Friday, February 24, 2012

131 - Imam asy-Syafi’i Menggugat Neo-Muktazilah

Imam asy-Syafi’i Menggugat Neo-Muktazilah

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Dalam kitab ar-Risalah, imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) membuat sebuah bab khusus tentang khabar wahid (hadis ahad). Ia merupakan tajuk khusus yang menegaskan as-sunnah yang sahih adalah hujjah dalam agama sama ada diriwayatkan secara mutawatir mahupun ahad.

Ini beliau lakukan antaranya dalam rangka bantahan ke atas golongan ahli kalam, mu’tazilah, dan anti hadis. Dengan sebab ini jugalah imam asy-Syafi’i sering menjadi sasaran orientalis, liberal, dan kumpulan anti hadis zaman ini. Kerana hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh imam asy-Syafi’i adalah termasuk benteng kukuh ahli sunnah wal-jama’ah dalam berhadapan aliran sesat ahli kalam sejak dahulu lagi.

Hadis Ahad

Hadis ahad adalah hadis yang tidak memenuhi syarat mutawatir dalam periwayatan, di mana ia diriwayatkan oleh perawi yang sedikit jumlahnya. Hadis ahad dalam ilmu mustholah al-hadits terbahagi menjadi tiga bahagian iaitu sama ada masyhur, ‘aziz, ataupun gharib.

Masyhur atau juga dikenali sebagai al-mustafidh adalah hadis yang diriwayatkan oleh tiga perawi atau lebih pada setiap tingkatannya tetapi tidak mencapai jumlah mutawatir. ‘Aziz adalah hadis yang diriwayatkan dengan sekurang-kurangnya dua sanad yang berlainan. Manakala gharib pula adalah hadis yang hanya diriwayatkan oleh seorang perawi secara bersendirian.

Setiap jenis hadis ahad yang disebutkan ini terbahagi kepada dua bentuk iaitu sama ada sahih (maqbul lagi diterima) ataupun mardud (tertolak) dengan sebab dha’if, maudhu’, syazd, ataupun seumpamanya.

Setiap hadis yang terbukti memenuhi syarat hadis sahih (walaupun ahad) sebagaimana pernah diperincikan dalam tulisan lalu sama ada disebut sebagai sahih ataupun hasan, maka ia wajib diterima sebagai hujah dan wajib untuk diamalkan.

Untuk tambahan ilmu dalam bab ini, para pembaca boleh merujuk terus kepada kitab-kitab berkaitan mustholah al-hadits yang ada. Di antara yang telah diterjemahkan dengan baik adalah susunan Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin, berjudul ‘Ilm Mustholah al-Hadits, dan tulisan Manna’ al-Qaththan, berjudul Mabahits fii ‘Ulum al-Hadits.

Hadis Ahad Menjadi Isu

Hadis ahad menjadi isu pada zaman silam apabila tokoh-tokoh ahli kalam seperti sebahagian besar muktazilah, khawarij, dan Syi’ah mengatakan bahawa hadis ahad tidak boleh dijadikan sebagai landasan hujah bagi persoalan ‘aqidah dan i’tiqad keimanan.

Kata Imam Ibnu Hazm rahimahullah (Wafat: 456H):

فصح بهذا إجماع الأمة كلها على قبول خبر الواحد الثقة عن النبي صلى الله عليه و سلم وأيضا فإن جميع أهل الإسلام كانوا على قبول خبر الواحد الثقة عن النبي صلى الله عليه و سلم يجزي على ذلك كل فرقة في علمها كأهل السنة والخوارج والشيعة والقدرية حتى حدث متكلمو المعتزلة بعد المائة من التاريخ فخالفوا الإجماع في ذلك

“Adalah sah dengan ijma’ umat ini bahawa diterimanya khabar wahid (hadis ahad) yang diriwayatkan oleh para perawi tsiqah (terpercaya) daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan bahawasanya seluruh ahli islam menerima khabar wahid yang diriwayatkan oleh para perawi tsiqah daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Setiap mereka (asalnya) berpegang pada prinsip ini sebagaimana ahli sunnah, khawarij, Syi’ah, dan Qadariyah sehinggalah lahirnya para ahli kalam dari kalangan Mu’tazilah seratus tahun kemudian yang menentang ijma’ dalam ketetapan ini.” (al-Ihkam fii Ushulil Ahkam, 1/108 – Daar al-Hadits)

Ini dikuatkan lagi dengan penegasan tokoh besar mu’tazilah sendiri, al-Qadhi ‘Abdul Jabbar al-Mu’tazili (Wafat: 415H) dalam kitab beliau Syarah Ushul al-Khamsah yang merupakan kitab khusus membahaskan lima rukun asas mu’tazilah.

