Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Mentaati Pemerintah
Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com
Salah satu prinsip di dalam i’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah adalah mentaati dan menghormati pemerintah (pemimpin) di mana dia duduk di bawah kepimpinan atau kekuasaan pemerintah tersebut. Ini adalah sebagaimana yang telah dijelaskan melalui tulisan sebelumnya.
Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada:
1 - Mentaati mereka dalam urusan kebaikan (ma’ruf), termasuk merealisasikan perintah mereka yang ma’ruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan atau diperintahkan,
2 – Mengakui, menghormati, dan memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka,
3 - Tidak mentaati mereka dalam urusan atau perintah bermaksiat kepada Allah,
4 - Membenci maksiat yang mereka lakukan dan mengingkari keburukan yang mereka lakukan dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syar’i,
5 - Serta tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat kepembangkangan terhadap kepimpinan, dan tidak menghina atau mencela mereka walaupun mereka bertindak buruk dan zalim. Ini adalah selagi mana mereka masih tetap menegakkan syi'ar solat dan tidak dilihat padanya kafir bawaahan.
Mentaati Pemerintah Adalah Sebahagian Ciri Taqwa dan Tanda Ketaatan Kepada Allah serta Rasul-Nya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعْ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي
“Sesiapa yang taat kepadaku, sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. Sesiapa yang derhaka kepadaku, sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah derhaka kepadaku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/114, no. 2737. Muslim, 9/364, no. 3417)
Beliau juga bersabda:
أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وان كان عبدا حبشيا
“Aku wasiatkan kepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan patuh serta taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi.” (Hadis Riwayat Ahmad, 28/373, no. 17144. Ad-Darimi, 1/57, no. 95. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)
Dalam riwayat Imam Muslim, Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu menyebutkan:
إِنَّ خَلِيلِي أَوْصَانِي أَنْ أَسْمَعَ وَأُطِيعَ وَإِنْ كَانَ عَبْدًا مُجَدَّعَ الْأَطْرَافِ
“Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) memberi wasiat kepadaku supaya patuh dan taat walaupun yang memimpin adalah seorang hamba yang cacat (hina).” (Hadis Riwayat Muslim, 9/367, no. 3420)
Kaedah asalnya, seseorang hamba atau orang yang cacat tidak boleh dilantik menjadi pemimpin. Tetapi apabila ianya telah berlaku dengan sebab-sebab yang tertentu, maka ia tetap wajib ditaati dan diperakui kepimpinannya.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahawa mentaati pemimpin adalah salah satu sebab mendapat jaminan Syurga. Ini adalah sebagaimana kata beliau:
سمعت رسول الله وخطبنا في حجة الوداع، وهو على ناقته الجدعاء، فقال: أيها الناس. فقال رجل في آخر الناس: ما تقول أو ما تريد؟ فقال: ألا تسمعون: إنه لا نبِي بعدي، ولا أمة بعدكم، ألا فاعبدوا ربكم، وصلوا خمسكم، وصوموا شهركم، وأدوا زكاة أموالكم، طيبة بِها أنفسكم، وأطيعوا أمراءكم تدخلوا جنة ربكم
Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyampaikan khutbah pada haji al-Wida’ dalam keadaan baginda menunggang untanya yang kepenatan. Sabda beliau, “Wahai manusia!” Kemudian, seorang lelaki di belakang berkata, “Apakah yang engkau perkatakan atau mahukan?” Sabda Rasulullah, “Adakah kamu tidak mendengar, sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku dan tiada lagi ummat selepas kamu. Ketahuilah, hendaklah kamu sentiasa mengabdikan diri kamu kepada Tuhan kamu, solatlah lima waktu, berpuasalah kamu pada bulannya, tunaikanlah zakat dengan harta kamu, berbuat baiklah terhadap diri kamu, dan taatilah pemimpin kamu, pasti kamu akan memasuki Syurga Tuhan.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 36/487, no. 22161. Tahqiq Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya sahih berdasarkan syarat Imam Muslim. Diriwayatkan juga oleh at-Tirmidzi dan katanya hasan sahih)
Ahlus Sunnah wal-Jama’ah bersepakat berkenaan kewajiban mentaati pemimpin dan pihak berkuasa. Mereka juga mewajibkan supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak pemimpin selagi mana ianya tidak bertentangan dengan dalil-dalil syara’. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
فلا طاعة في المعصية، إنَّما الطاعة في المعروف
“Janganlah kamu mentaati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah dalam perkara yang ma’ruf.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/218, no. 6716)
Perkara ma’ruf di sini adalah merujuk kepada urusan yang bukan maksiat dan bukan kemungkaran. Sama ada ianya perkara yang diwajibkan agama, yang disunnahkan, ataupun yang diharuskan (mubah). Sekiranya masyarakat diperintahkan supaya melaksanakan perkara-perkara yang diharuskan (tidak dilarang agama), maka hukum mentaatinya adalah wajib. Sebagai contoh, hukum mematuhi undang-undang jalan-raya yang digubal oleh pihak berkuasa adalah wajib selagi mana ianya bukan maksiat walaupun ianya tidak pernah diwajibkan oleh syara’ secara khusus.
Imam al-Mubarakfuri rahimahullah berkata,
الإمام إذا أمر بمندوب أو مباح وجب
“Apabila seseorang pemimpin memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (harus), maka hukumnya menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)
Ijma’ Ahlus Sunnah wal-Jama’ah
Kesepakatan (ijma’) ahlus sunnah wal-jama’ah dalam mentaati pemerintah antaranya disebutkan oleh Imam an-Nawawi dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani. Ini adalah sebagaimana berikut:
Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
وَأَمَّا الْخُرُوج عَلَيْهِمْ وَقِتَالهمْ فَحَرَام بِإِجْمَاعِ الْمُسْلِمِينَ، وَإِنْ كَانُوا فَسَقَة ظَالِمِينَ
“Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menukil perkataan Ibnu Baththal dalam Fathul Bari:
قال بن بطال في الحديث حجة في ترك الخروج على السلطان ولو جار وقد أجمع الفقهاء على وجوب طاعة السلطان المتغلب والجهاد معه وأن طاعته خير من الخروج عليه لما في ذلك من حقن الدماء وتسكين الدهماء وحجتهم هذا الخبر وغيره مما يساعده ولم يستثنوا من ذلك إلا إذا وقع من السلطان الكفر الصريح
Telah berkata Ibnu Baththal dalam hadis yang menjadi hujjah untuk meninggalkan sikap keluar dari ketaatan kepada sultan (pemerintah) walaupun pemerintah tersebut seorang yang jahat, (katanya) “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakkan (mutaghallib). Dan kita turut diwajibkan berjihad bersama-samanya. Ini kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang jelas nyata.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)
Al-Kirmani berkata, “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) bahawa penguasa yang telah terpilih (sebagai pemimpin) wajib ditaati selagi dia menegakkan solat berjama’ah dan jihad melainkan jika dia melakukan kekufuran yang nyata. Sehingga tidak ada lagi ketaatan kepadanya. Bahkan wajib memeranginya bagi orang yang mampu.” (Syarah Shahih al-Bukhari, 10/ 169)
Asy-Syarqawi berkata, “Larangan (keharaman) memerangi penguasa yang zalim dan fasiq diambil daripada ijma’ para ulama daripada para tabi’in.” (Hasyiyah asy-Syarqawi, 2/398)
al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menjelaskan berkenaan kesepakatan (ijma’) dalam hal ini setelah mengulas berkaitan biografi dan celaan terhadap perawi yang membolehkan mengangkat pedang (walaupun asalnya perawi tersebut tsiqah):
كان يرى السيف يعني كان يرى الخروج بالسيف على أئمة الجور وهذا مذهب للسلف قديم لكن أستقر الأمر على ترك ذلك لما رأوه قد أفضى إلى أشد منه ففي وقعة الحرة ووقعة بن الأشعث وغيرهما عظة لمن تدبر
“Sebagaimana yang diriwayatkan berkenaan pendapat yang menyatakan bolehnya keluar (khuruj) mengangkat pedang (senjata) terhadap para pemimpin yang zalim (tirani). Maka, ini adalah mazhab salaf qadim (mazhab sebahagian orang-orang salaf terdahulu daripada minoriti sahabat dan tabi’in). Akan tetapi, kemudian ada sebuah ketetapan untuk meninggalkan perkara (kefahaman) tersebut, kerana ia menimbulkan kesan yang jauh lebih buruk. Apa yang terjadi dalam peristiwa al-Hurrah dan Ibnu al-Asy’ats menjadi pengajaran yang baik bagi mereka yang mahu mengambil pelajaran.” (Ibnu Hajar, Tahdzib at-Tahdzib, 2/250)
Peristiwa al-Hurrah di sini merujuk kepada peristiwa pemberontakan ‘Abdullah B. Az-Zubair bersama-sama Ahli Madinah terhadap pemerintahan Yazid B. Mu’awiyah dengan anggapan (atau alasan) bahawa Yazid adalah seorang yang fasiq. Manakala Ibnu al-Asy’ats memberontak kepada pemerintahan ‘Abdul Malik B. Marwan di Iraq.
Keterangan tentang fasa ijma’ ini juga dijelaskan oleh Imam al-Qadhi ‘Iyadh sebagaimana dinukilkan Imam an-Nawawi rahimahullah:
وقال جماهير أهل السنة من الفقهاء والمحدثين والمتكلمين لا ينعزل بالفسق والظلم وتعطيل الحقوق ولا يخلع ولا يجوز الخروج عليه بذلك بل يجب وعظه وتخويفه للأحاديث الواردة في ذلك قال القاضي وقد ادعى أبو بكر بن مجاهد في هذا الاجماع وقد رد عليه بعضهم هذا بقيام الحسن وبن الزبير وأهل المدينة على بني أمية وبقيام جماعة عظيمة من التابعين والصدر الأول على الحجاج مع بن الأشعث وتأول هذا القائل قوله أن لا ننازع الأمر أهله في أئمة العدل وحجة الجمهور أن قيامهم على الحجاج ليس بمجرد الفسق بل لما غير من الشرع وظاهر من الكفر قال القاضي وقيل أن هذا الخلاف كان أولا ثم حصل الإجماع على منع الخروج عليهم والله اعلم
“Majoriti ulama ahlus sunnah dari kalangan fuqaha’ (ahli fiqh), ahli hadis, dan ahli kalam menyatakan bahawa pemimpin tidak dilucutkan (atau dijatuhkan kepimpinannya) atas sebab kefasikannya, kezalimannya, dan perbuatannya yang merampas hak-hak umat Islam, dan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan) kepadanya. Tetapi umat Islam wajib untuk menasihati dan menggerunkan hatinya dengan hadis-hadis (yang berbentuk ancaman) berkaitan perkara tersebut.
Al-Qadhi berkata, “Abu Bakar B. Mujahid telah menyatakan adanya ijma’ atas perkara ini, sebahagian ulama telah membantah pernyataan tersebut dengan apa yang dilakukan oleh al-Hasan dan Ibnu az-Zubair, serta penduduk Madinah terhadap bani Umayyah. Juga pertembungan dua kumpulan besar dari kalangan tabi’in dan generasi awal dari umat ini terhadap al-Hajjaj B. Yusuf, bukan kerana sekadar kefasikan, akan tetapi ketika dia telah mengubah sebahagian syari’at dan menampakkan kekufuran.” Al-Qadhi berkata lagi, “Perbezaan ini timbul pada awalnya, kemudian terjadi ijma’ (kesepakatan) yang melarang memberontak kepada pemerintah.” Wallahu a’lam.” (Syarah Shahih Muslim, 12/229)
Mendoakan Pemerintah Dengan Kebaikan
Al-Hafiz Abu Bakar al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) berkata:
ويرون الدعاء لهم بالإصلاح والعطف إلى العدل، ولا يرون الخروج بالسيف عليهم ولا قتال الفتنة، ويرون قتال الفئة الباغية مع الإمام العدل، إذا كان وجد على شرطهم في ذلك
“Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyariatkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil dan mereka juga berpandangan tidak boleh memberontak terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah orang muslim tidak turut serta berperang ketika terjadi fitnah (pertikaian di antara kaum muslimin sendiri) dan mereka juga berpandangan tentang wajibnya memerangi golongan yang zalim yang dilakukan bersama pemimpin yang adil apabila ditentukan kesesuaian dengan syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (Abu Bakar al-Ismaili, I'tiqad A'immatul Hadits, m/s. 75-76)
Disebutkan oleh imam al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) daripada Abu ‘Utsman:
فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم
و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين
“Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya.
Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukkan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukkan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk penguasa semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/26, no. 7401)
Menurut Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H):
Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.
Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih)
Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya. (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 1423H/2002M, m/s. 83-84)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Doa seseorang muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tersebut adalah doa yang mustajab (dikabulkan). Di sisinya ada malaikat. Ketika dia berdoa kebaikan kepada saudaranya, malaikat tersebut mengatakan, “Amin, engkau akan mendapatkan yang sama dengannya.”.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/271, no. 4914)
Memuliakan Pemerintah
Ahlus sunnah wal-jama’ah menetapkan bahawa wajib memuliakan dan menghormati pemimpin. Bahkan Islam amat memandang tinggi kedudukan seseorang pemimpin.
Walaupun mereka bertindak zalim, tidak amanah, dan melakukan kefasikan, rakyat wajib menghormati kedudukannya sebagai seorang pemimpin yang memiliki kuasa kepimpinan.
Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menukilkan dalam tafsirnya:
لا يزال الناس بخير ما عظموا السلطان والعلماء، فإن عظموا هذين أصلح الله دنياهم وأخراهم، وإن استخفوا بِهذين أفسدوا دنياهم وأخراهم
“Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati sultan (pemimpin) dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka.” (al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkamil Qur’an, 5/260)
Ini adalah sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut yang memerintahkan supaya kita memuliakan pemimpin:
Daripada Abu Bakrah radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
السلطان ظل الله في الأرض فمن أكرمه أكرم الله ومن أهانه أهانه الله.
“Sultan (pemimpin) itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinakannya dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/17, no. 7373. Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilalil Jannah, 2/224, no. 1024)
Sebuah hadis daripada Ziyad B. Kusaib, beliau menceritakan:
كُنْتُ مَعَ أَبِي بَكْرَةَ تَحْتَ مِنْبَرِ ابْنِ عَامِرٍ وَهُوَ يَخْطُبُ وَعَلَيْهِ ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَقَالَ أَبُو بِلَالٍ انْظُرُوا إِلَى أَمِيرِنَا يَلْبَسُ ثِيَابَ الْفُسَّاقِ فَقَالَ أَبُو بَكْرَةَ اسْكُتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ
Pada suatu masa pernah aku berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Amir bersama-sama Abi Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Amir sedang memberi khutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak, “Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”
Maka, Abi Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan menghinakannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Kitab al-Fitan, 8/164, no. 2150. Al-Iraqi berkata, isnadnya sahih dan at-Tirmidzi menghasankannya, Takhrij Ahadits al-Ihya’, 5/246, no. 2246. Al-Albani mensahihkannya, Shahih Sunan at-Tirmidzi, 5/224, no. 2224)
Imam adz-Dzahabi rahimahullah berkata:
أبو بلال هذا هو مرداس ابن أدية، خارجي، ومن جهله عد ثياب الرجال الرقاق لباس الفساق
“Abu Bilal dalam hadis tersebut adalah Mirdas B. Udayyah, seorang yang berfahaman Khawarij. Disebabkan kebodohannya, beliau pun menganggap pakaian nipis bagi kaum lelaki sebagai pakaian orang fasiq.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 3/20 dan 14/508)
Dalam hadis yang lain:
سيكون بعدي سلطان فاعزوه من التمس ذله شغر شغرة فى الاسلام ولم يقبل منه توبة حتى يعيدها كماكانت
“Akan muncul selepas peninggalanku seorang pemimpin, maka muliakanlah dia, dan sesiapa yang mencari-cari kehinaannya (kesalahan dan keaibannya), bererti dia telah melubangi satu sendi dalam Islam dan tidak akan diterima taubatnya sehinggalah dia mengembalikan keadaan sebagaimana asalnya. (Hadis Riwayat Ibn Abi ‘Ashim. Dinilai sahih oleh al-Albani, Dzilalil Jannah fii Takhrij as-Sunnah li Ibn Abi ‘Ashim, 2/261, no. 1079)
Saidina ‘Ali B. Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu menyatakan:
لا يصلح الناس إلا أمير بر أو فاجر قالوا: يا أمير المؤمنين هذا البر فكيف بالفاجر؟ قال: إن الفاجر يؤمن الله عز و جل به السبل و يجاهد به العدو و يجبي به الفيء و تقام به الحدود و يحج به البيت و يعبد الله فيه المسلم آمنا حتى يأتيه أجله
“Tidak akan baik keadaan manusia (rakyat) melainkan dengan adanya amir (pemimpin), sama ada ia pemimpin yang baik atau pun fajir (buruk atau jahat).”
Ada yang bertanya, “Wahai Amirul Mukminin, sekiranya pemimpin tersebut baik (maka ia adalah wajar diterima akal), tetapi bagaimana sekiranya pemimpin tersebut fajir (buruk atau jahat)?”
