Thursday, July 12, 2007

Pengajian Aqidah 008 - AL-WALA’ & AL-BARA’ (SECARA RINGKAS)

AL-WALA’ & AL-BARA’ (SECARA RINGKAS)

Al-Wala’: Terdapat beberapa pengertian wala’ menurut bahasa Arab لُغَةً antaranya ialah:

1 - Al-Wala’ bererti اَلْوَلْيُ (Al-Walyu) bermaksud: Hampir atau dekat. Lihat: Mukhtasar as-Sahih. Ar-Razi.

2 - Al-Wala’, apabila didasarkan kepada beberapa kalimah antaranya ialah kalimah اَلْوَلِيُّ (Al-Waliyu), maka ia memberi maksud: Setiap orang yang berkuasa, yang mempunyai kuasa seperti pemerintah terhadap rakyatnya atau yang berkuasa ke atas urusan seseorang.
Lawan (al-Waliyu) اَلْوَلِيُّ ialahُ (al-‘Aduwu) اَلْعَدُوّ (seteru atau musuh).

3 - Al-Wala’ apabila didasarkan kepada kalimah اَلْمَوْلَى (Al-Maula), maka ia memberi maksud: Orang yang memerdekakan, yang dimerdekakan, kemenangan, kawan, jiran, atau pembela. Seperti disebut: مولنا Maulana.

4 - Kalimah اَلْمُوَالاَةُ (Al-Muwaalaatu) lawannya اَلْمُعَادَاةُ (Al-Muadatu) bererti: Musuh atau Permusuhan.

5 - Atau kalimah اَلْوِلاَيَةُ (Al-Wilaayatu) atau اَلْوَلاَيَةُ (Al-Walaayatu) bermaksud: Kuasa atau Kekuasaan atau Pembelaan.

6 - Kalimah اَلْوَلاَيَةُ (Al-Walaayatu) ia bermaksud juga wala’ atau اَلْمُوَالاَةُ(Al-Muwaalaatu) yang memberi maksud atau makna: Cinta, kasih sayang, setia, pembelaan, penghormatan yang selaras dengan kecintaan secara bersungguh-sungguh.

Al-Wala’ Menurut Manhaj Salaf As-Soleh

Al-Wala’ diambil dari kalimah Arab iaituاَلْوَلْيُ - اَلْوَلِيُّ - اَلْمَوْلَى atau lebih tepat diertikan sebagai: Pembelaan, mengagungkan, membesarkan, memuliakan dengan penuh setia dan cinta atau berkasih sayang kepada yang dicintai oleh Allah secara lahir dan batin. Wala’ juga bermaksud kecintaan kepada Allah Azza wa-Jalla, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan sekian orang mukmin. Al-Bara’ pula adalah lawan kepada al-Bara’ yang bermaksud benci dan berlepas diri dari musuh-musuh Allah seperti Yahudi, Nasrani, Majusi dan setiap orang kafir yang memusuhi Allah, RasulNya dan orang yang beriman.

Oleh kerana al-Wala’ terselit maksud cinta dan kasih sayang, maka tidak boleh seseorang yang beriman mencintai atau berkasih sayang (berwala’) dengan orang-orang kafir, sama ada kafir Yahudi, Nasrani atau Majusi, tetapi diperintahkan agar berbuat baik, bersopan santun dan berkata-kata yang mulia kepada mereka terutama jika ia orang yang berkuasa atau pemerintah. Dalilnya ialah firman Allah:
لا َيَنْهَاكُمُ اللهُ عَنِ الَّذِيْنَ لَمْ يُقَاتِلُوْكُمْ فِى الدِّيْنِ وَلَمْ يُخْرِجُوْكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوْهُمْ وَتَقْسِطُوْا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِيْنَ
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama, dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”. Al-Mumtahanah, 60:8.

Di dalam ayat ini terdapat firman: اَنْ تَبَرُّوْهُمْ وَتَقْسِطُوْا إِلَيْهِمْ bermaksud: “Hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (orang-orang kafir)”. Di dalam ayat yang mulia ini, Allah menyuruh orang-orang yang beriman agar berbuat baik kepada orang-orang kafir secara umum, iaitu siapa sahaja atau apa sahaja jenis kafirnya walaupun melibatkan keluarga seperti ibu dan bapa, namun tetap wajib berbuat baik kepada mereka, seperti dijelaskan di dalam ayat di atas:
أَنْ تَبَرُّوْهُمْ وَتُقْسِطُوْا إِلَيْهِمْ
“Hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka”.