Beliau mengatakan, “Dibolehkan mengambil hadis ahad dalam amal apabila sampai kepada kita dengan syarat-syaratnya, tetapi tidak boleh diterima bagi urusan aqidah.” (‘Abdul Jabbar, Syarah Ushul al-Khamsah, m/s. 769 – Maktabah Wahbah, Kaherah, Cet. 3)

Tidak sekadar itu, kitab beliau ini merupakan bukti yang sangat besar bahawa penolakan hadis ahad dalam perkara dasar aqidah adalah termasuk prinsip aliran sesat Mu’tazilah sejak lebih seribu tahun lalu. Ini sama sekali bukanlah prinsip ahli sunnah wal-jama’ah sebagaimana disangka sebahagian orang pada hari ini.

Rentetan dari fahaman ini, kita dapat lihat apabila sebahagian besar tokoh-tokoh dari kalangan ahli kalam seperti Mu’tazilah dan sebahagian kelompok al-Asya’irah serta yang seangkatan dengannya begitu jelas menolak keimanan terhadap beberapa i’tiqad aqidah Islam seperti keimanan terhadap adanya azab kubur, munculnya dajjal, turunnya Nabi ‘Isa, lahirnya imam Mahdi, melihat Allah di Syurga, sebahagian besar khabar sifat-sifat Allah selain disampaikan al-Qur’an, serta pelbagai peristiwa menjelang kiamat.

Sebahagian pendukung aliran tersebut pada hari ini ada yang berkalih dengan mengatakan, “Kami terima hadis-hadis tersebut, cuma kami tidak mengimaninya.” Juga kata sebahagian yang lain, “Hadis tersebut memang sahih, tetapi ia tidak penting sama ada mahu diterima ataupun ditolak.” Serta, “Aqidah yang ditegakkan dengan hadis ahad hanya bersifat teori tidak sepenting persoalan praktikal (amal).”

Dan memang itulah agenda jahat yang diinginkan oleh kelompok-kelompok sesat ini di mana mereka mahu agar umat Islam meninggalkan agama secara halus dan perlahan-lahan. Siri penolakan hadis ahad hanyalah sebahagian dari langkah-langkah awal dari banyaknya langkah-langkah lain seterusnya. Mereka mengajak manusia meninggalkan Islam dengan menimbulkan pelbagai bentuk keragu-raguan dan syubhat dari dalam kelompok Islam itu sendiri.

Pada hari ini, agenda penolakan hadis-hadis ahad diteruskan atau dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Muhammad ‘Abduh, Mahmud Syaltut, Ahmad Syibli, Muhammad al-Ghazali, Taqiyudin an-Nabhani, sebahagian tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Sayyid Quthub, dan para pendukung pergerakan Hizbut Tahrir di seluruh dunia.

Sebahagian mereka mengemukakan hadis-hadis ahad yang syadz, iaitu hadis-hadis ahad yang sahih tetapi menyelisihi riwayat para perawi lain yang lebih tsiqah dalam rangka menipu masyarakat. Mereka menyatakan kononnya itulah bukti bahawa hadis-hadis ahad yang sahih ditolak oleh para ulama ahli sunnah sendiri! Sedangkan hakikat faktor penolakannya bukanlah kerana faktor hadis ahad tetapi sebaliknya adalah kerana faktor syadz sebagaimana ditetapkan dalam syarat-syarat dan kriteria hadis sahih.

Tapi dukacitanya, amat sedikit yang menyedari hakikat ini. Kefahaman tentang Islam pada hari ini begitu mudah diperkotak-katikkan oleh tokoh-tokoh yang dianggap ulama dengan mengambil kesempatan atas kejahilan masyarakat awam.