‘Ali menjawab, “Sebenarnya Allah menjaga keamanan sesuatu kawasan dengan perantaraan pemimpin walaupun ia jahat (fajir), jihad melawan musuh agama mesti dilaksanakan, hal-ehwal perundangan (al-hudud) dilaksanakan, haji berlangsung, dan umat Islam masih boleh beribadah kepada Allah sehingga ajalnya.” (al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/64)
Mentaati Pemerintah
Dalam urusan mentaati pemimpin ini terdapat begitu banyak dalil-dalilnya daripada al-Qur’an dan as-Sunnah. Dan dengannyalah para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah berhujjah serta menetapkan prinsip-prinsip tersebut. Di antara dalil-dalil tersebut adalah sebagaimana berikut:
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
اَطِيْعُوْا اللهَ وَاَطِيْعُوْا الرَّسُوْلَ وَاُوْلِى اْلاَمْرِ مِنْكُمْ
“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin ulil amri (pemimpin) di antara kamu.” (Surah an-Nisaa, 4: 59)
Daripada ayat ini kita dapat memahami di antaranya bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kita mentaati pemimpin, dan Allah Subhanahu wa Ta’ala meletakkan ketaatan kepada pemimpin dalam rangkap yang sama setelah ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini adalah sebagai indikasi bahawa betapa penting dan tingginya kedudukan pemimpin serta perbuatan mentaatinya.
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan ayat tersebut dengan katanya:
قال العلماء المراد بأولي الأمر من أوجب الله طاعته من الولاة والأمراء هذا قول جماهير السلف والخلف من المفسرين والفقهاء وغيرهم وقيل هم العلماء وقيل الأمراء والعلماء وأما من قال الصحابة خاصة فقط فقد أخطأ
“Para ulama mengatakan, yang dimaksudkan dengan ulil amri di sini adalah orang yang Allah wajibkan kepada kita untuk taat kepadanya, iaitu mereka yang memegang kekuasaan dan memimpin. Ini adalah perkataan jumhur ulama salaf dan khalaf dari kalangan ahli tafsir, fuqaha’ (ulama fiqh), dan selainnya. Dan ada yang menyatakan ia adalah ulama. Dan ada pula pendapat lain menyatakan ia adalah pemimpin dan ulama. Adapun yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan sebagai ulil amri di sini adalah para sahabat sahaja, maka pendapat ini tertolak.” (Syarah Shahih Muslim, 12/224)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) setelah menukilkan ayat tersebut beliau pun berkata:
فَأَمَرَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ بِطَاعَتِهِ وَطَاعَةِ رَسُولِهِ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ كَمَا أَمَرَهُمْ أَنْ يُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمُوا بَيْنَ النَّاسِ أَنْ يَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ. وَأَمَرَهُمْ إذَا تَنَازَعُوا فِي شَيْءٍ أَنْ يَرُدُّوهُ إلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ. قَالَ الْعُلَمَاءُ: الرَّدُّ إلَى اللَّهِ هُوَ الرَّدُّ إلَى كِتَابِهِ وَالرَّدُّ إلَى الرَّسُولِ بَعْدَ مَوْتِهِ هُوَ الرَّدُّ إلَى سُنَّتِهِ
“Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mentaati-Nya, mentaati Rasul-Nya, dan ulil Amri (pemimpin) di antara mereka, sebagaimana Dia memerintahkan mereka supaya menunaikan amanah kepada pemiliknya, dan jika mereka menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah menetapkannya dengan adil. Dan Dia memerintahkan sekiranya mereka berselisih tentang sesuatu perkara hendaklah mengembalikannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Para ulama berkata, mengembalikan kepada Allah adalah mengembalikan kepada Kitab-Nya dan mengembalikan kepada Rasul-Nya. Adapun setelah beliau (Rasulullah) wafat adalah mengembalikan kepada sunnahnya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/6)
Beliau juga turut menyatakan:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا ؛ فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ }. فَذَلِكَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ وَرَسُولُهُ مِنْ طَاعَةِ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَمُنَاصَحَتِهِمْ: هُوَ وَاجِبٌ عَلَى الْمُسْلِمِ؛ وَإِنْ اسْتَأْثَرُوا عَلَيْهِ . وَمَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ وَرَسُولُهُ مِنْ مَعْصِيَتِهِمْ: فَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْهِ؛ وَإِنْ أُكْرِهَ عَلَيْهِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Dengarlah dan taatlah, kerana kewajiban mereka adalah apa yang dibebankan ke atas mereka, dan kewajiban kamu adalah apa yang dibebankan ke atas kamu.”
Perkara tersebut dari apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya dengannya, iaitu mentaati pemimpin dan menasihati mereka adalah wajib ke atas umat Islam, walaupun mereka mementingkan diri mereka. Menentang (memaksiati) mereka (ulil amri) yang mana dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya adalah haram atasnya. Dan aku membencinya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/9)
Beliau menjelaskan lagi:
وَمَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ وَرَسُولُهُ مِنْ طَاعَةِ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَمُنَاصَحَتِهِمْ وَاجِبٌ عَلَى الْإِنْسَانِ وَإِنْ لَمْ يُعَاهِدْهُمْ عَلَيْهِ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ لَهُمْ الْأَيْمَانَ الْمُؤَكَّدَةَ كَمَا يَجِبُ عَلَيْهِ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالزَّكَاةُ وَالصِّيَامُ وَحَجُّ الْبَيْتِ. وَغَيْرُ ذَلِكَ مِمَّا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ وَرَسُولُهُ مِنْ الطَّاعَةِ ؛ فَإِذَا حَلَفَ عَلَى ذَلِكَ كَانَ ذَلِكَ تَوْكِيدًا وَتَثْبِيتًا لِمَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ وَرَسُولُهُ مِنْ طَاعَةِ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَمُنَاصَحَتِهِمْ. فَالْحَالِفُ عَلَى هَذِهِ الْأُمُورِ لَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَفْعَلَ خِلَافَ الْمَحْلُوفِ عَلَيْهِ سَوَاءٌ حَلَفَ بِاَللَّهِ أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ مِنْ الْأَيْمَانِ الَّتِي يَحْلِفُ بِهَا الْمُسْلِمُونَ؛ فَإِنَّ مَا أَوْجَبَهُ اللَّهُ مِنْ طَاعَةِ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَمُنَاصَحَتِهِمْ وَاجِبٌ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ عَلَيْهِ؛ فَكَيْفَ إذَا حَلَفَ عَلَيْهِ وَمَا نَهَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ عَنْ مَعْصِيَتِهِمْ وَغِشِّهِمْ مُحَرَّمٌ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ عَلَى ذَلِكَ. وَهَذَا كَمَا أَنَّهُ إذَا حَلَفَ لَيُصَلِّيَنَّ الْخَمْسَ وَلَيَصُومَنَّ شَهْرَ رَمَضَانَ أَوْ لَيَقْضِيَنَّ الْحَقَّ الَّذِي عَلَيْهِ وَيَشْهَدَنَّ بِالْحَقِّ: فَإِنَّ هَذَا وَاجِبٌ عَلَيْهِ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ عَلَيْهِ فَكَيْفَ إذَا حَلَفَ عَلَيْهِ وَمَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ وَرَسُولُهُ مِنْ الشِّرْكِ وَالْكَذِبِ وَشُرْبِ الْخَمْرِ وَالظُّلْمِ وَالْفَوَاحِشِ وَغِشِّ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَالْخُرُوجِ عَمَّا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ مِنْ طَاعَتِهِمْ: هُوَ مُحَرَّمٌ؛ وَإِنْ لَمْ يَحْلِفْ عَلَيْهِ فَكَيْفَ إذَا حَلَفَ عَلَيْهِ
“Mentaati para pemimpin dan memberi nasihat kepada mereka di mana dia diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah kewajiban bagi setiap orang, walaupun tanpa perjanjian darinya untuk mereka, dan walaupun dia tidak bersumpah untuk mereka dengan sumpah yang ditegaskan (sumpah rasmi), sebagaimana wajib ke atasnya solat lima waktu, zakat, puasa, haji ke Baitullah dan ketaatan-ketaatan lain yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya dia bersumpah padanya, maka perkara tersebut merupakan penegasan dan pengukuhan terhadap ketaatan kepada para pemimpin dan menasihati mereka di mana dia diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Orang yang bersumpah atas perkara-perkara ini tidak boleh melakukan perbuatan yang menyelisihi sumpah yang telah dia tegakkan, sama ada dia bersumpah atau tidak kerana mentaati para pemimpin dan menasihati mereka yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah wajib. Walaupun mereka yang berkaitan itu tidak bersumpah atasnya, maka bagaimana sekiranya dia bersumpah atasnya? Dan menentang serta mengkhianati mereka yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya adalah haram walaupun dia tidak bersumpah atasnya.
Perkara ini sebagaimana seseorang bersumpah hendak solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, atau hendak menunaikan hak yang dipikulnya dan bersaksi dengan kebenaran, semua ini wajib ke atasnya walaupun dia tidak bersumpah untuk perkara tersebut, lalu bagaimana sekiranya dia bersumpah untuknya? Manakala syirik, dusta, minum arak, melakukan kezaliman, perbuatan keji, mengkhianati pemimpin, menolak dari mentaatinya padahal ia diperintahkan oleh Allah, bahawa semua itu dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. Jadi, ia adalah haram walaupun mereka yang berkaitan tidak bersumpah atasnya, lalu bagaimana sekiranya dia bersumpah untuk perkara tersebut?” (Majmu’ al-Fatawa, 35/9-10)
Kemudian Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menambah lagi:
فَطَاعَةُ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاجِبَةٌ عَلَى كُلِّ أَحَدٍ؛ وَطَاعَةُ وُلَاةِ الْأُمُورِ وَاجِبَةٌ لِأَمْرِ اللَّهِ بِطَاعَتِهِمْ فَمَنْ أَطَاعَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ بِطَاعَةِ وُلَاةِ الْأَمْرِ لِلَّهِ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ. وَمَنْ كَانَ لَا يُطِيعُهُمْ إلَّا لِمَا يَأْخُذُهُ مِنْ الْوِلَايَةِ وَالْمَالِ فَإِنْ أَعْطَوْهُ أَطَاعَهُمْ؛ وَإِنْ مَنَعُوهُ عَصَاهُمْ : فَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ
“Mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah wajib ke atas sesiapa pun, dan mentaati pemerintah adalah wajib kerana Allah memerintahkan supaya mentaati mereka. Maka, sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya dengan mentaati pemerintah kerana Allah, maka pahalanya adalah dari Allah. Dan sesiapa yang tidak mentaati pemerintah, melainkan sekiranya ada jawatan dan harta yang diharapkan. Jika ulil Amri memberikan kepadanya (harta dan jawatan), maka dia pun taat. Sekiranya tidak, maka dia pun bertindak menentangnya. Maka, orang yang seperti ini dia tidak memiliki tempat di akhirat.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/16)
Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah turut menyatakan:
فجعل ذلك من مأموراته عزّ وجل، وما أمر الله تعالى به فهو عبادة. ولا يشترط في طاعتهم ألاّ يعصوا الله،فأطعهم فيما أمروا به وإن عصوا الله، لأنك مأمور بطاعتهم وإن عصوا الله في أنفسهم
“Allah ‘Azza wa Jalla menjadikan ketaatan kepada mereka (pemimpin) termasuk di antara ketaatan kepada-Nya dan apa yang diperintahkan Allah Ta’ala adalah merupakan ibadah.
Dalam urusan mentaati mereka (pemimpin) tidak disyaratkan bahawa pemimpin tersebut mestilah yang suci dari maksiat kepada Allah. Taatilah perintah mereka (selagi mana yang bukan maksiat), walaupun mereka (pemimpin sendiri) bermaksiat kepada-Nya, kerana kamu hanya diperintahkan mentaatinya (dalam urusan yang tidak bertentangan dengan agama), walaupun mereka sendiri melakukan maksiat kepada Allah.” (Ibnul ‘Utsaimin, Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah, hadis no. 7)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً وَأُمُورًا تُنْكِرُونَهَا قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَدُّوا إِلَيْهِمْ حَقَّهُمْ وَسَلُوا اللَّهَ حَقَّكُمْ
"Sesungguhnya kamu akan menyaksikan selepas peninggalanku perbuatan mementingkan diri dan pelbagai perkara yang kamu ingkari (tidak suka).” Mereka (para sahabat) bertanya:
“Maka apakah yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?” Baginda bersabda:
“Tunaikanlah kepada para pemerintah hak-hak mereka (sebagai pemimpin) dan mintalah kepada Allah hak-hak kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/441, no. 6529)
Dapat kita fahami dari hadis ini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedikitpun tidak memerintahkan kita semua supaya memberontak atau bertindak mengusahakan pertukaran tampuk kepimpinan sedia ada. Tetapi apa yang beliau perintahkan adalah supaya menunaikan hak-hak pemimpin (selaras dengan kedudukannya sebagai pemimpin) dan meminta hak-hak kita kepada Allah.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata,
فقد أخبر النبي صلى الله عليه و سلم أن الامراء يظلمون ويفعلون أمورا منكرة ومع هذا فأمرنا أن نؤتيهم الحق الذي لهم ونسأل الله الحق الذي لنا ولم يأذن في أخذ الحق بالقتال ولم يرخص في ترك الحق الذي لهم
“Sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa para pemimpin melakukan kezaliman dan pelbagai kemungkaran. Walaupun begitu, beliau telah memerintahkan kita supaya memberikan hak-hak pemimpin kepada pemimpin, dan kita pula meminta hak-hak kita kepada Allah. Beliau tidak membenarkan menuntut hak kita masing-masing dengan cara peperangan (sifat penentangan dan kepembangkangan) dan beliau juga tidak membenarkan meninggalkan hak-hak mereka (pemimpin).” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah, 3/392)
Hadis seterusnya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيْمَا أَحَبَّ وَكرَهَ إِلا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَّةٍ فَإِنْ أَمَرَ بِمَعْصِيَّةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ
“Wajib ke atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemerintah) pada apa-apa yang ia sukai atau ia benci, melainkan apabila penguasa tersebut menyuruh untuk melakukan kemaksiatan. Apabila ia menyuruh untuk melakukan maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (dalam urusan maksiat tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim, 3/370, no. 3423. at-Tirmidzi, 6/300, no. 1629)
Imam Muhammad ‘Abdurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah berkata:
وفيه: أن الإمام إذا أمر بمندوب أو مباح وجب . قال المطهر على هذا الحديث: (( يعني :سمع كلام الحاكم وطاعته واجب على كل مسلم، سواء أمره بما يوافق طبعه أو لم يوافقه، بشرط أن لا يأمره بمعصية فإن أمره بها فلا تجوز طاعته لكن لا يجوز له محاربة الإمام ))
“Dalam hadis ini mengandungi tuntutan bahawa jika imam atau pemimpin itu memerintahkan supaya melaksanakan amalan sunnah atau mubah (harus), maka wajib untuk melaksanakannya. Al-Muthahhar mengulas hadis ini, “Iaitu bahawa mendengar ucapan penguasa dan mentaatinya adalah perkara wajib bagi setiap muslim, sama ada dia memerintahkan kepada apa yang bersesuaian dengan tabiat muslim tersebut atau tidak. Syaratnya adalah pemimpin tersebut tidak memerintahkannya untuk melakukan maksiat. Sekiranya pemimpin tersebut memerintahkan kepada maksiat, maka tidak boleh mentaatinya (dalam perkara maksiat tersebut), namun juga tidak boleh membangkang (menafikan) kepimpinan pemimpin tersebut.” (Muhammad B. ‘Abdurrahman al-Mubarakfuri, Tuhfatul Ahwadzi Syarah Sunan at-Tirmidzi, 5/298)
Al-Harb berkata di dalam kitabnya Al-‘Aqidah dengan menukil perkataan daripada sejumlah ulama salaf:
وإن أمرك السلطان بأمر فيه لله معصية فليس لك أن تطعه البتة وليس لك أن تخرج عليه ولا تمنعه حقه
“Dan sekiranya sultan (penguasa) memerintahkan kepada kamu tentang suatu perkara kemaksiatan di sisi Allah, maka tidak ada ketaatan bagimu terhadapnya. Akan tetapi, kamu juga tidak boleh keluar dari ketaatannya dan menahan haknya sebagai pemimpin.” (Ibnul Qayyim, Haadi al-Arwaah ila Biladil Afraah, 1/289)
Di dalam hadis seterusnya, Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَإِنْ اسْتُعْمِلَ حَبَشِيٌّ كَأَنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ
“Dengar dan taatilah, walaupun yang menjadi pemimpin kamu adalah hamba sahaya berbangsa Habsyi yang kepalanya seperti kismis.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/101, no. 652)
أَلَا مَنْ وَلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ فَرَآهُ يَأْتِي شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ فَلْيَكْرَهْ مَا يَأْتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَلَا يَنْزِعَنَّ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ
“Ingatlah, sesiapa yang diperintahkan ke atasnya (oleh) seorang wali (imam atau pemimpin), kemudian dia melihat (imam atau pemimpin tersebut melakukan) maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan imam atau pemimpin tersebut). Dan tidak boleh baginya melepaskan tangan (keluar) dari ketaatan.” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/404, no. 3448)
Demikianlah di antara bentuk ketaatan ke atas seseorang pemimpin. Di mana kita diwajibkan untuk tetap taat kepada mereka dalam urusan yang makruf. Sekiranya mereka memerintahkan untuk melakukan maksiat, maka hendaklah kita berlepas diri dan tidak mentaati urusan perlaksanaan maksiat tersebut. Namun, dalam masa yang sama, kita juga tidak dibenarkan untuk membangkang dan mempertikaikan institusi atau kedudukan pemerintahannya.