Di ayat yang lain Allah berfirman tentang perihal wajibnya berbuat baik kepada orang kafir terutamanya Ibu dan bapa:
وَصَاحِبْهُمَا فِى الدُّنْيَا مَعْرُوْفًا
“Maka bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik”. Luqman 31:15.

Dan seterusnya diwajibkan oleh Allah Azza wa-Jalla agar berbuat baik kepada orang-orang kafir terutama pemerintah atau pihak yang berkuasa, kerana Allah ‘Azza wa-Jalla telah berfirman kepada dua orang NabiNya, iaitu Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihi mans-salam:
إِذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى فَقُوْلاَ لَهُ قَوْلاً لَّيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى.
“Pergilah kamu berdua menemui Firaun kerana ia adalah seorang Tahgut. Berbahasalah kamu berdua kepadanya dengan bahasa yang lemah lembut, mudah-mudahan dia boleh ingat dan takut”. Taha, 20:44.

Di dalam ayat ini, Allah memerintahkan Nabi Harun dan Musa ‘alaihimassalam agar menemui Firaun, kemudian setelah menghadap Firaun, mereka diperintahkan agar berbuat baik dan menggunakan kalimah yang mulia dan sopan apabila berkata-kata kepada Firaun, iaitu dengan maksud lain mereka berdua wajib berbuat baik kepada Firaun sebagai pemerintah, namun tidak diizinkan kepada kedua-dua nabi tersebut supaya berwala (mncintai) kepada Firaun.

Adapun dalil-dalil yang mengharamkan seseorang mjukmin berwala (mencintai dan berkasih sayang) dengan orang-orang kafir, tetapi tetap diwajibkan berbuat baik kepada mereka ialah:
لاَتَجْدُوْا قَوْمًا يُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلأَخِرِ يُوْادُوْنَ مَنْ حَادَّ اللهَ وَرَسُوْلَهُ وَلَوْكَانُوْا ءَابَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيْرَتَهُمْ
“Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya (orang-orang kafir), sekalipun orang-orang (orang-orang yang kafir) itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka”. Al-Mujadilah, 58:22.

Dimaksudkan “Orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya” ialah orang-orang kafir sama ada Yahudi, Nasrani atau majusi. Maka orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, pasti tidak akan berkasih sayang (saling mencintai) atau berwala’ kepada orang-orang kafir, kerana erti wala’ ialah kasih sayang atau cinta yang diwajibkan kepada Allah, Rasullullah dan orang-orang Islam. Sekalian umat Islam diwajibkan mentaati ayat ini sehinggalah ke hari kiamat, kerana ayat ini tidak mansuh (tidak dibatalkan).

Al-Bara’ Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh

Pengertian Al-Bara’ menurut bahasa لُغُةً ialah sebagaimana disebut: بَرِئَ مِنْهُ bermaksud: Bebas atau berlepas diri darinya, tiada kena-mengena atau tidak terlibat dengannya. Misalnya, apabila seseorang berkata: بَرِئَ مِنَ الدَّيْنِ bermaksud: Dia telah terlepas dari hutang-piutang.

Kalimah al-Bara’ menurut istilah ialah lawan bagi kalimah al-wala’. Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah:

“Al-Walaayah (al-Wala’) adalah lawan kepada perkataan al-‘Adawah (permusuhan).
[1]

Adapun asal makna al-walaayah (al-wala’) adalah cinta dan mendekatkan diri. Asal makna al-‘Adawah (al-Bara’) ialah kebencian dan menjauhkan diri.