Hadis Ahad di Sisi Ahli Sunnah

Imam Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah (Wafat: 463H) berkata, “Kewajiban beramal dengan hadis ahad adalah pendapat seluruh tabi’in dan para fuqaha’ setelahnya di seluruh negeri kaum muslimin sehingga kini. Tidak ada keterangan yang sampai kepada kami tentang adanya salah seorang dari mereka yang menentang atau menyalahinya.” (al-Kifayah fii al-‘Ilm ar-Riwayah, m/s. 31 – Maktabah Syamilah)

Kata Dr. Muhammad B. ‘Abdul Wahhab al-‘Aql hafizahullah, “Para sahabat radhiyallahu ‘anhum dan orang-orang setelah mereka dari para tabi’in dan generasi awal umat ini sama ada yang mengatakan hadis ahad itu menunjukkan ilmu yang yakin atau yang mengatakan hadis ahad itu menunjukkan zhan, mereka berijma’ (bersepakat) akan kewajiban mengamalkan hadis ahad. Tidak ada yang berselisih dari kalangan mereka melainkan kelompok yang tidak termasuk perkiraan seperti sebahagian dari Mu’tazilah dan Rafidhah.” (Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 112 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Di antara yang paling terdepan dalam mempertahankan kehujahan hadis ahad adalah imam asy-Syafi’i rahimahullah sebagaimana terbentang dalam kitab agungnya, ar-Risalah. Pelbagai dalil dan hujah beliau kemukakan di dalamnya.

Siapa yang tidak kenal banyaknya wasiat emas beliau supaya sentiasa bepegang dengan hadis sahih tanpa membezakan sama ada yang mutawatir mahupun yang ahad! Kata beliau, “Tetapkanlah untukku sama ada aku hidup atau setelah mati bahawa setiap hadis yang sahih yang datang dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka aku berpegang dengannya walaupun aku tidak mendengarnya secara langsung.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/421 – Maktabah Daar at-Turaats)

Imam asy-Syafi’i dalam kitabnya ar-Risalah ketika menyebutkan syarat-syarat hadis sahih, beliau tidak membezakan di antara hadis ahad yang ia sebut sebagai khabar khashshah (riwayat seorang dari seorang) dengan hadis mutawatir yang beliau sebutkan sebagai khabar ‘ammah (riwayat dari kalangan ramai orang). Beliau tetapkan apabila suatu hadis itu menepati kriteria hadis sahih, maka automatik ia menunjukkan kepada ilmu yakin dan wajib untuk diimani serta diamalkan.

Imam asy-Syafi’i turut berhujjah dengan mengemukakan peristiwa perpindahan arah kiblat yang dilakukan oleh penduduk Quba’ ke Ka’bah dengan berpandukan khabar ahad (khabar seorang individu)!

Kata Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

بَيْنَمَا الناس بِقُبَاءَ في صَلَاةِ الصُّبْحِ إذْ آتَاهُمْ آتٍ فقال إنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم قد أُنْزِلَ عليه اللَّيْلَةَ قُرْآنٌ وقد أُمِرَ أَنْ يَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ فَاسْتَقْبِلُوهَا وَكَانَتْ وُجُوهُهُمْ إلَى الشَّامِ فَاسْتَدَارُوا إلَى الْكَعْبَةِ

“Ketika orang ramai sedang solat subuh, datanglah seseorang lalu mengkhabarkan dengan berkata, “Telah turun al-Qur’an kepada Rasulullah, iaitu beliau diperintahkan solat dengan menghadap ke arah Ka’bah.”

Sebaik mendengar saja perkhabaran tersebut, orang-orang yang sedang bersolat itu pun secara langsung memutarkan badannya ke arah Ka’bah yang sebelumnya pada ketika itu sedang menghadap ke arah Syam.” (asy-Syafi’i, al-Umm, bab al-Istiqbal al-Qiblah, 1/94 – Daar al-Ma’rifah. Ar-Risalah, m/s. 406 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah. Shahih al-Bukhari, 22/212, bab Akhbar al-Aahaad, no. 6710)

Selain itu, keabsahan hadis ahad sebagai hujjah dalam perkara aqidah dapat dilihat buktinya melalui kitab-kitab ushul ‘aqidah ahli sunnah wal-jama’ah sendiri. Atau juga dapat dilihat dari pengakuan tokoh-tokoh besar ahli sunnah wal-jama’ah seperti Imam Malik, asy-Syafi’i, Ahmad B. Hanbal, Abu Hanifah, dan selainnya melalui nukilan fatwa-fatwa dan karya tulis mereka yang bertebaran di seluruh pelusuk dunia.