Bersabar Dan Tidak Keluar Dari al-Jama’ah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberi peringatan yang tegas dan keras sebagaimana berikut:
من راى من اميره شيئا فكرهه فليصبر فانه ليس احد يفارق الجماعة شبرا فيموت الا مات ميتة جاهلية
“Sesiapa yang melihat pada amirnya (pemimpin) sesuatu yang dibencinya, hendaklah dia tetap sabar dengan sebab tersebut. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari al-Jama’ah (tidak mentaati pemerintahnya) walaupun sejengkal lalu ia mati dalam keadaan tersebut (keluar dari ketaatan terhadap pemimpin), maka matinya itu adalah mati dalam keadaan jahiliyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, 22/51, no. 6610)
al-‘Aini rahimahullah (Wafat: 855H) berkata:
يعني فليصبر على ذلك المكروه ولا يخرج عن طاعته لأن في ذلك حقن الدماء وتسكين الفتنة إلا أن يكفر الإمام ويظهر خلاف دعوة الإسلام فلا طاعة لمخلوق عليه وفيه دليل على أن السلطان لا ينعزل بالفسق والظلم ولا تجوز منازعته في السلطنة بذلك
“(Maksud hadis ini) hendaklah bersabar dengan apa yang tidak disukai dan tidak keluar dari ketaatan kepadanya. Ini bertujuan memelihara pertumpahan darah dan membendung fitnah dari berlaku, melainkan jika pemimpin tersebut menjadi kafir dan memperlihatkan amal-amal yang menyelisihi seruan Islam, maka tidak ada lagi ketaatan untuk makhluk ke atasnya. Dan ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa pemimpin tidak terlucut jawatannya dengan sebab fasiq dan zalim, dan tidak dibenarkan mengingkari kekuasaannya dengan sebab tersebut.” (Badr al-Din al-‘Aini al-Hanafi, ‘Umdatul Qari Syarah Shahih al-Bukhari, 35/109 - Maktabah Syamilah)
Bersabar dengan kezaliman para pemimpin adalah salah satu prinsip yang dipegang oleh Ahlus Sunnah wal-Jama’ah. Perkara ini disebutkan oleh Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dengan katanya:
الصَّبْرُ عَلَى ظُلْمِ الْأَئِمَّةِ وَجَوْرِهِمْ كَمَا هُوَ مِنْ أُصُولِ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ وَكَمَا أَمَرَ بِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ
“Sabar dengan kezaliman dan kekejaman para pemimpin adalah salah satu prinsip (usul) dari prinsip-prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama’ah sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadis-hadis yang masyhur.” (Majmu’ al-Fatawa, 28/179 - Daar al-Wafaa’)
Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) menjelaskan maksud hadis tersebut sebagaimana berikut:
قوله عن الطاعة أي طاعة الخليفة الذي وقع الاجتماع عليه وكأن المراد خليفة أي قطر من الأقطار إذ لم يجمع الناس على خليفة في جميع البلاد الإسلامية من أثناء الدولة العباسية بل استقل أهل كل إقليم بقائم بأمورهم إذ لو حمل الحديث على خليفة اجتمع عليه أهل الإسلام لقلت فائدته
وقوله وفارق الجماعة أي خرج عن الجماعة الذين اتفقوا على طاعة إمام انتظم به شملهم واجتمعت به كلمتهم وحاطهم عن عدوهم
قوله فميتته ميتة جاهلية أي منسوبة إلى أهل الجهل والمراد به من مات على الكفر قبل الإسلام وهو تشبيه لميتة من فارق الجماعة بمن مات على الكفر بجامع أن الكل لم يكن تحت حكم إمام فإن الخارج عن الطاعة كأهل الجاهلية لا إمام له
“Sabda-nya berkenaan ketaatan maksudnya adalah ketaatan kepada khalifah (pemimpin) yang telah disepakati atasnya, atau merujuk kepada pemimpin bagi daerah (atau wilayah atau negara) di mana ia bernaung. Kerana tidak semua umat Islam pada masa daulah ‘Abbasiyyah tunduk dan patuh kepada khalifah ketika itu, malah setiap wilayah ada pemimpin yang bebas menguruskan wilayahnya masing-masing (mereka bebas melantik pemimpin bagi wilayah mereka sendiri), maka sekiranya makna hadis ini diperuntukkan kepada khalifah yang diakui untuk setiap wilayah Islam (umat Islam), sudah tentu hadis ini sangat sedikit faedahnya.
Sabda-nya “berpisah (keluar) dari al-jama’ah” maksudnya adalah keluar dari jama’ah (masyarakat) yang telah sepakat mematuhi pemimpin yang menyatukan mereka dan menjaga mereka dari serangan musuh.
Sabda-nya “sekiranya ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyyah” perngertiannya disandarkan kepada orang-orang jahiliyyah, dan maksud dari jahiliyyah tersebut adalah sesiapa sahaja yang mati di dalam kekafiran sebelum Islam. Itu merupakan perumpamaan bagi yang mati dalam keadaan keluar dari jama’ah umat Islam yang diumpamakan seperti orang kafir yang mati sebelum ia menganut Islam, kerana kedua-duanya tidak tunduk dan tidak patuh kepada pemimpin. Orang yang tidak patuh (atau tidak taat) kepada pemimpin diibaratkan seperti orang-orang jahiliyyah yang tidak memiliki pemimpin.” (ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 3/258)
Dalam hadis yang lain berkenaan memisahkan diri daripada jama’ah pemerintah muslim, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:
لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِي وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ
“Tidak halal darah seorang muslim untuk ditumpahkan apabila dia mengakui bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah, dan aku adalah utusan Allah melainkan dengan salah satu dari tiga perkara:
1. Seseorang yang telah menikah tetapi kemudiannya dia berzina,
2. Membunuh orang lain, dan
3. Orang yang meninggalkan agama dengan cara memisahkan dirinya dari al-jama’ah.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/25, no. 3175)
Imam an-Nawawi rahimahullah berkata ketika mensyarahkan hadis ini:
وأما قوله صلى الله عليه و سلم والتارك لدينه المفارق للجماعة فهو عام في كل مرتد عن الإسلام بأي ردة كانت فيجب قتله إن لم يرجع إلى الإسلام قال العلماء ويتناول أيضا كل خارج عن الجماعة ببدعة أو بغي أوغيرهما وكذا الخوارج والله أعلم
“Adapun sabda beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Orang yang meninggalkan agama dengan cara memisahkan dirinya dari al-jama’ah” adalah bersifat umum bagi setiap orang yang murtad keluar dari Islam dengan setiap cara dan bentuknya, wajib untuk dibunuh sekiranya dia enggan bertaubat. Para ulama mengatakan:
Termasuk juga dalam maksud hadis ini adalah setiap orang yang keluar dari ketataan kepada pemerintah muslim dengan melakukan kebid’ahan, berkhianat, atau selainnya, demikian pula al-khawarij, wallahu a’lam.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 11/165)
Berkenaan mereka yang bertindak memecah-belahkan kesatuan umat Islam yang telah memiliki pemimpin, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّهُ سَتَكُونُ هَنَاتٌ وَهَنَاتٌ فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُفَرِّقَ أَمْرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ وَهِيَ جَمِيعٌ فَاضْرِبُوهُ بِالسَّيْفِ كَائِنًا مَنْ كَانَ
“Sesungguhnya akan berlaku bencana dan malapetaka, maka sesiapa yang hendak memecah-belah urusan umat ini padahal umat tersebut telah bersatu, bunuhlah mereka dengan pedang walau siapapun orangnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/395, no. 3442)
Dalam riwayat yang lain disebutkan:
مَنْ أَتَاكُمْ وَأَمْرُكُمْ جَمِيعٌ عَلَى رَجُلٍ وَاحِدٍ يُرِيدُ أَنْ يَشُقَّ عَصَاكُمْ أَوْ يُفَرِّقَ جَمَاعَتَكُمْ فَاقْتُلُوهُ
“Siapa sahaja yang datang kepada kamu sedangkan urusan kamu telah berada di tangan seorang pemimpin, kemudian dia bertindak menggugat kedudukan pemimpin kamu atau memecah-belahkan perpaduan di antara kamu, maka bunuhlah orang tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/395, no. 3443)
Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa:
فيه الأمر بقتال من خرج على الإمام أو أراد تفريق كلمة المسلمين ونحو ذلك وينهى عن ذلك فإن لم ينته قوتل وإن لم يندفع شره إلا بقتله فقتل
“Di dalamnya terdapat perintah untuk membunuh orang yang keluar melakukan penentangan kepada seseorang pemimpin, atau hendak memecah-belah kesatuan (perpaduan) umat Islam dan selainnya. Orang tersebut hendaklah ditegah dari meneruskan perbuatannya, sekiranya ia tidak mahu menghentikannya maka hendaklah diperangi. Apabila kejahatannya tidak dapat dihalang melainkan dengan cara demikian, maka membunuhnya adalah perkara yang dihalalkan.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/241)
Imam ash-Shan’ani menyebutkan perkara yang sama dengan katanya:
دلت هذه الألفاظ على أن من خرج على إمام قد اجتمعت عليه كلمة المسلمين والمراد أهل قطر كما قلناه فإنه قد استحق القتل لإدخاله الضرر على العباد وظاهره سواء كان جائرا أو عادلا وقد جاء في أحاديث تقييد ذلك بما أقاموا الصلاة وفي لفظ ما لم تروا كفرا بواحا
Hadis di atas dengan pelbagai bentuk lafaz dan susunannya telah menunjukkan bahawa sesiapa yang keluar (tidak mentaati) seseorang pemimpin yang telah disepakati oleh umat Islam dalam sesebuah wilayah (kawasan atau negara), maka dia berhak dibunuh kerana akan menimbulkan kerosakan kepada manusia sama ada pemimpin tersebut seorang yang adil ataupun yang zalim selagi mana mereka masih menegakkan solat sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis atau dalam hadis yang lain disebutkan, “Selagi kamu tidak melihat kekufuran yang nyata”. (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3/261)
Begitu juga dengan imam asy-Syaukani rahimahullah. Beliau berkata, “Apabila terdapat segolongan pihak yang cuba merampas kuasa daripada seseorang pemerintah yang telah memiliki kedaulatan (kuasa) dan juga diberi bai’ah (kepercayaan) oleh penduduknya, maka pada ketika itu, hukuman ke atas golongan tersebut ialah dibunuh jika ia tidak bertaubat.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/941 - Maktabah Syamilah)
Berkaitan dengan ini, pernah berlaku dalam sejarah generasi sahabat di mana Khalifah Mu’awiyah B. Abi Sufyan radhiyallahu ‘ahu telah bertindak menahan dan menghukum bunuh Hujr B. Adi al-Kindi dengan sebab Hujr telah mencerca dan menunjukkan sikap kepembangkangan secara terbuka kepada gabernor Mu’awiyah di Kuffah. Sedangkan Hujr B. Adi al-Kindi adalah termasuk daripada kalangan sahabat (sahabat kecil), dan sebahagian ulama menyatakan beliau adalah tabi’in.
Tindakan Mu’awiyah tersebut tidak mendapat bantahan daripada kalangan sahabat yang lain, sebaliknya ia termasuk sebahagian kebenaran dan menjadi hak bagi seseorang pemimpin untuk mengelakkan fitnah dan huru-hara (bibit-bibit pemberontakan). (Rujuk penjelasannya dalam al-Awashim minal Qowashin oleh Imam al-Qadhi Abu Bakr Ibnul Arabi. Tahqiq: Muhibbudin al-Khatib, Mahmud al-Istanbuli, dan al-Maktab as-Salafi)
Dalam sebuah hadis daripada Hudzaifah Ibn al-Yaman radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يَكُوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتَطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأطِعْ
“Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan jika aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada amir (pemerintah), walaupun ia memukul punggungmu dan merampas hartamu, tetaplah mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 3/387, no. 3435)
Selain hadis ini, terdapat pula pesanan ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu kepada Suwaid B. Ghaflah yang lebih menguatkan lagi.
Suwaid B. Ghaflah mengkhabarkan:
قَالَ لِي عُمَرُ: يَا أَبَا أُمَيَّةَ، إِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَلْقَاك بَعْدَ عَامِي هَذَا، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ وَإِنْ أُمِّرَ عَلَيْك عَبْدٌ حَبَشِيٌّ مُجْدَعٌ، إِنْ ضَرَبَك فَاصْبِرْ، وَإِنْ حَرَمَك فَاصْبِرْ، وَإِنْ أَرَادَ أَمْرًا يَنْتَقِصُ دِينَك فَقُلْ: سَمْعٌ وَطَاعَةٌ، دَمِي دُونَ دِينِي، فَلاَ تُفَارِقَ الْجَمَاعَةَ
‘Umar berkata kepadaku, “Wahai Abu Umayyah (Suwaid), mungkin kamu masih hidup setelah peninggalanku nanti, maka taatilah pemimpinmu walaupun ia seorang hamba berketurunan Habsyi yang cacat hidungnya, jika ia memukul (menzalimi) kamu maka bersabarlah, bila ia menghalang hak kamu maka bersabarlah, bila ia mengajak kepada perkara yang merosakkan urusan dunia kamu, maka katakanlah, “Kami dengar dan mentaati dengan darah kami, bukan dengan agama kami.” Janganlah kamu berpecah dari al-Jama’ah.” (Atsar Riwayat al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/38 dengan sanad yang sahih. al-Khallal, as-Sunnah, no. 54. Ibnu Abi Syaibah, al-Mushannaf, 12/544, no. 34400. Al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 8/159, no. 16405)
Setelah membawakan pesanan ‘Umar ini, Imam al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menjelaskan:
من أُمِّر عليك من عربي أو غيره، أسود أو أبيض، أو أعجمي، فأطعه فيما ليس لله عَزَّ وَجَلَّ فيه معصية، وإن ظلمك حقًّا لك، وإن ضربكَ ظلمًا، وانتهكَ عرضك وأخذ مالك، فلا يَحملك ذَلِكَ عَلَى أنه يَخرج عليه سيفك حتَّى تقاتله، ولا تَخرج مع خارجي حتَّى تقاتله، ولا تُحرِّض غيرك عَلَى الخروج عليه، ولكن اصبر عليه
“Sesiapa pun yang menjadi pemimpin ke atas kamu (selagi mana dia muslim), sama ada berketurunan ‘Arab atau selainnya, hitam atau putih, atau selain bangsa ‘Arab, maka hendaklah kamu taat pada apa yang diperintahkannya melainkan pada perkara maksiat kepada Allah ‘Azza wa Jalla (maka jangan kamu ikuti). Dan walaupun dia menzalimi kamu, menyakiti kamu, memukul kamu dengan zalim, merampas harta dan hak-hak kamu, maka janganlah dengan sebab semua itu menjadikan kamu bertindak memeranginya dengan pedang (senjata), dan janganlah kamu keluar bersama-sama kaum khawarij sehingga menentangnya, dan juga jangan sampai kamu menghasut orang lain untuk keluar dari ketaatan terhadapnya, tetapi hendaklah kamu tetap bersabar.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/40)
Dalam riwayat yang lain juga daripada Hudzaifah Ibn al-Yaman radhiyallahu ‘anhu di ketika beliau bertanyakan tentang keburukan kepada Rasulullah:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?”
Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran, kekalutan, atau kekeruhan) padanya.”
Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran, kekalutan, atau kekeruhan) tersebut?”
Beliau bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.”
Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?”
Beliau bersabda, “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut seruan mereka, maka mereka akan dicampakkan ke dalam jahannam (kebinasaan).”
Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.”
Beliau menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.”
Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?”
Beliau menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.”
Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?”
Beliau menjawab, “Jauhilah kelompok-kelompok itu semuanya walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/478, no. 6557)
Hadis-hadis ini adalah antara hadis-hadis yang paling jelas bagi bab ini, kerana Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah menyebutkan sifat-sifat pemimpin di mana mereka tidak mengikuti petunjuk Rasulullah dan tidak pula melaksanakan sunnah-sunnahnya. Itu adalah kemuncak kemungkaran serta penyelewengan dan kekerasan yang paling jelas dilakukan, di mana mereka (para pemimpin) tidak mengamalkan ajaran Rasulullah dalam urusan diri mereka, keluarga, dan rakyat. Walau demikian sikap mereka, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam tetap memerintahkan supaya mereka ditaati (tidak ditentang kepimpinannya).
Kita tidak dibenarkan mengingkari kepimpinan mereka selagi mana mereka adalah muslim dan menegakkan solat berserta syi’ar-syi’arnya. Ini sebagaimana dijelaskan dalam banyak hadis.