Al-Wala’ Wal Bara’ Mengikut Manhaj Salaf As-Soleh

Secara umum (al-Wala’) bermaksud: Cinta dan setia kepada Allah, cinta terhadap segala yang dicintaiNya, benci terhadap segala yang dibenciNya, reda kepada yang apa yang diredaiNya, memerintahkan kepada apa yang diperintahkanNya, mencegah segala yang dicegahNya, memberi kepada seseorang yang Allah cinta untuk memberinya dan tidak memberi kepada seseorang yang Allah tidak suka memberinya.
[2] Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
أَوْثَقَ عُرَى الاِيْمَانُ الْحُبُّ فِى اللهِ وَالْبُغْضُ فِى اللهِ
“Simpul ikatan iman yang paling kukuh ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah”.[3]
مَنْ أَحَبَّ فِى اللهِ وَأَبْغَضَ فِى اللهِ وَأَعْطَى فِى اللهِ وَمَنَعَ فِى اللهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ اْلاِيْمَانِ.
“Barangsiapa yang cinta kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan tidak memberi kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurna imannya”.[4]

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah:

“Bagi seseorang yang beriman ia harus melakukan wala’ dan bara’ kerana Allah. Seseorang mukmin harus mencurahkan wala’nya kepada mukmin lainnya meskipun orang mukmin tersebut telah menzaliminya, sebab kezaliman itu tidak memutuskan al-mawaalah al-imaniyah. Allah berfirman:
وَإِنْ طَآئِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ قْتَتَلُوْا فَأَصْلِحُوْا بَيْنَهُمَا.
“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya”.[5] Dan Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤِْمِنُوْنَ إِخْوَةٌ
“Sesungguhnya orang-orang Islam itu bersaudara”.
اَلْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ.
"Seorang Islam ialah yang menjadikan orang-orang Islam selamat dari lidah dan tangannya”. H/R Bukhari 1/54 Al-Fath dan Muslim 1/65.

Kepada Siapa Sewajarnya Kita Berwala’ Dan Berbara’?

Setiap mukmin sewajarnya berwala’ dan berbara’ kerana Allah Azza wa-Jalla dan mencari keredaanNya. Iaitu berwala’ (membela, bersama, mencintai, memuliakan dan menghormati) lahir dan batin kepada setiap mukmin yang lurus akidahnya (agamanya) dengan wala’ yang sempurna. Antara sikap wala’ ialah mencintainya, tolong menolong dengannya, kerana wala’ bukan hanya sekadar cinta, tetapi dibuktikan dengan pembelaan di samping perasaan cinta dan bersatu kerana Allah Azza wa-Jalla. Antara tanda-tanda berwala’ ialah bersatu dalam satu jamaah dan tidak berpecah. Allah Azza wa-Jalla berfirman:
وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا
“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai (berpecah-belah)”. Ali Imran 3:103.

Umat Islam akan sentiasa bersatu apabila berpegang dengan prinsip al-Wala’ dan akan menjadikan mereka umat yang satu. Allah berfirman:
إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُوْنَ
“Sesunguhnya inilah umatmu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu, maka hendaklah kamu menyembah (mengabdikan diri) kepadaKu”. Al-Anbia’. 21:92.
وَإِنَّ هَذِهِ أُمَّكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُوْنِ.
“Dan sesungguhnya inilah umatmu, umat yang satu dan Akulah Tuham Kamu, maka hendaklah kamu bertaqwa kepadaKu”. Al-Mukmin 23:52.

Ayat yang pertama di atas melarang umat Islam daripada berpecah-belah, iaitu firman Allah: وَلاَ تَفَرَّقُوْا “Jangalah kamu berpecah- belah”. Apabila seseorang memahami al-wala dan al-bara dengan pengertisan yang benar sebagaimana yang dikehendaki oleh syara, maka mereka akan menerapkan wala’ antara umat Islam yang akan menjadikan mereka bersatu padu atau berjamaah. Iaitu bersatu kerana berpegang dengan suruhan berwala’. Al-Wala akan menjadikan seseorang mengibadahi Tuhannya dengan kepatuhan kepadaNya. Kepatuhan (dengan beribadah) akan menjadikan umat Islam bertaqwa dan umat yang bertaqwa adalah umat yang sentiasa berbuat baik kepada semua manusia. Mereka tidak akan menjadi umat yang radikal, pelampau dan pengganas.

Bolehkah Berwala’ Kepada Orang Islam Yang Fasik, Kufur Dan Pembuat Maksiat (‘Asi / عاصي)?