Dalam kitab-kitab atau apa yang terkandung dari nukilan-nukilan perkataan mereka, ia menegaskan keimanan terhadap Syafa’at ul-‘Uzhma (ketika di mahsyar), telaga haudh, Shirath (titian), al-Mizan (timbangan) di hari pembalasan, penetapan taqdir rezeki dan ajal ketika dalam kandungan, keadaan di mahsyar selain yang dijelaskan al-Qur’an, kemunculan al-Mahdi, keluarnya dajjal, terbitnya matahari dari barat, peristiwa mi’raj, melihat Allah di Syurga, sebahagian besar khabar tentang sifat-sifat Allah, dan yang seumpamanya yang mana i’tiqad ini semua tertegak berdasarkan khabar ahad!

Maka, bukalah lembaran-lembaran fatwa imam asy-Syafi’i tentang ini. Bukalah juga Ushul us-Sunnah karya Imam Ahmad B. Hanbal. Bukalah al-Ibanah karya Abu al-Hasan al-Asy’ari. Bukalah Matan ath-Thahawiyah. Bukalah Lum’atul I’tiqad oleh Ibnu Qudamah. Bukalah ‘Aqidah al-Wasithiyah karya Ibnu Taimiyyah. Bukalah Kitab ut-Tauhid karya Ibnu Mandah. Juga seluruh kitab-kitab ‘aqidah karya ulama ahli sunnah wal-jama’ah, nescaya kita akan menemukan banyaknya penegasan i’tiqad dalam aqidah yang ditegakkan dengan hadis ahad.

Lihat pula dalam kitab-kitab Shahih seperti Shahih al-Bukhari dan Muslim, begitu jelas para ulama menerima, berhujjah, dan berpegang kepada hadis-hadis di dalamnya baik yang mutawatir mahupun yang ahad. Malah mungkin ramai yang tidak sedar bahawa hadis pertama dalam Shahih al-Bukhari sendiri merupakan hadis ahad.

Demikian juga dengan hadis-hadis sahih baik yang ahad mahupun mutawatir di kitab-kitab selainnya. Para ulama menerima dan berhujjah dengannya dalam pelbagai aspek perbahasan agama.

Demikian juga dari apa yang dapat kita lihat dari kitab-kitab syarah ke atas kedua kitab Shahih tersebut seumpama Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani (Wafat: 852H) dan Syarah Shahih Muslim oleh Imam an-Nawawi (Wafat: 676H), kedua ulama besar bermazhab asy-Syafi’i ini menegaskan kehujahan hadis ahad baik dalam urusan aqidah mahupun selainnya.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah, “Telah tersebar luas apa yang diamalkan oleh para sahabat dan para tabi’in berdasarkan khabar ahad tanpa ada yang mengingkarinya. Maka ini menunjukkan wujudnya kesepakatan (ijma’) di kalangan mereka untuk menerimanya.” (Fathul Bari, 13/234)

Ini sekaligus menjadi bukti bahawa hadis ahad yang sahih di sisi ahli sunnah wal-jama’ah adalah hujjah dalam pelbagai perkara agama tanpa dibezakan sama ada amal perbuatan, hukum-hakam, akhlak, mahupun ushul ‘aqidah. Penegasan ini menjadi bantahan yang jelas ke atas firqah-firqah sesat anak didik muktazilah pada zaman ini yang konon menyarung jubah ahli sunnah!

Mengimani Sifat-sifat Allah Walaupun Khabar Ahad

Imam al-Hafiz Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah (Wafat: 463H) menegaskan:


ليس في الاعتقاد كله في صفات الله وأسمائه إلا ما جاء منصوصا في كتاب الله أو صح عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أو أجمعت عليه الأمة، وما جاء من أخبار الآحاد في ذلك كله أو نحوه يسلم له ولا يناظر فيه