Berkenaan beberapa kesalahan yang mereka lakukan, ia sama sekali bukan tiket untuk kita melepaskan tali ketaatan terhadap kepimpinannya. Kesalahan mereka adalah urusan yang dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka sendiri. Ia nanti akan dihisab dan diberi pembalasan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Adapun urusan kita dengan mereka, adalah apa yang dibebankan ke atas kita berdasarkan dalil-dalil yang sahih, tidak lebih dari itu. Kita sedikitpun tidak diperintahkan supaya mencelanya, mengaibkannya, menentangnya, memeranginya, mahupun menjatuhkannya. Tidak juga diperintahkan supaya keluar dari ketaatan terhadapnya dengan membina kumpulan-kumpulan baru bertindak sebagai organisasi pembangkang dan penentang!
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ
“Dengar dan taatlah. Mereka bertanggungjawab ke atas apa yang dibebankan kepada mereka dan kamu bertanggungjawab ke atas apa yang dibebankan kepada kamu.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, 9/384, no. 3433)
Bahkan Rasulullah memerintahkan supaya kita meninggalkan kelompok-kelompok yang menyeru kepada perpecahan. Iaitu kelompok-kelompok yang memisahkan diri dari ketataan terhadap pemerintah. Rasulullah menamakan kelompok-kelompok tersebut sebagai “penyeru kepada pintu-pintu jahannam.”
Mungkin akan ada yang beralasan dengan akta kebebasan bersuara dan hukum demokrasi. Namun bagi kita yang beriman dan benar-benar taat menjunjung al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi, hak kebebasan bersuara dan hukum demokrasi tidaklah lebih tinggi dari Hukum Allah. Demokrasi bukan alasan untuk berpecah meninggalkan hadis-hadis Rasulullah.
Apatah lagi jika pemerintah kita yang ada pada hari ini jelas jauh lebih baik dari apa yang disifatkan oleh hadis tersebut! Jadi, di mana hendak kita campakkan pesan-pesan Rasulullah ini?
Terkait dengan hadis tersebut, pada masa sekarang ini terdapat begitu banyak kelompok atau kumpulan-kumpulan tertentu yang bertindak menyelisihi para pemimpin sedia ada bagi kebanyakan wilayah atau negara tertentu. Walaupun pemimpin yang memimpin sesebuah negara itu adalah muslim dan tetap menegakkan solat, tetapi kumpulan-kumpulan serpihan ini sentiasa bertindak sebagai golongan pembangkang yang suka mencela dan sentiasa berhasrat mahu merampas, merebut, atau menguasai tampuk kepimpinan sedia ada.
Dalam situasi ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyatakan:
وبالدعاة على أبواب جهنم من قام في طلب الملك من الخوارج وغيرهم والى ذلك الإشارة بقوله الزم جماعة المسلمين وامامهم يعني ولو جار ويوضح ذلك رواية أبي الأسود ولو ضرب ظهرك وأخذ مالك وكان مثل ذلك كثيرا في امارة الحجاج ونحوه قوله تلزم جماعة المسلمين وامامهم بكسر الهمزة أي أميرهم زاد في رواية أبي الأسود تسمع وتطيع وان ضرب ظهرك وأخذ مالك وكذا في رواية خالد بن سبيع عند الطبراني فان رأيت خليفة فالزمه وان ضرب ظهرك فان لم يكن خليفة فالهرب
“Para penyeru kepada pintu-pintu jahannam adalah mereka yang berusaha mencari kekuasaan, sama ada dari kalangan khawarij (pembawa idelogi pemberontakan) ataupun yang selainnya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.” Maksudnya, walaupun seseorang pemimpin itu melakukan kezaliman.
Lebih menjelaskan perkara ini adalah riwayat Abu al-Aswad, “Walaupun dia memukul punggung kamu dan merampas harta kamu.” Situasi seperti ini banyak berlaku pada masa pemerintahan al-Hajjaj dan selainnya.
“Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka,” maksudnya adalah pemimpin (yang menaungi) mereka. Dalam riwayat Abu al-Aswad ditambahkan, “Hendaklah engkau mendengar dan mentaati walaupun dia memukul punggungmu dan mengambil harta kamu.” Demikian juga dalam riwayat Khalid B. Suba’i yang direkodkan oleh ath-Thabrani, “Sekiranya engkau melihat khalifah (pemimpin), maka bersama-samalah dengan mereka walaupun dia memukul punggung kamu....”
وقال بن بطال فيه حجة لجماعة الفقهاء في وجوب لزوم جماعة المسلمين وترك الخروج على أئمة الجور لأنه وصف الطائفة الأخيرة بانهم دعاة على أبواب جهنم ولم يقل فيهم تعرف وتنكر كما قال في الأولين وهم لا يكونون كذلك الا وهم على غير حق وأمر مع ذلك بلزوم الجماعة
... Ibnu Baththal berkata, “Di dalamnya terdapat dalil bagi para fuqaha’ (ahli fiqh) tentang kewajiban berkumpul bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan tidak melakukan pembangkangan (penentangan) kepada para pemimpin yang zalim, kerana beliau menggambarkan kelompok yang terpisah daripada pemimpin sebagai “para penyeru di pintu-pintu jahannam,” dan mereka tidak dinyatakan oleh beliau “engkau kenal dan engkau ingkari,” sebagaimana beliau sabdakan berkaitan dengan kelompok pertama. Mereka tidak berada dalam keadaan seperti itu melainkan mereka di atas kebatilan. Walaupun begitu, kita tetap diperintahkan supaya bersama-sama dengan jamaah (pemimpin yang memimpin).” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/36-37)
Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan hal yang sama sebagaimana berikut:
وفي حديث حذيفة هذا لزوم جماعة المسلمين وإمامهم ووجوب طاعته وإن فسق وعمل المعاصي من أخذ الأموال وغير ذلك فتجب طاعته في غير معصية وفيه معجزات لرسول الله صلى الله عليه و سلم وهي هذه الأمور التي أخبر بها وقد وقعت كلها
“Dalam hadis riwayat Hudzaifah ini terdapat pelajaran berharga, iaitu perintah untuk sentiasa bersama-sama jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka serta kewajiban mentaati mereka walaupun mereka itu fasiq dan melakukan banyak perkara maksiat seperti merampas harta dan seumpamanya. Maka wajib mentaati mereka dalam perkara selain maksiat. Hadis ini juga adalah merupakan mukjizat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana semua perkara yang beliau khabarkan telah pun terjadi.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/238)
Solat Sebagai Batas Ketaatan
Hadis daripada ‘Auf B. Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ فَقَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ
“Sebaik-baik pemimpin bagi kamu adalah orang-orang yang kamu semua cintai dan mereka pun mencintai kamu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.
Adapun seburuk-buruk pemimpin di antara kamu ialah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci kamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu semua.”
‘Auf berkata, “Kami para sahabat lalu berkata, “Ya Rasulullah, adakah kita tidak boleh menentang pemimpin-pemimpin yang seperti ini? Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Jangan menentang mereka dengan pedang, selama mereka masih tetap mendirikan solat bersama-sama kamu. Jika kamu melihat pada pemimpin kamu sesuatu yang kamu benci, maka bencilah perbuatan tersebut, tetapi janganlah kamu melepaskan ketaatan (daripada pemimpin tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/403, no. 3447)
Dalam riwayat yang lain disebutkan:
قَالُوا قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ عِنْدَ ذَلِكَ قَالَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ لَا مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ أَلَا مَنْ وَلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ فَرَآهُ يَأْتِي شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ فَلْيَكْرَهْ مَا يَأْتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَلَا يَنْزِعَنَّ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi (menentang) mereka pada ketika itu?” Rasulullah menjawab, “Jangan, selagi mana mereka masih solat bersama-sama kamu! Jangan, selagi mana mereka masih solat bersama-sama kamu! Ingatlah, jika ada pemimpin yang menguruskan urusan seseorang lalu orang itu melihat pemimpinnya melakukan maksiat kepada Allah, maka bencilah maksiat tersebut, dan jangan melepaskan ketaatan (daripada pemimpin tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/404, no. 3448)
Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata,
فقد نهى رسول الله صلى الله عليه و سلم عن قتالهم مع إخباره أنهم يأتون أمورا منكرة فدل على أنه لا يجوز الإنكار عليهم بالسيف كما يراه من يقاتل ولاة الأمر من الخوارج والزيدية والمعتزلة وطائفة من الفقهاء وغيرهم
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang dari memerangi mereka (pemimpin) walaupun pemimpin tersebut melakukan perkara-perkara yang mungkar. Ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan mengingkari (menentang atau mengingkari) mereka dengan pedang (senjata) sebagaimana yang difahami oleh golongan yang memerangi para pemimpin dari kelompok Khawarij, Zaidiyyah, Mu’tazilah, dan sekelompok (sebahagian kecil) dari para fuqaha’ (ahli fiqh) dan selainnya.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah, 3/392 - Mu’assasah al-Qurthubah)
Daripada Ummu Salamah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا
“Nanti akan datang para pemimpin yang berbuat baik juga berbuat mungkar. Sesiapa yang memahami (perkara tersebut) maka ia terlepas, sesiapa yang mengingkari bererti ia selamat. Berbeza dengan orang yang rela dan patuh.” Para sahabat pun bertanya, “Bolehkah kita memeranginya (menentanganya)?” Beliau menjawab, “Jangan, selagi mana mereka masih mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, 9/400, no. 3445)
Dalam riwayat yang lain juga daripada Ummu Salamah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ فَقَدْ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نُقَاتِلُهُمْ قَالَ لَا مَا صَلَّوْا أَيْ مَنْ كَرِهَ بِقَلْبِهِ وَأَنْكَرَ بِقَلْبِهِ
“Akan diangkat para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian engkau mengingkarinya (kerana ia telah melakukan maksiat). Sesiapa yang benci (terhadap maksiat tersebut), maka ia telah berlepas diri. Sesiapa yang mengingkarinya, benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan mengikuti keburukan pemimpin tersebut (dia tidak akan selamat).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh memeranginya (menentanganya)?” Beliau menjawab, “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat.” Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/401, no. 3446)
Dapat kita fahami dari hadis-hadis tersebut bahawa batas keataan kepada pemimpin adalah selagi mana mereka masih muslim dan tetap menegakkan syi’ar solat serta seruan-seruannya. Dari hadis-hadis tersebut juga, sebenarnya ia telah membatalkan pandangan beberapa pihak yang menyatakan bahawa ketaatan kepada pemimpin gugur apabila pemimpin tersebut gagal atau tidak melaksanakan perundangan jenayah Islam tertentu seperti hudud dan qishash atas kelemahan tertentu, manakala ada juga pihak yang menyatakan bahawa ketaatan kepada pemimpin hanya sekiranya mereka memimpin dengan sistem khilafah. Dengan itu juga, dapatlah kita fahami bahawa pandangan tersebut adalah keliru dan bertentangan pula dengan teks hadis-hadis yang sahih. Ini sebagaimana di atas yang menyatakan bahawa syarat yang paling minima yang perlu ada pada diri seseorang pemimpin untuk ditaati ialah selagi mana mereka (pemimpin) melaksanakan ibadah solat dan seruan-seruannya.
Para ulama telah mengambil maksud hadis tersebut berdasarkan maknanya yang zahir iaitu dibolehkan keluar dari ketaatan terhadap seseorang pemimpin atau pemerintah sekiranya ia telah meninggalkan solat. Sebaliknya, selagi mana mereka tetap melaksanakan solat, maka menjadi kewajiban untuk kita mentaatinya sebagai pemimpin. Ini antaranya dapat dilihat dan difahami berdasarkan perkataan para ulama berikut:
Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204) melalui katanya:
والسمع لأولي الأمر ما داموا يصلون والموالاة لهم، ولا يخرج عليهم بالسيف
“Dan hendaklah kamu tetap mendengar (tidak melepaskan ketaatan) kepada pemerintah (ulil amri) selagi mana mereka masih melaksanakan solat dan hendaklah kamu memberi kesetiaan kepada mereka serta tidak khuruj dengan pedang (keluar dari ketaatan) terhadap mereka.” (as-Suyuthi, al-Amru bil Ittiba’ wan Nahi ‘anil Ibtida’, m/s. 313, Tahqiq Masyhur Hasan Salman - Daar Ibnul Qayyim)
Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan,
أجمع العلماء على أن الإمامة لا تنعقد لكافر، وعلى أنه لو طرأ عليه الكفر انعزل. قال: وكذا لو ترك إقامة الصلوات والدعاء إليها
Berkata al-Qadhi ‘Iyadh, “Para ‘ulama telah berijma’ (bersepakat) bahawa imamah (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir. Apabila secara tiba-tiba kekafiran terjadi padanya, maka ia dilucutkan (sebagai pemimpin).” Dan beliau turut menyatakan, “Begitu juga apabila ia meninggalkan perlaksanaan solat dan seruan kepadanya (seruan solat).” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229)
Abu al-‘Abbas al-Qurthubi (guru dan merupakan datuk kepada ulama tafsir - Abu ‘Abdillah al-Qurthubi) berkata tentang hadis tersebut (مَا أَقَامُوا فِيكُمْ الصَّلَاةَ),
ظاهره: ما حافظوا على الصلوات المعهودة بحدودها، وأحكامه، وداموا على ذلك، وأظهروه. وقيل معناه: ما داموا على كلمة الاسلام؛ كما قد عبَّر بالمصلين عن المسلمين؛ كما قال صلى الله عليه وسلم، (( نهيتُ عن قتل المصلين )) أي: المسلمين. والأوَّل أظهر
Maksudnya secara zahir adalah selagi mereka (pemimpin atau pemerintah) menjaga solat-solat yang diwajibkan berdasarkan ketentuan dan hukum-hukumnya, sentiasa melaksanakannya, dan menzahirkannya (bersama-sama masyarakat). Ada pula yang mengatakan maknanya adalah: Selama mereka melaksanakan kalimat Islam (secara umum) - sebagaimana kalimat al-mushalliin yang ditafsirkan sebagai al-muslimin, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Aku melarang kamu untuk membunuh al-mushalliin (orang-orang yang melaksanakan solat),” iaitu: al-muslimin (orang-orang muslim). Akan tetapi, makna yang pertama adalah makna yang lebih jelas.” (al-Qurthubi, al-Mufhim lima Usykila min Talkhish Kitab Muslim, Kitab al-Imarah wal-Bai’ah, 12/108 - Maktabah Syamilah)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
وهذا يبين أن الأئمة هم الأمراء ولاة الأمور وأنه يكره وينكر ما يأتونه من معصية الله ولا تنزع اليد من طاعتهم بل يطاعون في طاعة الله وأن منهم خيارا
Hadis ini menjelaskan bahawa al-aimmah adalah al-umara’ dan walaatul umur. Mereka dibenci dan diingkari apabila melakukan perbuatan maksiat kepada Allah. Tidak boleh (bagi sesiapapun) untuk melepaskan tangan dari ketaatan kepada mereka. Akan tetapi, mereka ditaati hanya dalam urusan ketaatan kepada Allah, walaupun pada mereka terdapat kebaikan dan keburukan dalam masa yang sama.” (Minhajus Sunnah, 1/117 – Mu’assasah Qurthubah)
Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) berkata:
ويستدل أيضا على القتال على ترك الصلاة بما في صحيح مسلم عن أم سلمة
“Dalil lain yang menunjukkan dibolehkan memerangi orang-orang yang meninggalkan solat adalah hadis dalam Shahih Muslim daripada Ummu Salamah radhiyallahu ‘anhu (sebagaimana hadis di atas).” (Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 86 - Maktabah Syamilah)
Al-‘Allamah Mulla ‘Ali Al-Qari al-Hanafi (Wafat: 1014H) ketika menjelaskan hadis tersebut, beliau berkata:
إقامتهم الصلاة فيما بينكم لأنها علامة اجتماع الكلمة في الأمة قال الطيبي فيه إشعار بتعظيم أمر الصلاة وإن تركها موجب لنزع اليد عن الطاعة
“Mereka menegakkan solat bersama-sama kamu, kerana perkara tersebut merupakan tanda perpaduan bagi ummat (masyarakat). Telah berkata ath-Thiibi, “Pada hadis tersebut terdapat maklumat yang menunjukkan keagungan urusan solat di mana apabila ia ditinggalkan akan memberi kesan (akibat) terlepasnya tangan dari ketaatan.” (‘Ali al-Qari, Mirqatul Mafatih Syarah Misykat al-Mashabih, Kitab al-Imarah wal-Qadha’, 11/307 - al-Meshkah)
Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata ketika menjelaskan hadis (لا، مَا أَقَامُوا فيكُمُ الصَّلاةَ):
فيه دليل على أنه لا يجوز منابذة الأئمة بالسيف مهما كانوا مقيمين للصلاة ويدل ذلك بمفهومه على جواز المنابذة عند تركهم للصلاة
“Padanya terdapat dalil yang menunjukkan tidak dibenarkan menentang atau memerangi pemimpin dengan menggunakan pedang selagi mereka masih menegakkan solat. Dan hadis tersebut juga menunjukkan dengan apa yang disebutkannya bahawa boleh menentang pemimpin apabila mereka meninggalkan solat.” (Muhammad B. ‘Ali asy-Syaukani, Nail al-Authar, 7/201)
Syams al-Haq al-‘Azhim ‘Abadi berkata ketika menafsirkan hadis (أفلا نقاتلهم قال لا ما صلوا):
أي ما داموا يصلون
“Iaitu selagi mereka tetap melaksanakan solat.” (‘Aunul Ma’bud, 13/75 - Maktabah Syamilah)
Kenapa solat Menjadi Batasan Ketaatan?