Adapun kepada orang-orang Islam yang mencampur-adukkan kebaikannya dengan berbagai-bagai kemaksiatan, maka hanya diwajibkan berwala’ sesuai dengan darjat, kedudukan dan kebaikannya, kemudian wajib berbara’ (berlepas atau menjauhkan diri) sebanding (sesuai) dengan kejahatannya yang dilakukan. Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
أَلاَ مَنْ وَلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ فَرَآهُ يَأْتِيْ شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةٍ ، فَيَكْرَهُ الَّذِيْ يَأْتِيْ مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ وَلاَ يَنْزَعُ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ.
“Ketahuilah! Sesiapa yang berwala’mentaati seseorang pemimpin (Islam), kemudian dia mendapati pemimpinnya bermaksiat kepada Allah, maka hendaklah membenci (berbara’) terhadap kemaksiatannya kepada Allah, tetapi tidak dihalalkan melepaskan tangan (berbara’) dari mentaatinya”. H/R Muslim.

Kita wajib berwala’ kepada setiap orang Islam walaupun terlalu lekeh dan rendah kedudukannya di sisi masyarakat, seperti hamba sahya yang mukmin misalnya, kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
عَنْ أَبِيْ ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : أَنَّ خَلِيْلِيْ أَوْصَانِيْ أَنْ أَسْمَعَ وَأَطِيْعَ وَإِنْ كَانَ عَبْدً مُجْدَعَ ألأَطْرَافِ (وَفِى رِوَايَةٍ) عَبْدًا حَبَشِيًّا مُجْدَعَ اْلأَطْرَافِ

“Dari Abi Zar radiallahu ‘anhu berkata: Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) telah berwasiat kepadaku agar aku mendengar dan taat (wala’), sekalipun kepada seorang hamba sahya yang kudung (cacat dan tidak sempurna sifat fizikalnya). (Diriwayat yang lain): Sekalipun seorang hamba Habsyi yang cacat”. Hadis Mutaffaq ‘alaihi.

Kepada Siapa Kita Wajib Berbara’?

Setiap mukmin wajib bersikap berbara’ (berlepas diri atau tidak mencintai) kepada setiap orang kafir, murtad, mulhid, munafiq, ahli bid’ah dan ahli ahwa.

Orang-orang yang perlu disikapi dengan sikap bara’ (tidak boleh berwala’ mencintai atau mengangkat mereka) terutamanya ialah kaum musyrikin, kita berbara’ (memusuhi dan membebaskan diri) dari kesyirikannya, kafir berbara’ dengan kekafirannya, munafiq berbara’ dari kemunafiqannya, ahlu bid’ah berbara’ dari segala bid’ahnya dan firqah-firqah ahli ahwa seperti golongan hizbi, Asyariyah, Muktazilah, Syiah, Jahmiyah, Tijaniyah, Sufiyah dan yang sealiran dengan mereka maka kita berbara’ dari hizbi, penyembahan hawa nafsu atau kesesatan mereka.

Kita berbara’ dari segala kemungkaran kerana Allah Azza wa-Jalla tidak akan menerima amal mereka selagi tidak meninggalkan semua kemungkaran yang ada pada mereka. Maka kita wajib berbara’ (berlepas diri dari kejahatan mereka). Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

تَنَصَّحَ لِكُلِّ مُسْلِمٍ ، وَتَبَرَّأَ مِنَ الْكَافِرِ.

“Hendaklah kamu menasihati setiap muslim dan berlepaslah terhadap si Kafir”.[6]

أَنَا بَرِيْءٌ مِنْ كُلِّ مُسْلِمٍ يُقِيْمُ بَيْنَ أَظْهُرِ الْمُشْرِكِيْنَ . فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ ، لِمَ ؟ قَالَ : لاَ تُرِاءَى نَارًاهُمَا.

“Saya berlepas diri dari setiap muslim yang bermukim di antara kaum musyirikin. Mereka berkata: Mengapa ya Rasulullah? Baginda bersabda: Api keduanya tidak boleh terlihat”.[7]

Setiap muslim diperingatkan agar berlaku adil dan berbuat baik kepada setiap orang kafir, terutama pemerintah selagi mereka tidak memusuhi dan menzalimi orang-orang Islam secara terang-terangan. Dan wajib menggunakan kata-kata yang baik terhadap mereka sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

فَقُوْلاَ لَهُ قَوْلاً لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Maka berbahasalah kamu kepadanya (pemimpin) dengan bahasa yang lembah-lembut mudah-mudahan dia boleh ingat dan takut (kepada Tuhan)”. Taha 20:44.