“Tiada i’tiqad (keimanan) tentang sifat-sifat Allah dan nama-nama-Nya melainkan telah disebutkan melalui nash-nash di dalam Kitabullah atau hadis-hadis sahih daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atau yang telah ijma’ (disepakati) atasnya oleh ummat ini serta apa yang datang melalui khabar ahad tentang itu semua atau yang seperti itu maka ianya wajib diterima dan tidak boleh dipertikaikan.” (Jaami’ Bayaan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 2/195 – Daar Ibnu Hazm)

Kehujahan Hadis Ahad Di Zaman Nabi

Hadis atau khabar ahad menjadi hujah dengan perbuatan Nabi sendiri yang menghantar Mu’adz B. Jabal radhiyallahu ‘anhu berdakwah ke Yaman, diikuti beberapa yang lain dalam jumlah tidak sampai mutawatir! Juga ketika diutusnya Abu ‘Ubaidah B. al-Jarrah kepada penduduk Najran. Lalu masyarakat mengambil ilmu sama ada berkaitan ‘aqidah mahupun ahkam daripada mereka.

Sebahagian besar para sahabat yang mengambil ilmu daripada Rasulullah apabila mereka pulang ke kampung-kampung mereka, mereka pun mendakwahkannya kepada ahli keluarga mereka masing-masing.

Ini antaranya sebagaimana dilakukan oleh Qais B. ‘Ashim, az-Zibriqan B. Badr, dan Ibnu Nuwairah. Mereka ditugaskan dan dihantar kepada suku atau keluarga masing-masing untuk menyampaikan dakwah Islam!

Surat-surat Rasulullah yang diutuskan kepada para pembesar dunia juga merupakan antara deretan bukti kukuh keabsahan khabar ahad dalam urusan aqidah lagi pokok.

Kehujahan hadis ahad ini dikuatkan lagi dengan penegasan Imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) melalui kitab Shahihnya yang menghimpunkan dalil-dalil hadis berkaitan dalam bab khusus “Akhbar ul-Aahaad”. Himpunan hadis-hadis dalam bab ini sekaligus memuktamadkan sahnya hadis ahad sebagai hujah baik dalam persoalan aqidah, i’tiqad, mahupun ahkam.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

نَضَّرَ اللهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ، فَرُبَّ مُبَلَّغٍ أَحْفَظُ لَهُ مِنْ سَامِعٍ

“Semoga Allah menambah-baikkan seseorang yang mendengar hadis daripadaku lalu dia menghafalnya kemudian menyampaikannya. Betapa banyak orang yang disampaikan sebuah hadis kepadanya lebih faham daripada orang yang mendengar secara langsung dari sumbernya.” (Hadis Riwayat Ahmad, 7/221, no. 4157. Dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dan Syu’aib al-Arnauth)

Hadis ini dengan jelas secara zahirnya menunjukkan apa yang sampai daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita walaupun dengan jalan khabar ahad, ia adalah hujjah yang wajib diamalkan dalam setiap perkara agama.

Juga sebagaimana dalam hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan:

لاَ أُلْفِيَنَّ أَحَدَكُمْ مُتَّكِئًا عَلَى أَرِيكَتِهِ يَأْتِيهِ أَمْرٌ مِمَّا أَمَرْتُ بِهِ أَوْ نَهَيْتُ عَنْهُ فَيَقُولُ لَا أَدْرِي مَا وَجَدْنَا فِي كِتَابِ اللَّهِ اتَّبَعْنَاهُ

“Aku tidak mahu melihat seorang pun di antara kamu bersandar di tempat duduknya kemudian datang kepadanya perintah atau larangan dariku lalu ia mengatakan, “Aku tidak mengetahuinya, cukuplah apa yang kami dapati dari apa yang terdapat dalam Kitabullah, maka itulah yang kami ikuti.”.” (Hadis Riwayat asy-Syafi’i, Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi. Mereka mensahihkannya)

Imam asy-Syafi’i mengingatkan, “Aku belum belum pernah mengetahui bahawa ulama kaum muslimin berselisih pendapat mengenai diterimanya diterimanya khabar ahad.” Kata beliau lagi, “Pada pendapatku, tidak boleh bagi seorang yang berilmu untuk menetapkan kesahihan pelbagai hadis ahad tetapi kemudian dia menghalalkan dan mengharamkan hanya apa yang bertepatan dengan akalnya (bukan berdasarkan hadis tersebut).” (ar-Risalah, m/s. 457-458 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah)

Wallahu a’lam...