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِرْكِ وَالكُفرِ تَرْكَ الصَّلاة
“Sesungguhnya batas (atau sempadan) seseorang di antara kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228, no. 116)
Daripada ‘Abdullah B. Syaqiq al-‘Uqaili (seorang Tabi’in), beliau berkata:
كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم لا يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ اْلأَعْمَالِ تَرْكَهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاة
“Para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak melihat sesuatu amal yang jika ditinggalkan menyebabkan kufur melainkan solat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Kitab al-Iman, 9/208, no. 2546. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Daripada hadis ini menunjukkan bahawa solat menjadi benteng dan batas ketaatan kepada pemerintah adalah kerana ia merupakan syi’ar tanda keislaman seseorang.
Dan sebagai tanda bahawa syi’ar solat itu masih tetap dilaksanakan bersama-sama masyarakat, adalah berkumandangnya seruan azan tanpa sekatan dan halangan.
Daripada sebuah hadis oleh Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ الْأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلَّا أَغَارَ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila hendak menyerang sesebuah daerah (atau wilayah) ketika terbit fajar, beliau akan menunggu terlebih dahulu suara azan. Sekiranya beliau mendengar suara azan, maka beliau menahan diri. Tetapi sekiranya beliau tidak mendengar, maka beliau pun menyerang.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab ash-Shalah, 2/324, no. 575)
Hadis ini menunjukkan bahawa azan adalah penghalang yang tidak membolehkan sesebuah negeri itu diserang. Ini juga membawa maksud bahawa negeri tersebut adalah wilayah kepunyaan umat Islam (wilayah Islam) yang di dalamnya ditegakkan solat berserta seruan-seruannya.
Dari sini juga menunjukkan bahawa syi’ar solat adalah hukum Allah yang agung dan terbesar setelah tauhid (aqidah). Ini adalah sebagaimana hadis berikut:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لينقضن عرا الإسلام عروة عروة فكلما انتقضت عروة تشبت الناس بالتي تليها وأولهن نقضا الحكم وأخرهن الصلاة
“Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Di setiap kali ikatannya terlepas, ia diikuti oleh manusia (ikatan seterusnya akan terlepas). Dan yang pertama kali terlepas adalah hukum (perundangan) dan yang terakhir sekali adalah solat.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/485, no. 22160. Dinilai jayyid isnadnya oleh Syu’aib al-Arnauth)
Sebenarnya, apa yang perlu kita fahami bahawa setelah tamatnya era pemerintahan khalifah al-Rasyidin, memang tidak terdapat perlaksanaan Islam secara sempurna, menyeluruh dan komprehensif. Pada fasa setelah mereka berlaku banyaknya lompang-lompang yang perlu sama-sama diperbaiki dengan kaedah-kaedah yang syar’i secara bersama.
Prinsip ketaatan kepada pemerintah inilah yang membezakan di antara mazhab ahlus aunnah wal-jama’ah dengan mazhab kelompok sesat khawarij.
Sepintas Lalu Tentang Khawarij
Khawarij ketika awal Islam dikenali sebagai kelompok yang menyelisihi para sahabat dalam mengambil maksud nash-nash agama serta memiliki ideologi pemberontakkan dan kepembangkangan terhadap pemerintah. Mereka menganggap dengan memisahkan diri daripada kepimpinan pemimpin yang zalim (walaupun penilaian zalim itu hanya pada anggapan mereka) adalah salah satu bentuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Mereka juga berkeyakinan bahawa sesiapa yang melakukan dosa besar sebagai kafir.
Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah menjelaskan, “al-Khawarij berpendapat bahawa tiada ketaatan kepada pemimpin atau amir jika dia melakukan dosa, kerana menurut mereka dosa besar menjadikan pelakunya keluar dari Islam (kafir).
Begitu juga dengan kaum Syi’ah Rafidhah yang menyatakan tiada imam (pemimpin) yang maksum, umat Islam tidak memiliki imam dan tidak mengikuti imam sejak imam yang mereka tunggu-tunggu menghilang. Jadi, sejak saat itu sehingga ke hari ini masyarakat mati dalam keadaan jahiliyyah. Kata mereka, tidak ada imam kecuali imam yang maksum (bebas dari segala dosa), tidak ada haji, dan tidak ada jihad bersama mana-mana amir (pemimpin), kerana imam yang sebenar belum muncul.
Manakala ahlus sunnah melihat jauh ke hadapan, kerana menyelisihi perkara-perkara ini bererti derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, serta akan mengheret masyarakat kepada fitnah yang besar. Bukankah yang membuka pintu fitnah dan peperangan di antara kaum muslimin serta perselisihan pendapat adalah gerakan pembangkangan terhadap para pemimpin?
Walaupun demikian, perkara ini tidaklah bererti ahlus sunnah wal-jama’ah menganggap perbuatan amir yang salah tersebut sebagai bukan kemungkaran. Ahlus sunnah tetap menganggapnya sebagai kemungkaran (cuma cara menanganinya adalah berbeza dan telah ditetapkan kaedahnya oleh syara’ – pent.).
Walaupun pemimpin tersebut minum arak atau menzalimi hak rakyat contohnya, kita tetap wajib melaksanakan solat bersama-sama dengannya, dan solat tersebut adalah sah. Lebih dari itu, ahlus sunnah wal-jama’ah berpendapat bahawa solat Juma’at di belakang imam pelaku bid’ah adalah sah selagi mana bid’ah yang dilakukannya tidak mencapai darjat kekafiran, kerana ahlus sunnah wal-jama’ah berpendapat perbuatan menyelisihi para pemimpin dalam perkara ini adalah termasuk keburukan, dan bagi pemimpin itu sendiri adalah tidak sepatutnya melakukan kemungkaran tersebut. Perkara yang sama berlaku dalam solat hari raya, iaitu ahlus sunnah solat bersama-sama para pemimpin (atau wakilnya) walaupun mereka (pemimpin) adalah orang-orang yang fasiq.
Dengan cara yang tenang ini, jelaslah bahawa Islam merupakan agama pertengahan di antara kelompok yang berlebih-lebihan dan yang terlalu meremehkan.” (Ibnu al-Utsaimin, Syarah al-Aqidah al-Wasithiyah. Rujuk: http://www.alnasiha.net/cms/node/35 dan http://www.ibnothaimeen.com/soft/AlakidahAlwasetiah.exe)
Ini adalah sebagaimana yang telah terpahat dalam sejarah di akhir era para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’ain ketika berhadapan dengan kepimpinan ‘Abdul Malik B. Marwan dan al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi. Walaupun kedua-dua pemimpin ini begitu zalim dan fasiq, membunuh ribuan nyawa para ulama termasuk dari kalangan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, minum arak terang-terangan, solat dalam keadaan mabuk, dan merosakkan ka’abah dengan manjaniq, tetapi para sahabat yang hidup pada ketika itu tetap tidak melepaskan tangan ketaatan kepadanya. Bahkan para sahabat bersama-sama para ulama lainnya dari kalangan tabi’in tetap bersolat bersama-sama imam mereka, al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi ini.
Ini benar-benar berbeza dengan apa yang difahami oleh kaum khawarij.
Imam al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menjelaskan tentang kaum khawarij dengan katanya:
لم يختلف العلماء قديماً وحديثاً أن الخوارج قوم سوء، عصاة لله عز وجل ولرسوله صلى الله عليه وسلم، وإن صلوا وصاموا، واجتهدوا في العبادة ، فليس ذلك بنافع لهم، وإن أظهروا الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، وليس ذلك بنافع لهم، لأنهم قوم يتأولون القرآن على ما يهوون، ويموهون على المسلمين. وقد حذرنا الله عز وجل منهم، وحذرنا النبي صلى الله عليه وسلم ،وحذرناهم الخلفاء الراشدون بعده، وحذرناهم الصحابة رضي الله عنهم ومن تبعهم بإحسان رحمة الله تعالى عليهم.
والخوارج هم الشراة الأنجاس الأرجاس، ومن كان على مذهبهم من سانر الخوارج، يتوارثون هذا المذهب قديماً وحديثاً، ويخرجون على الأئمة والأمراء ويستحلون قتل المسلمين
“Para ulama sepakat menyatakan bahawa khawarij adalah suatu kaum yang jahat dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka solat, berpuasa, dan bersungguh-sungguh dalam ibadah. Tetapi kebaikan yang mereka usahakan itu tidaklah memberi sebarang manfaat sedikitpun untuk mereka kerana mereka telah menyelewengkan makna ayat-ayat al-Qur’an bersesuaian dengan hawa nafsunya. Mereka juga menonjolkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi ia tidak bermanfaat bagi mereka. Kerana mereka gemar menafsirkan al-Qur’an dengan hawa nafsu dan menipu umat Islam. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah memberi peringatan kepada kita dari bahaya dan kesesatan mereka. Begitu juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para khulafa al-Rasyidin, para sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik turut mengingatkan. Khawarij ini dan yang sealiran dengannya adalah orang-orang yang jahat, najis, dan kotor. Mereka saling mewarisi fahaman sesat ini sejak dahulu sehinggalah sekarang. Mereka memisahkan diri dari para pemerintah umat Islam, sehingga ada dari mereka yang menghalalkan tindakan membunuh umat Islam.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/22)
Kemudian beliau mengingatkan supaya berwaspada terhadap mazhab khawarij kepada kita semua dengan katanya:
قد ذكرت من التحذير عن مذاهب الخوارج ما فيه بلاغ لِمن عصمه الله عَزَّ وَجَلَّ الكريم، عن مذهب الخوارج، ولَم ير رأيهم وصبر عَلَى جَوْر الأئمة، وحَيْف الأمراء، ولَم يَخرج عليهم بسيفه، وسأل الله العظيم كشف الظلم عنه، وعن جَميع المسلمين، ودعا للولاة بالصلاح، وحجَّ معهم، وجاهد معهم كل عدو للمسلمين، وصلى خلفهم الجمعة والعيدين، وإن أمروه بطاعتهم فأمكنته طاعتهم أطاعهم، ولِمن لَم يُمكنه اعتذر إليهم، وإن أمروه بِمعصية لَم يطعهم، وإذا دارت بينهم الفتن لزم بيته، وكفَّ لسانه ويده، ولَم يَهو ما هُم فيه، ولَم يُعن عَلَى فتنته، فمن كَانَ هذا وصفه كَانَ عَلَى الطريق المستقيم إن شاء الله تعالَى
“Sungguh-sungguh aku telah menyebutkan peringatan (tahdzir) terhadap mazhab khawarij. Yang mana pada peringatan tersebut mengandungi khabar bagi orang yang dipelihara oleh Allah ‘Azza wa Jalla yang maha Mulia dari mazhab al-khawarij, dan tidak supaya berpegang dengan mazhab mereka, dan hendaklah bersabar dengan kezaliman para pemimpin, juga dengan ketidak-adilan pemimpin, dan tidak keluar dari ketaatan kepada mereka dengan senjata (pedang). Kita berharap kepada Allah yang maha Agung supaya menghilangkan kezaliman darinya, juga dari semua kaum muslimin, dan mendoakan para pemimpin dengan kebaikan. Juga bersama-sama dengan mereka dalam melaksanakan haji, berjihad menentang musuh umat Islam, solat juma’at dan solat dua hari raya bersama mereka. Sesiapa yang bersifat seperti ini bererti dia berada di atas jalan yang lurus, insyaAllah.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/37)
Kekafiran Pemimpin Menghapuskan Ketaatan Terhadapnya
Daripada hadis Junadah B. Abi Umayyah radhiyallahu ’anhu, beliau berkata:
دَخَلْنَا عَلَى عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ - وَهُوَ مَرِيضٌ قُلْنَا أَصْلَحَكَ اللَّهُ حَدِّثْ بِحَدِيثٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهِ سَمِعْتَهُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ
“Kami masuk menemui ‘Ubadah B. ash-Shamit (ketika beliau terlantar sakit), lalu kami pun berkata, “Semoga Allah memulihkan keadaan kamu, khabarkanlah kepada kami satu hadis yang dengannya Allah memberi manfaat kepadamu, yang telah engkau dengar daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” Beliau pun berkata, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyeru kami supaya membai’atnya.” Kemudian beliau berkata, “Di antara perjanjian yang diambil daripada kami adalah supaya kami membai’atnya untuk mendengar dan taat di ketika senang dan ketika susah, ketika sukar dan ketika mudah, mengutamakan beliau (Nabi) berbanding diri kami sendiri, tidak berebut (atau mengambil atau merampas atau mempersoalkan) urusan kepimpinan daripada para pemiliknya melainkan sekiranya melihat kekufuran yang nyata (pada diri pemimpin tersebut), di mana ada bukti (yang boleh dipertanggungjawabkan) untuk kamu kemukakan kepada Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/444, no. 6532. Shahih Muslim, Kitab al-Imarah, 9/374, no. 3427)
Al-Kirmani menyatakan:
وفي الحديث أن السلطان لا ينعزل بالفسق، إذ في عزله سبب للفتنة، وإراقة الدماء، وتفريق ذات البين، فالمفسدة في عزله أكثر منها في بقائه
“Pada hadis ini menjelaskan bahawa pemimpin (Sulthan) tidak terlucut jawatannya dengan sebab kefasikannya. Kerana melucutkan jawatannya boleh menyebabkan fitnah, pertumpahan darah, dan memecah-belahkan perpaduan. Oleh itu, kerosakan yang timbul dari pemecatannya adalah lebih banyak berbanding daripada ia kekal sebagai pemimpin.” (Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyyah, m/s. 166)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
فهذا أمر بالطاعة مع استئثار ولي الأمر، وذلك ظلم منه، ونَهى عن منازعة الأمر أهله، وذلك نَهى عن الخروج عليه؛ لأن أهله هم أولو الأمر الذين أمر بطاعتهم وهم الذين لهم سلطان يأمرون به
“Maka ini adalah perintah supaya mentaati walaupun pemimpin tersebut zalim. Kezaliman itu adalah daripada dirinya. Ia juga merupakan larangan dari membantah arahan dari ahlinya (pemimpin). Dan ia adalah larangan keluar (al-khuruj) dari ketaatan kepadanya serta ahlinya, iaitu para pemimpin yang diperintahkan untuk ditaati dan mereka juga adalah orang-orang yang memiliki kuasa untuk memerintahkan perkara tersebut.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah, 3/395 - Tahqiq Muhammad Rasyad Salim, Mu’assasah al-Qurthubah)
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
ومعنى الحديث لا تنازعوا ولاة الأمور في ولايتهم ولا تعترضوا عليهم إلا أن تروا منهم منكرا محققا تعلمونه من قواعد الإسلام فإذا رأيتم ذلك فأنكروه عليهم وقولوا بالحق حيث ما كنتم وأما الخروج عليهم وقتالهم فحرام بإجماع المسلمين وإن كانوا فسقة ظالمين
“Dan makna hadis ini adalah, jangan kamu menentang kekuasaan ulil amri (pemimpin) dan janganlah kamu membangkang melainkan apabila kamu melihat kemungkaran yang nyata daripada mereka, yang kamu ketahui bahawa perkara tersebut termasuk tunjang-tunjang Islam (min qowaa’idil Islaam). Apabila kamu melihat seperti itu, maka ingkarilah dan sampaikanlah yang benar di mana pun kamu berada. Adapun memisahkan diri keluar dari ketaatan kepadanya dan memusuhi (atau memerangi) mereka, adalah haram berdasarkan ijma’ muslimin (umat Islam), walaupun pemimpin tersebut termasuk orang-orang yang fasiq lagi zalim.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari, 13/8)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menambahkan (setelah menukil perkataan Imam an-Nawawi di atas):
وقال غيره المراد بالإثم هنا المعصية والكفر فلا يعترض على السلطان إلا إذا وقع في الكفر الظاهر
“Dan telah berkata para ulama selain beliau (an-Nawawi), “Bahawasannya yang dimaksudkan dengan dosa adalah kemaksiatan dan kekufuran. Maka dari itu, tidak dibolehkan melakukan penentangan ke atas sultan melainkan apabila ia telah terjatuh ke dalam kekufuran yang nyata (telah kafir secara terang-terangan tanpa dapat ditakwil - pen.).” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 13/8)
Beliau seterusnya berkata lagi:
والذي يظهر حمل رواية الكفر على ما إذا كانت المنازعة في الولاية فلا ينازعه بما يقدح في الولاية الا إذا ارتكب الكفر وحمل رواية المعصية على ما إذا كانت المنازعة فيما عدا الولاية فإذا لم يقدح في الولاية نازعه في المعصية بأن ينكر عليه برفق ويتوصل الى تثبيت الحق له بغير عنف ومحل ذلك إذا كان قادرا والله أعلم
“Dan yang jelas adalah membawa riwayat (yang menyatakan tentang) kekafiran dalam konteks bolehnya merebut atau mengambil kekuasaan, sehingga tidak boleh dirampas semata-mata kerana adanya faktor yang mencemarkan kekuasaannya tersebut, melainkan sekiranya ia melakukan kekafiran. Dan membawa riwayat (yang menjelaskan berkaitan) kemaksiatan untuk merampas urusan di luar kekuasaan. Apabila kekuasannya tidak dicemari (dengan kekafiran), tetapi di sudut yang lain ia terkena suatu kemaksiatan, maka cara menghilangkannya adalah dengan tatacara yang lemah-lembut dan menyampaikan kebenaran kepadanya tanpa kekerasan. Itu adalah sekiranya ia mampu. Wallahu a’lam.