Melalui ayat ini Imam al-Qurtubi rahimahullah telah mengajar umat Islam cara-cara berinteraksi kepada pemimpinnya walau bukan Islam. Beliau berkata:

وَأَنَّ ذَلِكَ يُكُوْنُ بِالَّيِّنِ مِنَ الْقَوْلِ لِمَنْ مَعَهُ قُوَّة.

“Dan sesungguhnya dengan yang demikian itu, menunjukkan (diperintahkan oleh syara agar) menggunakan kata-kata yang lembah-lembut kepada sesiapa yang mempunyai kekuasaan (kuasa/pemerintah)”. Lihat tafsir: الجامع لأحكام القرآن – القرطبي (Al-Jamiu Li Ahkamil Quran –Al-Qurtubi) jld. 11. Hlm. 199.

Wajib kepada setiap orang Islam agar berbara’ kepada orang kafir. Tidak dihalalkan sama sekali berwala’ kepada mereka, sama ada orang kafir itu ibu-bapa, keluarga, pemimpin atau orang awam, tetapi masih tetap diwajibkan oleh syara agar berbuat baik kepada mereka walaupun tidak dihalalkan berwala’ disebabkan kekafirannya. Allah Azza wa-Jalla berfirman:

وَقُوْلُوْا لِلنَّاسِ حُسْنًا

“Dan ucapkan (berbahasalah) kepada manusia dengan kata-kata (bahasa) yang terbaik”. Al-Baqarah, 2:83.

Menurut Al-Hafiz Ibn kathir rahimahullah:

أَي كَلّمُوْهُمْ طَيِّبًا ، وَلَيِّنُوْا لَهُمْ جَانِبًا

“Iaitu berkata-katalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik dan berlemah-lembut dengan mereka (apabila menjadi jiran)”. Lihat tafsir Ibn Kathir, jld. 1 hlm. 169.

فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَتَّقِيَ النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَلْيَعْمَلْ ، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ.

“Maka barangsiapa antara kamu yang takut pada neraka walaupun dengan sepotong kurma, maka lakukanlah! Jika tidak mampu, maka lakukanlah dengan perkataan yang baik (kepada manusia)”. H/R Bukhari dan Muslim.

مَاكَانَ الرِّفْقُ فِى شَيْءٍ إِلاَّ زَانَهُ ، وَمَا كَانَ الْعُنُفُ فِى شَيْءٍ إِلاَّ شَانَهُ.

“Tidaklah ada kelemah-lembutan dalam sesuatu kecuali akan memperindahkanya, dan tidaklah ada pada kekerasan dalam sesuatu kecuali akan memburukkannya”.

Jenis-Jenis Wala’ Yang Sunnah Dan Bid’ah

Ada tiga jenis wala’ yang berlaku di kalangan masyarakat Islam dizaman ini. Dua jenis wala’ yang bid’ah dan hanya satu yang mengikut sunnah. Iaitu:

1 - Berwala’ hanya kepada pemimpin (ketua jamaah atau tanzim hizbi) dan anggota jamaahnya sahaja, kemudian berbara’ kepada setiap orang Islam yang diluar jamaahnya (kelompoknya).

Wala’ dan bara’ jenis ini adalah bid’ah kerana tidak ada dasarnya dari sunnah. Wala’ seperti ini kebiasaannya berlaku di kalangan kaum-kaum hizbi, haraki dan jihadi. Contohnya: Ikhwanul Muslimin, JI, DII yang mana mereka hanya berwala’ kepada ketua (pemimpin) mereka dan kepada ahli jamaahnya sahaja. Mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang di luar jamaahnya dan berbara’ (berlepas diri) kepada sesiapa sahaja dari kalangan orang-orang Islam yang dianggap bukan jamaah mereka.

