang dengan kemenangan agama Rasulullah s.a.w..

Nifaq ‘Amali ( perbuatan)

Nifaq amali (perbuatan) iaitu melakukan sesuatu yang merupakan perbuatan orang-orang munafiq, tetapi masih tetap ada iman di dalam hati. Nifaq jenis ini tidak mengeluarkannya dari agama, tetapi merupakan perantara (wasilah) kepada yang demikian. pelakunya berada dalam iman dan nifaq. Lalu jika perbuatan nifaqnya banyak, maka boleh menjadi sebab terjerumusnya dia ke dalam nifaq yang besar, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.,

“Ada empat perkara, yang jika berada pada diri seseorang maka ia menjadikan seorang itu munafiq besar, dan jika seseorang memiliki kebiasaan salah satu dari padanya, maka bererti ia memiliki satu kebiasaan (ciri) nifaq sampai ia meninggalkannya; 1 - bila dipercaya ia berhianat, 2 - bila berbicara ia berdusta, 3 - bila berjanji ia memungkiri dan 4 - bila bertikai ia berbuat curang.” (Muttafaq ‘Alaih).

Terkadang pada diri seorang hamba berkumpul kebiasaan-kebiasaan baik dan kebiasaan-kebiasaan buruk, kebiasaan-kebiasaan iman dan kebiasaan-kebiasaan kufur dan nifaq. Kerana itu, ia mendapatkan pahala dan siksa sesuai dengan apa yang mereka lakukan, seperti malas dalam melakukan solat berjamaah di masjid. Ini adalah di antara sifat orang-orang munafiq. Sifat nifaq adalah sesuatu yang buruk dan sangat berbahaya, kerana itulah sehingga para sahabat begitu sangat takutnya kalau-kalau dirinya terjerumus kedalam nifaq. Ibnu Abi Mulaikah berkata, “Aku bertemu dengan 30 sahabat Rasulullah s.a.w., mereka semua takut kalau-kalau ada nifaq dalam dirinya”.

Perbezaan antara Nifaq Besar dengan Nifaq Kecil:

1. Nifaq besar mengeluarkan pelakunya dari agama, sedangkan nifaq kecil tidak mengeluarkannya dari agama.
2. Nifaq besar adalah berbezanya yang lahir dengan yang batin dalam hal keyakinan, sedangkan nifaq kecil adalah berbezanya yang lahir dengan yang batin dalam hal perbuatan, bukan dalam hal keyakinan.
3. Nifaq besar tidak terjadi dari seorang mukmin, sedangkan nifaq kecil boleh terjadi dari seorang mukmin.
4. Pada umumnya, pelaku nifaq besar tidak bertaubat, seandainya pun bertaubat, maka ada perbezaan pendapat tentang diterimanya taubatnya di hadapan hakim. Lain halnya dengan nifaq kecil, pelakunya terkadang bertaubat kepada Allah, sehingga Allah menerima taubatnya.

No comments:

Post a Comment