ونقل بن التين عن الداودي قال الذي عليه العلماء في أمراء الجور أنه إن قدر على خلعه بغير فتنة ولا ظلم وجب والا فالواجب الصبر
Dan dinukil daripada Ibnu at-Tiin daripada ad-Dawudi bahawasanya beliau berkata, “Yang menjadi kewajiban ulama kepada para pemimpin yang zalim sekiranya ia mampu untuk menurunkannya dari kedudukannya tanpa menimbulkan fitnah dan kezaliman, maka ia wajib melakukannya. Sebaliknya, sekiranya tidak mampu, maka wajib untuk bersabar.”
Di sini perlu kita fahami bahawa seseorang pemerintah boleh digugurkan jawatan kepimpinannya sama ada oleh Ahlul hal wal-‘aqd (badan khas syura) atau dirinya sendiri yang meletakkan jawatan dengan sukarela. Ahlu hal wal-‘aqd berhak menggugurkan jawatan kepimpinan seseorang pemerintah atas sebab-sebab yang tertentu yang wajar. Ia dilaksanakan oleh badan khas tersebut (Ahlul hal wal-‘aqd) selagi mana ia dapat berlaku dengan aman, terhindar dari maksiat (unsur-unsur terlarang dari sudut syara’), terjaga dari fitnah (perpecahan), pergolakkan, pertumpahan darah, serta huru-hara. Dan sama sekali ia bukan urusan orang awam.
وعن بعضهم لا يجوز عقد الولاية لفاسق ابتداء فان أحدث جورا بعد أن كان عدلا فاختلفوا في جواز الخروج عليه والصحيح المنع إلا أن يكفر فيجب الخروج عليه
Dan daripada selainnya, “Kaedah asalnya, tidak dibolehkan untuk memberi kekuasaan (atau kepimpinan) kepada orang yang fasiq. Apabila ia melakukan kezaliman di mana pada awalnya ia adalah seorang (pemimpin) yang ‘adil, maka mereka (para ulama) berbeza pendapat berkenaan bolehnya keluar dari ketaatan kepadanya. Dan yang benar adalah larangan untuk keluar dari ketaatan kepadanya (memberontak) melainkan apabila ia telah kafir. Maka dalam perkara ini (apabila ia kafir) wajib untuk keluar dari ketaatan kepadanya.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 13/8)
Badruddin al-‘Aini al-Hanafi (Wafat: 855H) menjelaskan ketika mensyarahkan hadis tersebut:
وقال الكرماني الظاهر أن الكفر على ظاهره
Dan al-Kirmani berkata, “Secara tekstualnya, kufur yang dimaksudkan di sini adalah kufur secara zahirnya (kufur yang terang-terangan atau kufur akbar yang dapat jelas difahami - pen.).” (al-Aini, ‘Umdatul Qari Syarah Shahih al-Bukhari, 35/111)
Al-Khaththabi berkata berkenaan kalimat kufran bawaahan (sebagaimana dalam hadis tersebut),
معنى قوله بواحا يريد ظاهرا باديا من قولهم باح بالشيء يبوح به بوحا وبواحا إذا أذاعه وأظهره
“Makna kata bawaahan (بواحا) adalah suatu kehendak atau keinginan yang dizahirkan dengan jelas (tidak disembunyikan). Kata ini berasal dari kalimat baaha bisyai’in (باح بالشيء), ertinya sesuatu yang diumumkan (ditonjolkan atau diisytiharkan) dan dizahirkan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/8)
Daripada ‘Abdullah B. ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ
“Sesiapa yang melepaskan ketaatan daripada pemimpin, dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat tanpa memiliki hujjah (alasan).” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/393, no. 3441)
Juga daripada ‘Abdullah B. ‘Umar, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُقَالُ هَذِهِ غَدْرَةُ فُلَانِ بْنِ فُلَانٍ
“Bahawasanya setiap orang yang mengkhianati pemimpin, ia akan diberikan bendera pada hari kiamat, lalu dikatakan kepadanya bahawa inilah bukti pengkhianatan si fulan bin fulan (terhadap pemimpin).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 19/156, no. 5710)
Para ulama menjelaskan bahawa bolehnya untuk keluar dari ketaatan dan memerangi penguasa adalah apabila penguasa tersebut telah melakukan kekufuran (kufur akbar) yang menyebabkan ia menjadi kafir. Itulah yang disimpulkan oleh Ibnu Hajar setelah membawakan beberapa riwayat tentang lafaz hadis (kufran bawaahan, kufran shuraahan, ma’shiyatallaahi bawaahan, dan itsmin bawaahan). Lafaz-lafaz hadis tersebut saling menjelaskan di antara satu dengan yang lain. Lafaz kufur lebih khusus (spesifik) daripada lafaz maksiat ataupun dosa. Perkataan Imam an-Nawawi sebagaimana tertulis di atas (iaitu perkataannya, “kecuali apabila kamu melihat kemungkaran yang nyata daripada mereka, yang kamu ketahui bahawa perkara tersebut termasuk tunjang-tunjang Islam (min qowaa’idil Islaam)” maka ini juga tetap tidak bertentangan dengan makna kufur.
Sesiapa yang melakukan maksiat dan bid’ah yang jelas padanya termasuk dalam perkara tunjang-tunjang agama (Islam), yang padanya telah diketahui dan difahami bahawa ia boleh menjadikannya jatuh ke dalam kekafiran, maka maksiat dan bid’ah itu juga termasuk perbuatan kufran bawaahan.
Dalam perkara ini, untuk mengkhususkan dan menjatuhkan hukuman kafir kepada seseorang, ianya memerlukan perincian yang sangat ketat.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) memberi peringatan:
وَلَيْسَ لِأَحَدِ أَنْ يُكَفِّرَ أَحَدًا مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَإِنْ أَخْطَأَ وَغَلِطَ حَتَّى تُقَامَ عَلَيْهِ الْحُجَّةُ وَتُبَيَّنَ لَهُ الْمَحَجَّةُ وَمَنْ ثَبَتَ إسْلَامُهُ بِيَقِينِ لَمْ يَزُلْ ذَلِكَ عَنْهُ بِالشَّكِّ ؛ بَلْ لَا يَزُولُ إلَّا بَعْدَ إقَامَةِ الْحُجَّةِ وَإِزَالَةِ الشُّبْهَةِ
“Dan tidak boleh bagi sesiapa pun untuk mengkafirkan seseorang muslim walaupun dia salah atau keliru, sehingga ditegakkan hujjah kepadanya dan hujjah yang disampaikan adalah jelas lagi difahami. Maka sesiapa pun yang telah menetapkan keislaman bagi dirinya dengan yakin, ketetapan tersebut tidak dapat dibatalkan dengan sebab keraguan yang ada padanya. Bahkan ia tetap di atas islam melainkan setelah ditegakkan hujjah kepadanya dan telah hilang syubhat-syubhat yang bersarang dalam fikirannya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 12/466 - Daar al-Wafaa’)
Untuk lebih lanjut, sila baca tulisan penulis berkaitan bab ini, dengan tajuk “Merungkai Kaedah Takfir.”
Jika kita memahami prinsip-prinsip ini dengan baik, maka apalah sangat jika mahu dibandingkan dengan soal yang jauh lebih remeh dari musibah kekafiran tersebut? Tidaklah isu seperti rasuah, tuduhan skandal, kenaikan sekali-sekala harga bawang, bekalan gula tidak cukup, harga minyak atau bahan api melambung, dan seumpamanya dapat menandingi sebesar-besar kezaliman bernama syirik dan kekafiran.
Sehingga sanggup menjadi pembangkang, memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah, keluar pula ke jalan-jalan berdemonstrasi, serta naik ke pentas-pentas pidato memaki-hamun dan mencanang aib pemerintah?
Tidak cukup dengan itu, bercita-cita pula mengambil alih kuasa dan mempertikaikan kredibiliti kepimpinan pihak pemerintah. Inikah alasan yang hendak kita bawa di hadapan Allah nanti?
Hayatilah sikap para sahabat dan ulama tabi’in ketika menghadapi musibah yang jauh lebih besar ketika berhadapan pemerintah bernama ‘Abdul Malik B. Marwan bersama gabernornya al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi. Bukan harga barang yang jadi mainan, tetapi nyawa dan darah jadi taruhan. Lihatlah bagaimana sikap mereka. Tidak lain, melainkan tetap taat dan mendengar dalam hal-hal yang ma’ruf serta tidak bersikap terburu-buru dengan keluar memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah.
Dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah bersabda:
منْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ
“Sesiapa yang melepaskan ketaatan daripada pemimpin, dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat tanpa memiliki hujjah (alasan).” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/393, no. 3441)
Wallahu a’lam.
Sekiranya Pemerintah Menjadi Kafir
Telah ijma’ (disepakati) bahawa prinsip asas bagi sesebuah pentadbiran, pemerintahan, dan kepimpinan umat Islam tidak boleh diserahkan kepada orang kafir. Tetapi, bagaimana jika tiba-tiba pemerintah yang sedia ada jatuh kafir (menjadi kafir) atau mengisytiharkan keluar daripada Islam (murtad)?
Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan:
قال القاضي عياض أجمع العلماء على أن الإمامة لا تنعقد لكافر
Berkata al-Qadhi ‘Iyadh, “Para ulama telah sepakat (ijma’) bahawa kepimpinan umat Islam tidak boleh diberikan (atau diserahkan) kepada orang kafir.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229)
Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah menyatakan:
وأما الكفار المستعمرون فلا طاعة لهم بل يجب الاستعداد التام مادة ومعنى لطردهم وتطهير البلاد من رجسهم
“(Sekiranya tiba-tiba negara dikuasai oleh penguasa kafir) Ada pun terhadap penguasa yang kafir tersebut, maka kita tidak wajib taat. Malah, menjadi kewajiban kita untuk bersungguh-sungguh mempersiapkan diri, sama ada moral mahu pun material untuk mengusir mereka sehingga tidak ada lagi kekotoran di negeri kita.” (al-Albani, Takhrij al-‘Aqidah ath-Thahawiyah, m/s. 69)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:
انه ينعزل بالكفر إجماعا فيجب على كل مسلم القيام في ذلك فمن قوي على ذلك فله الثواب ومن داهن فعليه الإثم ومن عجز وجبت عليه الهجرة من تلك الأرض
“Bahawa mencabut ketaatan, menjatuhkan, atau melucutkan seseorang pemimpin kerana sebab kekufurannya adalah suatu yang ijma’ (disepakati para ulama). Maka wajib bagi setiap muslim untuk melakukan perkara tersebut. Sesiapa yang mampu melakukanya, maka ia mendapat pahala. Sesiapa yang tidak mahu melakukannya (sedangkan dia mampu), maka ia mendapat dosa. Dan sesiapa yang lemah (tidak memiliki kemampuan), maka ia wajib berhijrah meninggalkan negeri tersebut.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 13/123)
Dalam Syarah Shahih Muslim, Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menukilkan perkataan al-Qadhi ‘Iyadh. Katanya:
أجمع العلماء على أن الإمامة لا تنعقد لكافر وعلى أنه لو طرأ عليه الكفر انعزل قال وكذا لو ترك إقامة الصلوات والدعاء إليها قال وكذلك عند جمهورهم البدعة قال وقال بعض البصريين تنعقد له وتستدام له لأنه متأول
قال القاضي فلو طرأ عليه كفر وتغيير للشرع أو بدعة خرج عن حكم الولاية وسقطت طاعته ووجب على المسلمين القيام عليه وخلعه ونصب أمام عادل أن أمكنهم ذلك فإن لم يقع ذلك الا لطائفة وجب عليهم القيام بخلع الكافر ولا يجب في المبتدع إلا إذا ظنوا القدرة عليه فإن تحققوا العجز لم يجب القيام وليهاجر المسلم عن أرضه إلى غيرها ويفر بدينه
“Para ulama telah sepakat (ijma’) bahawa kepimpinan umat Islam tidak boleh diberikan (atau diserahkan) kepada orang kafir. Jika asalnya dia muslim (ketika menjadi pemimpin) lalu dia murtad maka dia harus dilucutkan. Begitu juga sekiranya dia mengabaikan solat dan seruan untuk melaksanakannya. Menurut jumhur ulama, apabila pemimpin tersebut melakukan bid’ah maka ia harus diturunkan. Beberapa ulama Bashrah menyatakan bahawa dia sah menjadi pemimpin dan dipertahankan kerana dia memiliki takwilan dalam perbuatan bid’ah yang dia lakukan.”
Beliau berkata lagi, “Sekiranya pemimpin berubah menjadi kafir dan mengubah syari’at atau melakukan bid’ah, maka dia keluar dari garis kepimpinan dan gugurlah kewajiban taat kepadanya. Lalu umat Islam wajib bertindak ke atasnya, melucutkan jawatannya, dan melantik pemimpin baru yang adil sekiranya itu benar-benar dapat dilaksanakan (iaitu apabila benar-benar memiliki kemampuan). Jika perkara tersebut tidak dapat dilakukan (tidak mampu) melainkan bagi suatu kelompok, maka wajib ke atas mereka untuk menjatuhkan orang kafir dari kedudukannya sebagai pemimpin. Dan tidak wajib bagi kes pemimpin yang melakukan bid’ah melainkan sekiranya mampu. Tetapi sekiranya lebih kuat kemungkinan tidak mampu melaksanakan semua perkara tersebut, maka ia menjadi tidak wajib dan umat Islam wajib untuk berhijrah dari negerinya ke negeri yang lain. Hendaklah ia lari mempertahankan agamanya. Dan kepimpinan tersebut tidak sepatutnya diberikan kepada orang yang fasiq sejak dari awal.” (Syarah Shahih Muslim, 12/229)
Maksud “telah mengubah syariat atau terjatuh dalam bid’ah” yang disebutkan oleh al-Qadhi ‘Iyadh di atas adalah merujuk kepada perbuatan bertentangan syari’at yang membawa kepada kekafiran. Iaitu bid’ah yang menjatuhkan kedudukan pelakunya menjadi kafir.
Persoalan menjatuhkan pemerintah atas sebab perbuatan bid’ah yang dilakukannya ini ada disentuh oleh al-Hafiz Ibnu Hajar ketika mengulas perkataan Ibnu at-Tiin sebagaimana berikut:
وما أدعاه من الإجماع على القيام فيما إذا دعا الخليفة إلى البدعة مردود الا ان حمل على بدعة تؤدي إلى صريح الكفر والا فقد دعا المأمون والمعتصم والواثق إلى بدعة القول بخلق القرآن وعاقبوا العلماء من أجلها بالقتل والضرب والحبس وانواع الاهانة ولم يقل أحد بوجوب الخروج عليهم بسبب ذلك
“Adapun perkataannya tentang kesepakatan bangkit menentang pemerintah apabila ia mengajak kepada bid’ah adalah pernyataan yang tertolak (mardud). Melainkan apabila ia difahami sebagai bid’ah yang jelas mengakibatkan kekufuran, kerana pemerintah seperti al-Ma’mun, al-Mu’tashim, dan al-Watsiq (ketika zaman Imam Ahmad – pen.) telah mengajak kepada bid’ah al-Qur’an itu makhluk. Mereka juga menghukum para ulama kerana mengingkari perkara tersebut sama ada dengan dibunuh, dipukul, dipenjara, dan pelbagai bentuk lagi jenis penghinaan. Tetapi tidak ada seorang ulama pun yang mengatakan wajib bangkit menentang mereka (pemimpin) dengan sebab bid’ah tersebut.” (Fathul Bari, 13/116)
Seterusnya, kata Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah:
“Kita tidak dibolehkan serta-merta terus memberontak, walaupun telah jelas padanya kekufuran yang ianya memiliki dalil daripada Allah (yang boleh dipertanggungjawabkan) melainkan sekiranya telah jelas padanya memiliki kemaslahatan (kebaikan, kemampuan, dan keupayaan).
Tidak termasuk maslahah (kebaikan) sekiranya hanya kelompok yang kecil dengan senjata yang tidak seberapa untuk menghadapi sebuah kuasa negara yang lengkap dengan bala tentera dan persenjataannya. Ini kerana ia hanya akan mengakibatkan pertumpahan darah dan menghalalkan yang haram (mengakibatkan pelbagai kerosakan dan terkorbannya jiwa yang tidak berdosa dari kalangan orang awam, kanak-kanak, wanita, dan warga tua - pent.), tanpa mendatangkan hasil. Sedangkan pada awalnya, mereka menghendaki keburukkan penguasa diubah, sebagaimana pemberontakkan yang dilakukan kaum khawarij di zaman Khulafa’ur Rasyidin radhiyallahu ‘anhum. Sehingga zaman ini, di mana yang terhasil hanyalah keburukkan dan kehancuran yang tidak diketahui sesiapa pun melainkan oleh Allah, Tuhan para makhluk.
Namun, sebahagian pihak tetap menyalakan api kebencian di hati-hati mereka, kemudian mereka melakukan pelbagai jenis aksi atau tindakan yang buruk hasilnya. Ini adalah kesalahan yang besar.