2 – Kaum-kaum tariqat sufiyah atau yang semodel dengan sufi. Contohnya seperti: Jamaah Tabligh, al-Arqam (tariqat Muhammadiyah), Naqsabandiyah, Rafaiyah dan semua kaum-kaum ghulat yang hamper kepada para syeikhnya atau guru mursyid mereka. Mereka boleh berwala’ (mencintai dan taat setia) kepada sesiapa sahaja sehinggalah kepada orang kafir, tetapi yang paling diberi keutamaan ialah para syeikh, guru mursyid dan golongan mereka. Mereka tidak berbara’ (tidak membenci atau berlepas diri) kepada orang-orang kafir, kerana mereka tidak memahami apa itu al-wala dan al-bara, malah hampir tidak ada kalimah bara’ bagi mereka. Inilah antara penyakit bid’ah yang melanda kaum-kaum tariqat sufi dan kebatinan.

3 - Ahli Sunnah wal-Jamaah yang kembali kepada manhaj Salaf as-Soleh. Mereka berwala’ (mencantai) kepada setiap Ahli Kiblah (setiap orang Islam), walaupun pelaku maksiat selagi tidak terang-terangan melakukan kekafiran, kemudian mereka berbara’ (berlepas) kepada setiap kesalahan orang Islam. Namun mereka sentiasa berbara’ secara mutlak kepada setiap orang kafir walaupun dari kalangan keluarga mereka sendiri.

Nasihat Syeikh Abdul Muhsin Al-Abbad

Syeikh al-Abbad menasihati para da’i Salafi tentang al-Wala’ dan al-Bara’: “Tanamkanlah rasa cinta kerana Allah ‘Azza wa-Jalla dan benci kerana Allah Azza wa-Jalla. Berwala’lah kerana Allah Azza wa-Jalla dan berbara’lah kerana Allah Azza wa yang tiada ruang untuk bertoleransibagi orang yang menyimpang lagi sesat dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah”.
[8]

Nota: Perbahasan al-Wala’ wal-Bara’ Yang lebih Mendalam akan menyusul...

Footnote:

[1] . Lihat: Al-Furqan. Hlm. 53. Ibn Taimiyah. komentar Dr. Abdur Rahman al-Yahya.
[2] . Lihat: Al-Furqan. Hlm. 52. Ibn Taimiyah.
[3] . H/R Turmizi.
[4] . H/R Turmizi
[5] . Al-Hujurat. 9.
[6] . H/R Ahmad.
[7] . H/R Abu Daud 2645 dan At-Tirmizi 1604.
[8] . Lihat: Zajrul Mutahawin. Hlm. 8

5 comments:

  1. Assalamualaikum tuan. Tindakan tuan menyamakan Jemaah Tabligh dengan Al-Arqam da Taririkat Sufi yang lain menunjukkan bahawa tuan tidak tahu apa-apa mengenai jemaah Tabligh. Elok rasanya tuan mengelak daripada membuat tuduhan terhadap jemaah Tabligh kerana tindakan tuan seperti kaum khawarij. Harap maaf dengan komen ini. Ramai orang yang menghukum jemaah tabligh tanpa mengetahui hal sebenar.

    ReplyDelete
  2. Wa 'alaikumuss salam... sila bawakan bukti...

    ReplyDelete
  3. Nampak sangat tak kaji fikrah Ikhwanul Muslimin,apabila dengan senang hati menuduh mereka mengkafirkan sesiapa yang tidak sehaluan atau sejemaah dengan mereka.Sila baca terlebih dahulu himpunan risalah2 Imam Hasan Al-Banna,Muktamar ke-5 IM dan bahan bacaan tentang Ikhwanul Muslimin.

    Jangan senang2 buat tuduhan melulu,kaji dan selidik dahulu sebelum hendak membuat tuduhan.Tadabbur lah surah al-Hujurat ayat 6.

    ReplyDelete
  4. Sesama muslim jangan saling melemahkan dan jangan mengadili karena hanya alloh swt lah yang berhak mengadili hamba-hambanya (ciptaannya) dan sesamamanusia tidak berhak mengadili ciptaan alloh swt kecuali manusia mau mengadili ciptaannya sendiri( ciptaan manusia sendiri bukan ciptaan alloh swt silahkan di adilli )

    ReplyDelete
  5. Asalamualaikum....Inggat alloh maha segalanya yang dia inginkan maka berbaik baiklah dengan NYA dan ciptaan NYA.
    Wasalam.

    ReplyDelete