Jadi kita bertanya, sekiranya demikian, apa ukuran kekufuran kerana sebahagian kelompok ada yang menganggap kafir manakala sebahagian yang lainnya tidak?
Jawabnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberi tanda aras yang penting melalui perkataannya, iaitu “Kufran Bawaahan” (kekufuran yang jelas nyata) yang tidak lagi dapat ditakwil dengan maksud yang lain, seperti contohnya kamu melihat mereka sujud kepada patung, mendengar secara langsung dia mencela Allah atau Rasul-Nya atau yang seumpamanya (walaupun hujjah telah ditegakkan secara syar’i - pent.).” (Syaikh Ibnu al-‘Utsaimin, Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah, perbahasan hadis no. 7)
Syaikh ‘Abdul Aziz B. ‘Abdullah B. Baaz Rahimahullah (Mufti Arab Saudi pada hayatnya), beliau berkata:
فيترتب على الخروج على ولاة الأمور فساد عظيم وشر كثير، إلا إذا رأى المسلمون كفرا بواحا عندهم من الله فيه برهان، فلا بأس أن يخرجوا على هذا السلطان لإزالته إذا كان عندهم قدرة، أما إذا لم يكن عندهم قدرة فلا يخرجوا، أو كان الخروج يسبب شرا أكثر فليس لهم الخروج؛ رعاية للمصالح العامة.
والقاعدة الشرعية المجمع عليها: (أنه لا يجوز إزالة الشر بما هو أشر منه، بل يجب درء الشر بما يزيله أو يخففه). أما درء الشر بشر أكثر فلا يجوز بإجماع المسلمين، فإذا كانت هذه الطائفة التي تريد إزالة هذا السلطان الذي فعل كفرا بواحا عندها قدرة تزيله بها، وتضع إماما صالحا طيبا من دون أن يترتب على هذا فساد كبير على المسلمين، وشر أعظم من شر هذا السلطان فلا بأس، أما إذا كان الخروج يترتب عليه فساد كبير، واختلال الأمن، وظلم الناس، واغتيال من لا يستحق الاغتيال... إلى غير هذا من الفساد العظيم، فهذا لا يجوز، بل يجب الصبر، والسمع والطاعة في المعروف، ومناصحة ولاة الأمور، والدعوة لهم بالخير، والاجتهاد في تخفيف الشر وتقليله وتكثير الخير. هذا هو الطريق السوي الذي يجب أن يسلك؛ لأن في ذلك مصالح للمسلمين عامة، ولأن في ذلك تقليل الشر وتكثير الخير، ولأن في ذلك حفظ الأمن وسلامة المسلمين من شر أكثر. نسأل الله للجميع التوفيق والهداية.
“... Mengambil tindakan keluar dari ketaatan terhadap pemimpin adalah kefasadan yang besar dan menimbulkan keburukan yang banyak. Kecuali apabila umat Islam melihat dengan jelas pada pemimpin itu terdapat kekafiran yang nyata di mana mereka memiliki bukti (dalil) daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala berkenaan perkara tersebut. Maka atas sebab itu, mereka dibenarkan keluar dari ketaatan kepada pemimpin tersebut untuk menggantikannya apabila mereka memiliki kekuatan (kemampuan). Tetapi sekiranya mereka tidak memiliki kekuatan, maka janganlah mereka keluar, atau apabila tindakan keluar mereka itu akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar maka mereka juga tidak boleh keluar sebagai langkah menjaga (atau mendahulukan) kemaslahatan umat Islam secara umum.
(Berkenaan perkara ini) Terdapat kaedah syari’at yang telah ditetapkan dengan kesepakatan (ijma’), iaitu “Tidak boleh menghilangkan suatu keburukan dengan menimbulkan keburukan lain yang lebih besar lagi.” Sebaliknya apa yang sepatutnya adalah menolak keburukan tersebut dengan perkara yang dapat menghilangkan keburukan tersebut atau sekurang-kurangnya meringankannya. Adapun menolak kerosakan dengan perkara yang dapat menimbulkan kerosakan (atau keburukan) yang lebih besar maka ia tidak boleh dilakukan berdasarkan ijma’ kaum Muslimin. Dan sekiranya kelompok yang ingin melucutkan pemimpin yang telah dihukum kafir (dengan bukti yang benar) dan mereka memiliki kemampuan untuk melakukannya, dan mampu juga untuk menggantikannya dengan pemimpin yang soleh dan baik, dengan tidak mengakibatkan keburukan yang lebih besar kepada umat Islam dan keburukan yang lebih dahsyat dari keburukan penguasa, maka itu dibenarkan. Tetapi apabila keluar dari ketaatan kepada pemimpin akan menimbulkan keburukan yang besar dan menyebabkan hilangnya keamanan, menzalimi masyarakat, terbunuhnya orang-orang yang tidak bersalah, serta yang lain-lainnya yang seumpama dari bentuk-bentuk keburukan yang besar, maka ini tidak dibenarkan. Sebaliknya perlu bersabar, mendengar dan taat dalam perkara-perkara yang ma’ruf dan berusaha menasihati pemimpin, mendoakannya (atau mendakwahinya) dengan kebaikan, serta berusaha sedaya upaya menghilangkan serta mengurangkan keburukan dengan cara memperbanyakkan kebaikan. Inilah jalan (atau kaedah) yang tepat yang sepatutnya diambil kerana padanya terdapat kemaslahatan untuk umat Islam secara umum. Dan kerana padanya mengandungi usaha mengurangkan keburukan dengan cara menambahkan kebaikan. Juga kerana padanya terdapat usaha menjaga (memelihara) keamanan dan keselamatan umat Islam dari keburukan yang lebih banyak. Kepada Allah jualah kita memohon taufiq dan hidayah-Nya.” (‘Abdul ‘Aziz B. Baaz, Majmu’ Fatawa wa Maqalat Munawi’ah, 8/203-204 - Daar al-Qasim Linnasyr, Riyadh. Rujuk juga website rasmi beliau: http://www.binbaz.org.sa/mat/21270)
Bagi menutup perbahasan ini, penulis bawakan nasihat daripada Syaikh ‘Abdul Latif B. ‘Abdurrahman Alu Syaikh rahimahullah sebagai renungan. Khususnya untuk kumpulan-kumpulan tertentu yang terus bersikap keras dan degil mempertikaikan keabsahan kewajiban mentaati pemerintah. Berikut teks nasihat beliau:
“Orang-orang yang terfitnah ini tidaklah mengetahui, mereka tidak membaca tarikh (sejarah) bahawa majoriti penguasa umat Islam semenjak jatuhnya Yazid B. Mu’awiyah (melainkan beberapa orang seperti ‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz) kesemuanya adalah penguasa yang banyak melakukan kezaliman dan kemungkaran yang menyelisihi agama Allah. Sekiranya mereka mahu membuka tarikh (kitab-kitab sejarah) umat Islam semenjak itu. Tetapi, apa yang lebih penting bukanlah cerita tersebut, melainkan melihat apa sikap ulama, apa tindakan para a’immah ahlus sunnah wal-jama’ah di waktu tersebut dari masa ke semasa, yang mereka hidup di bawah kepimpinan para penguasa yang zalim dan menindas. Lihatlah ia sebagai contoh dan cermin bagi kita. Dan sikap mereka masyhur dan ma’ruf (dikenali) adanya. Mereka tetap tidak melepaskan ketaatan dari penguasa tersebut dalam urusan yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya untuk tetap menjalankan syari’at Islam dan kewajiban-kewajiban agamanya di bawah kepimpinan penguasa tersebut.
Aku beri contoh seperti al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi, dan siapa yang tidak mengenali beliau yang memang terkenal dengan kezalimannya, kebengisannya, kekejamannya, bahkan sangat bermudah-mudah untuk membunuh dan menumpahkan darah umat Islam. Itu telah ma’ruf (dimaklumi) siapa Hajjaj. Bahkan terkenal pula banyak melanggar larangan-larangan Allah. Bahkan beliau berani membunuh begitu ramai manusia terbaik umat ini, seperti Said Ibn Jubair, seorang tokoh ‘alim di masa tabi’in, yang merupakan murid Ibnu ‘Abbas. Lebih keji dari itu, beliau berani mengepung ‘Abdullah B. Az-Zubair B. Al-Awwam (radhiyallahu ‘anhu) di ketika berlindung diri di Masjidil Haram, di Ka’abah. Seorang sahabat, anak seorang sahabat pula. Dia tidak mempedulikan keharaman Masjidil Haram dan keharaman Ka’abah. Beliau membunuh ‘Abdullah B. Az-Zubair. Padahal Ibnu az-Zubair telah memberikan bai’atnya, bersedia taat kepadanya dan dia dibai’at pula oleh penduduk Makkah yang ketika itu di bawah kepimpinan ‘Abdullah B. Az-Zubair iaitu Madinah, Yaman, dan majoriti penduduk Iraq. Sungguh, beliau bersedia untuk taat kepadanya walaupun dikejar, dikepung dan dibunuh. Dan al-Hajjaj ini adalah seorang panglima perang yang dipilih oleh ‘Abdul Malik B. Marwan dari Bani Umayyah.
Tidak satu pun dari para Khulafa’ (pemerintah sebelumnya) yang mewariskan, memberi kepercayaan ke-khalifahan tersebut kepada Marwan (ayah ‘Abdul Malik), tidak pula dipilih oleh Ahlul hal wal-‘aqdi (Ahli Syura). Hanya kerana dia memiliki kekuatan, memiliki pengikut, akhirnya kekuasaan berjaya dipegang olehnya. Sekali lagi, perkara tersebut tidaklah terlalu penting, yang lebih penting adalah bahawa tidak ada satu pun dari kalangan ulama yang tidak mahu taat dan patuh di bawah kepimpinan Marwan atau pun anaknya, ‘Abdul Malik dalam menjalankan syari’at Islam di bawah pentadbirannya.
Bahkan seorang sahabat - ‘Abdullah B. ‘Umar B. Al-Khaththab (radhiyallahu ‘anhu), juga beberapa sahabat yang masih hidup di masa al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi, kesemuanya memberikan kepatuhan dan ketaatan kepada al-Hajjaj juga ‘Abdul Malik B. Marwan. Lebih penting bagi mereka adalah tetap menjalankan syari’at Islam walaupun sedang berada di bawah kepimpinan penguasa tersebut. Kriterianya, kerana dengan itu mereka meyakininya sebagai bentuk kesempurnaan iman mereka. Demikian juga yang pada masa itu terdapat para ulama dari kalangan tabi’in, seperti Sa’id Ibnul Musayyib, Hasan al-Bashri, Muhammad B. Sirin, Ibrahim at-Taimi, dan para ulama lainnya, semuanya sepakat untuk taat dan patuh di bawah kepimpinannya.
Demikianlah, sikap ini adalah agama yang diwariskan secara turun-temurun, dari generasi ke generasi berikutnya dari para ulama salaf kepada ulama berikutnya. Mereka selalu mengingatkan dan mewariskan untuk taat kepada Allah, taat kepada Rasul-Nya, berjihad di jalan Allah bersama di bawah seorang penguasa, seorang imam, sama ada soleh mahu pun fajir (jahat). Ini adalah suatu yang ma’ruf dalam kitab-kitab ushuluddin (prinsip-prinsip agama) dan kitab-kitab ‘aqidah yang ditulis oleh para imam kita.
Selain itu, demikian pula dengan sejarah Bani ‘Abbasiyah. Mereka berjaya meraih kuasa dan menjadi pemimpin dengan kekuatan (pedang) pada waktu tersebut. Mereka meraih ke tampuk kuasa bukanlah dengan bantuan atau pilihan para ulama, tetapi dengan jalan ketenteraan (pemberontakan), merebut kuasa daripada Bani Umayyah. Sama sahaja, pihak ‘Abbasiyah berusaha meraih tampuk kuasa itu juga dengan banyak melakukan kezaliman, membunuh sekian banyak umat Islam, terutamanya daripada Bani Umayyah, para menterinya, para gabernornya dan para penjawat (kakitangan) Bani Umayyah tersebut. Mereka membunuh Ibnu Hubairah, gabernor Iraq ketika itu. Mereka membunuh pula Khalifah Marwan.
Bahkan dinukilkan pula di dalam sejarah bahawa as-Saffah (gelaran Khalifah pertama Bani ‘Abbasiyah) dalam masa satu hari ketika dia berjaya merebut kekuasaan dari Bani Umayyah, dengan tangannya dia membunuh lebih dari 80 orang. Mungkin orang akan berkata, “Masih wajar merampas kekuasaan, ia adalah perkara biasa kerana demikianlah dalam medan politik untuk saling merebut dan saling bercita-cita (berusaha) untuk mendapatkan kekuasaan tersebut”.
Bukan sekadar itu, setelah dia bunuh lebih daripada lapan puluh orang Bani Umayyah tersebut, Abul ‘Abbas memerintahkan kepada anak buahnya supaya mayat-mayat tersebut dikumpulkan dan dihimpunkan (ditimbunkan), kemudian dia meminta alas seperti tikar yang diletakkan di atas timbunan mayat tersebut dan dia meminta pula didatangkan hidangan makanan dan minuman. Lalu dia makan daging dan minum-minuman yang lazat serta makanan yang enak di atas himpunan mayat Bani Umayyah. Demikianlah sejarah yang telah berlaku. Yang lebih penting dan lebih besar dari itu adalah:
Apakah sikap dan tindakan para ulama, para imam seperti al-Auza’i? Di zaman tersebut hidup al-Auza’i, Malik B. Anas, az-Zuhri Ibnu Syihab, Laits B. Sa’d, Atha’ B. Abi Rabbah, mereka adalah tokoh-tokoh ulama besar. Sikap mereka jelas, tidak menjadi keraguan bagi orang yang mahu mempelajarinya, di mana mereka tetap taat, tetap beribadah, tetap menjalankan syari’at Islam di bawah kepimpinan penguasa seperti itu.
Kemudian generasi berikutnya dari kalangan ahli ilmu seperti Ahmad B. Hanbal, Muhammad B. Ismail al-Bukhari, Muhamamd B. Idris asy-Syafi’i, Ahmad B. Nuh, Ishaq B. Rohuyah (atau Rahawaih), dan para ulama lainnya. Di masa mereka para pemimpinnya banyak melakukan kemungkaran, bahkan kemungkaran yang besar, iaitu dalam soal prinsip-prinsip agama ini, mengingkari sifat-sifat Allah (Tauhid al-Asma’ wa ash-Shifat). Bahkan yang lebih dahsyat lagi, para penguasa tersebut mengajak malah mewajibkan rakyatnya untuk mentaati (mengikuti) bid’ah tersebut.
Akhirnya para ulama mendapat ujian besar dan tidak sedikit yang terbunuh disebabkannya, seperti imam Ahmad B. Nasr (di masa Imam Ahmad). Sekali lagi, tidak kita dapati dari para ulama tersebut menentang, melawan, dan melepaskan ketaatan kepada penguasanya.
Demikianlah nasihat daripada Syaikh ‘Abdul Latif Alu Syaikh rahimahullah.” (Rujuk: ad-Durar as-Sunniyyah fil Ajwibah an-Najdiyah, 7/177-178. Syaikh ‘Abdussalam B. Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhau’il Kitab wa as-Sunnah, m/s. 7-6)
Demikianlah prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh agama berdasarkan nash-nash yang sahih di atas kefahaman para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dalam urusan mentaati pemimpin umat Islam. Wajib bersama-sama mereka di dalam kesatuan di bawah pentadbiran mereka. Tidak boleh memisahkan diri dan bertindak sebagai pembangkang serta memberontak dalam kepimpinan mereka walaupun mereka bertindak zalim dan melakukan maksiat atau kefasikan. Wajib mentaati ketetapan dan melaksanakan arahan mereka selagi mana bukan dalam urusan maksiat. Tidak ada ketaatan dalam urusan maksiat, namun tidak juga boleh menafikan dan menidakkan kedudukan mereka sebagai pemimpin (tidak boleh mempertikaikan kepimpinannya secara terbuka).
Namun, dalam keadaan yang lain, sesiapa yang tetap mentaati dan sengaja bertindak menolong penguasa dalam urusan yang maksiat dan kezaliman, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah pun menegaskan bahawa mereka bukanlah dari golongan yang mengikuti prinsip-prinsip ahlus sunnah wal-jama’ah sebagaimana petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam bermu’amalah terhadap pemerintah. Sekaligus mereka diancam dengan ancaman tidak akan bersama-sama Rasulullah di akhirat kelak. Ini adalah sebagaimana hadis beliau berikut (daripada Ka’ab B. ‘Ujrah radhiyallahu ‘anhu):
إِنَّهُ سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ مَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ وَلَيْسَ بِوَارِدٍ عَلَيَّ الْحَوْضَ وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَلَمْ يُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ وَارِدٌ عَلَيَّ الْحَوْضَ
“Sesungguhnya akan ada setelah peninggalanku nanti para pemimpin, sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, maka dia bukan daripadaku dan aku bukan daripadanya dan dia tidak akan mendatangi aku (pada Hari Kiamat nanti) di Haudh (Telaga di Syurga), dan sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia daripada kalanganku dan aku daripada kalangannya dan dia akan mendatangi aku (pada Hari Kiamat) di Haudh (Telaga di Syurga).” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 30/50, no. 18126. Dinilai Sahih isnadnya oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth. At-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 8/214, no. 2185 dengan katanya: Sahih Gharib. An-Nasaa’i, Sunan an-Nasaa’i, 13/117, no. 4136. Dinilai sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan an-Nasaa’i, 9/279, no. 4207)
Hikmah dan Kebaikan Di Sebalik Prinsip Mentaati Pemerintah
Prinsip-prinsip dan kesepakatan ahlus sunnah wal-jama’ah dalam menetapkan kewajiban mentaati pemerintah walaupun ia zalim dan fasiq ini memiliki banyak maslahah (kebaikan), hikmah, dan keutamaan dalam memelihara tujuan-tujuan syari’at (maqasid asy-Syar’iyyah). Ini sekaligus menunjukkan bahawa agama Islam ini adalah agama rahmat, agama perpaduan, dan agama yang memelihara pelbagai aspek perjalanan dalam kehidupan manusia.
Di antara keutamaan dan hikmah di sebalik prinsip-prinsip tersebut adalah:
1. Merealisasikan nash-nash al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang kewajiban mentaati pemerintah sekaligus mentaati dan meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
2. Mengelakkan berlakunya pelbagai bentuk fitnah kepada agama. Seperti perlanggaran lebih banyak syari’at apabila mengahadapi kemungkaran pemerintah bukan dengan apa yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
3. Menjaga kestabilan politik dan pentadbiran, menjaga perpaduan di kalangan rakyat dan keamanan negara. Sekaligus mengelakkan perpecahan, fitnah, dan huru-hara. Juga mengelakkan campur tangan musuh-musuh Islam yang sentiasa mahu mengambil peluang menghancurkan umat Islam.
4. Mengelakkan perebutan kuasa politik yang boleh mengakibatkan timbulnya gangguan dalam sesebuah pentadbiran serta melahirkan suasana kelam-kabut.
5. Menjaga kredibiliti para pemimpin agar dihormati kedudukannya selaku penguasa yang mentadbir dan menegakkan undang-undang bagi sesebuah negara dan menjaga autoriti golongan ilmuan supaya tetap dipandang mulia berdasarkan kapasiti ilmunya.
6. Sekiranya pemerintah itu zalim, fasiq, dan jahat, maka keburukan tersebut adalah urusan mereka dengan Allah dan Allahlah yang akan membalasnya kelak. Adapun bagi umat Islam sebagai rakyat, maka bukan urusan mereka untuk melibatkan diri dan menambahkan kemungkaran dengan melepaskan ikatan ketaatan, memburuk-burukkannya di mimbar-mimbar pidato dan media, sehingga akhirnya boleh mengakibatkan masyarakat keluar memberontak kepada pemerintah. Sekaligus boleh mencetuskan suasana tegang dan kemudharatan yang jauh lebih besar.
Prinsip-prinsip ahlus sunnah wal-jama’ah yang tenang dan damai ini mampu menjadi benteng yang ampuh bagi mengelakkan fitnah yang lebih besar serta perkara yang lebih buruk berlaku berbanding apa yang telah sedia terjadi. Sekaligus huru-hara, pertumpahan darah, dan gangguan kestabilan politik dapat terus dielakkan.
Maka di sini perlu kita fahami, setiap amar ma’ruf nahi mungkar yang hendak dilaksanakan sama ada kepada pemerintah secara khusus atau masyarakat secara umum, hendaklah diketahui terlebih dahulu kedudukan dan garis panduannya. Ia tidak dilaksanakan dengan semberono dan sikap terburu-buru. Setiap tindakan dalam bermu’amalah terhadap para pemimpin mestilah dilakukan tanpa melanggar batas-batas dan prinsip-prinsip mentaati pemerintah yang telah ditetapkan oleh dalil-dalil nabawi dan kesepakatan Ahlus Sunnah wal-Jama’ah.
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyatakan:
فإن الله تعالى بعث رسوله صلى الله عليه و سلم بتحصيل المصالح وتكميلها وتعطيل المفاسد وتقليلها
“Bahawasanya Allah telah mengutuskan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pembawa maslahah (kebaikan), yang menyempurnakannya, membendung pelbagai kerosakan, dan mengurangkannya.” (Minhajus Sunnah, 4/527)
Sekiranya amar ma’ruf nahi mungkar dilaksanakan dengan tidak berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh wahyu, tidak pula dapat membuahkan kebaikan, atau sebaliknya membenihkan lebih banyak keburukan pula, maka wajarkah ia dinamakan sebagai amar ma’ruf nahi mungkar?
Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan perkara ini dengan agak panjang, antaranya sebagaimana berikut:
إن النَّبِي صلى الله عليه و سلم شرع لأمته إيجاب إنكار المنكر، ليحصل -بإنكاره- من المعروف ما يحبه الله ورسوله، فإذا كان إنكار المنكر يستلزم ما هو أنكر منه وأبغض إلى الله ورسوله فإنه لا يسوغ إنكاره، وإن كان الله يبغضه ويمقت أهله. وهذا كالإنكار على الملوك والولاة بالخروج عليهم، فإنه أساس كل شر وفتنة إلى آخر الدهر، وقد استأذن الصحابة رسول الله صلى الله عليه و سلم في قتال الأمراء الذين يؤخرون الصلاة عن وقتها، وقالوا: أفلا نقاتلهم؟ فقال: لا، ما أقاموا الصلاة. ومن تأمل ما جرى على الإسلام من الفتن الكبار والصغار رآها من إضاعة هذا الأصل، وعدم الصبر على منكر، فطلب إزالته، فتولد منه ما هو أكبر منه، فقد كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يرى بمكة أكبر المنكرات ولا يستطيع تغييرها، بل لما فتح الله مكة وصارت دار إسلام عزم على تغيير البيت، ورده على قواعد إبراهيم، ومنعه من ذلك -مع قدرته عليه- خشية وقوع ما هو أعظم منه من عدم احتمال قريش لذلك لقرب عهدهم بالإسلام، وكونِهم حديثي عهد بكفر، ولهذا لَم يأذن في الإنكار على الأمراء باليد لما يترتب عليه من وقوع ما هو أعظم منه، كما وجد سواء
“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mensyari’atkan kepada ummatnya tentang kewajiban mencegah atau membasmi kemungkaran. Ini bertujuan meraih perkara yang ma’ruf yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya dari usaha-usaha tersebut. Tetapi jika perbuatan membasmi kemungkaran tersebut akan membawa kepada perkara lain yang lebih mungkar lagi dan lebih dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, maka membasmi kemungkaran tidak perlu dilakukan walaupun Allah tetap membenci dan murka kepada pelaku kemungkaran tersebut. Situasi ini adalah sama seperti mengingkari para raja dan pemimpin dengan cara memberontak keluar dari ketaatan kepada mereka. Bahawasanya ini adalah asas kepada setiap keburukan dan fitnah sehingga akhir zaman. Para sahabat telah meminta izin Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk memerangi para pemimpin (amir) yang melengah-lengahkan solat dari waktunya sambil berkata, “Adakah kita tidak perangi sahaja mereka?” Maka Rasulullah pun menjawab, “Tidak, selagi mana mereka masih tetap melaksanakan solat.”
Sesiapa yang meneliti fitnah-fitnah yang besar dan kecil dalam sejarah umat Islam, dia pasti akan mendapati bahawa fitnah-fitnah tersebut berpunca dari pengabaian prinsip-prinsip ini dan tidak sabar dalam menghadapi kemungkaran. Lalu mereka menuntut untuk menghapuskannya (dengan terburu-buru). Maka timbullah perkara lain yang lebih besar dari fitnah asal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat sebesar-sebesar kemungkaran ketika di Makkah dan beliau tidak memiliki kemampuan untuk mengubahnya.
Sebaliknya ketika Allah telah membuka Makkah dan ia telah menjadi wilayah Islam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bertekad untuk mengubah Ka’abah dan mengembalikannya kepada bentuk asal sebagaimana yang dibina oleh Nabi Ibrahim (‘alaihis Salam), tetapi beliau tidak melakukannya walaupun telah berkuasa pada ketika itu. Ini adalah kerana kebimbangan beliau dari berlakunya perkara-perkara buruk yang lebih besar kerana orang-orang Quraisy pada ketika itu masih tidak dapat menerima perubahan secara drastik disebabkan baru memeluk Islam dan masih baru mula untuk meninggalkan kekufuran. Kerana sebab itulah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengizinkan untuk mengingkari para pemimpin dengan kekuatan kerana akan mengakibatkan timbulnya keburukan yang lebih besar lagi dari yang sedia ada.” (Ibnul Qayyim, I’lam al-Muwaqqai’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 3/4 - Daar al-Jil)
Perbahasan berkaitan menasihati dan melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah akan dibahaskan dalam tulisan seterusnya berjudul, “Bagaimana Ahlus Sunnah Menasihati Pemerintah”.
Bantahan Terhadap Pendapat Yang Membolehkan Memerangi dan Menjatuhkan Pemerintah Yang Zalim dan Fasiq
Pendapat yang menyatakan bolehnya memerangi atau menentang pemerintah yang zalim dan fasiq adalah pendapat dari sebahagian kecil ulama Ahlus Sunnah serta seluruh golongan Mu’tazilah, Khawarij, dan Zaidiyyah (Syi’ah). Bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka menyatakan bahawa tindakan memerangi pemerintah adalah wajib. Ini sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibnu Hazm rahimahullah (Wafat: 456H). Beliau menyandarkan pendapat ini kepada semua sahabat yang terlibat dalam fitnah ketika era kekhalifahan ‘Ali, Mu’awiyyah, dan setelah itu seperti ketika terjadinya peristiwa al-Hurrah, iaitu peristiwa pertembungan di antara kelompok ‘Abdullah B. Az-Zubair dengan ‘Abdul Malik B. Marwan. Ini juga diambil daripada tindakan yang dilakukan oleh Ummul Mukminun ‘Aisyah yang keluar pada perang Jamal bersama-sama Thalhah, az-Zubair dan selainnya yang seumpama. (Rujuk: Ibnu Hazm al-Andalusi adz-Dzahiri, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 5/20 - Daar al-Jil)
Secara ringkas, perkara ini dijawab sebagaimana berikut:
1 – Para ulama Ahlus Sunnah tidak berhujjah dengan kesalahan yang berlaku dalam peristiwa fitnah dan pertelingkahan yang melibahat sebahagian para sahabat.
Imam Ibn Baththah rahimahullah (Wafat: 387H) menegaskan:
“Kita wajib menahan diri dari pertikaian yang terjadi di antara sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Sebabnya, mereka telah melalui pelbagai peristiwa bersama Rasulullah dan telah mendahului manusia yang lain dalam soal keutamaan. Allah telah mengampuni mereka dan memerintahkan supaya (umat Islam terkemudian) memintakan ampun untuk mereka dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan mencintai mereka. Semua itu telah Allah wajibkan melalui lisan Rasul-Nya.
Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang bakal terjadi, bahawa mereka akan saling berperang. Mereka memperolehi keutamaan daripada yang lainnya kerana segala kesalahan dan kesengajaan mereka telah dimaafkan. Setiap pertikaian yang terjadi di antara mereka telah diampuni.
Dari itu, janganlah melihat (memberi perhatian) ulasan-ulasan tentang Perang Siffin, Perang Jamal, pertikaian di Dewan (Bani Sa‘idah) dan selainnya yang terjadi di antara mereka. Janganlah kamu tulis untuk diri kamu sendiri atau orang lain. Janganlah kamu meriwayatkannya daripada seorang jua dan jangan pula membaca serta menyampaikannya kepada orang lain. Itulah perkara yang disepakati oleh para ulama umat Ini. Mereka sepakat melarang perkara yang kami sebutkan (di atas).” (al-Syarh wa al-Ibanah ‘ala Ushul Ahli Sunnah wa ad-Diyanah, m/s. 268-269)
Imam Abu ‘Utsaman ash-Shabuni (Wafat: 449H) turut mengingatkan perkara ini dengan katanya:
“Mereka (ulama ahli hadis) berpendapat supaya menahan diri dari urusan pertikaian (pertelingkahan) para sahabat radhiyallahu ‘anhum, membersihkan lisan dari memperkatakan tentang mereka yang mengandungi makna meremehkan, menjatuhkan kehormatan mereka, dan sebaliknya wajib menyayangi mereka semua dan berwala’ kepada mereka secara umum.” (ash-Shabuni, ‘Aqidah as-Salaf wa Ashab al-Hadits, m/s. 101 - Daar al-Manhaj)
2 – Kesalahan dan kesilapan yang berlaku di kalangan mereka bukanlah perkara untuk dicontohi. Lebih-lebih lagi ia berlaku dengan sebab kesamaran dan fitnah pada ketika itu. Dan ijtihad yang mereka lakukan adalah demi meraih kemaslahatan dan perdamaian, bukan untuk peperangan.
3 – Para ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah tidak membenarkan tindakan yang diambil oleh mereka yang keluar pada era pemerintahan ‘Khalifah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu sehingga mengakibatkan peristiwa peperangan Jamal dan Siffin. Ini kemudian diperjelaskan lagi dengan sikap ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha yang begitu menyesal dengan tindakannya tersebut. Begitu juga dengan Mu’awiyah B. Abi Sufyan.
Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 784H) menjelaskan:
مَسِيْرَهَا يَوْمَ الجَمَلِ، فَإِنَّهَا نَدِمَتْ نَدَامَةً كُلِّيَّةً، وَتَابَتْ مِنْ ذَلِكَ، عَلَى أَنَّهَا مَا فَعَلَتْ ذَلِكَ إِلاَّ مُتَأَوِّلَةً، قَاصِدَةً لِلْخَيْرِ، كَمَا اجْتَهَدَ طَلْحَةُ بنُ عُبَيْدِ اللهِ، وَالزُّبَيْرُ بنُ العَوَّامِ، وَجَمَاعَةٌ مِنَ الكِبَارِ - رَضِيَ اللهُ عَنِ الجَمِيْعِ
“Aisyah telah mengakui kesalahannya keluar (melakukan perjalanan) sehingga tercetusnya perang Jamal dan beliau sangat menyesali tindakannya tersebut. Beliau bertaubat dari perbuatannya yang telah lalu yang asal mulanya berniat mencari kebaikan sebagaimana ijtihad Thalhah B. ‘Abdullah dan az-Zubair al-‘Awwam serta para sahabat lainnya.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 2/193)
Bahkan tujuan asal mereka asalnya sama sekali bukan untuk keluar melepaskan ketaatan terhadap kekhalifahan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, bukan untuk mempertikaikan kedudukannya, bukan untuk memberontak, apatah lagi untuk memeranginya. Tetapi tujuan asal mereka asalnya adalah untuk mencari perdamaian, membendung perpecahan dan menyelesaikan kemelut pembunuhan ‘Utsman. Pertembungan yang berlaku kemudiannya adalah dengan sebab fitnah yang ditimbulkan oleh golongan ketiga dari puak khawarij (pemberontak). Mereka sama sekali tidak pernah menginginkan peperangan berlaku.
4 – Setelah berakhirnya peristiwa tersebut, fitnah yang sebelumnya samar telah pun menjadi jelas. Para ulama telah menyebutkan berlakunya ijma’ kewajiban mentaati pemerintah walaupun mereka zalim dan fasiq. Ijma’ ini berlaku setelah peristiwa fitnah dahsyat tersebut, terutamanya dalam peristiwa al-Hurrah dan pemberontakan terhadap ‘Abdul Malik B. Marwan pada fasa generasi tabi’in dan penghujung zaman sahabat. Ini telah penulis sebutkan sebelumnya pada bahagian perbahasan ijma’ ahlus sunnah wal-jama’ah. Sebahagaimana yang kita fahami bahawa fitnah dan kesamaran tidak boleh menjadi dalil dan hujjah.
5 – Ijma’ tersebut diikat dengan sekian banyak dalil-dalil yang jelas lagi khusus dalam persoalan ini. Dengan jelasnya dalil-dalil tersebut, maka penghujahan dengan tindakan sebahagian para sahabat yang keluar pada perang Jamal, Siffin, peristiwa al-Hurrah, dan seumpamanya sehingga mengakibatkan pertembungan dengan pihak pemerintah adalah tidak tepat lagi tertolak. Tertolaknya ijtihad tersebut diperkuatkan lagi dengan pengingkaran majoriti sahabat yang lain dan ulama setelah mereka. Sehinggalah prinsip ketaatan kepada pemerintah ini ditegaskan sebagai ijma’ pada fasa tabi’in.
Selain itu, sebahagian golongan penentang pemerintah ini turut berhujjah dengan dalil-dalil berkaitan urusan amar ma’ruf nahi mungkar secara umum. Sedangkan dalam persoalan mu’amalah dan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah ini terdapat pengkhususan yang tersendiri berdasarkan dalil-dalilnya. Sekaligus membezakan di antara kaedah amar ma’ruf nahi mungkar secara umum dengan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah. Bab ini penulis bahaskan secara khusus dalam siri tersendiri dengan tajuk “Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Menasihati Pemerintah.” Wallahu a’lam.
Tulisan Berkaitan Sebagai Rujukan dan Tambahan Maklumat:
Wallahu a’lam…